28.10.11

Otak-otak bersalut niat murni sayuran berklip lidi








Tuan-tuan dan puan-puan,

Hari ini, Chef nak kongsi dengan U all semua cara nak membuat otak-otak. Resepi ini dinamakan otak-oatak bersalut niat murni sayuran berklip lidi. Sebelum menyediakan bahan-bahan, pastikan U all semua ada kelengkapan memasak yang mencukupi dan ada minat untuk memasak dengan didorong dengan semangat maju jaya dan maju kendiri yang tinggi. Ini pra-syarat utama untuk U all. Pastikan diri U all bersih dari hadas kecil dan hadas besar. Pakai apron dan pakai tutup kepala. Chef nasihatkan hendaklah membasuh tangan sebelum memulakan aktiviti memasak dan ambil wudhuk adalah lebih afdhal. U all mulakan dengan Bismillah. Baik, ini bahan-bahannya ye...

Tuan-tuan dan puan-puan,
Satu kilogram ikan tenggiri di ambil isinya. Kalau U all nak pakai ikan lain pun takpe. Sardin misalnya pun boleh. Ikan bilis tidak digalakkan. Satu kerja pulak nak mengupasnya. Kalau U all ada anak ikan lagi bagus. Kemudian, satu biji kelapa parut. Kelapa parut ye. Bukan tangan yang berparut atau muka berparut. Kalau U all nak nampak gangster masa masak, U all parut la sikit pipi U all bagi nampak ganas kat dapur. Enam biji cili merah ditumbuk. Cili merah tu jangan rigid sangat enam biji. Lebih pun boleh kalau nak pedas. Ada juga suka yang pedas ye.. Lima batang serai ditumbuk. Elok kalau serai ni serai yang ditanam sendiri ye. Beli serai di kedai seolah-olah membeli cat untuk cat rumah jiran. Tiga sentimeter kunyi hidup ditumbuk. Ukuran ini penting untuk mengekalkan warna kuning yang tidak terlampau dan tidak terlalu kuning yang mengakibatkan juandis (penyakit kuning). Faham semua?!!!

Tuan-tuan dan puan-puan,
Kita sambung bahan-bahannya. Satu gram jintan manis ditumbuk. Elok ditumbuk berbanding diblender amaun yang sikit begini. Sehelai daun kunyit dihiris halus. Daun kunyit cari yang segar. Jangan ambil dari rumah jiran. Garam secukup rasa. Daun kelapa. Lidi secukupnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Itu bahan dia. Jadi, untuk membuatnya mulakan dengan Bismillah. Apa-apa perbuatan pun kita kena niat dan mulakan dengan nama Allah. Kemudian, doa untuk memulakan bagi memasak atau memulakan pekerjaan. Baik, tadah tangan baca ini.. "Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikan pekerjaan ini dan segala yang ada di dalamnya dan aku berlindung kepadaMu daripada keburukan pekerjaan ini dan segala keburukan yang ada di dalamnya.. Sesungguhnya di atas sesuatu itu, engkaulah yang Maha Berkuasa menentukannya." Seusai membaca doa, bolehlah U all memulakan aktiviti memasak. Mula-mula tumbuk ikan, kelapa parut, kunyit hidup, cili merah, serai dan jintan manis. Tumbuk di sini bukan untuk cari gaduh atau saja-saja tumbuk ye. Tumbuk di sini bermaskud semua bahan tadi agar dapat bergaul dengan mesra dengan halus. Kemesraan itu penting ye untuk mewujudkan suasana persekitaran yang harmonis. Gaulkan dengan garam sehingga rata ye.

Baik. Tuan-tuan dan puan-puan.

Sementara bahan gaulan tadi menjadi mesra, U all bolehlah buat kerja lain ye seperti draf surat kepada Pengarah Jabatan Kulinari Malaysia atau membuat memo dalaman kepada semua yang terlibat dalam GIS. U all janganlah membuang masa ye. Jadi, boleh dua kerja dalam satu masa. Baik, U all boleh sambung, ambil sesudu besar dan bungkus ikan dengan dua helai daun kelapa yang ditemukan dan klip kedua-dua sisinya. Semasa nak klip tu U all bacalah selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Buat sehingga habis dan panggang di atas api sederhana sehingga masak. Semasa memanggang eloklah beristighfar banyak-banyak memhon keampunan dariNya.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Taraaaaa!!! Hidangan boleh disajikan. Tapi isunya di sini di mana kedudukan sayuran? Baiklah, Chef berpendapat sayuran tak perlu digaulkan sekali kerana semasa meratah otak-otak itu tadi silalah berulamkan ulam raja atau kacang botol sebagai pelengkap resepi. Itu saja. Baik, Chef undur diri dulu. Jumpa di lain rancangan.


http://www.attoch.blogspot.com/


.

24.10.11

Surat kepada pengarah urusan


Kumpulan Kesatuan Sekerja (KSS),
Syarikat Boleh Diharap Sdn. Bhd.

____

Pengarah Urusan
Syarikat Boleh Diharap Sdn. Bhd.
Malaysia.

Tuan,


MEMOTIVASIKAN PEKERJA DALAM PEKERJAAN.


Adalah dengan hormatnya, kami merujuk kepada perkara di atas. Perbualan telefon dan SMS di antara pegawai tuan dan pegawai syarikat ini juga di rujuk pada 1 Oktober 2011 jam 9.45 malam. Maklumbalas dari FB syarikat posting yang kedua belas juga dirujuk atas perkara yang sama.

2. Kami bukanlah mahu sangat gaji dinaikkan setiap bulan. Imbuhan dalam wang ringgit juga kami tak mengharapkan. Itu akan jatuh nombor empat bagi kami untuk memotivasikan seseorang pekerja. Jatuh nombor satu kalau ikut pendekatan teori motivasi oleh Fedrick Taylor yang menekankan faktor imbuhan atau ganjaran yang berupa pembayaran gaji kepada individu bagi menggalakkan prestasi kerja yang cemerlang. Apa yang kami harapkan adalah pujian yang paling komang pun dengan ucapan tahniah atau apa-apa bentuk ucapan yang menyemarakkan semangat kami untuk terus melaksanakan perkara atau tugas tersebut. Kami turut hairan dalam melaksanakan tugas di syarikat ini, pihak pengurusan sangat susah untuk melahirkan penghargaan dalam bentuk ucapan tahniah ke, syabas ke, bagus ke, well done ke, bravo ke dan apa jua yang seangkatan dengannya.

3. Untuk pengetahuan pihak tuan, kajian menunjukkan bahawa pekerja di satu-satu organisasi menjadi lebih bersemangat dan lebih seronok untuk datang ke tempat kerja apabila dipuji. Apabila mereka dihargai. Kalau mengikut teori Elton Mayo, faktor hubungan antara manusia yang sering memberi kerjasama antara satu sama lain menyumbang ke arah produktiviti organisasi. Selain itu juga, nilai penghargaan terhadap individu hendaklah diberikan bagi mewujudkan motivasi yang unggul kerana setiap pekerja wajar merasakan mereka perlu dihargai. Jadi, kami mengesyorkan kepada syarikat bahawa buatlah apa-apa acara yang di dalamnya diisi dengan penyampaian anugerah pujian atau ketahniaan. Bukan hanya tertakluk kepada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) semata-mata.

4. Belum pula kami selitkan di sini motivasi kerja dalam Islam. Tak perlu la kami panjangkan di sini. Apa yang kami harapkan adalah agar pihak syarikat menghargai kami. Bagi yang pekerja yang mempunyai masalah sering tidak datang ke tempat kerja atau selalu tiada di pejabat, pihak pengurusan boleh memikirkan sesuatu untuk mereka kerana sebenarnya perlukan perhatian organisasi. Bolehlah dicadangkan seperti pekerja berpakaian kemas, kategori pekerja bekerja lebih masa dan sebagainya.

5. Sehubungan itu, kami memohon kebenaran tuan untuk mendapatkan maklumat mengenai aplikasi penggunaan GIS di Syarikat tuan. Dengan aplikasi ini, tahap motivasi pekerja dapat ditentukan setiap hari.

Segala kerjasama dan perhatian pihak tuan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian.


"KEBERANIAN, KEGIGIHAN, KETABAHAN"


Yang Benar,


(A. ASTAKONA)
Wakil Pekerja
Kumpulan Kesatuan Sekerja (KSS)
Syarikat Boleh Diharap Sdn. Bhd.


*Surat ini tidak perlu ditandatangani kerana dijana oleh komputer.

Nota : Sila abaikan surat ini jika apa yang telah disyorkan telah dilaksanakan.


http://www.attoch.blogspot.com



.

20.10.11

Ayah bukan bos. Ayah ada bos!



Satu pagi. Rambut gua serabut lupa nak sikat. Gua nak jumpa artis. Gua ketuk pintu. Suara dari dalam cakap "masuk!"

Gua pun masuk. Bagi salam. Rambut gua serabut lupa nak sikat. "Hah, skrip ni ada sikit pindaan. Sila Baiki.." Gua angguk sambil cakap, baik... Rambut gua serabut lupa nak sikat.

"I nak U tukar plot ni, masukkan plot ni, cari jumlah sebenar props yang nak pakai.., babak yang sini tukar sub plot ni. Jangan silap lagi tau.."

Gua cakap "baik!" Sambil angguk-angguk kepala. Rambut gua serabut. Lupa nak sikat.

"Lain kali sila datang sini." Dia kata.

"Jangan tunggu I panggil.. Baru nak datang.." Dia tambah.

Gua senyum. "Okey.." Rambut gua serabut lupa nak sikat.

"U baiki ini skrip. Sila datang semula."

Gua cakap "terima kasih bos!"

Dia bagi gua kerja, gua dah siapkan. Dia tak ucap terima kasih pun. Kemudian.
Dia suruh gua baiki. Gua pulak yang cakap terima kasih. Apa? Susah sangatkah nak menyebut perkataan terima kasih tu.. Kemon la...

Buatlah pada orang lain apa yang mereka hendak daripada anda walaupun mereka tak buat apa yang anda hendak buat.

Terima Kasseyy! - Alleycat


19.10.11

Sekelumit kamaafan tidak meniti di bibir. OMG!



Satu pagi yang hening. Tapi bingit dengan hiruk-pikuk kenderaan. Tak henti-henti berderu-deru. Udara sekeliling bertambah tercemar. Aduhai, masuk ke saluran pernafasan penghuni bumi. Semakin lama semakin banyak kenderaan bermotor yang malalui jalan ini. Kesibukannya, mengalahkan bandaraya besar seantero dunia. Masing-masing bergegas mahu cepat dan pantas. Menyempurnakan urusan duniawi dan ukhrawi. Nampak tak, penulisan ini menyelitkan islamik agar pembaca ada keinsafan. Juga mengingati penciptaNya. Kelihatan juga gerombolan pekerja-pekerja industri berjalan kaki. Menuju ke tempat kerja. Kanak-kanak sekolah melintas jalan. Urusan pengkebumian dengan kereta mewah pun ada. Yang mati, biarkan mati. Yang hidup teruskan hidup. Pekerja-pekerja makan gaji bergegas ke tempat kerja. Seolah-olah seperti esok tiada lagi.

Macam selalu-selalu. Aku menunggang kenaikan pacuan dua roda jenama HONDA. Pagi itu memang kenderaan bermotor sangat banyak berbanding basikal dan beca. Sejurus selepas lampu hijau, aku memecut dan memulas untuk pacuan dua rodaku pergi laju dan jauh. Jauh meninggalkan semua. Jauh meninggalkan kenderaan lain. Entah kenapa pagi itu aku memecut aku pun tak faham. Silap-silap boleh kena radang pundi kencing kalau membonceng bersama aku. Barangkali inilah yang dinamakan jiwa muda bergelora untuk merempit masih ada. Padahal, tiada siapa pun mengajak aku untuk berlumba. Tiada siapa juga yang akan menawarkan hadiah yang lumayan atau gadis comel kalau aku sampai ke destinasi yang dituju dengan cepat.

Dipendekkan cerita, tiba di satu simpang tanpa lampu isyarat. Aku di lorong kiri. Di depan aku YAMAHA. Sebelah kanan aku NISSAN. Ada TOYOTA dari arah yang bertentangan telah berniat mahu masuk ke simpang. Niatnya itu, tidak diketahui oleh orang sekitar. NISSAN berhenti memberi laluan. YAMAHA juga perlahan memberi laluan. Tidak semena-mena aku yang memacu HONDA perlahan pun menekan brek secara mengejut. Nah, datang SUZUKI meluncur dari belakang melanggar aku. Aik, main belakang nampak!

Skreeeeeeeettttttt... Bam boom bang!

Terus melanggar HONDA aku. Sempat aku menoleh belakang. SUZUKI hampir terjatuh. kalau jatuh tersungkur akan aku ucap "Hei, orang berjaya banyak kali jatuh tersungkur."
Aku lihat tempat pemijaknya tercopol. Tinggal lagi nasibnya pagi itu baik, tidak jatuh di pembaringan. Dia dapat mengawal SUZUKInya. Aku mengambil posisi ke sebelah kiri jalan. Tengok-tengok juga kalau ada apa-apa terjadi. Takut juga kalau SUZUKI tadi meletakkan bom di belakang. Sabotaj ke. Khianat ke. Hasad dengki ke. Manalah tau. Aku berhenti. Aku perhati plet HONDA sedikit tergeliat. Aku membetulkan semula.

Owh... SUZUKI tadi berlalu begitu saja. Macam tiada apa yang berlaku dan tak rasa bersalah langsung. Langsung rasa tak bersalah punn.. Aku bukan mengharapkan ganti rugi waima tuntutan insurans sekalipun. Berat sangatkah kau mahu berhenti sekejap meminta maaf dengan aku. Dan aku pasti jika tiada besi box di bahagian belakang HONDAku. Pelanggaran teruk akan berlaku. Sila-silap perut kau terodok kat situ. Usus kau boleh terburai. Besi itu menyelamatkan keadaan.

Tuntasnya, tak bolehkah kau berhenti seketika. Mengetahui kedudukan sebenar. Kalau kau berani langgar aku. Kenapa pula kau tak berani meminta maaf dengan aku. Jangan khuatir, aku tak akan buat laporan polis. Macamana yang terjadi ke atas diriku. Bagi aku, kau harus bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku. Tidak semestinya kau meminta maaf kau bersalah. Manalah tau, ketika itu kau dikacau tuju-tuju atau terkena buatan orang atau fikiran kau tidak tenang. Maka, aku boleh maafkannya. Buaknkah bermaafan itu amalan mulia.

Jadi, di sini jadikan kisah ini sebagai teladan. Responsif dan reaktif kepada persekitaran. Maka, di sini aku ingin mengambil kesempatan kepada semua yang membaca tulisan ini. Maafkan aku. Kemaafan dari kalian membuang prejudis yang menyatakan kita bermusuhan. Dan tiada tikaman dari belakang. Atau tiada duri dalam daging atau gunting dalam lipatan. Maafkan aku. Aku tak tunggu Hari Raya Aidilfitiri atau Hari Raya Aidiladha untuk meminta maaf dengan kalian. Kalian juga tak perlu tunggu nak menunaikan haji baru mahu meminta maaf dengan sesiapa. Apa salahnya kita saling bermaaf-maafan dan ampun-mengampunkan. Kepada yang ingin menunaikan haji pada tahun ini. Didoakan semoga memperolehi haji mabrur. Kirimkan doa kebahagian dunia dan akhirat untukku sekeluarga.


Selamat ulang tahun yang ke-8 Nur Afiqah Saifuddin.




.

18.10.11

Do the thing right


"Pernahkah anak awak masuk wad sebelum ini?" Tanya Doktor Pelatih perempuan yang rambutnya serabut itu kepada awek saya.


"Tak pernah." jawab awek saya.

"Berapa umur dia puan?" Tanya Doktor pelatih perempuan yang rambutnya serabut itu kepada awek saya.

"Lima bulan." Jawab awek saya.

"Dia ada demam ke.. batuk-batuk ke.. " Tanya Doktor Pelatih perempuan yang rambutnya serabut itu kepada awek saya.

"Ada. 2 hari lepas. Tapi sekarang dah ok. " Jawab awek saya.

"Pernahkah anak awak masuk wad sebelum ini?" Tanya Doktor Pelatih perempuan yang rambutnya serabut itu kepada awek saya.

[telefon doktor berbunyi...]

"Sekejap aaaa..." kata Doktor Pelatih perempuan yang rambutnya serabut. Kemudian, bercakap di dalam talian telefon bimbitnya.

Lamaaaaaaaa...... Kami tunggu. Dia ke hulu ke hilir. Entah apa urusan saya pun tak faham.

Kemudian.

Dia datang kembali. Melabuhkan punggungnya. Memulakan soalan.


"Ok Puan, Pernahkah anak awak masuk wad sebelum ini?" Tanya Doktor Pelatih perempuan yang rambutnya serabut itu kepada awek saya.

"Err, rasanya doktor dah tanya soalan ni kepada saya..." Jawab awek saya.


Lalu saya bangun. Saya cakap kat doktor itu. Hey, dari tadi Doktor asyik tanya soalan yang sama kepada saya. Mulai jam 10 malam sampai sekarang, jam menunjukkan jam 11.30 malam. Saya dah tak boleh tahan dah ni.. Kenapa lah tak efisien sungguh buat kerja. Apa pun tak boleh!!

[Ini saya tak buat. Penambah perisa cerita saja. Saya dan awek saya bersabar... ]

"Doktor, doktor graduan mana? Pernahkah doktor masuk universiti atau mana-mana institusi sebelum ini?" tanya saya ingin kepastian.

[Ini saya buat. Buat muka doktor berubah. saya dan awek saya berpandangan..]




.

11.10.11

Nukilan 1


Nukilan : Nur Afiqah
Umur : 7 tahun
Kelemahan : Perletakan dan ketiadaan tanda bacaan.
Kekuatan : Lapar sangat digariskan. Maknanya penekanan berganda.

.

7.10.11

Monolog Jumaat

Dah lama tak update blog ini. Rindu nak menulis.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Kepada pemilik kenderaan BFY 9596
Sila alihkan kenderaan anda sekarang!!

Jika kau mempunyai kuasa. Janganlah kau mempergunakan kuasa itu untuk kepentingan kau sendiri. Jika kau mahu membuat keputusan, lebih elok kau pastikan keputusan yang kau buat itu tidak mengecilkan atau mencuit perasaan orang lain. Kau harus dengar dari kedua belah pihak. Bukan hanya satu pihak tanpa memanggil pihak yang sau lagi. Itu berat sebelah namanya.

Isu kenderaan tidak datang pada waktunya dan isu pengurusan masa yang kurang baik adalah dua isu yang berbeza tetapi saling berkait. Kau jangan sekali-kali menjatuhkan hukuman yang tidak adil. Adil di sini bermaksud meletakkan sesuatu di tempat yang hak. Kalau kau menyuap makanan kau melalui lubang hidung, itu tak adil namanya. Tapi kalau kau jatuh sakit atau gering yang tak boleh makan ikut mulut itu perkara lain.

Jangan tanya orang apa perlu dibuat jika sesuatu pelan A yang dirancang itu tak menjadi. Kau harus ada pelan B sebagai pelan alternatif. Jangan pula kau buat terpinga-pinga dan buat rasa tak bersalah. Sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia yang lain. Secara tuntasnya, hanya dengan mata orang lain dapat menilai diri kita ini siapa. Fikir-fikirkanlah. Sekian sampai jumpa. Dalam hari yang sama rancangan yang sama.


.