18.12.05

Setting Gun (II)

Kampung Seri Rajawali, Larkin, JB 1981. Pangkal Setingarden itu. Bermula dengan rumah nombor satu satu tujuh satu. Rumah Hj Sa’ari. Entah kenapa bermula dengan nombor tu. Banci yang buat. Suka hati dialah. Apa nak kisah.

Tengah Setingarden itu. Di pili air awam yang pertama. Ada kedai runcit sebuah. Kedai kecil. Tadahan kawasan kampung je…Kalau mahu beli. Beras. Tepung gandum. Tepung beras. Gula. Gula batu. Gula merah. Garam kasar. Garam halus. Minyak gas berwarna biru. Minyak Kacang. Minyak Kelapa. Kelapa parut. Cili kering. Bawang kecil. Bawang besar. Kentang. Ais krim soda, oren, sarsi di dalam botol kaca berwarna gelap. Air batu berbalut serbuk kayu. Kicap cair. Kicap pekat. Cuka. Belacan. Telur gred A. Telur gred B. Telur asin. Mihun. Soo hoon. Fucuk. Sardin. Maggi. Aji-No-Moto. Kacang panggang. Kacang pis. Laici. Planta. Inci. Vanilla cap bintang. Ros cap bintang. Karbait. Sepirit. Mentol lampu gasolin. Colgate. Sabun Lux. Sabun buku cap kapak. Clorox. Minyak geliga. Minyak kapak. Benang. Jarum. Tali rafia. Pisau lipat. Mancis cap cili. Rokok signal. Rokok 555. Penyapu lidi. Penyapu jerami. Mop. Getah paip. Gasing pangkah. Guli batu. Layang-layang. Tikam-tikam. Kuaci cap helang...

Singgah sajalah ke kedai runcit. Di tengah Stingarden itu.


"Kami menyediakan segalanya (kecuali mesin jahit)!" Itu cogan kata Kedai Runcit. Kalau nak menjahit boleh pergi Tukang Jahit Nor, di hujung kampung tu. Ramai jugak yang tempah kat dia. Kalau raya, tak cukup tangan dibuatnya.


.

No comments: