31.8.06

Bukan pulang dengan tangan kosong.

Pulang ke kampung halaman untuk bercuti tidak dengan tangan kosong. Kali ini ada buah tangan untuk ayahanda dan bonda tercinta. Cucu datang menjenguk. Nenenda sayangkan cucunya. Begitu juga sebaliknya. Sedang cucu yang satu lagi habis digeromolnya. Umurnya belum setahun. Geram kerana sudah pandai meniarap ala tentera. Cepat dan tangkas.

Hari kemerdekaan diisi dengan membawa pulang hamper yang dimenangi. Hah, kan aku dah kata. Pulang dengan tangan berisi. Sempena Hari Kemerdekaan ke-49, Extra Hypermarket membuat aktiviti untuk kanak-kanak dan dewasa. Kebetulan cucu nenenda yang satu lagi masuk pertandingan perlumbaan merangkak bawah 12 bulan. Juga pertandingan bayi comel. Aku dipaksa masuk untuk pertandingan membaling dart. Ya, bukan aku biasa sangat dengan dart. Bonda kata masuk aje. Sebab semua dapat hadiah katanya. Aku gagahkan diri mendaftar nama sedang dalam hati, nak juga bawa pulang hamper besar tu. Hu hu hu... Sejurus giliran aku membaling aku terus membaling tanpa berkira. Tiga sasaran kena pada tempatnya. Satu terkeluar dari papan. Balingan terakhir tangan mengigil. Tapi aku tak ada anxiety disorder. Aku tak ada darah gemuruh. Jauh sekali penyakit terketar-ketar. Setahu akulah. Kenapa ya?

Entah berapa markah aku dapat. Juri mengira.


Yeay! Kami sekeluarga pulang dengan tangan penuh berisi hamper. Bayi comel kami menang nombor satu. Lumba merangkak dia menang nombor dua. Pertandingan baling dart, aku menang nombor satu. Hadiah utama kami dah bolot. Tidak rugi masuk pertandingan percuma. Tidak pulang dengan tangan kosong. Tangan penuh berisi hamper. Saya menang lagi...

30.8.06

Iklan Merdeka (2)

Babak 1

Hari ini dalam sejarah.
Suara latar. Keluar tulisan besar jenis TIMES NEW ROMANCE (baca Roman). Latar belakang coklat (macam buku sejarah tingkatan 4). Ada pen dan tulisan.

Suara latar. Meminjam suara latar pasangan pengacara TV3 persandingan Siti Nurhaliza.

Suara Fitri Yahya
Pada 28 Ogos 2006 penonton Malaysia dihidangkan. Seluruh dunia dapat menyaksikan. Saat negara sedang bersiap menyambut kemerdekaan. Di Kuching, gah raptai beracap kali. Untuk memastikan kesempurnaan.
Lensa kamera preview situasi di Kuching

Suara Azizah Arifin
Stesen rancangan TV di negara Malaysia yang tercinta menyiarkan secara langsung. Eksklusif tiada siaran ulangan. Pada tanggal ini. Dengarkan puisi ini.

Suara Fitri Yahya
Yang satu putus ikatan buat buku.

Suara Azizah Arifin
Yang satu sambung ikatan naik pelamin buat lagu.

Suara Fitri Yahya
Yang satu takut diperlaku menjadi dungu.
Slot gambar yang berkaitan

Suara Azizah Arifin
Yang satu takut kena minyak siku dan dagu.

Suara Fitri Yahya
Yang satu dikata sibuk dengan show tidak berpijak tanah.

Suara Azizah Arifin
Yang satu sedang sibuk melakukan upacara pecah tanah.

Suara mereka berdua serentak
Semoga selamat. Selamat Berjaya. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Semua kata-kata puisi di atas diiringi slideshow slot gambar yang berkaitan.

Babak 2

Berlatar belakang lagu Merdeka.
Mawi : Mmmmpph... Saya menang motor! Tima kasih pawarut. Minumlah pawarut. Selamat Hari Merdeka. World!

Rosyam Nor : Ya, abang mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan. Keranamu Malaysia.

Aznil Hj. Nawawi : Buktikan kemerdekaan anda pada negara yang tercinta.

Siti : Siti bersyukur kepada Tuhan. Doakan kejayaan Siti dan suami.

Iklan Merdeka

Babak 1
Zaman pasca merdeka.

Monokrom.

Si gadis mengenakan baju kurung. Berjalan sopan sambil tunduk tersipu malu. Menutup kepala. Bergegas berlari-lari anak apabila dingorat sekumpulan jejaka dewasa. Langkah kecil. Habis. Jejaka tidak teringin mahu mengejar. Sibuk melawan penjajah. Cuma mengusik dengan serangkap pantun.

Hisap rokok tembakau Cina
Keluar asap berbunga-bunga
Wahai Cik Adik siapa namanya
Kami semua ingin bertanya.

Si gadis langsung tidak takut. Senyum mengukir. Dari raut wajah pelakon dan latar belakang suasana nampak cemas. Si gadis bebas dari cengkaman jejaka tapi takut dengan cengkaman penjajah.

Babak 2
Zaman merdeka.

Penuh warna.

Di gerai makan. Terpampang di hadapan gerai. Lukisan jalur gemilang. Anak gadis di babak 1. Berbaju ranggi berskirt kontot. Ada jaket tapi galas di tangan. Tinggal singlet ketat putih. Depan terbonjol. Nampak jalur. Di anunya ada tatu comel. Bebas bergaul. Mata semua jejaka melirik dan mengerling ke arahnya. Dahsyat. Kedengaran suara berbisik "Anak sapa la ni?".

Perjalanan pulang berlenggang-lenggok si gadis. Kamera mengikuti belakang. Juga diekori jejaka gersang zaman merdeka. Kesudahannya, digeromol di balik lorong belakang yang gelap. Gadis menjerit tiada siapa ambil peduli. Ada yang lalu tapi OKU. Kamera mengambil sepintas lalu bangunan-bangunan yang mengibarkan jalur gemilang berkibar nan megah. Diselang-selikan dengan rintihan gadis tadi yang tak tertahan. Jejaka keluar dari celah bangunan. Berjalan selamba sambil bersiul. Si gadis sudah dikorbankan. Jejaka bebas.

Suara latar keluar menyuarakan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan
(Meminjam suara Mahathir Lokman dalam pelbagai bahasa) beserta tulisan font kecil melayang.

Diringi suara berdengung bergema tinggi. Seoalah-olah dalam gua. Sudah dah dah dah... Merdeka deka deka deka... Jiwa jiwa jiwa jiwa... dan minda minda minda... kita kita kita.... Huargh huargh huargh..... Gelak besar.
(Meminjam suara pengacara rancangan Risiko TV2)

Keranamu Malaysia. Jangan biarkan anak anda diperkosa. Merdekakan diri dari dosa dan nista. (Meminjam suara Farid Ismed pembaca berita Dunia Jam 10 TV1)

Ibarat negara sudah merdeka tapi diri di takuk lama. Apa guna kibar bendera, baik pulang ke zaman penjajah. Karam Singh Wallia melaporkan
(Meminjam suara Karam Singh Wallia pemberita TV3)

29.8.06

VMY2007: 2

Dengan itu, huraian pendapat kedua-dua penulis di atas maka dapat dirumuskan bahawa sumberjaya pelancongan adalah suatu perkara yang menjadi perkara pokok dan titik mula di dalam mengenalpasti atau membangunkan sesuatu tarikan pelancongan. Hal ini kerana kewujudan sumberjaya di kawasan tertentu akan mewujudkan aktiviti tertentu. Jadi, adalah perlu bagi kita melakukan inventori stok sumberjaya yang ada di sesuatu kawasan sama ada stok tersebut terhad, kritikal dan simpanan. Penilaian ini perlu dilakukan bagi memastikan bahawa tidak semua sumberjaya pelancongan boleh dikomoditikan. Oleh itu, keperluan bagi mengenalpasti sumberjaya yang terdapat di sesuatu kawasan dapat mewujudkan satu imej yang berbeza dengan sesuatu kawasan yang lain mengikut persepsi, impresi dan pengalaman pelancong/pengunjung itu sendiri. Tujuan mengklasifikasikan sumberjaya adalah untuk memudahkan lagi pengenalan ke atas sumberjaya yang terdapat di sesuatu kawasan yang mempunyai imej dan tarikan yang tertentu. Lalu, sumberjaya tadi berupaya menarik pelbagai segmen pelancong yang berbeza mengikut tipologi pelancong yang telah dikenalpasti.
__
Tarikan pelancongan terbentuk daripada teras pengalaman pelancongan. Ianya merupakan sebahagian daripada permintaan dan penawaran atau faktor tolakan dan tarikan (Gartner, W; 1994 dalam Tourism Development). Tarikan merupakan salah satu alasan manusia melakukan perjalanan dan pengembaraan ke destinasi-destiansi tertentu. Contohnya seperti hotel, motel, restoran, kedai cenderamata dan sebagainya yang kesemuanya bergantung di atas kewujudan sekurang-kurangnya satu tarikan destinasi utama. Tarikan amat sukar untuk dikategorikan. Ia wujud dalam pelbagai bentuk dan saiz, timbul mengikut perbezaan kumpulan pelancong, mempunyai kepelbagaian pemilikan di samping ia wujud dalam peluang dan masalah yang berbeza kepada pelaku-pelaku utama (main actors) seperti pemaju, pengusaha, pelabur. Contohnya seperti Amusement Parks, Taman Air, Resort, Taman Semulajadi (awam dan persendirian), Taman Tema dan sebagainya merangkumi kategori tarikan yang umum. Tidak semua tarikan pelancongan bersesuaian di antara satu sama lain namun apa yang lebih penting adalah pembangunan tarikan pelancongan perlu bermula daripada asas pemahaman ciri-ciri yang unik sesuatu kawasan (contohnya semulajadi, sosio-budaya) dan berfungsi mengikut limitasi yang telah ditentukan. Manakala Getz, D (1991) dalam bukunya ‘Festivals, Special Events and Tourism’ menawarkan satu pendekatan model yang kompleks di mana tarikan pelancongan adalah termasuk di dalamnya di bahagian penawaran (supply side) yang mana kewujudannya dalam pelancongan berkaitan dengan perniagaan dan alam bisnes. Tanpa tarikan pelancongan ini, industri pelancongan kemungkinan tidak akan wujud.

Menurut Gartner lagi, apa sahaja aset boleh dijadikan tarikan pelancongan. Namun, bagi memberi gambaran yang lebih jelas tarikan boleh dikategorikan kepada sebelas (11) kategori yang berbeza. Sungguhpun demikian, tidak semestinya satu tarikan hanya untuk satu kategori utama, sebaliknya kebanyakan jenis tarikan diletakkan lebih daripada satu kategori yang mana akan membantu tarikan itu sendiri dalam ruang lingkup kepelbagaian pasaran (market diversity). Walaupun begitu, menurut Gartner untuk tujuan klasifikasi tarikan ini, ciri-ciri dan karektor yang mana lebih kuat dan dominan serta mempengaruhi akan diletakkan dalam kategori tersebut. Sebagai contoh, aktiviti rekreasi akan jatuh ke dalam banyak kategori yang berbeza dan ianya juga tidak termasuk dalam kategori yang disenaraikan di bawah. Namun begitu, ianya tidak bermakna tarikan tersebut tidak penting. Walhal, jika mengikut kategori yang sebenarnya adalah harus mengikut apa yang ada pada sumberjaya di kawasan tersebut untuk mewujudkan pelbagai aktiviti yang berbeza.

bersambung...

KLIK SINI UNTUK PAKEJ PELANCONGAN TERMURAH DI MALAYSIA

28.8.06

VMY2007: 1

Ini entri formal. Jika sesiapa membacanya, bacalah dengan nada serius. Ia bersiri. Entri yang patut dijenguk oleh Kementerian Pelancongan Malaysia atau yang bersangkutan dengannya. Sedang negara kita sibuk dan menyibuk untuk menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2007, penulis merasakan perlu adanya satu pemahaman istilah yang jelas mengenai sumberjaya, tarikan dan produk dalam konteks pelancongan. Mengapa? Kerana ia penting bagi menyelaras set minda pelaksana dan pengguna agar tiada sebarang kekeliruan dan salah tafsir berlaku. Itu saja. Jika entri ini mahu disalin sekalipun sekurang-kurangnya berikanlah penghargaan atau ucapan terima kasih kepada penulis. Kredit harus diberi kepada penulis. Berbalik kepada isu yang ingin dibincangkan. Dengan mengandaikan bahawa penulis adalah orang awam tanpa mempunyai latar belakang bidang pelancongan. Penulis juga tiada kaitan dengan agensi pelancongan. Hanya dari kacamata dan pendapat penulis sahaja dengan beberapa rujukan terpilih. Tak lebih dari itu.

Sumberjaya pelancongan, tarikan pelancongan dan produk pelancongan adalah tiga aspek yang saling berhubung kait di antara satu sama lain. Percaya atau tidak? Mungkin anda kata tiada bezanya ketiga-tiga terma ini. Dari sudut pelancongan. Ya, penulis akan buktikan satu persatu bersama hujah dan teori yang kukuh dalam huraian seterusnya. Dalam erti kata yang sebenar, penggabungan tiga unsur utama itu tadi adalah bagi mewujudkan satu destinasi pelancongan yang mampan seterusnya dapat menarik pelancong secara berterusan. Setiap unsur atau elemen itu mempunyai peranannya yang tersendiri bagi memastikan bahawa permintaan pelancong dapat dipenuhi dan mendapat kepuasan di dalam menjalani aktiviti-aktiviti pelancongan. Penulis akan memperincikan mengenai persamaan, perbezaan dan perbandingan ketiga-tiga unsur ini dalam memahami bagaimana unsur ini berkaitan di antara satu sama lain di samping membuat penilaian ke atas sumberjaya, tarikan dan produk pelancongan yang terdapat di destinasi pelancongan yang terdapat di dalam negara Malaysia yang kita cintai.

Penulis memulakan dengan memberi takrifan mengenai sumberjaya pelancongan terlebih dahulu. Beberapa takrifan mengenai sumberjaya pelancongan telah dibuat oleh beberapa penulis terdahulu dalam bukunya mengenai pelancongan. Jika kita selidik, takrif sumberjaya pelancongan yang terdapat di dalam buku 'Tourism Planning' yang ditulis oleh Gunn (1988) menyatakan bahawa sumberjaya adalah suatu aspek yang sangat penting dalam pembangunan bagi sesebuah kawasan. Menurutnya, jika sesebuah kawasan mempunyai sumber air yang bersih, hutan yang mempunyai nilai-nilai estetika, bentuk mukabumi atau topografi yang menarik, tanah yang boleh dibangunkan dan iklim yang sesuai, ianya mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk dibangunkan sebagai sebuah kawasan pelancongan. Beliau menyatakan bahawa sesebuah kawasan yang mempunyai ciri-ciri seperti yang telah dinyatakan adalah sangat ideal untuk dibangunkan aktiviti pelancongan. Jadi, apa saja yang terdapat di muka bumi ini boleh dikatakan sumberjaya. Betul? Termasuk tanah, api, air dan udara.

Takrifan lain pula diberikan di dalam buku 'Resort Planning, Financial Aspects' yang mana membahagikan sumberjaya pelancongan kepada empat jenis utama iaitu :

a. Sumberjaya Semulajadi : pantai, sungai, gunung, tasik, bukit, gua, laut, bakau
b. Sumberjaya Warisan : monumen, bangunan, kebudayaan, cara hidup
c. Sumberjaya Pertanian : sawah, dusun, tanaman, ternakan, perikanan
d. Sumberjaya Buatan Manusia : taman tema, pentas, stadium

Makna sumberjaya pelancongan yang dikeluarkan oleh kedua-dua penulis ini, dapat kita dirumuskan bahawa sumberjaya pelancongan adalah suatu perkara yang menjadi asas utama di dalam mengenalpasti atau membangunkan sesuatu tarikan pelancongan. Keperluan bagi mengenalpasti sumberjaya yang terdapat di sesuatu kawasan dapat mewujudkan satu imej yang berbeza dengan sesuatu kawasan yang lain. Selain itu, sumberjaya ini dibahagikan kepada empat sumberjaya yang utama. Pembahagian ini bertujuan bagi memudahkan lagi pengenalan ke atas sumberjaya yang terdapat dan mempunyai imej dan tarikan yang tertentu. Di samping itu, ianya dapat menarik jenis pelancong yang mempunyai pelbagai kategori dan minat yang berbeza.

bersambung...

21.8.06

Rombongan

Setelah pusing keliling. Naik-turun. Belok-belok. Jalan mati. Sampai juga. Rombongan dijemput masuk. Paluan kompang bayangkan sendiri. Tiada pantun. Masing-masing menunggu hendak mula bagaimana. Akhirnya...Lebih kurang begini.

Wakil L
Assalamualaikum w.b.t Yang Dihormati wakil tuan rumah. Taun Haji. Bapak-bapak dan sekalian yang hadir. Saya datang mewakili rombongan pihak laki-laki. Menyambung cerita minggu lepas. Kali ini datang bertujuan untuk meminang. Menghantar tunangan. Saya, bukannya jurucakap yang fasih atau pemidato. Hanyalah orang biasa aje. Kerja-kerja sebegini rupa saya jarang lakukan. Maklum sajalah. Kalau ada apa-apa kesilapan harap dimaafkan. Jadi, rombongan kami datang dengan membawa barang-barang hantarannya untuk meminang anak perempuan yang dirisik minggu lepas. Mmmph... Yang itu bapak dia (sambil menunjuk dengan jari), yang ini Datuk dia (sambil menunjuk dengan jari) Untuk itu, kami ingin menyerahkan cincin ini kepada wakil tuan rumah. Ya,

Wakil P
Alhamdulillah. Syukur kita kehadrat Allah S.W.T. Dengan limpah kurniaNya kita dapat sama-sama berkumpul di dalam satu majlis yang dipanggil majlis menghantar pinangan. Atau tunangan. Satu perkara yang baik. Niat yang baik. Saya sebagai wakil abang saya, ingin mengambil kesempatan di sini mengalu-alukan kedatangan tuan-puan sekalian. Jadi, kata orang Jawa tunangan atau pinangan. Begini ya. Kalau dah nama pinangan ini, saya mahu lihat dulu sirih pinangnya terlebih dahulu

(sambil menolak cincin ke tepi). Sirih junjung di hulur.

Walaupun sekarang zaman moden, adat ini kita tak boleh lupa ya. Mesti ada sirih, pinang, kapur. Pendek kata, perlu lengkaplah. Namun begitu tak perlulah saya tengok satu-persatu. Cukup sekadar syaratnya saja. Saya pun bukan berhajat mahu mengikat sangat. Tapi, berdasarkan pengalaman saya kerana saya pernah kena. Tak jauh. Di Sungai Besar pinangan ditolak kerana tiada sirih jujung. Baiklah, dipendekkan, benda baik ni saya harus sambut dengan baiklah ya. Kalau dah ada sirih pinangannya, sudah tentu ada tanda pinangan itu ya. Biasanya cincinlah ya.

Maka dihulur cincinnya.

Jadi, tentang cincin ini saya tidaklah berapa arif sangat. Adakah ini cincin merisik atau bertunang?

Wakil L
Mmm... Cincin merisik sudah diberi sebelum ini. Ini adalah cincin bertunang.

Wakil P
Jadi, perkara ini saya menyerahkan kepada orang perempuanlah untuk disarungkan kepada bakal perempuan. Macamana Tok, asli ke tiruan ni? (Nada gurau). Seeloknya, bakal mak mertua menyarungkan cincin ya.

Upacara menyarung cincin berlaku di bilik perempuan. Gedebak-gedebuk.

Wakil P
Baiklah, harapnya acara menyarung cincin sudah pun selesai. Jadi saya tiada apa-apa halangan dalam hal ini. Cuma kalau ada apa-apa ulasa dari wakil laki-laki silakan.

Wakil L
Jadi, sebenarnya tadi saya terlupa ingin bertanya. Persetujuan kita mengenai wang hantarannya. Berapa ya?

Wakil P
Oh ya, terlupa saya. Dalam hal ini kami sekeluarga sudah berbincang dan membuat keputusan. Kami tidaklah berniat untuk urus niaga anak dalam hal ini tapi kita kena akur. Lebih-lebih lagi zaman sekarang ni. Maklum sajalah. Jadi, kami dan tuan punya badan sudah menetapkan RM6,660.60 (Harus disebut RM 6,666.66).

Wakil L
Adakah wang hantaran ini diberi semasa hari pernikahannya atau bagaimana?

Wakil P
Jadi, untuk wang hantaran ini, kami sekeluarga telah bersepakat. Maklumlah abang saya pun dah pencen. Pendapatan pun harap duit pencennya saja. Kami kalau boleh wang itu diberi sebelum majlis pernikahan atau persandingan dilakukan. Kerana apa? Kerana maklumlah persiapan dan perancangan awal perlu dilakukan untuk membina masjid ni.

Wakil L
Kalau begitu, kami tiada sebarang halangan dan bersetuju. Boleh ya paknya? (bertanya kepada bapak pengantin laki-laki). Mengenai tarikhnya pula bagaimana? Adakah setahun lagi. Dua tahun. Atau dua bulan dari sekarang?

Wakil P
Mmm. Tarikh yang kami cadangkan kalau boleh jangan tahun ini. Kerana bulan dua belas kamia da majlis pekahwinan adik saya. Kalau nak dibuat bersekali dikhuatiri terlalu kelam-kabut. Jadi, kami rasa sesuai diadakan pada pertengahan tahun depan. Tahun 2007. Sekitar bulan Jun. Tapi, dalam hal ini kita boleh berbincang. Kita boleh berunding lagi selepas ini. Namun begitu, kami rasakan pertengahan tahun 2007 adalah masa yang sesuai.

Wakil L
Kami rasa tiada masalah dalam hal ini. Jika ada sebarang masalah kami akan hubungi pihak sini. Maknanya ikatan pertunangan ini terikat lebih kurang setahun. Boleh adjust la ya. (setahun hidupla maknanya)

Wakil P
Jadi, kalau tiada apa masalah saya menjemput tuan imam untuk membacakan doa dan kemudian kita ada sedikti hidangan untuk rombongan di luar sana.

Selesai membaca doa, semua rombongan menjamu selera. Manakala hantaran dibalas oleh pihak perempuan. Pergi lima dulang bawa balik tujuh belas dulang. Tiga kali ganda ni. Pokoknya ikhlas.

20.8.06

Harapnya cepat respon tapi tak betul!

Setelah menelefon polis cawangan trafik Segamat. Hantar surat. Tak perlu ke Segamat.

_____
Tarikh : 14 Ogos 2006


Ketua Trafik Daerah
Ibupejabat Polis Daerah Segamat
Polis Diraja Malaysia
JKR 90, Jalan Ibrahim,
85000 Segamat, Johor.
Tel: 07-9325811

Tuan,

PENYEMAKAN SEMULA SAMAN TRAFIK KELAJUAN

Adalah saya dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas

2. Bersama-sama ini disertakan maklumat mengenai surat saman yang diterima di alamat kediaman .................................................................
Juga disemak secara online, maklumat saman adalah seperti berikut:

Nama: XXXXXXXXX XXX XXXXXX
No. KP : XXXXXXXXXXXX
No. Kenderaan : JGY 2740
Saman dikeluarkan : Segamat
Lokasi kejadian : KM135 ( Jalan JB – Seremban)
No. Saman : 1-QQ703497
Tarikh : 4 Julai 2006
Masa : 2.39 petang
Jenis Kesalahan : Kelajuan
Jumlah Kompaun : RM 150.00

3. Untuk pengetahuan pihak tuan, saman yang dikenakan ke atas saya menimbulkan keraguan dan kemusykilan kerana pada tarikh dan jam yang tersebut, saya sedang bekerja di firma swasta yang beralamat di .....................................................................
......................................................................................................

4. Bersama-sama ini saya sertakan bersama surat lantikan dari majikan dan surat pengesahan majikan yang menyatakan bahawa pada tarikh tersebut saya berada di pejabat dan tiada sebarang kerja luar di Segamat. Saya juga tidak mengambil sebarang cuti pada hari tersebut. Saya juga sertakan salinan geran kenderaan saya untuk rujukan pihak tuan. Saya yakin juga pada tarikh tersebut saya tidak memberi kepada sesiapa untuk menggunakan kereta saya.

Adalah diharapkan maklumat dan dokumen yang disertakan ini mendapat perhatian dan semakan maklumbalas dari pihak tuan dengan sewajarnya.



Sekian, Terima Kasih.


Yang Benar,

.....................................
BUKAN PESALAH TRAFIK
HANYA KESILAPAN MANUSIA


s.k
1. Ketua Trafik Negeri
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor

Polis Diraja Malaysia
80990 Jalan Tebrau
Johor Bahru, Johor

2. Ketua Trafik Negara
Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia
Bukit Aman
50560 Kuala Lumpur

____
Kita tunggu berapa lama polis nak respon. Apa reaksinya? Positif atau negatif.
Sejauh mana cogankata CEPAT DAN BETUL diadaptasi dalam urusannya.

18.8.06

Marah

Aku marah betul dengan orang itu. Ambil wudhuk habis terpercik ke orang sebelah. Basah. Aku marah! Kenapa kau basuh muka sampai orang sebelah kau kena tempiasnya. Dah la kau membazir air.

Aku marah Khatib yang membaca khutbah Jumaat. Bukan! Maksud aku Yahudi. Kandungan khutbah yang dibacakan oleh Khatib dalam khutbahnya. Pembunuhan Islam di Palestin oleh Yahudi. Doa. Mari kita doa. Celaka punya Yahudi. Kau ingat bangsa kau bagus sangat. kau ingat kau boleh buat sesuka hati. Aku rasa aku nak ke Lubnan. Aku tak mampu. Aku cuma mampu berdoa dari sini dan beri sumbangan kewangan. Ya Allah, selamatkanlah saudara-saudaraku di Lubnan dari cengkaman golongan yang dilaknat olehMu. Amin

17.8.06

Nilai

Perempuan itu selalu ke kedai mak. Katanya kawan rapat Cik Niah sebelah rumah. Duduk serumah dengannya. Masih bujang. Dara. Kalau berkunjung ke kedai mak, pastinya pada waktu malam. Sering lewat malam. Katanya baru pulang dari kerja. Kekadang ada juga tompok dan bintat merah di lehernya yang kelihatan sewaktu disinari cahaya lampu kalimantang di kedai mak. Cuma nampak samar-samar. Berpakaian seksi. Kekadang berseluar pendek ketat sendat dan singlet tanpa lengan. Pernah juga hanya bertuala dan kemeja T sendat amat. Pernah juga berbikini. Emmm... Pernah? Oh belum pernah.

Bukan aku saja. Barangkali semua lelaki sejati apabila berhadapan dengannya boleh naik. Tipulah kalau kau punya b****g tak naik. Kalau kau lelaki sejati. Ya, aku pasti. Kalau tidak, kau mati pucuk atau tak bernafsu atau ada yang tak kena. Tapi paras rupanya taklah berapa ayu. Giginya agak mencanak ke depan sikit. Tidak. Aku tidak mengumpat. Ini betul dan kenyataan. Tapi, bentuk badannya menggiurkan. Boleh menjemput dan mengundang sebarang kecelakaan yang tak boleh diduga. Montok dan gebu barangkali aku tafsirkan. Perghh. Tak boleh tahan. Kau ternganga. Meleleh. Aku tak pernah fikir yang bukan-bukan. Cuma kau yang berimaginasi.

Sekian kalinya. Perempuan itu, dah lama tak dengar khabar beritanya. Dah lama tak berkunjung ke kedai mak. Mana agaknya. Satu hari mak tanya pada Cik Niah sebelah rumah. Mana perempuan itu pergi. Cik Niah jawab dengan muka selamba tanpa rasa sedikit kesal. Perempuan itu dah jadi p*****r. Prempuan j****g. Selisih keturunan aku. Semalam, baru kena cekup dengan pak polis. Sekarang ada di Balai Polis. Takde siapa nak jamin dia. Kesian... Patutlah aku ada bau sesuatu tiap kali dia berkunjung ke kedai mak. Bau wangi bercampur hanyir. Berbau hancing ... Apa kena mengena hancing dengan kerja tuuuut. Jangan tanya aku. Tanya orang yang lebih bertaqwa kepadaNya. Larisnya dagangan badanmu yang punya nilai tersendiri. Aku harap tidak tersalah menilai dirimu. Aku harap sangat rumah urut tidak disalahguna. Begitu juga kedai urut. Kedai mak aku belum tukar menjadi kedai urut. Harap kau memahaminya dengan sulaman iman di dada.

15.8.06

Marah balik

"Ibu masak air tadi. Tapi terlupa nak taruk kat termos."

"Maknanya?"

"Maknanya... Ermmm..."

"Dah tahu dah. Maknanya ayah kena jerang semula air dan letak kat termos."

Persefahaman ini yang kita mahu. Bagi saja klu. Dah tahu apa nak buat. Tak yah macam pahat dengan penukul. Tapi jangan pula ambil kesempatan. Jangan marah-marah. Selagi kita boleh bertolak-ansur. Begitu juga dalam hal-hal lain. Seboleh-olehnya.

"Ayah, Ibu sakit kaki ni..."

Tak layan. Diam lama. Mendengar suara indah berkumandang dari corong surau.

"Ayah... Buat tak dengar aja lah tu."

"Sabarlah..! Azan kan. Cuba diam!"

Tak pasal-pasal kena marah. Lain kali kalau azan kenalah hormat. Jawab azan. Baca doa lepas azan. Lepas tu baru boleh.

"Ayah, tolong capaikan minyak angin tu. Sakit perut arrr."

"Nah. Hai, dah melantak Burger pun sakit perut lagi."

"Kalau nak sakit perut. Tak kiralah makan apa sekalipun. Huh!"

Dia marah balik. Balik marah dia. Ini boleh mendatangkan marah! Api jangan disimbah lagi dengan minyak tanah tau petrol. Simbah dengan air wuduk. Sedang si kecil gelak riang dan mengajuk rancangan di kaca televisyen. Tiada Rahsia.

"Haha.. Bila Abang nak dapat Datuk ni? Datuk S. Bolah kita jadi Datin."

"Huh, gila pangkat jugak kau ni..." Sambil aku garu kepala yang sudah dipenuhi uban. Berkat doa semua nak sangat aku jadi Datuk. Tua dah. Tua sebelum usianya.

Tanam

"Eee.. Rajinnya bercucuk tanam. Besar dah pokok jagung ni."

"Pokok Jagung?" Bisik hati kecil.

Yang disangkanya anak pokok jagung itu, sebenarnya pokok kunyit. Sengaja aku tak mahu tegur. Biar dia anggap aku tanam pokok jagung di laman rumah. Biar dia belajar sendiri beza pokok jagung dan pokok kunyit. Mentang-mentanglah orang bandar. Kau tak kenal pokok kunyit.

"Ada lah... Beberapa batang ubi di belakang rumah. Tak sampai pun sebatas. Deretan tepi pagar je. Dah tinggi agaknya. Minggu lepas baru saja dikutip pucuknya. Merasa juga makan pucuk ubi. Kalau nak beli di bandar ni. Tak berbaloi. Jual pucuk yang tua-tua pulak tu. Ada lah sikit. Setakat cukup makan sekeluarga. Lebih baik tanam, kalau ada tanah."

"Bang, Lebih baik kita tanam yang boleh mendatangkan hasil dari tanam benda lain."

"Hesh... Bagilah berseri sikit laman ni. Tanam bunga ka. Palma ka. Kakus ka."

"Kalau tanam bunga Abang makan ye."

"Boleh apa! Emm.., bunga kantan. Tak pun kita tanam pokok bunga raya. Jangan tak tahu. Daunnya boleh sejukkan badan di kala demam. Lagipun itukan bunga kebangsaan negara kita yang tercinta."

"Esok Abang tolong belikan pasu. Tanah merah. Tanah gambut. Tanah pasir. Jangan lupa beli anak pokok limau kasturi."

"Kalau kita lapar, pasu dan tanah tu kita boleh masak. Boleh makan. Goreng pun sedap."

"Macam perli aje. Tak payahlah beli... Tak jadi. Lebih baik sedekah, Bang. Sedekah anak yatim. Tanam untuk akhirat."

14.8.06

Balas

"Anak tu kan rezeki kurniaan Tuhan. Syukurlah kalau dapat anak."

"Apa yang Tuhan bagi kita terima sajalah. Lelaki ke perempuan ke. Asalkan sihat. Semua itu ketentuan dariNya."

"Kita tak boleh tolak. Tak bersyukur namanya. Penduduk Malaysia kena tambah."

"Bila jumpa orang atau sahabat lama. Dia tak tanya lain. Tanya, berapa ramai dah anak? Dia tak tanya, berapa harta ada? Ada banyak duit? Dia akan tanya bilangan anak. Percayalah. Anak itu ada bahagian dan rezekinya."

"Lagipun tanah subur sekarang ni. Petani moden sedang senyum gembira."

Baru-baru ini kau mengadu badan sakit-sakit. Rasa macam lemah-lemah. Dulu-dulu, dua bulan masa lepas kita dah kahwin ada juga begitu. Aku kata itu pembawaan budak.

Kali ini, kau pelik. Kau minta macam-macam yang tak pernah kau minta. Kekadang aku nak marah pun ada. Sabar. Sabar. Aku kata barangkali itu pembawaan budak. Emm. Aku rasa aku dah penuhi semua hajat kau yang pelik tu.

Maka tiap malam aku jadi tukang urut. Nasib baik aku ada belajar sikit-sikit. Teknik-teknik mengurut. Macam mana nak jadi tukang urut disegani. Urutannya perlahan tapi menusuk. Membuang angin. Mujarab juga. Aku tak pernah mengeluh kan? Tapi tak adilkan kalau aku saja jadi tukang urut. Apa kata, kau pula yang mengurut badan ni.

Tak apa. Aku tak menyesal. Tak pernah. Sebaliknya kau kena berbangga dapat laki tukang urut amatur disegani. Aku pernah dengar, apa yang diberi pasti dapat kembali dengan setimpal.

Balik ke rumah Embah. Ada kerusi urut. Cap Osim.

"Duduklah. Hidupkan suis. Anda akan diurut sepuas-puasnya sebagai balasan urutan semalam. Terima kasih."

Kita ikuti apa kata pemandu yang menggunakan PRIMAX3

"Pssst.. Lu punya Menteli mau buat jambatan bengkok ka?"
"Iyalah.. Untuk lu juga ma."
"Kasi jual lu punya pasirlah, baru kitaolang setuju."
"Kalau tak mau, jual pasir?"
"Kitaolang tak bagi itu jambatan masuk. Sepaluh saja ma."
"Okey. Wa tak jadi buat itu jambatan bengkok. Wa tak mau jual pasir. Wa mau roboh itu Tambak Johor. Kalau mau masuk, guna Second Link arrr."
"Takpa. Ada loli, ada bas. Ada hali boleh balas?"

Ada segelintir Singa masih menyimpan dendam agaknya. Sedang Rimau banyak kompromi. Singa dan Rimau main politik. Ini maruah negara. Muktamad!

13.8.06

Angkat Tangan

"Mak dan bapak kau ni penat cari duit siang malam. Sanggup kau buat macam ni. Mencemarkan nama keuarga. Menconteng arang di muka. Ni balasan kau. Kau nak jadi anak derhaka erk. Siapa yang jar kau ni hah! Kau belajar dari mana. Kurang ajar punya budak!"

Pang!

Akhirnya tangan besar kasar itu singgah di pipi si anak. Pertama kalinya. Terpusing juga kepala dibuatnya. Sambil tangan kanannya mengusap di pipinya. Diam.

"Bila kau nak berubah hah. Sekarang dah tiba masanya untuk kau berubah. Balik lewat malam. Hah, kau mabuk lagi?"

"Mana ada mabuk. Cuba bapak tengok saya jalan. Hah, tengok! Kan lurus ni."

"Lurus kepala hotak kau berjambul"

Pang!

Sekali lagi tangan pantas itu hinggap ke muka yang penuh jerawat si anak. Tinggi suaranya. Bergegar otak. Kali ni rasa pening. Ada nampak bintang. Pandangannya yang sediakala kabur makin menjadi kabur. Samar dan kelam.

"Oooh. Baru sekarang bapak nak cakap. Baru sekarang bapak nak tegur. Dulu... Bapak bagi segala kemewahan ini. Bapak duduk diam aje buat bodoh. Bapak pernah ajak saya sembahyang. Tika dan waktunya saya pulang lewat malam, bapak buat dek aje. Bapak sibuk dengan urusan bisnes bapak. Bisnes konon. Bapak buat-buat tak nampak. Bapak, come on bapak. Huh, nasi sudah menjadi bubur bapak. Sudah terlambat. Ini bukan Sazali bapak. Ini bukan Ghazali. Ini Razali bin Hj. Razak bin Hj. Derus. Anak bapak. Anak bisnesman. Hua hua huah."

Si bapak tertunduk seketika. Perlahan terus menuju ke daun tingkap memerhatikan bintang. Kalau-kalau bintang itu ada yang jatuh. Boleh disumbatnya ke mulut si anak yang tak mengenang budi itu. Tangan digenggam dalam kocek baju Melayu putih yang dikenakannya malam itu. Ikut suka hati dia aje nak cakap apa. Terluka hati si bapak. Maklumlah orang tua. Sensitif dan rapuh.

"Bapak, dah bertahun-tahun Zali begini! Tapi bapak tak kisah pun. So, Zali ingat itu betul lah. Selama ini takde siapa yang tegur. Siapa yang bersalah dalam soalan ini bapak? Siapa? Untuk pengetahuan bapak, Zali sudahpun beristeri"

"Zali! Sampai hati kau.."

"Zali nak merambus dari rumah ini. Selamat tinggal bapak. Chow"

Si anak mengangkat tangan. Selapas itu. Sambil memberi tabik hormat.

"Zali! Aduh."

Bapak jatuh pengsan. Rebah di lantai. Lantai kemasan jubin buatan Malaysia.

"Bapak!"

Bergegas Zali mendapatkan orang tua itu. Jatuh pengsan tak semena-mena. Bapaknya diriba dipangkuannya. Nafas dan nadinya tidak bergerak lagi. Sudah ke alam lain.

"Angkat tangan! Jangan Bergerak. Kami polis."
___

Lawatan tapak:
Angkat tangan yang satu lagi
Angkat tangan yang dua lagi

11.8.06

Jihad

Solat Jumaat di Masjid Bukit Aman. Aku yakin masa tu memang khusyuq. Masalahnya, orang sebelah. Tipu, kalau tak nampak orang sebelah. Pasti nampak punya. Tengok gaya bukan orang tempatan. Barangkali dari Timur Tengah. Rakaat pertama, sedang imam baca fatihah dia membetulkan jam yang dipakainya beberapa kali. Sesekali membetulkan seluar jean yang dipakainya. Terlondeh agaknya. Rimas. Belum habis surah al-Fatihah. Dia dah amin dulu. Rakaat kedua, ada bacaan doa selepas rukuk selepas takbiratul ihram. Dia dah mahu sujud. Tengok orang sekeliling tak sujud. Dia naik semula. Huh... Kau buat lawak. Tapi, bukan itu yang aku mahu ceritakan. Imam membaca doa untuk masyarakat Islam di Lubnan. Keamanan bukan peperangan dan kacau-bilau. Di akhir bacaan imam bernada sedih dan sebak. Tersentuh. Aku. Tak tahulah makmum yang lain. Aku harap tersentuh.

Minggu lepas di Masjid Shah Alam, Imam membaca khutbah. Di akhir khutbah ada doa juga mengenai keamanan yang perlu dicapai di bumi Lubnan. Pertahankan negara dan masyarakat Islam di sana. Imam menangis. Imam sedih. Para makmum yang mendengar tertunduk diam. Ada yang insaf. Ada yang bertafakur. Ada yang juga sebak. Ada juga yang tunduk tertidur. Apa dah jadi dengan dunia. Mana PBB? Mana OIC? PBB dah jadi Persatuan Budak-budak Bisu. OIC hanya Oh I See.

Beberapa jam dari solat Jumaat. Terima SMS
"Bacalah surah al-fil dan mohonlah kehancuran zionis laknat di palestin"

Sedang aku baca surah yang disuruh. Datang lagi SMS
"SMS dari JAP Partners, KL. Assalamualaikum. 11 NGO sokong Lina Joy & IFC sudah kumpul 50000 petisyen. Saya merayu anda tandatangani petisyen menolak penubuhan IFC."

Beberapa minit kemudian terima lagi satu SMS
"Persatuan Melayu Kristian telah didaftar secara sah di Malaysia. Injil Bahasa Melayu telah dicetak dan diedar. IFC buat road show tuntut kebebasan tukar agama. Lina Joy di mahkamah persekutuan diadili dua hakim Kristian! Jika Lina Joy menang. Mahkamah Syariah hilang kuasa dan bebas untuk murtad. Umat Islam wajib bantah IFC!!! Minta sangat sebarkan kepada sahabat. Please tandatangani petisyen menlak IFC di http://www.myislamnetwork.net/. Sila sebarkan."

Duduk bertafakur seketika. Fikir dan doa. Apa dah jadi semua ni. Sedih sungguh. Kemudian datang lagi satu SMS. Aku panik. Banyak sungguh. Hangat isu ini.

"Assalamualaikum, mai turun Bota 26 Ogos 2006. Inilah masanya untuk melihat lelaki XSBP teruna terakhir tahun ini."

Huarrrgh. SMS ni dapat menggembirakan suasana. Menyedihkan geng syaitan yang direjam. Burung dan unggas berterbangan termasuk kelawar.

10.8.06

Projek Malaysiaku

Keadaan ekonomi tidak memberangsangkan. Ekonomi dunia pun begitu ekoran daripada tindakan Amerika. Harga minyak naik dan terus naik. Pasaran tak menentu. Pun begitu, Malaysia tetap merencanakan beberapa projek di bawah RMK9. Antaranya:

Projek Segitiga Emas Johor Selatan.
Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) membabitkan kawasan seluas 2,217 kilometer persegi dari Tambak Johor hingga Gelang Patah, serta turut meliputi Lapangan Terbang Senai dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.Termasuk pembinaan Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor (JSNAC), Kluster Logistik Perindustrian Johor Selatan, Bandar ‘Waterfront’, hab perubatan, ‘Educity’ dan resort destinasi antarabangsa.

Projek Koridor Timur (sebahagian).
Marina dan jeti penumpang di Mersing. Kegunaan ke kepulauan Johor termasuk Tioman. Bernilai RM 70 juta .

Projek jambatan kedua Pulau Pinang.
Jambatan bernilai RM2.7 bilion. Sepanjang 24 kilometer. Projek Monorel akan menghubungkan Georgetown ke Bayan Lepas di selatan dan Tanjung Tokong di utara bernilai 1.2 bilion. Projek kereta api laju berharga RM8 bilion di antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Projek dua penjara baru.
Masing-masing di Lahad Datu dan Labuan, Sabah. Tiada maklumat anggaran kos.

Projek peningkatan R&D
Bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh sektor bioteknologi. Peruntukan RM2 bilion. Hanya sektor bioteknologi.

Projek Bekalan Air Bersih Luar Bandar (RWS)
Lokasi di Sarawak. Peruntukan RM20 juta bagi membiayainya. Sudah diluluskan.

Projek 32 kilang biodiesel
Dengan jumlah pelaburan RM2.7 bilion. Antara lokasi terpilih di Pasir Gudang. Lain-lain lokasi tiada maklumat.
___

Ketika negara kita yang tercinta sedang rancak membincangkan dan mengagihkan projek-projek di bawah RMK9. Hebat juga projek-projek lain melobi di sana sini. Tak payah masuk tender. Tak perlu hantar kertas cadangan. Sediakan saja tapak. Huh, impaknya besar. Sungguh Besar. Tinjauan di satu akhbar saja. Belum akhbar tempatan yang lain. Antara projek yang dikenalpasti ialah seperti senarai berikut:

Projek khalwat dalam lori tangki. Nilai RM1,300

Projek khalwat awal pagi di pangsapuri. Nilai RM2,300

Projek paksa seks oral. Nilai RM8,800.

Projek kilang VCD haram. Nilai RM48,000.

Projek Jual Beli Diesel. Bernilai RM 125,000.


Banyak lagi projek-projek mega dan uncit yang lain. Sedang berlaku dengan rancak di negara kita yang kita cintai. Tanpa kita sedari. Pelaksananya manusia bertopengkan syaitan. Tapak-tapak projek ini tidak dirancang tapi ia tumbuh. Bagai tumbuh cendawan selepas hujan. Alahai Malaysia. Ramai lagikah orang keluar masuk mahkamah? Ramai lagikah yang beratur dapatkan nombor ekor? Ramai lagikah orang yang hisap dadah? Ramai lagikah peragut jalanan? Ramai lagikah orang bunuh orang?

9.8.06

Paklawan

Sampai sekarang anakanda masih terngiang-ngiang di ingatan. Ketika saat dan detiknya ayahanda menghayunkan tangan ayahanda bersama tali pinggang untuk melibas belikat anakanda. Kekadang anakanda ingin melawan kepahlawanan ayahanda tapi ternyata ketangkasan ayahanda lebih hebat dan tersusun. Ayahanda menepuk-nepuk dengan ganas punggung anakanda. Kalau dulu ayahanda bersama ibunda mendodoi dengan menepuk manja punggungku tapi kali ini ayahanda menepuk meninggalkan bekas. Ayahanda juga sering mengherdik dan mengeluarkan kata-kata yang garang macam sang singa si raja rimba. Lebih garang dari itu. Lebih-lebih lagi jika ayahanda dah hilang sabar. Jika ayahanda dah hilang kawalan diri. Ya, seingat anakanda juga ayahanda pernah menghayunkan adinda kandungku dari ruang tamu hingga ke dapur kerana dia merengek. Rengekan adinda dan karenahnya membuatkan ayahanda hilang sabar. Ayahanda juga pernah memukul kedua-dua adinda kandungku yang bergaduh semasa mengaji kerana berebut lidi mengaji. Ayahanda pernah memecahkan telur di kepala adinda yang membuatkan ayahanda marah. Sesempat ayahanda capai saja apa yang ada berhampiran dengan ayahanda. Kalau ada tali, maka talilah dijadikan bahan perantara. Pernah juga ayahanda menghambat anakanda dengan kayu dan parang. Ayahanda melibas anakanda dengan raket badminton cap pro-Kennex. Ya, anakanda masih ingat.

Kini anakanda sedar. Ayahanda adalah hero bagi adinda sekalian. Ayahanda membentuk dan mendidik adinda sekalian supaya menjadi orang. Kini, kesemua anakandamu termasuk anakanda sendiri dah jadi orang agaknya. Tak jadi sampah masyarakat. Tak jadi tengkorak hidup hisap dadah. Alhamdulillah, semua berjaya memasuki IPT dan keluar mendapat kerja harapnya. Terima kasih ayahanda tercinta. Tidak terbalas. Ayahanda seorang pahlawan ketika muda. Kerana apa? Kerana ayahanda ada memegang parang. Tangan ayahanda ibarat senapang dan pistol, kekadang tombak bagi adinda sekalian. Ayahanda memang gagah perkasa dan tegas orangnya. Anakanda menghormati ayahanda. Tak semestinya ayahanda kena masuk askar baru digelar pahlawan. Kriteria pahlawan sudah ada dalam diri ayahanda. Kini, ayahanda dah pencen. Tak pegang parang, pistol, senapang dan seumpamanya. Hilang taring. Tapi kuku ayahanda masih tajam. Sesekali mencakar pasti terguris. Kalau berpencak terasa anginnya. Tahniah untuk ayahanda kerana mendapat ibunda yang penyabar. Masih belum terlambat anakanda mengucapakan selamat menyambut Hari Pahlawan.

7.8.06

Kek sedap

Hari Ahad lepas jam 2 petang di kedai kek nyonya.

"Haiya... nasib baik lu latang cepat ooo." Nyonya.

"Apasal?" Aku.

"Wa sulah mau tutup wo. Ali minggu tutup awal ma." Nyonya.

"Saya mahu tempah itu kek arrr." Aku.

"Berapa haribulan mau pakai?" Nyonya. Sambil buka kalendar nak menghulurkan gambar sample kek.

"20 haribulan. Tengahari I datang amik." Aku.

"Mana satu U order?" Nyonya.

Kami bincang seketika. Semua bersetuju dengan kek warna biru tu bebentuk hati. Nampak menarik. Harganya pun berpatutan.

"Wa order ini." Aku sambil menunjukkan gambar kek tersebut lalu nyonya tu membuka resit.

"Wa, ini kek semalam ada olang order lima wo.. Dia kata cantik."Nyonya cuba provok

"Ye lah..Saya mau satu saja" Awek aku jawab selamba.

"Itu dalam mau pelisa coklat, luar kaler bilu, bentuk love, 2 Kg." Nyonya tanda dalam resit.

"Lu tulis sini. Apa mau tulis? Wa tak tau ooo". Nyonya menyeruh awek aku.

Awek aku pun tulis. sambil menyindir Nyonya tu tak tau tulis pandai berniaga.

"Kasi itu henpon" Nyonya.

"Hah!" Awek aku bingung. Aku tau nyonya itu minta nombor henpon.

Awek aku bagi nombor. Aku jawab "Bukanlah. Bagi itu henpon". Nyonya tersengih. Aku dikata jahat.

"Deposit berapa?" Nyonya sambil bersedia untuk menulis.

"Itu harga RM60 kan. Saya bagi 60 sen boleh deposit." Aku sambil mengeluarkan syiling di kocek. Nyonya geram.

Awek aku hulur RM30.
__
Nota: Nanti saya belikan awak kek harijadi pada 19 Ogos 2006 sempena harijadi awak. Awak nak kek Secret Recipe kan?

4.8.06

Oh Merdeka

Ya, bulan Ogos. Bulan Kemerdekaan. Bulan Bersejarah bagi negara kita. Berapa ramai yang sedar tentang ini? Berapa ramai yang tahu sudah berapa tahun negara kita merdeka? Apa yang kamu faham tentang makna kemerdekaan?

Malam satu haribulan Ogos. Saluran Inforia Anda membuka tirai bulan Ogos dengan Konsert Mega Merdeka. Nyanyi-nyanyi, joget-joget, baca puisi, sketsa pendek, lawak jenaka dan seumpamanya. Bagus. Bagus. Habis konsert, semua artis mengibarkan bendera negara termasuk penonton di audotorium. Kibar bendera masing-masing. Pentingkah sambutan begini untuk sambut merdeka? Inikah pengisian dan erti kemerdekaan? Aku tanya, aku tak nak jawab. Bulan merdeka ini juga banyak yang mengambil kesempatan. Terima panggilan telefon.

"Hello. Assalamualaikum Encik."

"Kami ada buat promosi sempena bulan merdeka. Edisi terhad."

"Ok. Tak apalah. Saya belum berhajat mahu tukar kereta."

"Bulan merdeka Encik. Encik kena rebut peluang ni."

"Kenapa? Tahun depan takde bulan merdeka. Setakat ni tidak. Saya mahu tukar satu je."

"Apadia?"

"Saya mahu tukarkan minda generasi anak muda kita bulan tentang pengisian KEMERDEKAAN. Bukan setakat mengadakan konsert, konvoi motor atau kereta, ronggeng sana-sini, kibar bendera, malam gala, mmmmphh bla... bla... bla..."

"Terima kasih Encik", lalu meletakkan gagang telefon.

Moral: Jangan telefon sambil buat promosi dalam bulan kemerdekaan.

Bukan Telur Biasa

Perakam masa

Bukan seperti makan malam semalamnya. Kali ini kami tiga beranak menjamu nasi putih, telur dadar dan sup sayur untuk makan malam. Dihidangkan masih panas dan hangat belaka. Lebih-lebih lagi berlatar belakangkan keadaan selepas hujan. Disulami ruang kesejukan. Bernafsu betul. Boleh naik selera.

Semalam, kami makan nasi putih, telur mata lembu, ikan charu bakar dan bayam masak bening. Licin lincau untuk semalam dan hari ini. Sedap hati tukang masak dan tukang makan. Senang nak basuh pinggan mangkuk. Walaupun menu tak seberapa hebat. Kesedapannya luar biasa hebat sehingga menjilat jari.

"Nasi di periuk ada lagi tu. Habiskanlah." Kata awek aku selaku tukang masak

"Mmmmphh. Boleh juga." Jawab aku selaku tukang makan.

"Habiskan semua tu. Takde siapa nak makan lagi lepas ni. Membazir nanti." Sambung awek aku lagi

Perbualan kami diselang-selikan oleh percakapan si kecil manja yang baru mula nak belajar bercakap. Tak berapa pandai lagi nak memasak. Tapi sah pandai menumbuk bawang.

"Telur ada lagi?" Aku sambung pertanyaan pada awek

"Ada. Nak ke?" Balas awek aku dengan mengembalikan pertanyaan.

Aku angguk tanpa bicara.

"Telur pindang adalah. Dua biji. Melekat. Tak boleh pecah." Awek aku jawab selamba tunduk tersipu.

Aku senyum. Si kecil senyum. Berpandangan. Huah... hua hua huahh... Kami gelak tidak terlalu besar. Kau berdua hiburkan hatiku sayang.
_
Malam semalam kami sekeluarga makan bersama. Nasi putih, kicap soya, ikan kembung goreng, pecal dan air sirap limau. Cukup. Rezeki hari ini. Sekian terima kasih.



Nota kaki: Aku suka telur pindang yang ada di kenduri majlis perkahwinan.

2.8.06

Bukan Kupinta (part IV)

Kesebelasan pemain diturunkan

V. Soondramoorthy
Adi Huzaimi
Akmal Hakim
Saifuddin
Mohd. Amzari
Armanizan
Saiful Amri
Mohd. Edham
Mohd. Rizal.
Syamsul Nizam
Jamaluddin

Cukup kental. Dah cukup untuk membuktikan kepada pasukan sekolah kami memang ini barisan yang bisa menggegarkan dan mengganggu-gugat pertahanan lawan. Bisa merempuh dan menerobos gawang gol pihak lawan. Boleh. Aku yakin. Kita boleh. Kau pasti dapat agak jalan cerita ni. Betul tak? Mari kita saksikan. Agakan kau tepat atau tidak.

Diringkaskan cerita, perlawanan pertama kami berakhir dengan keputusan seri 0-0. Sengit juga pada mulanya. Tapi berkesudahan tanpa jaringan. Ada peluang, tak berjaya. Tiada penyudah. Mungkin belum mendapat rentak. Uhuhh. Mungkin komunikasi pasukan masih belum terbina. Mungkin. Selaku ketua pasukan aku berjaya juga memporak-perandakan pertahanan lawan. Kelam-kabut juga dibuatnya. Cikgu Rahman di luar pandang memberi tunjuk ajar dan penuh bersemangat bersorak. Cikgu Rahman memang bergantung harapan untuk bawa sekolah ini pergi jauh. Jauh ke bulan. Tinggi ke angkasa. Menggapai bintang di langit. Jauh. Hilangkan tanggapan cikgu-cikgu lain yang dok mengata tidak berasas. Cikgu Rahman ingin buktikan sesuatu. Ingin membuktikan anak buahnya boleh membuat kejutan.

Keesokan harinya. Di peringkat kumpulan kami memenangi perlawanan dengan jaringan 2-0. Ya, aku masih ingat sebab satu gol aku jaringkan dengan pukulan deras dalam kawasan D. Cikgu Rahman memuji pencapaian dan prestasi kami dengan bangganya. Cikgu Rahman memesan jika masuk saja kawasan D jangan ada belas ihsan. Bantai aje ke arah gol. Jangan peduli apa. Jangan banyak bicara. Pukul sekuat mana yang boleh. Cari ruang. Buka permainan. Buka! Buka! Itulah jeritan yang terngiang-ngiang sampai sekarang. Buka sekarang lain pula dah maksudnya. Prestasi kami di luar jangkaan. Selesai perlawanan, aku pulang ke rumah dengan berita gembira. Beritahu mak pasukan kami dah menang satu perlawanan. Esok ada lagi perlawanan. Lusa pun ada lagi. Tulat pun ada. Tonggeng pun ada. Itupun kalau pasukan sekolah kami layak. InsyaAllah. Mak senyum berkongsi berita gembira itu. Harapnya mak sampaikan pada ayah.

Akhirnya, pasukan kami berjaya mara ke peringkat seterusnya. Ke peringkat yang tidak pernah diduga selama ini. Aku ucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang memberikan kerjasama dalam kerja sepasukan. Aku bangga. Walaupun aku bukan penjaring terbanyak namun aku pencetus kepada jaringan. Hantaran silang dan gelecekan yang merbahaya membuahkan kesudahan dengan pukulan dan tolakan yang deras dari rakan. Sering kali berdentum gol pihak lawan. Penjaga gol kami boleh dikatakan tidak banyak kerja dan tidak banyak berlari. Untung dia. Tidak sia-sialah kalau aku ponteng sekolah agama sekalipun kerana ia membawa kejayaan yang besar kepada pasukan sekolah.

Ada kurang sehari sebelum perlawanan akhir bermula. Petang itu aku pulang keletihan. Tidur awal. Esok pagi perlu bertolak semula ke padang yang sama untuk menhadapi musuh dan juara bertahan selama ini. Budaknya memang berlagak. Aku rasalah diorang berlagak. Gaya jalan berkepak. Selisih bahu ditambahnya lagi dengan tolakan. Melemparkan kata-kata yang cukup pedas. Panas kalau telinga dengar. Boleh terbakar. Tak cukup dengan itu, mereka guna perang psikologi memperlekehkan pasukan sekolah kami. Perghh... Memang tajam menikam. Bisa berbisa.

bersambung...

Mat Saman

"Kau ader pakai kereta bapak kan sekian sekian haribulan". Bapak

"Kenapa?" Aku

"Ada surat saman sampai. Kena kat Jalan Skudai. Mmmp, kau bawak berapa laju?". Bapak

"Eh, tak lajulah. Cuma 80km/jam. Potong Honda dan Suzuki je.." Aku

"Situ kena slow. 60km/jam" Bapak

"Ye ke... Masa drive, nampak signboard tulis 80km/jam. Bila JKR tukar?" Aku

"Bapak dah kena dah area tuh. Ada pengalaman". Bapak

"Bapak bayarkan dulu boleh. Kan bapak dah ada pengalaman kena dan bayar?" Aku

Bapak diam seketika mengenangkan anaknya tak mahu mengaku kena saman akibat mengguna keretanya yang baru dibeli. Geram agaknya dihati bapak. Anak sapolah ni..? Hehehe. nanti sayar bayarlah Pak.
___
Si anak dah ada kereta sendiri. Tak pinjam lagi kereta bapaknya.

"Assalamualaikum. Tadi bapak call. Ada surat saman. Kena kat Segamat. Ahaks" SMS dari aweks aku

"Kena lagi. Mana ada aku lalu Segamat". Aku dalam hati.

"Nak kena encik Polis ni... Salah kereta ni. Mungkin? Aku kata juga dalam hati.


Cuba lagi mahu berdalih dan mengelakkan diri dari di saman. Seingat aku cuma ada satu saman di Bandaraya Melaka. Tak bayar parking. Kena masuk mahkamah susah pulak nanti. Senang betul saman orang. Boleh dapat dua juta ke?

Lawatan tapak tangan:
Semak dan bayar saman

1.8.06

Pantau blog sendiri

Blog internet perlu dikawal
Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail

KANGAR: Kewujudan media internet termasuk blog yang semakin berleluasa dan ditulis secara liar boleh menjejaskan kestabilan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.Sehubungan itu, Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin, berkata kawalan perlu dikenakan terhadap penyiaran laporan dalam media internet itu termasuk di penulis blog supaya mereka lebih bertanggungjawab walaupun diberi kebebasan."Kita bukan mahu menyekat kebebasan mereka menulis dan menyatakan pandangan. Tetapi apa yang berlaku adalah kadang-kala laporan yang ditulis berasaskan khabar angin dan membuat tuduhan liar," katanya selepas menghadiri majlis Seiring Melangkah Bersama sempena sambutan 60 tahun agensi agensi di bawah Kementerian Penerangan Malaysia di Dewan Warisan, malam kelmarin.Hadir sama pada majlis itu Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.Zainudin berkata, sesetengah media internet dan blog menyiarkan laporan sensitif sehingga boleh menjejaskan perpaduan rakyat di negara ini terutamanya yang membabitkan isu agama Islam dan juga hak istimewa orang Melayu.Katanya, kerajaan tidak mahu meniru tindakan Singapura mengenakan hukuman penjara terhadap dua remaja yang menulis mengenai isu perkauman dalam blog mereka.Zainudin berkata, beliau menyokong pandangan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow berhubung kawalan yang perlu dikenakan terhadap media internet kerana ia dapat menjamin keselamatan negara.Katanya, kerajaan juga tidak menghalang penulis blog atau media internet daripada menyatakan pandangan mereka sekiranya ditulis dengan baik dan beretika.

Ada tulisan jejas perpaduan rakyat: Zainudin
Sumber : Berita Harian (1 Ogos 2006)


------------------------------------------------

Respon: Banyak benda baik yang kalian boleh tulis. Tapi ikut suka kalian nak tulis apa. Betul?


Bila keluar kenyataan akhbar begitu. Maka kena sahut. Tulislah yang bisa mendatangkan pahala bagi kita semua. Tapi tak semestinya tentang agama. Apa saja tentang kebaikan. Tentang sesuatu yang disukai. Tulisan yang sejagat. Banyak lagi cabang bidangnya. Chup! Aku pilih untuk mengulas program Realiti Akademi al-Quran (AQ) Akhir di TV9 yang berakhir pada 27 Julai 2006.
Buat julung kalinya program realiti Akademi Al-Quran (AQ) disiarkan melalui TV9. Bersiaran selama 10 minggu. Akhirnya 6 peserta dipilih juri profesional untuk beraksi di peringkat akhir bagi merebut gelaran qari dan qariah AQ yang pertama di samping menggondol hadiah utama wang tunai RM30,000. Boleh tahan hadiah tu.

Seramai 5,000 orang ramai yang ingin menyaksikan pertandingan akhir AQ yang diadakan di Auditorium MBSA, Selangor. Disebabkan ruang yang terhad, penganjur hanya mampu memenuhi permintaan 1,200 hadirin selain menambah 200 lagi kerusi di luar dewan bagi mereka menyaksikan siaran langsung melalui skrin televisyen. Tak diduga. AQ berjaya memikat kira-kira 800,000 penonton untuk menyaksikan program yang disiarkan pada hari Khamis setiap minggu. Dianggarkan kira-kira mencecah sejuta penonton rating program AQ. Aku tak berkesempatan ke lokasi siaran. Hanya menonton melalui kaca TV di rumah. Puas. Tapi terlepas satu peserta untuk dengar bacaannya.

Enam finalis yang memperdengarkan bacaannya adalah Mohd Shukri Ali (24), Anuar Hasin (22), Azraie Abduk Hak (25), Amirahman Abas (24), Abdullah Fahmi (18) bersama peserta wanita tunggal, Sharifah Khasif Fadzillah (24) mempersembahkan bacaan mereka di peringkat akhir disiarkan secara langsung melalui TV9 dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam. Abdullah Fahmi peserta termuda. Sebelum membuat bacaan peserta dikehendaki mencabut undi untuk dapat soalan nombor berapa. Maknanya semua peserta perlu menguasai semuanya.

Semua peserta disoal dan dikehendaki membaca ayat yang dipilihnya melalui cabutan. Peserta pertama aku terlepas. Peserta kedua membaca surah Asy-Syu'ara (bermula ayat 175). Peserta kedua membaca surah Yusof (bermula ayat 104). Peserta ketiga surah An Na'am (bermula ayat 155). Peserta kelima surah Al-Qasas (bermula ayat 60) dan peserta akhir iaitu Abdullah Fahmi membaca surah Yusof (bermula ayat 53).


Program AQ telah berjaya membuktikan masyarakat negara ini, terutama golongan muda memang berminat mempelajari serta mendalami ilmu membaca al-Quran dengan betul dan berlagu. Percubaan TV9 memperkenalkan program realiti televisyen berbentuk keagamaan berjaya memenuhi matlamat mendekatkan golongan remaja kepada al-Quran dalam usaha melahirkan lebih ramai qari dan qariah yang mampu membaca al-Quran dengan baik. Syabas dan tahniah.

Program AQ sebanyak 14 episod bermula 27 April 2006, menampilkan paparan menarik bermula dengan sesi pencarian peserta di seluruh negara yang memperlihatkan 87 peserta disenarai pendek sehingga peringkat penyingkiran untuk mencari juara. Proses pemilihan dijalankan dengan penuh teliti merangkumi aspek pembacaan dan perwatakan qari atau qariah itu bagi memastikan pemilihan juara AQ iaitu individu yang mempunyai kredibiliti serta berakhlak mulia. Pelajar-pelajar yang terpilih menjalani pengajian mereka di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor di bawah bimbingan tenaga pengajar yang mahir dalam bidang bacaan al-Quran. Penghakiman program AQ tertumpu kepada tiga aspek iaitu tajwid (40 peratus), qiraat dan fasahah (30 peratus) serta suara dan lagu (30 peratus).

Untuk musim kedua AQ dan akan datang, diharapakan satu usahasama perlu dijalankan dengan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan juga jabatan agama peringkat negeri bagi mencungkil lebih ramai bakat baru. Biar lebih menyeluruh ke serata kawasan. Teruskan usaha murni ini. Adakah AQ pesaing AF? Adakah AQ legih popular dari AF? Program ini dikatakan diadaptasikan daripada konsep AF yang kini dah masuk musim ke empat.

Sebelum majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang, para penonton dihiburkan dengan dua buah lagu berjudul Kalamullah dan Iktiraf yang disampaikan oleh Munif daripada kumpulan Hijjaz, Izzat (Mirwana) serta Salleh dan Faiz (Brothers). Kemampuan peserta AQ diadili juri, Radzi Kamarul Hailan selaku juri taranum dan lagu, Nazri Abdullah (qiraat) dan Zamri Mohd Zainuldin (tajwid). Penghakiman tertumpu kepada tiga aspek iaitu tajwid (40 peratus), qiraat dan fasahah (30 peratus) serta suara dan lagu (30 peratus).

Akhirnya, peserta dari negeri Kelantan iaitu Abdullah Fahmi menerima hadiah wang tunai RM30,000, pakej umrah, rehal, dan sijil AQ. Tempat kedua, dimenangi Amirahman Abas dan ketiga, Azraei Abdul Hak. Naib juara menerima hadiah wang tunai RM20,000 dan tempat ketiga, RM10,000 selain masing-masing menerima pakej umrah, rehal dan sijil AQ. Hadiah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin. Turut hadir, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Abdul Razak; Ketua Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Farid Ridzuan; Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Eksekutif, Media Prima, Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda