29.12.05

RMk8 to RMk9

Dah nak dekat hujung-hujung tahun ni, payment kajian tak dapat lagi… Mana? Output dah submit tapi takde satu sen pun. Payah jugak macam ni… Semangat dan motivasi kurang nak buat kerja. Macamla kajian ni bernilai ratusan juta. Ada aje kerenah dan birokrasi yang tak kena. Geram dibuatnya… Alasan RMK8 dah habis, nak masuk RMK9 kena habiskan peruntukan. But, kita dah submit draf seperti yang dijanjikan, kenapa pergi pulang duit ke HQ. Tak pasal-pasal, kena cari peruntukan lain. Nasib baik state ada duit lebih, kalau tidak mampus… Tu yang jadi lambat nak bayar tu. Janji hujung tahun 2005, sekarang dah masuk tahun 2006. Mana? Mana?


.

23.12.05

Whose is this car? [3]

Seperti minggu-minggu biasa, kami bercadang nak gi Tapak Senaman pada petang tu. Naik kereta sape lagi kalau bukan kereta bapak aku. Maklumlah… Masa tu bermurah hati. Suka ajak kengkawan naik kereta. Jalan-jalan, putar-putar, ronda-ronda. Duit minyak sape yang bagi. Aku jugak… Duit tu dari mana? Bapak aku jugak… Nak harapkan budak-budak ni. Mmmphh… Hampeh. Petang tu hujan lebat plak… Kereta tu bukannya boleh guna sangat aircond dia, semacam je. Dah separuh perjalanan, hujan memang turun dengan begitu lebat. Kengkawan semua memang takde niat nak batalkan misi kali ini. Apa boleh buta ikut ajela.

Semakin lama hujan semakin lebat, brek kereta memang tak makan. Wiper berfungsi, tapi entah kenapa hari tu, yang sebelah tercabut, aircond dah takde gas. Jawablah… Tengah hujan lebat kereta berkabus kat dalam. Kengkawan tolong lap kabus. Aku dah kata… Waktu hujan macam ni bahaya, kereta ni lain sikit. Hah, tak caya… Ambil kau…! Pergilah lap cermin masing-masing. Aku sedap je memandu, nampak tak nampak lain punya cerita.


.

22.12.05

Whose is this car? [2]

"Mak, abang pakai kete kejap tau"… Aku terus capai kunci yang disangkut walaupun emakku belum memberi sebarang jawapan. Tapi yang pasti tentu dia membebel. Bukan apa, takutbapak marah. Nanti dituduhnya tak tau jaga anak.

Masa kat sekolah tadi, kengkawan ada berpakat nak ajak gi Tapak Senaman kat tepi Pantai Lido. Sekarang dah bangun jadi sebahagian Danga Bay. Petang katanya… entah ia entah tidak…Kebetulan lepas sekolah takde apa kerja nak dibuat. Aku pun volunteer ajak naik kete aku. Maklumlah dah ada lesen. Dengan lengkap pakaian sukan, empat orang kawan aku dah bersedia menunggu di tempat yang dijanjikan.

"Kau dah isi minyak belum?" Daus memulakan bicara.
Dah..Aku jawab simple.

"Hah! Kita nak ke mana ni?" aku membuka soalan

"Eh! Pergi round-round dulu amacam". Balas Ali sambil menoleh ke belakang.
A
ku memang dah agak jawapan tu dah.

Ni memang pertama kali bawa kereta setelah dapat lesen. Memang lenjan habis kete bapak aku tu. Minyak brek aku rasa macam dah kurang ni. Clutch plat macam dah abis. Tapi bawak juga laju-laju. Gear pun rasa semacam je. Semua perkara ni aku tak perasaan. Manalah aku tau sangat selok-belok pasal kereta ni. Kengkawan lain yang perasaan. Nasib baik ada kawan minat pomen. Kekadang diorang masa kat sekolah bawa majalah kete. Tengok selok-belok enjin. Amende ntah yang diorang belek. Aku pun tak paham…

Kalau nak difikir, memang bahaya jugak waktu tu. Entah apa hantu yang telah merasuk badan aku ni. Nak seronok.. Bawa laju-laju, dalam kete tu masing-masing dah memaut benda-benda kat sekeliling. Abis kete aku potong.. Kete Mercedes pun aku boleh potong. Masa tu naik bukit lagi. Power tak power kereta tu. Lepas potong naik bukit, ada satu selekoh simpang tiga, turun bukit.

Berdegup jugak jantung ni, rasa gemuruh. Memang laju.. Masa tu takde toleh kanan. Semua dalam kete muka dah pucat, menjerit pun ada. Aku dah dapat rasakan sesuatu akan berlaku. Macam nak terlajak ke bahu jalan. Nasib baik aku pantas pulas stereng. Peerghhh! Kalu tak nahas kami.

"Oooi.. Ko dah gila ke?" Ali menepuk bahu aku. Tak sempat aku nak ngelak tapi terkena juga.
Aku dapat rasakan kereta tu macam terangkat sebelah, rasa macam nak terbalik. Sikit lagi bumper depan nak langgar devider jalan Kalaulah ditakdirkan terbaik… Abis! Nasib baik nyawa panjang lagi. Allah nak tolong. Kereta belakang meluncur dengan laju nasib baik tak menghentam. Sempat dia brek.

Masing-masing menarik nafas lega dan mengusap dada tanda lega. Kira-kira jam 5.30 petang baru tiba ke destinasi. Sambil berjogging masing-masing menceritakan kembali pengalaman sebentar tadi. Pemandu F1. Lawak pun ada.. seram pun ada… Semua serik nak naik kereta ngan aku lagi. Bahaya katanya… "Well… What can I say". Tu baru kereta bapak aku.



.

21.12.05

This is better than that

Suka benar ikut kengkawan mandi kolam tu. Kolam ni terbentuk secara semulajadi ibarat kolam takungan. Kalau hujan penuhlah air. Musim kemarau ada jugak air. Masa tu semua panggil tempat tu kolam oltremen. Atau dengan bahasa mudah The pool’s named Ultraman sebab nak mandi kena terjun dalam ketinggian 10 kaki agaknya (macam oltremen terjun lawan raksasa gorgon). Dulu memang ligat… Pantang nampak benda baru, ada saja yang nak dibuatnya. Macam budak jakun. Hah… Kolam oltremen ni budak-budak sebaya aku memang gemar. Kekadang sanggup ponteng sekolah semata-mata nak mandi kolam ni. Airnya taklah jernih tapi harapnya bersih dan mutlak. Masa tu kira apa, bersih ke jernih ke. Asal boleh je… Kekeruhan macam air tanah liat (warna tanah liat lah), lagi-lagi waktu selepas hujan. Kalau waktu cuti sekolah memang pack tempat tu. Agaknya kalau ada theme park kat situ ada jugak family yang datang. Aku selalu pergi waktu lepas sekolah, sebelah petang naik beskal ngan kengkawan. Dapat 3-4 orang jadilah berkonvoi ke kolam oltremen tu. Memang seronok… Terjun tiruk, terjun katak, terjun papan. Macam-macam terjun beb… Yang nak tunjuk skill tu siap terjun kepala jatuh dulu. Ala maca terjun sukan renang tu… Aku rasa kalau masuk sukan olimpik, mesti dia dapat pingat. Tapi taktaula pingat apa sebab masa tu masih budak bawah umur. Masa tu bukan la tau berenang sangat. Asal boleh je…

Nak dijadikan cerita, disebabkan kolam tu dah crowded, geng aku carilah port lain. Ada lagi satu kolam kat depan. Agaknya lagi baik… Eh.. depan ke… Entahlah depan ke belakang ke tepi ke… Tapi dekat-dekat dengan Sekolah Tun Fatimah (STF) dan Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim (MPTI). Hah.. kat area situlah. Sekarang ni dah jadi Linear Park MBJB. Geng aku dah recce dulu sebelum MBJB developed kawasan tu. Kat kolam tu ada jugak ikan. Tak tahulah ikan apa… Kura-kura pun ada. Serangga jangan cakaplah,.. Lelabah air pun ada. Aku bukan nak cerita pasal haiwan tapi pasal sudah jatuh ditimpa tangga. Memang ni takleh lupa, masa tu adalah dalam lima orang mandi kat situ termasuk aku. Sorang kat tepi tebing, dua orang kat dalam kolam, sorang kat culvert. Aku pun masa tu kat culvert jugak. Kat penghujung sebelum air masuk dalam kolam aku berdiri. Masa tu baru lepas hujan, air kat culbert tu deras lah jugak. Kitorang masa tu dah nak balik, sebelum balik macam biasalah, semua sibuk membersihkan diri. Sambil memasang kaki kuda-kuda, aku bilas baju aku tu, hempas ke air yang mengalir.


Keboosh…! Keboosh…! Dua tiga kali aku hempas untuk bilas baju tu. Hempas punya hempas entah macamana, aku terikut sekali dibawa arus yang deras tu. Berguling aku dibuatnya, baju dan aku ikut sekali jatuh ke kolam. Dengan sepantas kilat kawan aku menjerit dan bertindak menyelematkan aku. Aku tenggelam… nasib baik timbul. Baju aku pulak yang tak timbul-timbul, semua gelak… Cari baju aku yang tenggelam… Baju superman plak tu… Nasib baik kawan aku ada. Dia pandai menyelam. Nasib baik tak bawak tong gas untuk selam skuba. Dia yang jumpa baju aku. Kalau tidak aku balik tak pakai bajulah jawabnya. Semua kengkawan menyakat "Superman tak pandai berenang… Superman pandai terbang je. Sut baju tu pun pemberian orang… Orang dah bagi, kita pakailah… Tak sangka pulak baju tu ada kuasa. Agaknya la…Atau kolam tu berpuaka… Isshhh…


Tiba je kat rumah, aku lalu pintu dapur. Tak perasan pulak masa tu bapak aku tengah makan kat dapur. Tak semena-mena aku dibantainya dengan tali pinggang yang dia sempat capai. Rupanya dahi aku ada kesan darah masa jatuh kat kolam tadi. Ditambah pulak ngan libasan black belt bapak aku kat punggung. Malamnya aku berkurung kat bilik, tergelak sorang diri teringatkan peristiwa tu.

Adusshhhh…


.

Whose is this car? [1]

"I know; but you must pull yourself together, and make up your mind you can do it next time,. Remember the old saying "If at first you don’t succeed, try, try, try again!"
So you must make up your mind to win through.

Tak pernah lekat kat umah, ada masa free je aku merayau. Ada je benda yang nak cari. Ada je idea nak reka sendiri. Ada je benda nak tahu sendiri. Bukan apa… Masa tingkatan empat tu aku cemburu tengok kengkawan sekolah aku dah pandai pandu kete sendiri. Kekadang lepas sekolah, ada juga diorang ajak naik kete ronda-ronda. Lagilah membuak-buak dibuatnya.
Aku pun nak bawak kete jugak, aku capai kunci kete yang tergantung tu, aku mulakan operasi. Walaupun pada masa tu, aku tak tau nak pandu sangat. At least basic tu dah ada. Takde siapa yang tahu…

Enjin dah dinyalakan…

Nak keluar ke jalan besar kena riverse, puas aku cari gear reverse tapi tak boleh masuk. Maklumlah kete lama… Kete ‘Mitsubishi Lancer’ kalau tak silap. Warna merah metallic.

"Adik nak keluar ke?" Tetiba ada suara menegur sambil menepuk bahu aku
Tergagap-gagap aku jawab,

"aa.. aaa .. aah ye, saya nak kuar ni
"Ngape? Susah nak masuk gear ke?

Aku diam lalu keluar dari kereta

Brader tu pun masuk...
Punyalah senang dia masuk gear reverse.
Agaknya tulah pengalaman yang dia ada.
Setelah kete tu diundurkan oleh brader tu dan disetkan dengan betul. Dia keluar…

"Nak gi mana ni?" Dia tanya sambil merenung muka aku macam ada yang tak kena.

"Nak gi depan kejap", aku jawab dengan muka selamba je lagak macam pemandu professional.

"Oklah.. Hati-hati ye..!
Dalam hati aku nak tergelak pun ada. Then aku pun tekan clutch, masuk gear Satu.

"Ko, kalau nak kete ni jalan, kena tekan minyak.. Lepaskan clutch ni perlahan-lahan." Kaki kir untuk clutch je, yang kanan untuk minyak dan brek." Kata-kata ni masih lagi aku ingat semasa aku tanya member aku dulu

Aku pun praktikkanlah kata-kata tu..
Tiba di simpang tiga nak masuk jalan utama, aku gabra jugak…Kete ni bukannya aku biasa.. macam luar biasa dibuatnya. Stereng dia pun semacam je. Aku pastikan betul-betul takde kenderaan baru aku belok.

Terhuyung-hayang aku. Kejap ke kanan, kejap ke kiri, macam ular kena palu.
Gedooom…! Tak jauh dari simpang tiga tadi. Kira-kira dua tiang lampu agaknya, keta yang aku pandu hampir-hampir langgar tiang lampu. Tayar sebelah kiri depan terjelopak ke dalam longkang.

"Eksiden… eksiden.. hoi… aksiden hoi… (slang Kelate)
Orang yang tinggal berhampiran dengan tempat kejadian tu semuanya keluar.
Aku dah panik… Enjin kereta yang mati tadi aku nyalakan semula.

"Mu, nak gi mana?" Mamat sorang ni tanya aku. Aku diam…

"Tayar kete dah masuk longkang ni bang…! Ada lagi suara entah dari mana.
Mereka pun tolong angkat kete untuk bebaskan tayar dari terjerumus ke dalam longkang. Ramai jugak yang mengangkatnya. Setelah diangkat, aku pun masuk dalam kete, cuba tunjuk terror pandu untuk ke tengah jalan. Semua orang tak tau, aku tak boleh memandu. Cuba konon… Tapi terseret tiang lampu kat sebelah tu. Sebelum ni tak kemek. Tapi sekarang dah kemek.. Mampus…

"Ngape mu tak ghoyak, mu takleh bawok." Marah betul brader tu kat aku.
Entahlah suara-suar tu datang dari mana.

Tanpa banyak bicara aku tinggalkan kereta tu. Pulang berjalan kaki. Menuju ke rumah
Malamnya, aku dipanggil oleh bapak untuk dibudi bicarakan. Aku pun tak tahulah kat mana kete tu sekarang. Apa dah jadi selepas tu, yang penting semua selamat. Tiada kemalangan jiwa berlaku. Nasib baik tak kena penangan atau penendang bapak. Mak telah meyelamatkan segalanya. Dia berjaya menenagkan keadaan dan memujuk bapak untuk menghantar anaknya ke sekolah memandu pada tahun depan.


.

19.12.05

Motor punya pasal

Masa ni aku baru masuk akil baligh. Solat Jumaat dengan member-member yang sebaya. Solat Jumaat kat tempat aku Masjid Jamek An-Nur namanya. Masa tu sembahyang kat luar masjid sebab kanak-kanak selalunya kat luar. Memang sengaja bawa sejadah sebab dah tau memang nak sembahyang kat luar perkarangan.

Ada la sekumpulan bebudak ni yang tak sembahyang dok lepak kat luar tempat motor parking. Masa aku nak rukuk tu ada nampak kelibat bebudak tu tengah pomen satu motor Honda yang diletakkan di situ. Dalam hati aku kata budak ni mesti nak curi motor. Sekali motor tu dah boleh start dan bebudak tu dah ready nak bawak keluar di celah-celah puluhan motor yang parking kat situ.

Masa rakaat yang kedua aku tengok ada sorang brader ni lari melulu dari tepi pintu masjid bergegas ke tempat budak tu sambil menjerit.

"Oi... ko curik moto eh...!? Oi, curik motor" Berlari dengan kain pelekat. Ada juga jemaah yang menoleh dan melihat telatah brader tu termasuk aku.

Ramai yang batal sembahyangnya.


.

18.12.05

Setting Gun (III)

Kampung Seri Rajawali, Larkin, JB 1981. Di kawasan cerun. Ada longkang merentangi kawasan kampung. Laksana pusat pentadbiran. Stingarden kami. Rumah ketua kampung,

Pak Johari atau Joned, pun di situ. Pili awam kedua yang bersirat getah paip, pun di situ. Dewan orang ramai merangkap tempat latihan kompang, pun di situ. Gelanggang takraw merangkap lantai joget lambak, pun di situ. Rumah Haji Elias, pun di situ jugalah! Kata emak.

Haji Elias. Naik haji. Cuma berbekalkan dua puluh sen. “Masa tu orang naik haji naik kapal laut. Badan dia kecil sahaja. Lalu dia sembunyi di dalam jubah orang lain.” Emak.

Pak Haji. Kecil molek orangnya. Lurus. Air liur meleleh. Kalau bercakap – sukar nak faham butir bicaranya. Kalau keluar rumah – berketayap putih. Isterinya kawan emak. Anaknya dua orang. Yang lelaki belajar di UPM.

Budak-budak kecil. Lebih takutkan Pak Haji. Dari Pak Johari. Yang besar macam King Kong tu. Kalau bermain di longkanglah, dan Pak Haji nampaklah, dan kalau ‘masin’ mulut Pak Hajilah, kaki kau akan ditumbuhi kudis. Sungguh! Ha ha.

Pernah. Penguatkuasa Pejabat Tanah datang. Nak robohkan rumah... Pak Haji bentang sejadah. Bersembahyang sunat dua rakaat... Penguatkuasa Pejabat Tanah ‘start’ enjin. Cabut! Mak kata, doa Pak Haji – makbul!!

"Orang kata, sejak akhir-akhir ni, doa Pak Haji dah tak berapa makbul! Sejak tauke-tauke tu belanja Pak Haji makan minum benda-benda yang bukan-bukan..." Emak.
"Ooo." Aku.

Warga stingarden. Hormatkan Pak Jo. Sayangkan Haji Elias. Mereka warna-warna kehidupan. Di setingarden. Yang meningggalkan berjuta kenangan.



.

Setting Gun (II)

Kampung Seri Rajawali, Larkin, JB 1981. Pangkal Setingarden itu. Bermula dengan rumah nombor satu satu tujuh satu. Rumah Hj Sa’ari. Entah kenapa bermula dengan nombor tu. Banci yang buat. Suka hati dialah. Apa nak kisah.

Tengah Setingarden itu. Di pili air awam yang pertama. Ada kedai runcit sebuah. Kedai kecil. Tadahan kawasan kampung je…Kalau mahu beli. Beras. Tepung gandum. Tepung beras. Gula. Gula batu. Gula merah. Garam kasar. Garam halus. Minyak gas berwarna biru. Minyak Kacang. Minyak Kelapa. Kelapa parut. Cili kering. Bawang kecil. Bawang besar. Kentang. Ais krim soda, oren, sarsi di dalam botol kaca berwarna gelap. Air batu berbalut serbuk kayu. Kicap cair. Kicap pekat. Cuka. Belacan. Telur gred A. Telur gred B. Telur asin. Mihun. Soo hoon. Fucuk. Sardin. Maggi. Aji-No-Moto. Kacang panggang. Kacang pis. Laici. Planta. Inci. Vanilla cap bintang. Ros cap bintang. Karbait. Sepirit. Mentol lampu gasolin. Colgate. Sabun Lux. Sabun buku cap kapak. Clorox. Minyak geliga. Minyak kapak. Benang. Jarum. Tali rafia. Pisau lipat. Mancis cap cili. Rokok signal. Rokok 555. Penyapu lidi. Penyapu jerami. Mop. Getah paip. Gasing pangkah. Guli batu. Layang-layang. Tikam-tikam. Kuaci cap helang...

Singgah sajalah ke kedai runcit. Di tengah Stingarden itu.


"Kami menyediakan segalanya (kecuali mesin jahit)!" Itu cogan kata Kedai Runcit. Kalau nak menjahit boleh pergi Tukang Jahit Nor, di hujung kampung tu. Ramai jugak yang tempah kat dia. Kalau raya, tak cukup tangan dibuatnya.


.

16.12.05

Setting Gun (I)

Kampung Seri Rajawali, Larkin, JB 1981. Bapak dah rancang untuk pacak di tanah di tengah kampung. Di tanah hutan sekunder. Topografi bercerun curam. Di hadapannya pokok jambu batu sebatang yang kononnya tumbuh daripada berak burung.

Di belakangnya bukit yang bercerun curam. Dengan pertolongan daripada dua tiga orang tukang kayu, sedara-mara. Bapak pacak rumah haram (atau dengan nama lainnya: rumah setinggan). Mula-mula mereka pacak empat batang blooty yang besar-besar sebagai tiang seri. Kemudian mereka ‘naikkan’ batu blok tiga tingkat bersusun. Naikkan bumbung; kasau dengan kuda-kuda bersirat yang bertumpu di tetulang perabung.

Mereka pacak dua batang beluti miring sebagai bingkai pintu. Daun pintu depan jenis panel empat; terbelah dua di tengah. Dan daun pintu belakang jenis berbelebas dan berembat tak bersungguh. Mereka bina bingkai tingkap, pasang tingkap nako, pasang dinding jantan betina berketam, naikkan atap zink kemudian.Atap zink itu dilumur dengan cat karat (anti rust?) warna merah kusam. Dinding pula dilumur dengan minyak hitam (engine oil?) tersisa. Agar rumah baru tu kelihatan seperti lama.

Kemasan yang hodoh sebegini setidak-tidaknya dapat mengaburi mata Penguatkuasa. Ha ha. Siapa punya idea ni? Malam Tu, bapak bancuh simen. Dan turap lantai. Buat kerja tanah secara manual. Dengan bermandikan limpahan cahaya dari lampu karbait. Dan peluh. Siap! Rumah setinggan segi empat tepat kami. Dengan pintu depan miring terkuak. Di Stingarden itu.



.

11.12.05

Pergi cepat balik lambat

Hari ni solat Jumaat kat Masjid Bandar Hilir. Datang lewat sikit dari hari kebiasaan. Selalunya pukul 12.30pm aku dah dok kat dalam Masjid tapi harini ntah ngape lewat. Sampai je kat Masjid Imam dan baca penghujung khutbah. Dengan bergegas aku park kete dan pergi mengambil wuduk. Jemaah dah ramai tunggu bersesak di pintu kerana masjid dah penuh. Maklumlah Masjid lama, bukannya besar. Aku dan kawan aku join sekali berdiri kat depan pintu masjid tunggu imam abis baca khutbah baru masuk.

Ada juga segelintir yang bawa sejadah sendiri takut-takut tak dapat masuk. Tadi memang teringat nak bawa sejadah tapi ntahla... Sampai je waktu nak solat orang kat dalam Masjid semua dah berdiri dan susun saf yang masih belum dipenuhi. Orang belakang cuba penuhkan yang depan. Mana yang berdiri kat belakang cuba menyelit-nyelit untuk masuk dalam Masjid sedaya mana yang boleh. Tetiba saf depan dah penuh tak tau lagi mana nak sumbat. Aku bingung. Member aku dah dapat tempat kat tepi pintu dalam keadaan selamat. Sebab dia meluru awal. Aku berdiri di tengah-tengah di antara baris saf jemaah. Sembahyang dah nak mula, aku 'stuck'. Tetiba, brader depan aku tu toleh belakang dan nampak aku. Dia pun mengalah bagi ruang kat aku, dia berganjak ke saf depan. Saf depan tu memang ada ruang kosong tapi memang takde orang nak 'fill in''. Dalam hati, aku menarik nafas lega.

Akhirnya boleh juga aku sembahyang. Kalu tak aku dok la kat tengah-tengah tu. Orang pun takleh sujud. Tapi aku kesian kat brader yang bagi aku ‘space’ tu sebab dia takleh sujud dengan sempurna. Terpaksa menyenget sedikit sebab kat depan tu ada tabung masjid di depan tiang yang memang besar gila. Tak boleh anjak… Aku bangga dengan brader tu. Tapi yang aku tak puas hati ada pakcik sebaris dengan brader tu selang dua orang memang tak patut. Dia punya bukaan berdiri punyalah besar. Kalaulah dia rapat sikit, brader tu taklah sujud rukuk dan sujud menyenget.

Selepas je bagi salam aku bergegas keluar sebab aku park kete belakang kete orang. Tak sempat nak baca doa. Member aku pun ikut sama. Dalam kereta, aku tanya dia, "Ko dapat sembahyang tak?". Dia jawab dengan pantas"Dapat, tapi aku terselit kat celah pintu…, cuma masa rukuk dan sujud aku kecikkan badan sikit." Dia tambah lagi. Aku gelak dengar cerita dia lalu aku cakap ngan dia ko senasib ngan brader depan aku, tak sempat aku nak ucap terima kasih kat dia. Kemudian aku tambah "minggu depan kita kena datang awal ke masjid".


.

7.12.05

Dia, Kawan & Sahabat

Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri... Tetapi dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitu juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya.

Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri. Kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti. Kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan ‘memaksa’ dia menerima alasan kita. Waktu ini terfikirlah kita tentang perasaannya? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia. Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah.

Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita. Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya?


Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah? Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai. Kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan? Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa takut, ada rasa... bimbang, sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu.

Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Di sebalik senyuman itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan, di sebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan, kita tidak tahu. Jika kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.


.