12.10.06

Seunggun Bara Dalam Genggaman

Dulu, sebelum Kerajaan Malaya haramkan mercun dan bunga api. Aku ikut main mercun bersama rakan. Suka modifikasi bunga api yang tak meletup. Jadikan ia meletup. Kau tahu bunga api asap? Hah! Bunga api yang banyak asap tu. Kami keluarkan belerangnya untuk dimasukkan ke dalam arial tv yang berongga (yang sudah tidak berguna lagi!). Belerang dikumpulkan lalu dimampatkan ke dalam arial yang dipotong-potong dalam seinci. Kalau silap buat mampatan akan memakan diri. Kalau tak mampat, letupannya tak kuat. Sebaliknya keluarlah bunyi macam kentut. Pasti ditertawakan oleh rakan kau. Setelah dimampatkan pastikan hujung dan pangkalnya ditutup rapat. Di hujungya kau letak sumbu atau batang bunga api asap tadi sekira-kira sempat untuk dicampakkan jauh-jauh bila dinyalakan.

Sepanjang zaman aku budak-budak. Dari aku belum baligh sampailah aku dah baligh. Aku tak pernah kena letupan bunga api modifikasi ini. (Cakap dengan nada berlagak sebab belum kena). Satu hari, di tengahari penghujung bulan Ramadhan aku mulakan operasi dengan rakan untuk membuat mercun buatan sendiri seperti yang diceritakan di atas. Dipendekkan cerita, rakan aku jarinya terkena letupan mercun yang kami memandai-mandai reka sendiri. Padan muka kawan aku! Aku kata mampatkan dengan penuh hati-hati. Dia mampatkan sekuat jati. Sudahnya, belerang itu bertindak balas lalu meletup terkena jarinya. Kabooom!

Yeay! Padan muka dia. Tak nak dengar kata. Lain kali, nak buat mercun sendiri belajar sampai khatam. Ibu jarinya kudung, tangannya parah melecur. Dikejarkan ke hospital. Dia beraya di hospital bersama budak-budak Melayu yang terkena mercun juga. Sesetengahnya ada juga masuk berita dan ruangan akhbar muka depan. Selepas kejadian, kulit tangannya belang. Membilang dengan jari hanya sampai sembilan. Aduh kasihan!

1 comment:

Unknown said...

kesian die... wah, attoch bernasib baik.. ganas juga mainan attoch dulu2 ye.. :D