29.7.16

A.S.K.E

Dalam bilik ini saja ada tiga puluh tiga bingkai gambar.
Di surau bawah ada tujuh sejadah, tiga kain pelekat. Tiada rak kasut. Empat kepala paip.

Jadi? Penceramah itu bertanyakan semula kepada aku
Saya hanya membentangkan fakta tuan. Aku jawab.

Para peserta gelak mengekek-ngekek memecah kesunyian dan mengendurkan ketegangan.



.

12.7.16

Rayakan sebulan

Hari Raya berupaya menginsafkan diri kita jua. Manakan tidak, pakcik-pakcik yang kau kunjungi sudah menimang cucu. Ada juga yang sudah menghidap penyakit dan mendapatkan rawatan susulan. Sepupu sepapat kau ada yang hidup bahagia bertambah anak. Ada juga yang telah berpecah-belah. Hanya disebabkan hilang pekerjaan dan dicucuk oleh orang ketiga. Macama-macam cerita. Kau turut empati.

Dulu, masa kau berhari raya di rumahnya, layanan punyalah bukan main mesra. Kali ini, macam ada sesuatu yang tak kena. Kononnya dikata tak hadir ke majlis perkahwinan anaknya. Hei.. Entahlah... Manusia macam-macam perangai. Hati tak nampak. Maka, kau mulai muhasabah diri. Rupanya kau pun dah semakin meningkat usia. Sampaikan kau lupa nak hulur duit raya pada anak-anak sedara atau ibu bapa kau sendiri. Anak-anak kau pun dah membesar bagaikan johan. Tapi kau tak sedar sebab mereka membesar depan mata kau. Kesedaran mula kau akui apabila anak saudara kau pun dah semakin ramai dan sebahagiannya telah meningkat remaja-remaja belaka. Dah masuk kategori muda-mudi. Masing-masing dah ada akaun media sosial masing-masing.

Begitu pantas masa berlalu. Jiran di hadapan pun tidak membuka pintu. Dan tidak nampak bayang. Curi-curi keluar dari rumah dan nampak takut-takut. Padahal itu hal kecil yang sepatutnya boleh dibawa berbincang. Kisah Hari Raya kali ini banyak yang kesedihan dan kesugulan di persekitaran kau. Cuma ada satu yang paling mencuit hati apabila pakcik kau yang sulong ingin memiliki TV sebesar 42 inchi LED. Boleh tonton pelbagai rancangan kegemarannya. Makcik kau pula tak tahan dengan karenahnya asyik menghempas TV yang asyik keluar semut. Jiran-jiran lama yang bertandang pun ada yang sudah kahwin satu lagi. Ada yang sudah kahwin baharu. Ada yang tak kahwin-kahwin sampai ke sudah! Anak-anak berteraburan dari satu bapa lain ibu.




.