1.3.06

Naik Roket Hari Raya

Kisah ni, emak aku yang cerita pada aku. Aku tak berapa ingat sangat sebab masa tu memang aku malas nak ingat. Daya ingatan dan memori tak kuat. Masa tu aku baru tahu merangkak. Belum tahu berlari. Belum tahu berjalan. Belum tahu berlari sambil menari. Cuma tahu merangkak ke sana ke mari tapi memang lincah. Memang banyak kejadian yang mencuit hati semasa zaman kanak-kanak. Maklumlah, nama pun kanak-kanak. Tapi peristiwa ni, sejurus selepas mak aku cerita aku memang tak boleh terima. Nak balas dendam pun ada. Memang tak patut sepupu aku ni. Cubalah bayangkan, kejadian yang menimpa aku ni. Ceritanya berlaku dalam bulan puasa. Sepupu aku ni main mercun. Masa tu umur dia 6 tahun lebih dah. Dia memang nakal berbanding aku. Orang kampung yang kata. Tahun lepas, dia main mercun juga dalam rumah. Habis terbakar langsir rumahnya. Mujurlah cepat dislematkan. Kalu tidak, hangus dan rentung seisi keluarga. Kali ni dia buat perangai lagi. Kerana mercun juga. Dia selit mercun kat pampers budak yang sedang merangkak. Budak merangkak itu, akulah. Mercun roket. Dipatahkannya lidi mercun tu disumbatnya kepala mercun tu sedalam yang boleh, sumbu dikeluarkannya. Budak yang comel merangkak tu bukan tahu apa. Leka merangkak dengan aktif. Setelah dia bakar, apa lagi.. Dia pun larilah… Tiba-tiba dengar suara budak merengek. Punggung dah berasap. Terkejut pun ada agaknya. Sambil merangkak, punggungnya berasap. Nasib baik tak ada yang cedera. Nasib baik mercun tu tak besar kuasanya. Kalau tidak pasti aku terbang ke angkasa naik roket. Mujur tak ada yang cedera.

"Hei.. Ajak, ko sumbat mercun kat si Udeng ni kenapa?" herdik maknya yang merangkap ibu saudaraku dan isteri kepada abang emakku. Akak iparlah tu…

"Orang nak suruh dia terbang naik roket…Orang dah tanya dah, dia angguk orang letaklah" jawab anak dia dengan muka selamba.

Ibunya menggeleng kepala mendengar jawapan itu. Di kala Hari Raya menjelang tiba, cerita ini diulang kembali sebagai topik mencuitkan. Aku tak pasti bahagian mana yang melucukan. Mungkin mereka bayangkan aku sedang merangkak keluar asap macam patung mainan yang dijual di pasar malam; atau jawapan sepupu aku menyuruh aku naik roket; atau mercun itu diselitkan di punggung budak yang tak tahu apa hingga kini fobia mercun dan fobia roket.

No comments: