28.4.10

Walaupun pahit gua telan jua

Satu hari. Gua mengalami cirit-birit yang sungguh kritikal. Ironinya, gua lemah seluruh badan akibat air keluar yang terlalu banyak. Segala sendi-sendi seluruh tubuh gua jadi lemah. Masa-masa ni lah baru nak ingat Allah. Nak makan nasi pun tak ada selera. Apatah lagi makan laksa yang orang belanja. Jauh sekali makan ayam goreng yang awek sendiri belanja. Lebih malang kawan yang kita suka tak belanja langsung! Alahai...

Di rumah, gua keluar masuk tandas lebih dari sablas kali. Lubang burit pun rasa macam nak koyak. Akibat daripada menelan ubat akar kayu yang dibeli dari thobib Cina. Sangat pahit rasanya. Pahit bukan saja terasa di lidah. Malah menyelinap masuk ke esofagus melalui anak tekak dan terus masuk ke usus. Tak cukup dengan itu terasa juga ia melekat di bibir. Lebih pahit lagi kalau dah menyentuh pankreas. Walaupun pahit gua telan jua.

Biskut tak boleh makan maaaaaaaaa... Goreng-goreng tak boleh makan maaaaaaa... Air manis tak boleh maaaaaa... Ayam tak boleh makan maaaaa... Makan bubur aje maaa... Kena banyak makan sayur. Thobib tu kata. Lu ada lase sakit-sakit punya kan. Itu mau demam la. Tak ade selela makan ma... Rasa mau baling saje kan. Malas kilija punya kan... Lu lase mau tidur aje kan...

Aik, camne thobib ni tau simptom-simptom gua. Oh ya, dia dah baca ayat gua di perenggan pertama. Ini ubat 3 jam sekali mesti mau minum. Tada excuse punya! Ok, ok..., gua kata. Pukul 8 malam gua balun. Pukul 12 gua balun. Sebagaimana ikut jada Lepas tu gua tidur, nak bangkit pukul 4 pagi bagi menunaikan solat sunat tak terdaya. Sudahnya gua bangkit jam 6 pagi.

Sampai di pejabat. Semua yang gua tengok jadi pahit. Kemudian, macam selalu-selalu gua periksa bilik server. Dah jadi kerja rutin gua. Ada mamat sound gua. Tok, afsal server asyik mati je... Gua diam. Tak boleh dok diam, kena atasi ni. Asyik berlaku je beberapa hari ni.. Gua diam. Gua kemam. Gua telan air liur sendiri. Walaupun pahit gua telan jua...


.

23.4.10

Permainan tiga : Trick

Di kem.

Hello! Oit, ko kat mana?

Dah sampai bro. Kitorang tengah makan. Sedap giler ni...

Sape suruh ko makan?!!

Aikk.. Tadi suh makan.. Buat trick ke hape ni..?? Damn!

Lapor diri dulu, baru makan!! Tak baca arahan ke??

Abis. Dah makan. nak wat camne...

Ok, lepas makan ko lapor sini. Kalau lambat kumpulan lain sampai dulu. Ko dikira kalah!

Alamak! Itu macam ka?

.
Di pejabat.

Oit, ko buat mende?

Takde mende...

Gua rasa, kerja gua ni kena trickle down bagi kat kau la.

Amende tu..??

Entah.


.

20.4.10

Permainan dua : Tagline

Kumpulan dibentuk. Semua diminta berbincang untuk mempersembahkan nama kumpulan beserta sorakan masing-masing, memperkenalkan diri dengan stylo dan tagline serta menggayakan tiga nilai kumpulan yang difikirkan sesuai untuk digalas kumpulan.

Kami...

Kumpulaaaaannnnn Dinamika..... Hak ptui!

Memperkenalkan ahli kumpulan kami. Saya Mustapa. Hai hai hai,,,
Saya, Jon. Tebabo!

Tiga nilai kumpulan kami adalaaaaaahhhhh...

Kerjasamaaaaaaa (gedebak gedebuk gedebush kami buat formasi)

Yakin diriiiiiii! (gedebak gedebuk gedebush kami buat formasi)

Unggul! (gedebak gedebuk gedebush kami buat formasi)



.
Kami balik pejabat. Bunyi lif berbunyi. Kami berlari terus menuju lif. Mendapatkan pelanggan.

Ya encik boleh saya bantu?
Errmm, sebetulnya saya mahu ke Jabatan Perangkaan.
Owh, Ok. Encik boleh pergi tingkat atas lagi. Encik tersilap. Terima kasih.

(dalam lif mereka bercerita, uish, bagusnya jabatan itu, baru sampai lif dia dah tanya kita...)
Itu baru penjaga kaunter. Belum lagi Pengarah dia... Tentu hebat! Wow!

.

19.4.10

Surat kepada tribunal


Pada tanggal 3 Julai 2009, saya sekeluarga pergi berbelanja dapur di Hypermarket Giant, Seksyen 13 Shah Alam, Selangor. Setelah selesai berbelanja keperluan dapur, dalam perjalanan menuju keluar dari pasaraya besar tersebut kami telah didatangi oleh dua orang pemuda yang bertindak sebagai promoter dengan menawarkan kami sekotak cenderamata. Di dalamnya terdapat mini sun shade dan kad baucar atau disebut kupon.

Kami sekeluarga duduk sebentar di kerusi dan meja yang disediakan. Mendengar penerangan yang diberi oleh mereka. Menurut beliau ini juga bersempena dengan pembukaan cawangan baharu kedai mereka di salah satu sudut di dalam Giant tak lama nanti. Kemudian, kami diminta untuk membuka 'seal' kad tersebut, manalah tahu kalau-kalau kami merupakan antara pelanggan yang bertuah pada malam tersebut. Sambil itu, mereka menunjukkan beberapa kad baucar yang telah diperolehi pelanggan terdahulu bernilai RM100, RM200 dan lain-lain nilai. Tanpa mempersoalkan apa-apa dan kami begitu teruja dengan penerangan produk jenama arezzo yang dipromosikan, kami pun membuka 'seal' kad tersebut.

Ketika membuka 'seal' sedikit, angka satu terlihat. Maka, kami syak, ini pasti nilainya RM100. Rupa-rupanya ada tiga digit sifar apabila selesai membuka 'seal' yang mempamerkan nilai RM1,000. Dalam hati kami amat teruja. Tetapi saya tidak menunjukkan melalui ekspresi muka. Buat biasa saja. Lalu, saya menunjukkan baucar tersebut kepada mereka. Salah seorang dari mereka mempersoalkan nilai kad baucar yang kami perolehi. Sebelum ini, tidak pernah pun sesiapa yang memperolehi potongan nilai yang begitu banyak. Manakala seorang lagi dari mereka menimbulkan pertanyaan barangkali kad baucar ada berlaku kesilapan cetak. Mereka berdua kelihatan panik seolah-olah jika kesilapan berlaku, mereka sebagai pekerja syarikat perlu membayar wang ganti rugi yang mungkin jejak RM800 melalui pemotongan gaji mereka. Mereka jadi kalut.
Dalam hati kami mula berbunga-bunga dan berasa sungguh teruja. Kegirangannya tiada siapa yang tahu. Lebih-lebih lagi wajah isteri saya di kala itu. Maklumlah promosi ini melibatkan barang-barang dapur yang ada kaitan dengan kerja masakan di dapur. Saya pula, sebagai suami sudah pastinya ingin memastikan isteri berasa gembira dengan memenuhi impiannya. Lalu, mereka terus kecoh macam cacing kepanasan dan kera kena belacan. Mereka memanggil rakan-rakan sekerja mereka yang lain. Menunjukkan kad tersebut kepada rakan-rakan mereka dengan menyatakan mungkin ada kesilapan sewaktu mencetak. Mereka semuanya kelihatan panik dan suasana agak kelam kabut di kaunter Arezzo. Kami sekeluarga pula, bertambah yakin bahawa kami memang pelanggan yang bertuah.

Lalu, salah seorang dari mereka meminta izin dengan kami untuk menelefon manager beliau terlebih dahulu untuk memastikan bahawa adakah kami layak menerima potongan tersebut atau sebaliknya. Dia berbual di talian. Setelah itu menyerahkan telefon tersebut kepada saya. Manager tersebut menanyakan sama ada saya sekeluarga mempunyai pertalian saudara mara atau kroni yang bekerja di syarikat tersebut atau tidak. Dengan jujur saya menjawab memang tiada saudara mara yang bekerja di syarikat berkenaan. Manager tersebut memberitahu saya bahawa hanya terdapat lima keping baucar yang telah dicetak dengan nilai RM1,000. Sangat jarang pelanggan memperolehinya. Dia memberitahu bahawa saya pelanggan bertuah. Menurutnya, kami antara pelanggan tiga yang pertama telah memilikinya. Dalam masa yang sama, beliau menerangkan perkara ini tidak diberitahu kepada pekerja-pekerja mereka kerana dikhuatiri mereka akan memberi baucar tersebut kepada orang-orang yang mereka kenali atau memberikan kepada orang tertentu sahaja.

Promoter tersebut terus memberi penerangan lanjut kepada kami. Sekiranya kami membeli mana-mana barang keluaran syarikat mereka harga barangan tersebut akan ditolak dengan harga baucar tu. Pada mulanya kami mahu meninggalkan saja kaunter tersebut kerana berasa tertipu dengan lakonan mereka dan terdetik di hati saya bahawa promosi ini ala-ala penipuan sindiket gores dan menang. Tambahan pula, harga barangan yang ditawarkan mereka yang bersempena dengan pembukaan kedai baharu kononnya adalah terlalu mahal bagi saya. Kami sudah pun bergerak menolak troli dan menuju keluar. Namun, mereka mengekori kami untuk memujuk kami agar tidak melepaskan peluang yang datang. Memberitahu semula bahawa kami sekeluarga memang bertuah kerana tidak ada lagi yang memenangi nilai baucar yang sangat tinggi sepertimana yang kami perolehi. Kata-kata manis dari promoter tersebut membuatkan kami terpaksa menghadap semula kaunter dan mendengar penerangan dari mereka. Akhirnya, kami memilih produk 'induction cooker' yang bernilai RM3,099 dan setelah mendapat potongan harganya menjadi RM 2,099.

Kemudian, mereka bertanyakan kaedah pembayaran yang ingin saya buat. Kebetulan di kala itu, ada sedikit simpanan di bank. Saya perlu ke mesin ATM untuk mengeluarkannya. Kad ATM saya hanya terhad sehingga RM1,500 saja. Lalu, memberitahu kepada mereka selebihnya tidak boleh dikeluarkan. Seterusnya, promoter yang menelefon manager datang memberitahu kami sekiranya kami membuat pembayaran melalui tunai atau debit cash dalam satu resit kami akan mendapat satu lagi hadiah percuma iaitu sama ada memiliki seterika ionizer atau fruit juicer. Tambahan pula, katanya Manager beliau baru saja menelefon menyatakan bahawa disebabkan kami tiga pelanggan pertama yang mendapat nilai tersebut, kami diberi tawaran yang cukup berbaloi. Terus bergoncang pendirian kami. Hati naik girang. Mereka memberitahu perkhidmatan debit tunai ada disediakan. Maka, pembayaran selebihnya boleh dibuat melalui debit tunai melalui kad ATM. Pandai mereka meredakan kekhuatiran saya. Dua barang yang mereka tawarkan kami tolak. Kemudian, mereka beralih menawarkan pula kepada kami dengan menyatakan bahawa kami adalah pelanggan istimewa jika kami menambah RM1,000 lagi secara tunai. Kami diberi pilihan untuk memilih mana-mana dua produk Arezzo. Mereka menegaskan bahawa promosi ini sah pada malam ini saja. Kami terus didesak untuk memberikan jawapan. Manakala mereka bertekak sesama mereka seolah-olah kami pelanggan yang diberikan promosi yang terlalu tinggi yang boleh mengakibatkan kerugian syarikat dan tidak berbincang dengan promoter terlebih dahulu akan hal ini.

Akhirnya, setelah didesak bertalu-talu, seharusnya kami pulang dan diberi masa untuk memikirkan akan hal ini namun mereka memomokkan bahawa ia hanya sah pada malam tersebut sahaja. Lalu, kami dengan rasa berat menambah barangan Arezzo Microwave Oven (RM 2,999) dan Arezzo Cookware Set (RM 2,999) dengan hanya menambah RM 1,000. Dalam hati kami berkata, sangat jauh perbezaan harga asal dan harga promosi. Alangkah untungnya. Jumlah keseluruhan yang kami habis pada malam tersebut adalah RM 3,099 dengan tiga barangan produk.
Mereka mengiringi kami sekeluarga untuk menghantar produk ke parkir kereta. Semasa kejadian tersebut, kami tahu produk tersebut mahal. Namun, memandangkan harga asal yang tertulis di barangan tersebut lagi tinggi nilainya kami tidak ubah keputusan. Kami akur.

Dalam perjalanan pulang, kami tidak memikirkan apa-apa. Namun, apa yang saya ingat promoter tersebut ada menyatakan produk mereka dari Itali. Ada pula yang kata dari Jerman. Mereka menjawab tidak konsisten. Saya juga teringat terdapat alamat laman web yang mereka berikan. Maka, bolehlah saya tinjau pada hari Isnin nanti. Di rumah, pada mulanya kami ingin membuka kotak bungkusan tersebut untuk memeriksa barangan di dalamnya dan ingin mencubanya. Manalah tahu kalau-kalau barang tersebut tidak boleh digunakan ataupun rosak.
Namun, kami buat keputusan untuk simpan sahaja kerana kalau dibuka sekalipun, tiada tempat untuk meletakkan barang-barang tersebut. Saya mula membelek-belek kotak tersebut dan timbul persoalan di benak fikiran saya, produk ini tiada cop SIRIM atau mana-mana badan yang memperakuinya di kotak tersebut. Maka, kami simpan terlebih dahulu di rumah dan disusun rapi di dalam stor. Dari hari ke hari, saya asyik memikirkan mengenai barangan tersebut sahaja.

Seminggu selepas itu, saya melayari laman web produk tersebut. Memang ada memaparkan mengenai produk tersebut beserta harganya. Barangkali betul dalam hati saya. Kemudian, saya mengarang entri untuk dimasukkan ke blog peribadi saya mengenai produk Arezzo yang saya beli jauh lebih murah dan kononnya berbangga bahawa saya antara pelanggan 'top five' yang paling bertuah untuk dikongsi oleh pembaca semua (klik sini). Beberapa bulan kemudian, ada dua tiga orang pembaca memberi komen mengenai entri saya. Mereka juga mengalami situasi yang sama. Ada juga yang bersembang sesama mereka mengenai kejadian yang sama menimpa mereka di 'chat box' yang saya sediakan dalam blog saya. Maka, terlintas di fikiran saya. Adakah kami termasuk dalam golongan yang ditipu. Oleh sebab mereka hangat membincangkan isu ini. Maka, saya menaip di carian enjin perkataan penipuan arezzo. Ya, saya menelusuri satu-persatu pengalaman yang mereka ceritakan.
Mereka juga terkena di tempat yang berbeza namun modus operandi yang sama. Sehinggalah, satu hari saya menghantar emel kepada salah seorang yang mengunjungi blog saya. Kemudian, dia menghubungi saya untuk berkongsi pengalaman yang sama. Kebetulan pula, dia telah pun mengambil tindakan dan memperolehi wangnya kembali hasil usaha yang dia lakukan.

Jadi, sebenarnya hadiah yang dikatakan julung-julung kali yang dimenangi oleh kami telah lama terkena kepada ramai orang.
Itu bukanlah bertuah namanya. Justeru itu aduan ini dilakukan atas dasar kami ingin memulangkan barangan yang kami beli kerana kami yakin syarikat tersebut telah menggunakan taktik jualan yang menganiaya pembeli ala-ala sendikit gores dan menang dengan mekanisme yang berbeza. Walhal, kami boleh mendapatkan produk yang sama malah lebih berjenama dari produk Arezzo dengan harga yang lebih berbaloi di tempat lain. Oleh yang demikian, secara ringkasnya kami membuat aduan ke tuntutan tribunal pengguna ini atas sebab-sebab berikut :

i) Kami berasa teraniaya dengan taktik yang digunakan oleh syarikat tersebut yang mirip kepada gores & menang;

ii) Kami berasa tertipu dengan harga produk yang ditawarkan kerana produk yang sama di tempat lain lebih berpatutan harganya;

iii) Kami didesak untuk menerima promosi yang ditawarkan dengan mengumpan hadiah sampingan;

iv) Kami rasa diperdaya yang kononnya kami pelanggan bertuah walhal ramai yang sudah memilikinya; dan

v) Kami rasa tertindas di mana kesemua yang disebutkan di atas bahawa kami sebagai pengguna mempunyai hak untuk mengembalikan barang tersebut yang dalam keadaan baik untuk mendapatkan semula wang kami tanpa sebarang susut nilai atau tanggungan kerugian.


Dilampirkan bersama

  1. Cash Bill (CB 03807)
  2. Delivery Order (DO 11616)


Yang Benar,
Ahtok


.

16.4.10

Surat kepada KP

Ahtok Urban

No 15161708, Jln Angkasa

Taman Puncak Mahligai
Kabupaten Jughra Kilimanjaro

8452135, Marikh

Planetul Alam


14 Oktober 2009


Dato’ Periwangsoro

Ketua Pengarah

Jabatan Paling Berjaya Didunia

Tebing Ghaza

5041646 Bandar Bertaraf Dunia


Dato’


RAYUAN PERMOHONAN UNTUK BERTUKAR!


Dengan hormatnya, saya merujuk kepada perkara di atas. (rujuk Lampiran A)


2.
Saya ingin memohon dan merayu untuk pertimbangan Dato’ supaya saya dapat ditukarkan di Jabatan Paling Berjaya Didunia (JPBD) sama ada di Kuala Lumpur atau di Selangor. Hal ini kerana, pada awal penempatan, saya ditempatkan di Machester. Nampak je macam best, tapi biasa-biasa je. Saya juga merasakan saya sudah banyak menimba pengalaman di Machester. Ini berdasarkan ukur baju di badan sendiri.


3.
Saya juga merasakan, sebagai penjawat jurutera muzikal adalah lebih baik sekiranya saya tidak duduk statik di satu tempat sahaja. Boleh jadi jumud dan mati kutu dibuatnya. Lagipun, adalah sesuatu yang merugikan jabatan sekiranya pencapaian akademik saya tidak digembelingkan seoptimumnya dan ibarat aset yang disia-siakan jabatan. Hal ini kerana saya memiliki Ijazah Sarjana Sains Perdagangan (Pelancongan Antarabangsa). Bagi saya, bidang muzikal adalah bidang yang amat luas. Jadi, demi untuk menimba ilmu dan meluaskan pengalaman dalam bidang serta karier saya. Apalah kiranya saya dapat menimba ilmu dan seberapa banyak pengalaman di tempat lain khususnya di jabatan sendiri. Juga untuk membina masa hadapan yang lebih cemerlang penuh dengan cabaran.


4.
Saya berharap, rayuan permohonan penukaran penempatan ini dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh Dato’. Please please please.. Kamu jangan nakal!


Sekian, terima kasih


(AHTOK URBAN)

Pegawai Jurutera Muzik

Machester Old Studio, England

s.k : Pengawal Peribadi


.

15.4.10

Permainan satu : Eksplorelumba

Satu hari, gua diminta menghadirkan diri untuk kem pembangunan diri. Entah sape punya idea entah. Program ala-ala komando begini. Sebelum sampai di kem. Kami segerombolan ditahan untuk berbaris. Semua dikerah masuk barisan. Apa kejadahnya nak masuk barisan gua kata. Kan ke kita dalam pakatan. Kerjasama dalam segala hal. Tak cukup dengan itu, kami dikerah untuk turun ke dasar laut sesejuk negatif empat darjah celcius. Keras wo!

Tiba-tiba kami dipecah beberapa kumpulan. Ni mesti ada sekutu nak memecahkan kesepakatan kita. Gua syak. Jom kita main ala-ala explorace! Yeay! Mereka jawab dan melonjak kegembiraan macam beruk. Damn! Mereka ni main-main gua kata dalam hati. Gua tengah serius nak mampos. Boleh pulak korang memperkotak-katikkan fasi. Tangkap gambar... Tangkap gambar...! Kawan aku kata. Oit, sape suruh tangkap gambar. Fasi dah marah! Nak tangkap nantilah dulu! Fasilitator tu jawab. Lainkali ajak aku sekali, dia menambah. Kami ketawa! Hahaha... Agagaga... Kemudian, kami terpaksa mengharungi enam check point! Sampai di check point satu. Kami diberi klu. Sekerat gambar dan arahan tulisan.

Semua dalam fikiran bermain perkataan kerjasama dan komunikasi. Tanpa itu, semua tak jadi. Akhirnya kami cuba nak komunikasi dengan pemandu jalan raya. Semua tutup tingkap takut kami ragut mereka. Apa diorang tak tahu ke, hati kami tulus dan mulus. Tak ada kepekaan langsung! Gua kata di luar kereta. Akhirnya, kami telefon orang PBT suruh hantar kami. Wakaka...

Dalam hati gua kata, di pejabat ada tujuh check point terpaksa kita lalui. Satu, punch card. Dua, bilik server. Tiga, bincang KPP. Empat, bincang pegawai. Lima, bincang dan mesyuarat dengan TP. Enam, bincang dan mesyuarat dengan Dato'. Tujuh, melayan karenah pelanggan. Kesemua check point ni takde klu, cuma kena bawa tembikai je untuk santapan di kemudian hari. Itu saja. Takde tembikai pisang pun boleh. Apa ada hal! Kawan-kawan kita boleh belanja. Bukan senang nak berubah...


.