28.2.06

Parah Berdarah...

Seperti hari-hari biasa. Sudah menjadi kebiasaan dan rutin harianku. Menghantar dan menjemput adik. Dia lebih gemar dibonceng dengan motosikal. Sekolahnya bukan jauh sangat. Dulu, aku sekolah tu juga. Boleh je jalan kaki. Motosikal EX5 ayah jadi sasaran. Aku pinjam sebentar. Nak hantar adik sekolah sesi petang. Kuhantar sampai depan pintu pagar. Ya lah, mana tahu dia ponteng sekolah kalau tak hantar sampai depan pagar. Bukan boleh percaya. Aku akan pastikan dia sampai ke bilik darjah. Petang itu, persimpangan berhampiran sekolahnya memang sibuk.
___
Simpang tiga tu memang tiada lampu isyarat sejak dulu lagi. Aku mahu masuk ke kanan. Ada kereta dari arah bertentangan. Aku berhenti di sebatang jalan lurus sementara menunggu kereta betul-betul pasti tidak ada. Tiba-tiba ada kereta Proton Saga warna putih menghentam aku dari sebelah kanan. Nombor pendaftaran aku tak ingat. Hentaman begitu kuat. Motosikal yang aku tunggang terperosok di bawah keretanya. Aku sempat melompat singkat, terlantar di jalan. Aku sedar. Aku masih sedar. Tiada apa yang luka agaknya. Degup jantung masih berdenyut kencang. Aku masih bernafas seperti biasa. Keadaan jalan mula sesak akibat kemalangan tadi. Orang ramai yang berada di tepi jalan tadi menjadi saksi kejadian. Aku yakin, mereka nampak dengan jelas. Ramai juga yang sanggup menolong aku dan ramai juga yang menolong lalu tengok saja. Kereta Proton itu yang bersalah. Pemandunya dah berumur. Mata dah hampir kabur agaknya. Tukar aja dengan mata lembu. Besar sikit. Kusangkakan tiada apa yang cedera pada diriku. Setelah orang ramai meminta aku beralih ke bahu jalan, baru kusedar. Ada kesakitan di kaki. Berhampiran buku lali. Kulitnya terkoyak dan tersiat besar. Ternganga luas. Darah merah pekat mengalir. Ditambah pula sinar bahang dek panas mentari. Aduh! Sakitnya tidak terperi. Aku menahan kesakitan. Dalam pada aku menahan, air mata jantan mula mengalir dan menitis membasahi pipi. Kalau keluargaku tahu hal ini pasti mereka akan marah. Banyak darah yang terbuang begitu saja. Kalau didermakan pada orang yang memerlukan saat ini kan bagus. Tapi, ketika ini rasanya aku lebih memerlukan. Jari tangan kiriku mula terasa peritnya. Jari kelingking sudah terkoyak. Entah mana serpihan selebihnya tu pergi di tengah jalan. Ah, biarkanlah dia hilang. Sementara itu, motosikal sudah tersadai tepi. Sepit udangnya bengkok ke dalam. Tayar depan tak lagi bulat. Remuk habis. Macam motosikal tu nak bertukar jadi helikopter. Aku masih menahan kesakitan. Berdenyut-denyut rasanya. Terasa dalam lukanya. Pedih bukan kepalang.
___
Tibanya di hospital makin serius sakitnya. Naik ke kepala rasanya. Seolah-olah ada benda yang menyucuk. Aku dikenakan tujuh jahitan kemas di kaki. Tak pasti jenis jahitan apa. Jahit sembat kot. Jari kelingking terpaksa dipotong separuh kerana dah rosak kata doktor. Tidak berfungsi. Sepanjang kejadian, pihak keluarga di rumah tidak diberitahu tentang hal ini. Melihat anaknya dipangku, mereka terkejut bercampur menjerit. Ada kemalangan yang menimpa anaknya. Malang memang tidak berbau harum. Bergantunglah kemalangan itu berlaku di mana. Pemandu nyonya tadi dah langsaikan ikut jalan tepi. Tidak mahu ke Balai Polis katanya. Nanti banyak cerita. Lagipun dia dah mengaku dia salah. Ramai yang menolong tadi, memang menyebelahi aku. Semua kerosakan digantinya. Duit ubat ditanggung. Gaji harianku diberi sebab dengan kemalangan ini, aku tak boleh pergi kerja. Aku hanya terlantar di katil selama beberapa minggu. Kaki berjahit, jari berbalut. Nampaknya itu saja yang cedera. Ada juga luka-luka sikit tercalar di bahagian badan. Tapi luka kecil. Bahagian dalaman mungkin ada yang luka. Tak nampak oleh mata kasar. Harapnya tiada yang luka. Air mata jantan berlinangan setiap kali orang datang ziarah. Air mata ini tak mampu ditahan. Entah apa yang aku fikir dan kenangkan semasa kemalangan itu.

Aku kasihan pada diriku yang ditimpa kemalangan ini;
Aku kasihan pada ibu yang sanggup merawat aku sepanjang aku tenat; dan
Aku kasihan pada nyonya itu ditipu oleh mereka yang meyakinkan aku mempunyai lesen B2.

1 comment:

Anonymous said...

hehehe..jahatnya!!