Kalau dikenang-kenang aku pun kurang pasti bagaimana kejadian ni boleh berlaku. Aku ni orang yang sabar sebenarnya. Tapi masa tu, macam mana aku boleh hilang sabar. Kisah ini apabila diceritakan oleh orang lain, jadi bahan ketawa. Entah apa yang lucunya aku pun kurang periksa. Agaknya masa tu aku geram pun ada. Maklumlah, kekadang adik-adik ni tak nak dengar cakap abang dia. Orang cakap sekali tak jalan, cakap dua kali tak makan saman. Takkan nak cakap sampai berbuih mulut. Lepas tu dia ajuk pula cakap kita. Mana tak naik darah dibuatnya. Menyirap… Kebetulan masa tu, ibu menyuruh sesuatu. Jadi, aku perturunkan kuasa aku menyuruh adik aku yang duduk berhadapan denganku di meja makan tapi mukanya dipalingkan dari aku. Aku dah cakap dengan dia, buatlah benda tu. Bukan susah sangat pun. Lagipun masa tu aku ada kerja lain yang nak dibuat. Dia tak dengar cakap aku. Langsung tak ada respon. Aku mati akal nak buat apa dengan adik aku yang perempuan ni. Nak dipukul tak ada rotan atau kayu kat atas meja tu. Nak ambil, malas. Entah macam mana dialog ini menjadi pencetus kejadian.
"Pergilah buat…"
"Abang lah buat, mak kan suruh abang.."
"Pergilah.. issh.. budak ni, karang aku bakar rambut kau karang…"
"Bakarlah…"
Sudahnya memang aku sahut cabaran itu, rambut yang kerinting mengurai tu jadi mangsa sasaran. Aku capai pemetik api lalu aku bakar hujung rambutnya. Aku tak sangka pulak yang api tu merebak. Naik pucat aku, rambut dia hampir terbakar. Bukan hampir, memang dah terbakar sebahagiannya. Cepat api merebak. Nasib baik sempat diselamatkan. Mujur tindakan cepat. Bau hangus memenuhi ruang udara hingga ke dapur menusuk ke hidung mak yang sedang masak. Rambutnya jadi menggerutu. Dia menangis teresak-esak mengenangkan rambutnya yang hangus. Dia menjadi mangsa kebakaran kecil tapi bahaya. Aku kasihan dengannya. Lain kali jangan cabar aku. Kan aku buat betul-betul. Mak memarahi aku kerana tidak berfikir dulu sebelum bertindak. Membakar rambut orang sesuka hati. Bukankah rambut tu mahkota wanita pesan mak lagi. Lain laki kalau nak bakar jangan bakar lambang mahkota wanita. Pergi bakar sampah kat belakang rumah atau pergi makan ikan bakar. Cubalah kalau rambut kau dibakar. Selepas kejadian tu, memang aku cuba membakar rambut yang bertebaran setelah ayah menggunting rambutku. Memang benar baunya hangus busuk kurang menyenangkan.
No comments:
Post a Comment