9.8.06

Paklawan

Sampai sekarang anakanda masih terngiang-ngiang di ingatan. Ketika saat dan detiknya ayahanda menghayunkan tangan ayahanda bersama tali pinggang untuk melibas belikat anakanda. Kekadang anakanda ingin melawan kepahlawanan ayahanda tapi ternyata ketangkasan ayahanda lebih hebat dan tersusun. Ayahanda menepuk-nepuk dengan ganas punggung anakanda. Kalau dulu ayahanda bersama ibunda mendodoi dengan menepuk manja punggungku tapi kali ini ayahanda menepuk meninggalkan bekas. Ayahanda juga sering mengherdik dan mengeluarkan kata-kata yang garang macam sang singa si raja rimba. Lebih garang dari itu. Lebih-lebih lagi jika ayahanda dah hilang sabar. Jika ayahanda dah hilang kawalan diri. Ya, seingat anakanda juga ayahanda pernah menghayunkan adinda kandungku dari ruang tamu hingga ke dapur kerana dia merengek. Rengekan adinda dan karenahnya membuatkan ayahanda hilang sabar. Ayahanda juga pernah memukul kedua-dua adinda kandungku yang bergaduh semasa mengaji kerana berebut lidi mengaji. Ayahanda pernah memecahkan telur di kepala adinda yang membuatkan ayahanda marah. Sesempat ayahanda capai saja apa yang ada berhampiran dengan ayahanda. Kalau ada tali, maka talilah dijadikan bahan perantara. Pernah juga ayahanda menghambat anakanda dengan kayu dan parang. Ayahanda melibas anakanda dengan raket badminton cap pro-Kennex. Ya, anakanda masih ingat.

Kini anakanda sedar. Ayahanda adalah hero bagi adinda sekalian. Ayahanda membentuk dan mendidik adinda sekalian supaya menjadi orang. Kini, kesemua anakandamu termasuk anakanda sendiri dah jadi orang agaknya. Tak jadi sampah masyarakat. Tak jadi tengkorak hidup hisap dadah. Alhamdulillah, semua berjaya memasuki IPT dan keluar mendapat kerja harapnya. Terima kasih ayahanda tercinta. Tidak terbalas. Ayahanda seorang pahlawan ketika muda. Kerana apa? Kerana ayahanda ada memegang parang. Tangan ayahanda ibarat senapang dan pistol, kekadang tombak bagi adinda sekalian. Ayahanda memang gagah perkasa dan tegas orangnya. Anakanda menghormati ayahanda. Tak semestinya ayahanda kena masuk askar baru digelar pahlawan. Kriteria pahlawan sudah ada dalam diri ayahanda. Kini, ayahanda dah pencen. Tak pegang parang, pistol, senapang dan seumpamanya. Hilang taring. Tapi kuku ayahanda masih tajam. Sesekali mencakar pasti terguris. Kalau berpencak terasa anginnya. Tahniah untuk ayahanda kerana mendapat ibunda yang penyabar. Masih belum terlambat anakanda mengucapakan selamat menyambut Hari Pahlawan.