22.3.06

Mak, Pengorbananmu Tetap Kusanjung

Masih kusimpan surat itu. Surat Permohonan Masuk ke Sekolah Bantuan Kerajaan. Renyuk sikit. Masih elok. Cukup bermakna. Inilah imbasan setiap kali aku buka fail sijil-sijil pelajaranku. Semuanya terbongkar apabila aku menyatakan hasrat untuk berhenti sekolah. Itupun rentetan peristiwa aku ditolak dari Sekolah Teknik. Kesilapan teknikal kononnya. Cuma masalah kewarganegaraan saja. Mak juga yang jadi penenang. Barulah cerita ini timbul. Hasrat aku dapat dihidu oleh ayah. Habislah aku dibelasah. Tapi kali ni ayah bercerita dengan hikmah.

Mak kau tak pernah kenal putus asa. Masa kau nak bersekolah darjah satu di sekolah kebangsaan. Ayah dan mak kau ni orang merantau. Orang susah. Kau lahir di seberang. Pejabat Pendidikan berkeras tak bagi kau bersekolah sini. Sebab mak dan ayah punya I.C merah. Katanya kena melalui Kementerian Pendidikan. Macam-macam karenah. Tapi, mak kau tebalkan muka naik-turun Pejabat Pendidikan Daerah dan Negeri berulang kali seorang diri. Bayangkanlah... Dia gagahi walau tak diupah. Merayu. Meminta simpati untuk anaknya bersekolah di Malaysia. Mak kau tak pernah jemu dan bosan dengan tindakannya. Dia bersungguh supaya anaknya berpelajaran.

Aku dapat rasakan perjuangan mak ketika itu. Berhempas-pulas. Bersusah-payah. Aku dapat rasakan keringat mak yang mencurah. Mak mempetaruhkan masa, wang dan kudratnya. Mak tabah dan cekal. Tiada tolok bandingnya. Mak sanggup terima apa saja kritikan dari orang sekeliling.

"Anak awak tu pendatang haram. Mana layak sekolah sini.."
"Lagi-lagi muka awak, kan saya dah kata tak boleh..."
"Dah tahu nak sekolah sini, beranaklah kat sini!"

Inilah antara kata-kata perit yang mak kau hadapi. Ada banyak lagi kritikan jahanam. Kalaulah aku tahu masa tu. Nak aje aku tempeleng. Tapi, mak ambil kata-kata itu. Jadikan penguat semangatnya. Mak berani hadapi cemuhan dan nista mulut lazer. Hingga usahanya membuahkan hasil menyekolahkan kau. Bukan untuk orang lain katanya tapi untuk masa depan kau juga. Bila kau bersekolah, dia sibuk membuat kuih dan nasi lemak. Bangun seawal pagi untuk dijaja. Buka kedai runcit kecil-kecilan di rumah. Hah, inilah suratnya. Kau baca dan simpanlah elok-elok.

Sambil bercerita, sesekali ayah mengesat air matanya. Aku juga. Soal duit jangan ditanya katanya. Kau belajarlah setinggi mana selagi mak dan ayah kau mampu. Terima kasih mak, kini anakmu yang dikata pendatang haram dah punya segulung ijazah. Kini juga anakmu hidup bahagia bersama orang peribumi.

17.3.06

Hari-hari Terakhir Seorang Nakhoda

Dulu aku hanya penumpang kapal ini yang gah memulakan pelabuhannya kerana ada nakhoda yang berwibawa, anak-anak kapal, kru kabin bagus. Bebas dari serangan lanun. Tiada ombak menghempas. Laut tenang saja. Setelah nakhoda itu meninggalkan kapal, selaku penumpang takkanlah aku nak biarkan ia terapung begitu saja dan karam bila ombak melanda. Jadi, sebagai penumpang aku mengambil alih tugas sebagai nakhoda. Aku belajar sendiri ilmu pelayaran. Aku gagahinya dan hadapinya dengan tabah. Banyak dugaannya. Ada ribut melanda dan ombak melambung tinggi. Ramai anak-anak kapal yang tak tahan. Terjun keluar dari kapal. Pusat navigasi kapal pun tidak memberi apa-apa bantuan dan isyarat perjalanan kapal yang aku dah kemudi. Aku tukar mana yang rosak. Aku tampal mana yang bocor. Aku tukar layarnya. Aku tambah kru kabin. Cuma tak cukup aksesori peralatan kecemasan. Akhirnya aku berjaya juga membawa kapal hampir ke daratan. Dah nampak pelabuhan. Ada ramai yang menunggu. Dah tiba masanya nakhoda lama nak terjun dari kapal. Lagipun pembuat kapal dah cari nakhoda baru untuk melayari kapal. Layar harus diganti, mana yang bocor harus ditampal. Cat semula kalau perlu.

Lagi beberapa jam, kapal ni akan tiba di daratan. Dah nampak kelibat orang yang menunggu di daratan. Melambai-lamabai menanti. Nakhoda lama buat keputusan untuk terjun ketika kapal dah nak berlabuh dan kapal dah nak menurunkan sauhnya. Lagipun, lanun-lanun dah kurang taringnya. Ada kapal tunda yang cuba nak bantu. Ada kapal selam nak beri sokong. Layarilah kapal ini dengan baik wahai nakhoda yang baru. Aku mahu mencari dan menjelajah lautan dengan kapal yang baru. Aku mahu menyelam di lautan yang tak seberapa dalam. Doakanlah nakhoda lama ini menyelam dengan selamat. Di sana pasti banyak batu karang yang indah, ikan-ikan yang bergerak bersama, rumput laut yang cantik. Pembuat kapal pastinya akan terseyum lebar jika kapalnya selamat dilabuhkan dan diletakkan di tempat yang elok.

Kalau Kail Panjang Sejengkal

Kami berlima. Aku, Kerol, Atan, Jai dan Erman. Ini pertama kali. Menangguk ikan sepat di kolam belakang sekolah Foon Yoo. Kawasan tu belum terbangun lagi. Ada kolam kecil terbiar. Tiada yang empunya kot. Apalagi, projek pun bermula. Yeah… Kami harungi kolam itu. Bukan tau nak senyap. Masing-masing kecoh keriangan. Macam orang jakun. Sambil menangguk mandi sekali. Sambil menyelam minum air tapi takut kembung plak.

Kami guna pongkis dan kain langsir lama. Lumayan juga hasilnya. Besar dan kecil di asing. Nanti kalau dah banyak, kami berhenti. Mana yang dapat bagi sama rata. Nak buat lauk ke, nak bela ke suka hati korang lha.

Sebelum kami tiba di kolam tadi, kemi meredah kebun pisang dan ubi. Tak taulah siapa yang punya.

"Hoi kau buat apa hah!"

Semua toleh. Panik. Kaku seketika.

"Eh.. Blah… Jom blah…" Salah sorang dari kami bersuara

"Hoi, tak paham bahasa hah…"

"Ini rupanya kerja kamu ya, Habis kebun aku kau kerjakan…"

Sambil membebel nampak orang itu macam nak menyerang. Di tangan kanannya ada sebilah parang. Bahaya beb! Jangan buat pasal.

"Lari… Lari…"

Semua bertempiaran lari. Ikan sepat ke mana. Pongkis ke mana. Masing-masing sempat capai baju. Ada yang tak sempat capai selipar. Lari pecut gila. Takut. Lintang pukang bertempiaran.

16.3.06

Masihkah Kau Ingat

Petang itu, seperti yang dijanjikan. Kami akan bertemu di ruang legar shopping complex. Ada hal penting katanya. Tak taulah hal apa yang penting sangat sehinggakan tiada tempat lain yang dipilih. Sedangkan banyak lagi tempat lain sekitar Bandaraya itu. Restoran, kafe, gerai makan, warung semuanya ada. Bukan main banyak lagi. Entahlah, ada apa di sana... Bukannya menarik sangat. Ramai orang! Arrrgghhh... Sesak dan padat tempatnya. Aku dah pesan padanya jumpa di tempat lain tapi dia tetap berdegil dengan kepala batunya. Masih juga mahukan tempat ini. Ada sesuatu yang istimewa katanya. Ada sesuatu yang mengimbau kisah lampau katanya. Isshhh… Alasan itu yang digunakan untuk aku mengatakan sesuatu kepadanya. Pelik benar dia. Kami memang tak pernah bertemu sebelum ini. Berhubung melalui telefon berpanjangan. Sesekali berutus surat. Kalau malas nak tulis, taip. Sering berbalas e-mail. Paling tidak, main SMS je. Akhirnya, kami buat keputusan mahu berjumpa. Bertentang mata. Melihat wajah masing-masing dan saling mengenali dengan lebih dekat lagi. Zaman sekarang bukan boleh dipercayai. Kuat temberang. Kaki kelentong. Putar alam. Lain dimulut lain dihati. Lain diperut lain di kaki. Setakat yang aku tahu, dia gemar main tenis. Dalam seminggu dia berlatih tiga kali. Waktu petang. Minat kami jauh berbeza. Aku tak pandai langsung main tenis. Aku lebih minat squasy. Minat tengok je. Main pandai, tapi peraturan dia aku tak tau. Kalau main futsal bolehlah. Sudahlah… Masing-masing nak tunjuk hebat dalam arena sukan. Entah betul, entah tidak.

Perhubungan kami dah menjangkau tiga tahun. Pernah juga aku minta gambar darinya. Tapi yang diberi gambar Erra Fazira. Macamlah aku tak kenal dengan Erra. Dia dulu jiran akulah. Aku taulah. Rahsia konon. Wajahnya tak secantik mana. Tak lawa dan macam-macam lagi alasan yang diberinya. Kalau minta alamat rumahnya dia beri alamat yang palsu. Puas aku mencari katanya di Lembah Keramat tapi nama jalan yang dinyatakan tiada di situ sebaliknya di Parit Buntar. Sanggup aku menolak semua semua yang datang. Wanita yang cantik-cantik belaka. Ntahlah, belum buka selera. Aku korbankan untuknya. Aku korbankan perhubungan yang terjalin dengannya. Biarlah ada kejujuran jangan sampai kita kurang keyakinan. Aku telah memenuhi harapan untuk diriku dan untuk dirinya. Tapi sayang dia tak dengar bisik hati kecilku.

Perkara yang aku pasti tentang dia. Dia adalah seorang gadis. Jantinanya perempuan, beragama Islam. Berbangsa Melayu-Jawa. Anak kacukan katanya. Emaknya Melayu. Bapanya Jawa. Saiz kasutnya aku tak tahu apatahlagi saiz stokingnya. Tapi, sepanjang perbualan kami sebelum ini, dia pernah tersasul saiz bra yang dipakainya. Masa tu, dia terperangkap dengan soalan aku. Akhirnya dia kantoi. Adik-beradiknya empat orang sekarang. Dia anak yang kelima. Lagu yang diminati adalah lagu Shiela Majid sedangkan aku meminati Shiela on 7. Rancangan siri TV tempatan yang diminatai adalah Agro Jurnal yang ditayangkan di TV1. Dia lebih gemar masakan ibunya sendiri seperti mee bandung dan nasi ayam. Kini, dia sudah berkerjaya. Bekerja dengan kerajaan. Tempat kerjanya juga dirahsiakan. Katanya dia kerja pembantu tadbir tapi aku tak percayakan kata-katanya kerana dia sering berselindung dari kenyataan.

"Eh, U kat mana ni?"

"I dah sampai ni"

"Kat mana? Takde pun"

"Ada di tempat yang dijanjikan"
"U pakai baju warna apa?"
"I pakai sut serba hitam, berkacamata…"

Telefon diletak. Masuk ke poket.

Mataku melilau-lilau mencari kelibat dia. Atas bawah, kiri kanan, depan belakang. Katanya dia datang berdua. Bersama kakaknya. Ntah. Kalau ikut temujanji kami dia memakai baju kurung kebaya merah sedondon. Puas aku cari tapi tiada seorang wanita yang mengenakan warna yang disebutkan tadi. Susah jugak nak cari. Ramai orang ni. Penat menunggu. Aku duduk di Coffee Bean berhampiran. Dapat juga menghilangkan dahaga seketika.

"Alamak… Itukah dia" detik hati kecilku apabila terpandang dua orang wanita.
Salah seorang darinya mungkin dia dan yang berbadan dua itu kakaknya. Tapi mungkin aku silap. Kalau silap malu dibuatnya.

SMS diterima [saya dah nampak awak, tak namapak saya ke?]
SMS dijawab [saya juga nampak awak. Saya tunggu sini]

Dari kejauhan, mereka berdua rancak berbual. Mesra nampaknya. Memang sah mereka adik dan kakak. Ada jalinan hubungan keintiman. Ada kemesraan di wajahnya. Tapi aku kesian melihat kakaknya. Terpaksa temankan adiknya. Kelibat mereka makin hampir. Datang berdiri tepi. Aku diam cuba nak control hensem.

"Assalamualaikum…"

"Err… Waalaikumsalam…"

Aku berdiri, Membuka kacamata sambil melemparkan senyuman ikhlas tapi jauh. Kulihat dia menutup mulut. Kakaknya senyum sinis saja.

Ada suara kecil kecluar. Dia menoleh belakang sambil memberi isyarat sesuatu. Aku tunduk. Aku lihat. Seluar tidak dizip. Ternganga luas. Aduish… malunya. Malunya aku. Kenapa terjadi di depan dia. Mana nak letak muka. Aku pusing lalu ku tarik semula. Zip seluar.

"Apa yang dimenungkan tu?…"

"Issh.. Takdelah…"

"Tipulah…"

"Eh.. Dah lama sampai?"

Baru kuingat, tempat inilah aku dimalukan. Aku malu. Patutlah dia kata ada kisah lampau katanya. Cis, memang dia nak kenakan aku.

13.3.06

Nenek Peduli Apa!

"Nak, tolong hantarkan nenek."
"Nek nak ke mana?"
"Nak jumpa anak. Dia berniaga kat Pasar Malam, jalan Bendahara sana tu…"
"Ada apa hal?"
"Ni hah, Nek tak dapat masuk, nak amik kunci kat dia"

Tanpa berlengah, aku menyerahkan helmet kepada nenek. Aku dah pakai. Nenek pun perlu pakai. Patuh undang-undang. Jaga keselamatan diri. Helmet aku cantik sikit. Nenek punya agak lusuh. Warna putih cap Apollo. Ada banyak kesan calar. Aku depan. Nenek belakang. Kami bergerak. Nenek memegang bahuku. Tiba di lampu isyarat semua orang perhatikan kami. Entah apa yang ditengoknya. Ada yang pandang sambil tersenyum. Ada yang pandang sambil berbisik sesuatu. Aku bingung. Tayar sudah kuperiksa. Tiada yang kempis. Motosikal semuanya elok. Side Mirror? Side Mirror memang tak ada. Lampu depan menyala. Tak ada yang kurang.

Motosikal tiba di tapak Pasar Malam. Aku meletakkannya di tempat yang betul. Nenek turun dengan penuh cermat. Aku tunggu di motosikal. Nenek lalu di depan. Wuish… Nenek? Nenek pakai helmet terbalik. Patutlah orang pandang semacam je. Tapi nenek nampak comel pakai helmet sebegitu rupa. Memang sarat muat menutup muka. Aku nak tergelak tapi terpaksa tahan. Nanti, sampai rumah aku nak gelak sakan. Nek cerita kat emak dan adik. Ini bukan salah nenek. Salah tukang pembuat helmet. Ruang muka dan ruang leher hampir sama. Muka nenek tetap selamba. Walau orang sekeliling tergelak gila. Kalau terbayang muka nenek aku boleh gelak sorang diri.



.

10.3.06

Bukan Kupinta

Masa: Imbasan waktu 1984
Watak: Ayah, emak, aku, adik aku, jiran aku
Set: Kawasan lingkungan 15Km dari rumah aku

Nak minta ayah, pasti tak dapat. Bayangkan mukanya saja dah tahu jawapannya. Nak beli tak ada duit. Maklumlah belum kerja. Sudahnya, aku songlap. Bukan curi. Ambil tanpa izin. Aku tahu, mak simpan di mana duit modal pusingan bisnes runcitnya. Kalau tidak bawah tilam, ada dalam almari. Kekadang dalam kocek baju ayah yang digantung. Hebat strategi mak. Pencuri memang susah nak cari. Tempat yang tak disangka.

Suatu hari, aku berhajat mahu beli raket badminton. Ramai yang sebaya dengan aku ketika itu sudah punya raket sendiri. Tak payah nak pinjam orang punya. Lagipun, kalau barang sendiri boleh buat sesuka hati. Entah apa kena entah dengan budak-budak tu, asal cuti sekolah atau waktu terluang je pergi main badminton. Kekadang pagi. Kekadang petang. Ada juga malam. Gelanggang memang ada kat tempat aku tu. Tapi kalau hujan minta maaf sajalah sebab tiada bumbung.

Berbalik kepada hajat nak beli raket badminton tadi. Aku kena penuhi hajat diri sendiri. Kalau tidak, tak dapatlah aku join bebudak tu main. Meloponglah beb. Keinginan dan nafsu aku masa tu memang tinggi. Tahap Gaban. Tanpa fikir panjang. Aku lakukan. Dalam bilik. Puas aku cari. Jumpa duit syiling disusun rapi bawah katil dalam plastik aiskrim. Syiling dua puluh sen. Satu plastik nilainya RM20. Padai pulak siapa yang susun ni. Aku kebas 2 plastik. Berat juga nak bawa. Masakan aku nak beli raket guna duit syiling. Aku pergi tukar kat kedai mamak. Tukar dengan wang kertas. Suka benar mamak tu dapat duit syiling. Macam dapat jongkong emas. Tersenyum lebar. Dia kata kalau ada banyak, datang lagi. Boleh tukar. Aku angguk tanpa banyak bicara. Walhal, dia tak tahu aku kebas.

Dengan RM40 aku ke bandar untuk membeli raket YONEX. Dah berangan nak jadi bakal pemain professional. Punya cita-cita tinggi. Di kedai. Aku capai raket. Harganya RM120. Itulah YONEX paling murah agaknya. Duit di tangan tak cukup. Aku capai yang satu lagi. Jenama proKENNEX (adik-beradik YONEX agaknya). Bayar di kaunter RM29.90. Itulah raket pertama aku. Hoi, orang kampung, aku ada raket baru. Mahu saja aku jerit. bagi tahu orang kampung. Tapi, kalau mak dan ayah dengar. Habislah aku.

Di rumah dah kecoh. Syiling mak bawah katil dah kurang. Habis adik-adik disoal-siasat macam kawat cam. Akhirnya mak suspect aku yang ambil sebab aku seharian tiada di rumah. Balik, aku lalu pintu belakang. Pintu dapur. Letak raket yang dibeli. Ikut pintu depan dengan tangan kosong. Bijak juga aku menipu. Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh juga ke bumi. Setakat jatuh takpe. kalau jatuh, patah kaki. Aniaya dibuatnya. Mak dan ayah dapat hidu perbuatan aku. Ada sesuatu yang tak kena katanya. Suasana tengah panas. Aku tak ambil lagi raket yang dibeli tadi. Tunggu masa yang sesuai.

Malam itu, aku bersendirian di bilik. Membelek raket. Teruja. Tak sabar nak cuba. Maklumlah, baru beli. Mesti sayang. Sayang giler. Sedang aku membelek. Pintu diketuk. Raket sempat disorok. Siang tadi, ada orang yang nampak aku pergi ke bandar. Mulut tempayan boleh ditutup, mulut orang susah sikit. Akhirnya aku kantoi. Tak dapat nak elak. Di bilik itu juga, ayah aku membantai anaknya macam pukul bulu tangkis. Bengkok dibuatnya. Sambil pukul, sambil nasihat agaknya. Jangan mencuri. Kalau nak apa-apa silalah minta. Aku cuma agak dia kata begitu. Tak habis setakat itu. Raket dipatah tiga. Habis hancur. Punah-ranah. Tak menjamah aku pukul bulu tangkis. Tak sempat nak rasmi.

Dalam bilik. Menangis sendiri. Kenang raket dah patah. Kaki dah lebam dan calar. Nasib baik tak patah juga. Ayah aku kalau memukul anak memang begitu lagaknya. Mengajar anak katanya. Semua orang dah tahu perangai ayah aku ajar anak dia. Setakat ni, dia paling TOP. Dia kata biar anaknya jadi anak yang berguna kelak. Bukan jadi kutu. Bukan jadi hantu. Bukan orang-orangan. Jadi orang. Aku ulang, jadi orang.

Esoknya. Seharian aku berkurung di bilik. Merajuk kononnya. Membawa diri yang lara. Pintu bilik diketuk. Suara mak memanggil. Mak hulur raket. Aku jual mahal. Mak hulur kali kedua. Aku ambil. Siang tadi, aku ada dengar perbualan ayah dengan si Karim. Tentang raket. Ayah beli dengannya. Second Hand. Entah berapa dia jual. Aku dapat raket YONEX. Dalam garang ada juga kelembutan ayah. Terima kasih ayah kerana cuba memahami minat anakmu. Tak terbalas jasa ayah.

Bersambung…

9.3.06

Laga Spider

Masa zaman aku dulu. Benda yang dijadikan mainan mengikut tren dan musim. Kalau musim lelayang. Semua main lelayang. Tapi, kalau nak main wau pun boleh juga. Sibuk semua bikin lelayang. Kalau musim main guli. Ada sampai yang tertelan guli. Habis, asyik leka main guli saja. Sudahnya, mak sumbat kat mulut dengan guli. Nasib baik guli. Kalau gasing?

Bercerita tentang zaman budak-budak ni. Aku tak terlepas dari secebis pengalaman yang mencuit hati. Kalau diingat kembali, boleh kecil ginjal dibuatnya. Masa itu, semua budak sebaya aku sibuk cari spider. Dalam bahasa kita disebut lelabah atau labah-labah. Untuk apa lelabah? Untuk dilagakan. Issh… bukan lelabah yang besar tu. Bukan lelabah yang ada kat dalam rumah. Spesis ni dari kalangan keluarga lelabah kecil. Tak gigit orang. Duduknya di daun yang berlipat. Kalau ada daun melekat, itulah habitatnya. Tengok nasiblah. Kekadang ada. Silap haribulan keluar ulat bulu. Ada juga keluar semut atau serangga atau yang seberadik dengannya. Bebudak ni panggil lelabah tu King bagi yang jantan. Makbon yang betina. Makbon? Sampai sekarang aku bingung mengapa mereka bagi nama Makbon. Ada kaitan dengan James Bond kot?

"Mat, ada jumpa tak?"
"Takdelah Min… Kalau adapun kecil lah…"

Kami menyelak daun di belakang rumah Pak Tahir. Habis rumah Pak Tahir, rumah Mat Diah.

"Er.. Sekarang, lelabah siapa yang jadi King?"
"Si Man punya spider. Dia ada 3 ekor, mana taknya…"

Itulah yang dibualkan hari-hari kalau dah musim spider ni tiba.

"Min.. Min… Meh kejap. Aku dah jumpa ni…"
"Besar ke?"
"Besar jugak lah."

Tanpa berlengah lagi, Min meluru kepadaku lalu menyelak perlahan daun yang berlipat itu. Selak sikit. Intip senyap. Tutup balik.

"A’ah, ya lah… Ada chance kau jadi King ni.."
"Kenapa plak?"
"Besar beb! Nampak garang. Tadi, masa aku selak nampak dia kuakkan sepitnya.
"Tipu ah.."
"Hek eleh...Ya, lah… yang kau dapat ni macam Pak Itam (gelaran ni diberi pada lelabah jantan yang warna hitam keseluruhannya dan amat jarang ditemui).
“Itu sudah pasti geng"

Pagi itu, aku dapat seekor. Min dapat seekor. Cukuplah. Petang nati kami nak jumpa si Man. Nak ajak gaduh. Bertarung siapa yang menang.

"Amacam Man, ada berani?" Aku mencabar. Min Cuma diam perhati.
"Aku tengah bagi dia makanlah. Sorrylah geng. Esok, bolehlah…” Jawab Man sambil mengelap keringat di dahinya.

Kami berdua terkejut seketika. Diam. Patutlah King dia menang sepanjang masa. Dia bagi supplement. Baru kami tahu.

"Kau bagi makan?” Tanya Min ingin kepastian
"A’ ah.. Aku bagi dia anak semut atau lelabah kecik. Anak dia"
"Ko letak kat pinggan ke?"
"Apalah kau ni… Letak depan dia je. Kalau dia lapar diterkam lah. Kalau dia kenyang dia buat bodoh je. Kalau dia puasa dia geleng kepala"
"Kau bagi minum sekali lah ye?”
"Dia macam makhluk lain juga, bagilah air liur untuk dia minum. Ludah je sikit depan dia nanti dia datang dekatlah.."
"Macamana kau tahu dia minum?"
"Habis tu… Takkanlah dia membasuh…"

Kami tersenyum. Patutlah lelabah kami cepat mampus. Tak berdaya tahan. Pagi ni dapat, esok pagi dah arwah. Membunuh namanya tu. Ada betulnya cakap si Man tu. Konkrit jawapannya. Ada unsur-unsur saintifik.

Esoknya, pertandingan bermula. Aku keluarkan lelabah. Dari kotak mancis yang disimpan. Baru sehari aku bela dah besar punggungnya. Min pun kata begitu. Aku yakin aku akan menang. Juara aku akan pegang. Aku letak lelabah aku. Man pun letak. Lelabah Man macam takut dengan lelabah aku. Selalunya bukan main lagi dia. Tunjuk taring. Tunjuk garang. Tapi kali ni dia seperti kehilangan taring berbisa. Tak seperti selalu. Sesekali menggigil. Lelabah aku makin berani menghampirinya. Tiba-tiba ada sesuatu berlaku. Seekor atas, seekor bawah. Bertindan.

"Eh, semacam je ni.." Man mula ragu. Min juga sangsi.

Kami diam seketika. Perhati lama.
"Hoi.. Ini bukan King. Ini makbonlah mangkuk… Patutlah dia tak lawan" Herdik Man memecah keheningan petang.
"Ini betul punya marah.." Aku cuba tenangkan keadaan.
"Tadi tu bukan dia lawan ke?" Min menambah soalan.
"Itu bukan lawan, itu romen (istilah ini digunakan untuk menggambarkan lelabah melakukan jimak agaknya)
"Oooh.." Jawab aku dan Min serentak.

Kami tak habis belajar dengan Man. Lelabah jantan dan betina ada bezanya. Makbon keliling matanya hitam sebaliknya King keliling warnanya putih. Taring Makbon tak sehebat taring King. Punggung Makbon lebih besar dari King. Man dah terangkan segalanya. Dia banyak input tentang lelabah. Budak kampung panggil dia 'Man Spider'.

1.3.06

Naik Roket Hari Raya

Kisah ni, emak aku yang cerita pada aku. Aku tak berapa ingat sangat sebab masa tu memang aku malas nak ingat. Daya ingatan dan memori tak kuat. Masa tu aku baru tahu merangkak. Belum tahu berlari. Belum tahu berjalan. Belum tahu berlari sambil menari. Cuma tahu merangkak ke sana ke mari tapi memang lincah. Memang banyak kejadian yang mencuit hati semasa zaman kanak-kanak. Maklumlah, nama pun kanak-kanak. Tapi peristiwa ni, sejurus selepas mak aku cerita aku memang tak boleh terima. Nak balas dendam pun ada. Memang tak patut sepupu aku ni. Cubalah bayangkan, kejadian yang menimpa aku ni. Ceritanya berlaku dalam bulan puasa. Sepupu aku ni main mercun. Masa tu umur dia 6 tahun lebih dah. Dia memang nakal berbanding aku. Orang kampung yang kata. Tahun lepas, dia main mercun juga dalam rumah. Habis terbakar langsir rumahnya. Mujurlah cepat dislematkan. Kalu tidak, hangus dan rentung seisi keluarga. Kali ni dia buat perangai lagi. Kerana mercun juga. Dia selit mercun kat pampers budak yang sedang merangkak. Budak merangkak itu, akulah. Mercun roket. Dipatahkannya lidi mercun tu disumbatnya kepala mercun tu sedalam yang boleh, sumbu dikeluarkannya. Budak yang comel merangkak tu bukan tahu apa. Leka merangkak dengan aktif. Setelah dia bakar, apa lagi.. Dia pun larilah… Tiba-tiba dengar suara budak merengek. Punggung dah berasap. Terkejut pun ada agaknya. Sambil merangkak, punggungnya berasap. Nasib baik tak ada yang cedera. Nasib baik mercun tu tak besar kuasanya. Kalau tidak pasti aku terbang ke angkasa naik roket. Mujur tak ada yang cedera.

"Hei.. Ajak, ko sumbat mercun kat si Udeng ni kenapa?" herdik maknya yang merangkap ibu saudaraku dan isteri kepada abang emakku. Akak iparlah tu…

"Orang nak suruh dia terbang naik roket…Orang dah tanya dah, dia angguk orang letaklah" jawab anak dia dengan muka selamba.

Ibunya menggeleng kepala mendengar jawapan itu. Di kala Hari Raya menjelang tiba, cerita ini diulang kembali sebagai topik mencuitkan. Aku tak pasti bahagian mana yang melucukan. Mungkin mereka bayangkan aku sedang merangkak keluar asap macam patung mainan yang dijual di pasar malam; atau jawapan sepupu aku menyuruh aku naik roket; atau mercun itu diselitkan di punggung budak yang tak tahu apa hingga kini fobia mercun dan fobia roket.