28.2.06

Parah Berdarah...

Seperti hari-hari biasa. Sudah menjadi kebiasaan dan rutin harianku. Menghantar dan menjemput adik. Dia lebih gemar dibonceng dengan motosikal. Sekolahnya bukan jauh sangat. Dulu, aku sekolah tu juga. Boleh je jalan kaki. Motosikal EX5 ayah jadi sasaran. Aku pinjam sebentar. Nak hantar adik sekolah sesi petang. Kuhantar sampai depan pintu pagar. Ya lah, mana tahu dia ponteng sekolah kalau tak hantar sampai depan pagar. Bukan boleh percaya. Aku akan pastikan dia sampai ke bilik darjah. Petang itu, persimpangan berhampiran sekolahnya memang sibuk.
___
Simpang tiga tu memang tiada lampu isyarat sejak dulu lagi. Aku mahu masuk ke kanan. Ada kereta dari arah bertentangan. Aku berhenti di sebatang jalan lurus sementara menunggu kereta betul-betul pasti tidak ada. Tiba-tiba ada kereta Proton Saga warna putih menghentam aku dari sebelah kanan. Nombor pendaftaran aku tak ingat. Hentaman begitu kuat. Motosikal yang aku tunggang terperosok di bawah keretanya. Aku sempat melompat singkat, terlantar di jalan. Aku sedar. Aku masih sedar. Tiada apa yang luka agaknya. Degup jantung masih berdenyut kencang. Aku masih bernafas seperti biasa. Keadaan jalan mula sesak akibat kemalangan tadi. Orang ramai yang berada di tepi jalan tadi menjadi saksi kejadian. Aku yakin, mereka nampak dengan jelas. Ramai juga yang sanggup menolong aku dan ramai juga yang menolong lalu tengok saja. Kereta Proton itu yang bersalah. Pemandunya dah berumur. Mata dah hampir kabur agaknya. Tukar aja dengan mata lembu. Besar sikit. Kusangkakan tiada apa yang cedera pada diriku. Setelah orang ramai meminta aku beralih ke bahu jalan, baru kusedar. Ada kesakitan di kaki. Berhampiran buku lali. Kulitnya terkoyak dan tersiat besar. Ternganga luas. Darah merah pekat mengalir. Ditambah pula sinar bahang dek panas mentari. Aduh! Sakitnya tidak terperi. Aku menahan kesakitan. Dalam pada aku menahan, air mata jantan mula mengalir dan menitis membasahi pipi. Kalau keluargaku tahu hal ini pasti mereka akan marah. Banyak darah yang terbuang begitu saja. Kalau didermakan pada orang yang memerlukan saat ini kan bagus. Tapi, ketika ini rasanya aku lebih memerlukan. Jari tangan kiriku mula terasa peritnya. Jari kelingking sudah terkoyak. Entah mana serpihan selebihnya tu pergi di tengah jalan. Ah, biarkanlah dia hilang. Sementara itu, motosikal sudah tersadai tepi. Sepit udangnya bengkok ke dalam. Tayar depan tak lagi bulat. Remuk habis. Macam motosikal tu nak bertukar jadi helikopter. Aku masih menahan kesakitan. Berdenyut-denyut rasanya. Terasa dalam lukanya. Pedih bukan kepalang.
___
Tibanya di hospital makin serius sakitnya. Naik ke kepala rasanya. Seolah-olah ada benda yang menyucuk. Aku dikenakan tujuh jahitan kemas di kaki. Tak pasti jenis jahitan apa. Jahit sembat kot. Jari kelingking terpaksa dipotong separuh kerana dah rosak kata doktor. Tidak berfungsi. Sepanjang kejadian, pihak keluarga di rumah tidak diberitahu tentang hal ini. Melihat anaknya dipangku, mereka terkejut bercampur menjerit. Ada kemalangan yang menimpa anaknya. Malang memang tidak berbau harum. Bergantunglah kemalangan itu berlaku di mana. Pemandu nyonya tadi dah langsaikan ikut jalan tepi. Tidak mahu ke Balai Polis katanya. Nanti banyak cerita. Lagipun dia dah mengaku dia salah. Ramai yang menolong tadi, memang menyebelahi aku. Semua kerosakan digantinya. Duit ubat ditanggung. Gaji harianku diberi sebab dengan kemalangan ini, aku tak boleh pergi kerja. Aku hanya terlantar di katil selama beberapa minggu. Kaki berjahit, jari berbalut. Nampaknya itu saja yang cedera. Ada juga luka-luka sikit tercalar di bahagian badan. Tapi luka kecil. Bahagian dalaman mungkin ada yang luka. Tak nampak oleh mata kasar. Harapnya tiada yang luka. Air mata jantan berlinangan setiap kali orang datang ziarah. Air mata ini tak mampu ditahan. Entah apa yang aku fikir dan kenangkan semasa kemalangan itu.

Aku kasihan pada diriku yang ditimpa kemalangan ini;
Aku kasihan pada ibu yang sanggup merawat aku sepanjang aku tenat; dan
Aku kasihan pada nyonya itu ditipu oleh mereka yang meyakinkan aku mempunyai lesen B2.

Menyahut cabaran

Kalau dikenang-kenang aku pun kurang pasti bagaimana kejadian ni boleh berlaku. Aku ni orang yang sabar sebenarnya. Tapi masa tu, macam mana aku boleh hilang sabar. Kisah ini apabila diceritakan oleh orang lain, jadi bahan ketawa. Entah apa yang lucunya aku pun kurang periksa. Agaknya masa tu aku geram pun ada. Maklumlah, kekadang adik-adik ni tak nak dengar cakap abang dia. Orang cakap sekali tak jalan, cakap dua kali tak makan saman. Takkan nak cakap sampai berbuih mulut. Lepas tu dia ajuk pula cakap kita. Mana tak naik darah dibuatnya. Menyirap… Kebetulan masa tu, ibu menyuruh sesuatu. Jadi, aku perturunkan kuasa aku menyuruh adik aku yang duduk berhadapan denganku di meja makan tapi mukanya dipalingkan dari aku. Aku dah cakap dengan dia, buatlah benda tu. Bukan susah sangat pun. Lagipun masa tu aku ada kerja lain yang nak dibuat. Dia tak dengar cakap aku. Langsung tak ada respon. Aku mati akal nak buat apa dengan adik aku yang perempuan ni. Nak dipukul tak ada rotan atau kayu kat atas meja tu. Nak ambil, malas. Entah macam mana dialog ini menjadi pencetus kejadian.

"Pergilah buat…"
"Abang lah buat, mak kan suruh abang.."
"Pergilah.. issh.. budak ni, karang aku bakar rambut kau karang…"
"Bakarlah…"

Sudahnya memang aku sahut cabaran itu, rambut yang kerinting mengurai tu jadi mangsa sasaran. Aku capai pemetik api lalu aku bakar hujung rambutnya. Aku tak sangka pulak yang api tu merebak. Naik pucat aku, rambut dia hampir terbakar. Bukan hampir, memang dah terbakar sebahagiannya. Cepat api merebak. Nasib baik sempat diselamatkan. Mujur tindakan cepat. Bau hangus memenuhi ruang udara hingga ke dapur menusuk ke hidung mak yang sedang masak. Rambutnya jadi menggerutu. Dia menangis teresak-esak mengenangkan rambutnya yang hangus. Dia menjadi mangsa kebakaran kecil tapi bahaya. Aku kasihan dengannya. Lain kali jangan cabar aku. Kan aku buat betul-betul. Mak memarahi aku kerana tidak berfikir dulu sebelum bertindak. Membakar rambut orang sesuka hati. Bukankah rambut tu mahkota wanita pesan mak lagi. Lain laki kalau nak bakar jangan bakar lambang mahkota wanita. Pergi bakar sampah kat belakang rumah atau pergi makan ikan bakar. Cubalah kalau rambut kau dibakar. Selepas kejadian tu, memang aku cuba membakar rambut yang bertebaran setelah ayah menggunting rambutku. Memang benar baunya hangus busuk kurang menyenangkan.

22.2.06

Ini surat letak jawatan. Nah!

Letak Jawatan
Sebentar tadi, aku baru bincang ngan bos aku. Nak letak jawatan sekarang. Dapat tawaran kerja yang baru...Aku datang di kala kau perlu. Aku pergi di kala kau tak perlu aku. Surat perletakan jawatan aku masih dalam genggaman. Ini baru draf surat perletakan jawatan aku. Nanti aku hantar.
_
Mr. Xxxxxx
C 8027 Kg. Semabok Dalam
Jalan Semabok Dalam
75050 Semabok
Melaka 22 Februari 2006
______________
En. Zzzzzzz
Prinsipal XXX Consult,
0-00, Tingkat 0 Jalan PM0,
Plaza Mahkota Bandar Hilir,
75000 Melaka.

Tuan,
PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI .......................
Perkara di atas adalah dirujuk. Dengan dukacitanya saya ingin meletakkan jawatan sebagai ...................... di firma tuan berkuatkuasa pada 3 April 2006.

2. Saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak tuan kerana telah memberi peluang untuk saya berkhidmat di firma tuan. Selama tempoh ini, terlalu banyak pengalaman dan pendedahan yang telah saya perolehi. Di kesempatan ini, saya juga ingin memohon kemaafan sepanjang tempoh saya bertugas di firma tuan. Jasa baik dan kepercayaan tuan terhadap saya amat dihargai.

3. Memandangkan cuti tahunan dan cuti tanpa rekod saya yang berbaki 22 hari, dengan berbesar hati saya memohon jasa baik tuan untuk meluluskan cuti saya bermula 13 Mac hingga 31 Mac 2006 (15 hari) untuk urusan perpindahan.
Sekian, terima kasih.

Yang Benar,
…………………………
(Mr. Xxxxxxxx)

19.2.06

Singgah Selalu

Aku bukan suka sangat ganggu kehidupan orang. Apatah lagi orang tu tengah berehat atau orang tu memerlukan Privacy yang tinggi ketika itu. Tapi aku tak suka kalau dah lalu rumah orang atau kawan tu, tak singgah. Kalau sempat aku singgah. Paling tidak, tanya khabar atau jenguk sebentar borak perkembangan kerjaya. Cukuplah kita berziarah. Aku tak perlu yang lain. Aku cuma perlu bertemu dengannya. Aku tak mahu dia buat susah. Cukuplah seteguk air. Basahkan tekak. Aku tak mahu itu semua. Aku mahu perhubungan silaturRahim kekal berpanjangan. Jangan ada benci antara kita

16.2.06

Mimpi Sepi

Ada macam yang belum lengkap. Semua serba tak kena. Tak menjadi pun ada. Ada macam kosong di dada. Dalam diri rasa sendiri. Rasa sendiri waktu sepi. Waktu sepi menikam dada. Menikam dada menusuk kalbu. Menusuk kalbu bagai hempedu. Bagai hempedu pehit ditelan. Ditelan pahit diluah sakit. Diluah sakit dijamah perit. Dijamah perit…
Kalau kita lapar, kita makan. Hukum akal kata kalau makan akan kenyang. Ada juga orang makan tak kenyang-kenyang. Itu makan dengan syaitan. Syaitan yang direjam. Kita sering kali terlupa nak baca doa. Baca doa dalam memulakan sesuatu pekerjaan…
Oh ya… Aku belum solat Asar

Kau Datang Lagi (?)

Semalam ada datang
Katanya tak ada orang
Rupanya temberang
Musang berbulu perang

Hari ini ada temujanji dengan orang. Temujanji untuk menyelesaikan misi dan mendapatkan kata putus. Katanya kita tak perlu buat pengambilan. Kerana ia merugikan. Itu kerja Kerajaan Negeri. Walhal, ini juga projek Kerajaan Negeri. Pemajunya juga dilantik oleh Kerajaan Negeri juga secara usahasama. Projek ini penting. Projek infrastruktur melibatkan negara. Dalam masa yang sama timbul pula kos lepas. Nelayan hilang mata pencarian, kemusnahan pokok bakau, ekosistem terancam. Timbul pencemaran dan wujud kebisingan.

Hasil dari keputusan mesyuarat pertama tempohari, pemaju akur akan keputusan pengarah iaitu pengambilan balik tanah untuk jalan masuk. Banyak lot yang terlibat di kiri dan kanan jalan. Memang kena. Juruukur akan pastikan setiap inchi tanah ada nilainya. Takkanlah tak boleh bayar sedangkan projek ini berjuta-juta.

Karenah pemaju selaku pelanggan kami memang tahap cipan melampau. Ada saja yang tak kena dengan laporan. Laporan yang kami hasilkan. Salah ejaan dipertikaikan. Penggunaan ayat perlu dikawal agar tidak menimbulkan isu dan spekulasi. Tatabahasa juga dilihat. Ini macam kerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ini betul-betul pelanggan yang mahukan kesempurnaan. Kesempurnaan yang menyusahkan diri sendiri. Dalam kiraan, dah masuk tujuh kali laporan yang diajukan dipinda. Itu belum dikira perkara yang renah-temah. Perkara yang sekecil-kecilnya.

Pernah dia minta kita untuk turun ke Seremban semata-mata menukar satu muka surat pada laporan yang telah dihantar. Semuanya ada 25 salinan. Sudah siap dibinding terpaksa dibuka semula untuk menggantikan satu mukasurat semata. Hanya salah kecil. Dia cuba nak ajar kita. Dia cuba nak permainkan kredibiliti dan kewibawaan seorang professional. Itulah satu contoh pemaju yang angkuh dan sombong. Bongkak dan takbur. Bila kita bagi nasihat agar ikut dasar Kerajaan Negeri. Selain dengan dasar yang termaktub dalam Pelan Perundangan untuk memudahkan kelulusan. Katanya itu tak penting. Kita dah berbicara dengan Pengarah katanya. Hah, tengoklah kan. Nanti aku tak nak tolong lagi kalau kau mencari.

15.2.06

Hidung Tinggi

Aku ambil yang tersangkut satu
Ada corak bunga-bunga
Warna latar corak halus merah
Aku lilit dan belit
Aku simpul rapi
Dileherku yang jinjang

Tak lama lagi mesyuarat nak mula. Katanya jam dua petang. Tapi satu batang hidung pun aku tak nampak lagi. Jam di tangan aku ni rosak agaknya. Heh.. Jam ni baru beli tau… Jam Tag Huever. Original punya… Jarum pun dah menunjukkan pukul tiga petang.
Telefon bimbit berbunyi….

Hoi, ko kat mana?
Aku ada kat atas ni, takde sorang pun?
Mesyuarat dah mula lah…

Aku tengok tulisan yang tertera di depan pintu bilik tersebut SEROJA. Aku mula bingung...
Silap bilik mesyuarat… KEMBOJA rupanya.

Naik lagi beberapa tingkat untuk sampai ke bilik KEMBOJA. Samada aku salah dengar atau aku salah catit tempat bilik mesyuarat.

Jam dah menunjukkan jam 5.35 minit petang.
Tadi masa mesyuarat tiada seorang pun yang keluar solat Asar. Aku je yang keluar… Kalau ada pun yang keluar, buang air kecil. Dalam mesyuarat tu dah tentunya semua beragama Islam. Isshh.. Teruk betullah mereka ni. Berjawatan tinggi… Gaji tinggi tapi sayang hidung tinggi. Hidung tinggi terhadap penciptaNya. MasyaAllah…

Mesyuarat tiada keputusan
Entah bagaimana statusnya
Semua buat tak tahu aje
Seolah-olah tiada apa
Tarikh akhir dah nak hampir
Usah biarkan semua berlalu kosong

14.2.06

Ku Pikulmu Lagi

Aku dah pesan kepada Bos, beli satu Laptop untuk kegunaan luar pejabat. Laptop tu komputer riba. Jika ada sebarang mesyuarat atau sesi pembentangan boleh dibawa ke mana-mana. Setiap kali perkara ini diusulkan, jawapan yang kuterima masih sama seperti dahulu. Jawapannya nanti kita akan beli. Sekarang dah hampir masuk dua tahun lebih benda alah tu masih tak muncul-muncul. Tiap kali ada sesi pembentangan di luar pejabat. Aku terpaksa pikul CPU ke hulu dan ke hilir. Nasib baik aku ada kereta, kalau naik motosikal. Payah juga. Tapi, nak buat macamana, ni kompeni dia. Aku cuma makan gaji dengan dia. Dia Bos, aku Kuli. Tempohari ada mesyuarat di Johor Bahru. Pikul lagi komputer tu. Kasihan komputer tu. Tak senang duduk. Semalam ada diskusi di Majlis, pikul lagi komputer tu. Bukan sekali dua pikul ke Majlis. Dah berkali-kali. Maknanya dah banyak kali. Tiap kali aku pikul komputer tu ke destinasi yang hendak di tuju ada saja mata sekeliling yang memandang. Bukan mata gelap. Bukan mata duitan. Bukan mata keranjang. Mata orang ramai. Aku rasa tak selesa. Aku bukan pencuri komputer. Aku bukan tukang baiki komputer. Bukan juga tukang jual komputer. Aku hanya menjalankan tanggungjawab murni aku untuk seorang Bos. Bos yang sentiasa tersemat di hati. Bos yang aku cinta pada hujung bulan. Bos yang aku jarang jumpa di pejabat.
__

Apa yang aku khuatir ialah tentang tahap kesihatan komputer aku ni. Ditakuti semasa mengangkat dan membawanya ada organ dalamnya yang terhentak. Jantung dan hatinya sangat sensitif. Ususnya juga dah sarat. Takut rosak. Kena dek panas. Tak pernah kena dek hujan. Tuannya, sering menggunakannya. Tak pernah melakukan penyelenggaraan. Kalau ditakdirkan dia mempunyai perasaan, dah lama dia maki hamun aku tujuh keturunan. Tapi, dia memang memahami aku dan cuba memahami Bos aku. Monitornya dah kabur. Akibat tertumpah air sirap setahun lalu. Mujur tiada semut yang datang menghurung. Kalau tidak wujud perumpamaan baru. Tak ke mana matinya semut, tentu di monitor komputer. Sampai sekarang masih belum dibaiki. Masih boleh digunakan tetapi mata berpinar-pinar apabila menghadapnya. Tapi , bagi aku benda ni dah lali. Bagi orang yang baru melihat monitor ni pasti meleleh air matanya. Nak naik rabun pun ada. Dalam komputer ni macam-macam ada (sebutan sama dengan tagline ASTRO). Fail yang penting pun ada. Yang tek penting pun ada. Tahap kepentingannya sukar nak tentukan. Ramai yang dah pesan buat backup. Tapi aku rasa ia masih utuh dan mantap. Biarlah dulu…
__
Pada 15 Feb 2006, aku terpaksa mengajak rakan sepejabat untuk menyemak pelan pembangunan yang telah dihasilkan. Lagipu, sebab kena pikul satu set komputer. Mana boleh pikul satu set seorang diri. Boleh tu boleh tapi susah. Strateginya, seorang bawa monitor, seorang lagi bawa CPU dan aksesori lain. Tempat letak kenderaan di Majlis tu agak jauh dari bangunannya, letih juga dibuatnya. Kalau nak hampir, perlu kerja dengan Majlis. Hanya kakitangan Majlis boleh parking kat situ. Untuk mengelakkan keletihan memikul komputer, parking aja di tempat kakitangan Majlis. Belum sempat kami nak masuk, pengawal keselamatan yang berada di situ meniup wisel. Dia memberi arahan kereta awam tak boleh masuk. Aku meberitahunya dengan baik untuk meletakkan barang yang dibawa dalam beberapa minit, kemudian kami akan letak kereta di tempat asal. Dia bersetuju tapi air mukanya nampak kurang ikhlas. Ah. Peduli apa. Kami bergerak dengan pantas untuk mengelakkan kesesakan di laluan yang sempit itu.
__

Nak kena pikul ke bilik mesyuarat Majlis. Nasib baik di tingkat satu. Setibanya di bilik mesyuarat, kami memasang apa yang perlu untuk tujuan pembentangan. Walhal LCD projector dan skrin putih kami tak bawa. Kalau nak dibawa bersama alamat kena tempah kenderaan yang lagi besar. Lagipun memang kami tak punya.

"U ada bawa LCD dan skrin tak?". Perempuan yang tak dikenali dalam bilik mesyuarat tetiba menyuarakan pertanyaan.

"Takde". Aku jawab ringkas.

"Bawalah U punya skrin putih turun". Dia kata lagi sambil membuka suis air-cond
????!!. Aku binggung dan terus memandang kawanku. Kami saling berpandangan.

"Eh, diorang ni konsultan (dalam bahasa mudah jururunding), nak semak maklumat dan sahkan maklumat dengan kita". Penolong Pegawai yang di telefon pagi tadi.

"Oooo.. I ingatkan student practical kat sini". Kata perempuan tadi sambil tersipu malu.

"Apalah U ni…"

"Mana I tahu, U tak inform…"

"Diorang ni buat RT untuk kita, kita kena bantulah diorang"

"La… Selalunya konsultan bawa Laptop. Sebab tu I ingat diaorang student practical… Pikul komputer".

Ayat yang diluahkan tadi memang sinis. Panas juga telinga mendengarnya. Terguris juga hati ini. Malu pun ada. Kelakar pun ada. Nasib baik Bos tak ada di tempat kejadian. Kalau tak… Masa tu juga aku akan berkata ayat yang sama seperti di perenggan pertama. Nasib baik muka kami berdua masih dapat dikawal lagi kemarahannya. Terselindung di sebalik senyuman mesra. Terselindung di sebalik air muka yang riang.

"Eh… Suruh la Bos U beli Laptop. Kan senang. Tak payahlah nak usung ke hulu ke hilir". Penolong pegawai tu menekankan agar kami sebagai konsultan sekurang-kurang mempunyai satu Laptop.
__

Dalam hari memang macam-macam jenis ayat yang tercatat. Tapi tak terkeluar di mulut. Antaranya ialah, pejabat kami memang ada satu komputer riba tapi memang sukar untuk di bawa ke mana-mana. Bertelur agaknya atau sedang menjalani proses penduaan. Tidak bebas. Komputer tu ada kat rumah Bos. Kalau nak guna, telefon Bos… Tu pun belum tentu Bos akan bagi. Jadi, kesimpulannya… Baik tak payah nak susah payah minta pada yang tak sudi.
__

LCD projector dah pun tiba yang dipinjam dari unit komputer di tingkat atas. Nasib baik mereka ada banyak. Kita pinjam sekejap untuk paparkan peta pembangunan yang telah dibuat. Sementara menunggu, kami sempat juga berbual-bual dengan prempuan yang bertanya tadi. Namanya Hani (bukan nama sebanar). Dia minta maaf atas kesilapannya tadi. Salah faham katanya. Kami bertanya tentang kerja. Tentang komputer. Tentang belajar dan tentang dia. Ya Tentang Dia. Dia bahasakan dirinya akak. Memang rupanya nampak awet muda walau dah beranak tiga. Badannya masih boleh tahan. Tahan apa?... Senyuman di bibir yang diukirnya masih ayu dan manis. Tapi yang sedihnya dia kata aku masih belum berumah-tangga. Sedangkan sebaliknya. Mana nak campak isteri dan anakku. Kasihan mereka, nanti tak ada tempat bergantung. Dia masih tidak percaya dengan pendirian dan status aku. Nampak macam budak lagi katanya. Ini memberi dua petanda. Satu petanda baik. Dan satu petanda kurang baik. Aku tak mahu ulas lanjut. Ini bukan isi utama yang ingin disampaikan dalam cerita ni. Ini hanya sampingan semata.
__

Kira-kira jam 2.30 pm pulang ke pejabat semula. PC dipasang semula. Ada benda yang cukup. Ada benda yang hilang. Mouse. Tetikus takde. Tetikus ni melarikan diri. Untuk sementara waktu, guna dulu tetikus dari komputer lain. Kawan aku baru teringat katanya, semasa meletakkan barang-barang di kereta ada terdengar satu benda jatuh. Dia fikirkan bahawa aku dah mengutipnya dan menyimpan kembali. Maknanya memang sah tetikus tu jatuh di tempat letak kereta semasa proses meletak komputer di tempat duduk belakang untuk balik. Aku berpesan kepadanya untuk singgah nanti selepas pulang dari pejabat. Moga-moga berjumpa kembali.
___

Keesokannya, rakanku membawa tetikus yang dimaksudkan. Warna hitam. Jenama DELL. Dari jauh nampak elok lagi. Tapi bila dah ada di tangan nampak macam tak boleh guna lagi. Sudah dilanggar kereta. Aku cuba pasang takut-takut boleh guna lagi. Sah memang tak boleh guna. Bebolanya dah tak boleh bergerak kerana ruang dah menjadi sempit. Tetikus tu memang sedap diguna. Rasa lembut bila bergerak. Akhirnya, rakanku telah melakukan sedikit modifikasi kepada tetikus tersebut ketika aku ada urusan di luar pejabat. Ada tetikus ACER yang tidak digunakan lagi di lacinya. Wayar tetikus DELL diambilnya lalu ditukar kepada tetikus ACER. Sebabnya aku dah pesan pada dia tetikus ACER ni memang sedap tapi portnya tak sama. Serial port. Sedangkan yang ada USB port. Maknanya sekarang tetikus dah bersih putih tetapi ekornya masih tetap hitam.


.

13.2.06

Entahlah

Hari ni memang cukup bingit, selesai je meeting tempohari ada beberapa tindakan yang perlu dibuat dan perlu disusul semula. Tapi, bila telefon je orang yang diharapkan semuanya ada alasan masing-masing. Cuti lah... Emergency leave lah... Keluar minum lah... Ada urusan pergi site lah...

Kalau macam ni, bila nak siap. Asyik takde je. Nak cari pun susah. Takkan nak melayan karenah dia je. banyak kerja lain lagi nak buat. Kerja apa? hah ni lah kerja dia, buat penulisan...

10.2.06

Berdiri Bagi yang Kuasa

Hari ni datang awal. Ambil sof baris kedua. Duduk sambil berzikir sementara menanti Khatib sedang membaca khutbah. Ada banyak perubahan masjid ni. Dah ada kamera TV 29" untuk makmum melihat imam membaca khutbah di sebelah tepi sana. Sebelum ni, kotak TV dijadikan rak. Tapi kini, dah ada rak yang lebih kukuh. Ada satu tanda peringatan baru di hadapan pintu masuk. "TIADA PANGGILAN YANG LEBIH PENTING MELAINKAN SERUAN ILAHI". Ada simbol handphone disilangkan. Maknanya sila matikan handphone anda. Iklan ini dibawakan oleh CELCOM, TM Net dan TM. Dalam sungguh tanda peringatan ni. Agaknya masjid ni ramai yang bawa handphone semasa sembahyang Jumaat. Tak dimatikan pula. Sedang mendengar khutbah hujan turun tak semena-mena. Kusangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari.

2.2.06

Dengarkan Ini Wahai Si Kecil

Si Kecil dah faham cakap orang. Bila dimarah, mukanya berubah dan merengek menangis. Bila disuruh mengambil sesuatu diambilnya. Bila disuruh bersalaman diambil tangan orang lain lalu diciumnya. Bila disuruh sayang ibunya, dicium pipi ibunya. Tapi, orang tak faham cakap si Kecil. Orang tertentu saja yang faham. Si Kecil dah faham cakap bukan orang termasuk kartun. Kalau ada kartun di TV dia menuding jari. Mulutnya menyatakan sesuatu. Seolah-olah dia berkomunikasi dengan Kartun. Cuma Kartun malas nak berkomunikasi dengannya kerana si Kecil bukan dari kelompoknya. Si Kecil tahu juga membezakan haiwan. Cukup kenal benar dengan kucing. Tapi lari bila dihampiri sebab kucing tak kenal dengan si Kecil. Si Kecil juga faham bila disuruh melambai tangan. Mainannya cukup banyak dah dibelikan, dari kecil hingga yang besar. Sesuai dngan umurnya. Mainan yang menguji IQ pun ada. Mainan bergerak-gerak pun ada. Mana yang boleh dicampak akan dicampaknya. Tapi yang menjadi pilihannya cawan dan sudu. Lebih-lebih lagi bila ada air di dalamnya. Si Kecil memang tak boleh diduga dan dibaca sikapnya. Kadang mahu. Kadang tidak. Kejap itu. Kejap ini. Tapi si Kecil boleh dibentuk. Si Kecil boleh dilentur. Oh si Kecilku, kau telah menghiburkan suasana. Aku menyayangimu sepenuh hatiku. Janganlah membuatkan ibumu marah. Janganlah memenatkan ibumu. Jangan derhaka pada orang tuamu. Jadilah anak yang solehah

1.2.06

Monolog Februari

Entri ini ditulis setelah si Kecil baru melelapkan matanya. Setelah aku menghirup ubat batuk cap ibu dan anak kali ke tiga dalam sehari. Setelah semua keadaan menjadi senyap dan sunyi. Deruan bunyi kipas meja berpusing. Dah lama tak diservis agaknya. Televisyen masih belum dimatikan lagi. Kedengaran jiran membuka pintu pagar rumahnya. Baru pulang dari kerja agaknya. Jam di dinding menunjukkan pukul 6.30. Entah pagi, entah petang. Dah lama jam tu habis bateri. Malas nak ganti. Banyak sangat jam rumah ni. Lampu kalimantang di bilik masih belum dimatikan. Memang sengaja tidak dimatikan suisnya. Sebabnya, senang nanti kalau-kalau terjaga jam dua atau tiga pagi untuk bancuh susu si kecil.

Air hingus di hidung sesekali meleleh keluar. Disedut semula. Kata orang mujarab. Malas nak bangun duduk dua tiga kali. Siang tadi, ada kejadian yang membuatkan diri ini panas membara. Bisa bikin jiwa marah. Sesekali aku berhenti menulis. Meneguk air tin minuman jus mangga produk nestle. Airnya tak sejuk. Memang tak mahu disejukkan. Siapalah agaknya yang kebas selipar buruk aku. Bukannya branded sangat. Cap ASADI je. Aku sumpah dia jadi tayar baru tahu. Keluar saja dari CC, selipar tu dah ghaib. Ada juga yang berkenan rupanya. Di luar pintu yang tinggal cuma selipar tapaknya yang dah haus. Kelihatan dah nak hampir putus. Aku tak ada pilihan lain. Terpaksa pakai selipar tu juga. Sebab tak ada selipar lain. Haram J ! Ni mesti kerja budak tadi. Tak baik menuduh tanpa bukti. Tak nampak. Tuhan saja yang tahu. Adalah balasan dariNya tu. Sepatutnya aku letak di dalam tadi. Silap juga…

Berdenyut-denyut rasa kepala ni. Rasa tak selesa menulis sambil meniarap. Aku duduk. Malam makin sunyi. Mata tak mahu nak lelap walau dah pekena ubat batuk. Lepas habis tulis ni aku tidurlah. Bisik hati kecil. Tiba-tiba, ada satu bunyi yang kuat kedengaran. Agak hampir bunyinya. Macam bunyi benda jatuh. Sah! Memang benda jatuh. Bergelimpangan. Benda tu nampak macam motosikal. Bukan macam. Memang motosikal jatuh bersama penunggangnya. Bawa laju-laju. Dah pro sangat ambil selekoh. Eloklah tu... Selekoh berpasir kat situ memang dah ramai menjadi mangsanya.