21.8.06

Rombongan

Setelah pusing keliling. Naik-turun. Belok-belok. Jalan mati. Sampai juga. Rombongan dijemput masuk. Paluan kompang bayangkan sendiri. Tiada pantun. Masing-masing menunggu hendak mula bagaimana. Akhirnya...Lebih kurang begini.

Wakil L
Assalamualaikum w.b.t Yang Dihormati wakil tuan rumah. Taun Haji. Bapak-bapak dan sekalian yang hadir. Saya datang mewakili rombongan pihak laki-laki. Menyambung cerita minggu lepas. Kali ini datang bertujuan untuk meminang. Menghantar tunangan. Saya, bukannya jurucakap yang fasih atau pemidato. Hanyalah orang biasa aje. Kerja-kerja sebegini rupa saya jarang lakukan. Maklum sajalah. Kalau ada apa-apa kesilapan harap dimaafkan. Jadi, rombongan kami datang dengan membawa barang-barang hantarannya untuk meminang anak perempuan yang dirisik minggu lepas. Mmmph... Yang itu bapak dia (sambil menunjuk dengan jari), yang ini Datuk dia (sambil menunjuk dengan jari) Untuk itu, kami ingin menyerahkan cincin ini kepada wakil tuan rumah. Ya,

Wakil P
Alhamdulillah. Syukur kita kehadrat Allah S.W.T. Dengan limpah kurniaNya kita dapat sama-sama berkumpul di dalam satu majlis yang dipanggil majlis menghantar pinangan. Atau tunangan. Satu perkara yang baik. Niat yang baik. Saya sebagai wakil abang saya, ingin mengambil kesempatan di sini mengalu-alukan kedatangan tuan-puan sekalian. Jadi, kata orang Jawa tunangan atau pinangan. Begini ya. Kalau dah nama pinangan ini, saya mahu lihat dulu sirih pinangnya terlebih dahulu

(sambil menolak cincin ke tepi). Sirih junjung di hulur.

Walaupun sekarang zaman moden, adat ini kita tak boleh lupa ya. Mesti ada sirih, pinang, kapur. Pendek kata, perlu lengkaplah. Namun begitu tak perlulah saya tengok satu-persatu. Cukup sekadar syaratnya saja. Saya pun bukan berhajat mahu mengikat sangat. Tapi, berdasarkan pengalaman saya kerana saya pernah kena. Tak jauh. Di Sungai Besar pinangan ditolak kerana tiada sirih jujung. Baiklah, dipendekkan, benda baik ni saya harus sambut dengan baiklah ya. Kalau dah ada sirih pinangannya, sudah tentu ada tanda pinangan itu ya. Biasanya cincinlah ya.

Maka dihulur cincinnya.

Jadi, tentang cincin ini saya tidaklah berapa arif sangat. Adakah ini cincin merisik atau bertunang?

Wakil L
Mmm... Cincin merisik sudah diberi sebelum ini. Ini adalah cincin bertunang.

Wakil P
Jadi, perkara ini saya menyerahkan kepada orang perempuanlah untuk disarungkan kepada bakal perempuan. Macamana Tok, asli ke tiruan ni? (Nada gurau). Seeloknya, bakal mak mertua menyarungkan cincin ya.

Upacara menyarung cincin berlaku di bilik perempuan. Gedebak-gedebuk.

Wakil P
Baiklah, harapnya acara menyarung cincin sudah pun selesai. Jadi saya tiada apa-apa halangan dalam hal ini. Cuma kalau ada apa-apa ulasa dari wakil laki-laki silakan.

Wakil L
Jadi, sebenarnya tadi saya terlupa ingin bertanya. Persetujuan kita mengenai wang hantarannya. Berapa ya?

Wakil P
Oh ya, terlupa saya. Dalam hal ini kami sekeluarga sudah berbincang dan membuat keputusan. Kami tidaklah berniat untuk urus niaga anak dalam hal ini tapi kita kena akur. Lebih-lebih lagi zaman sekarang ni. Maklum sajalah. Jadi, kami dan tuan punya badan sudah menetapkan RM6,660.60 (Harus disebut RM 6,666.66).

Wakil L
Adakah wang hantaran ini diberi semasa hari pernikahannya atau bagaimana?

Wakil P
Jadi, untuk wang hantaran ini, kami sekeluarga telah bersepakat. Maklumlah abang saya pun dah pencen. Pendapatan pun harap duit pencennya saja. Kami kalau boleh wang itu diberi sebelum majlis pernikahan atau persandingan dilakukan. Kerana apa? Kerana maklumlah persiapan dan perancangan awal perlu dilakukan untuk membina masjid ni.

Wakil L
Kalau begitu, kami tiada sebarang halangan dan bersetuju. Boleh ya paknya? (bertanya kepada bapak pengantin laki-laki). Mengenai tarikhnya pula bagaimana? Adakah setahun lagi. Dua tahun. Atau dua bulan dari sekarang?

Wakil P
Mmm. Tarikh yang kami cadangkan kalau boleh jangan tahun ini. Kerana bulan dua belas kamia da majlis pekahwinan adik saya. Kalau nak dibuat bersekali dikhuatiri terlalu kelam-kabut. Jadi, kami rasa sesuai diadakan pada pertengahan tahun depan. Tahun 2007. Sekitar bulan Jun. Tapi, dalam hal ini kita boleh berbincang. Kita boleh berunding lagi selepas ini. Namun begitu, kami rasakan pertengahan tahun 2007 adalah masa yang sesuai.

Wakil L
Kami rasa tiada masalah dalam hal ini. Jika ada sebarang masalah kami akan hubungi pihak sini. Maknanya ikatan pertunangan ini terikat lebih kurang setahun. Boleh adjust la ya. (setahun hidupla maknanya)

Wakil P
Jadi, kalau tiada apa masalah saya menjemput tuan imam untuk membacakan doa dan kemudian kita ada sedikti hidangan untuk rombongan di luar sana.

Selesai membaca doa, semua rombongan menjamu selera. Manakala hantaran dibalas oleh pihak perempuan. Pergi lima dulang bawa balik tujuh belas dulang. Tiga kali ganda ni. Pokoknya ikhlas.

4 comments:

Anonymous said...

sape yg bertunang ni? huhuhuhu..bukan ko kan...hehe :p

Rie said...

tahniah kat ko. tak jemputtt ponng

Unknown said...

attoch ke?? bukan ke dah kahwin?? jadi wakil je kot.. :) betul ke ni??

Anonymous said...

Bukan. Bukan Aku. Aku belum mahu berpoligami. Tak Lain Tak Bukan, adik ipar aku. Kekekeke.