25.10.12

Ular dan gergaji


Suatu malam seekor ular menyelit masuk ke dalam gudang kayu. Secara tidak sengaja, ia menyusur di atas gergaji. Tak pasti gergaji cap apa. Tajamnya mata gergaji itu menyebabkan perut ular terluka. 

Ular beranggapan gergaji itu menyerangnya. Ia pun membalasnya dengan mematuk gergaji itu berkali-kali, serangan tersebut menyebabkan luka parah di bahagian mulutnya pula.

Marah dan sakit yang amat sangat, ular itu berusaha mengerahkan kemampuan terakhirnya untuk mengalahkan 'musuh' tersebut. Ia pun membelit gergaji itu sekuat tenaga. Belitan tersebut menyebabkan lukanya teramat parah dan akhirnya ia pun mati di situ.

Di saat beremosi dan marah, rasanya mudah sekali bagi kita untuk melukai dan menyakiti orang lain. Padahal kalaulah benar-benar kita sedar, sebenarnya yang akan terluka dan sakit adalah diri kita sendiri.

Maka benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Bukanlah orang yang kuat itu orang yang menang bertumbuk, tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal diri daripada sifat marah." 
(HR Bukhari & Muslim)



.

19.10.12

Tuntutan kentut

Kronologi Kes Tuntutan Saya


29.03.2012 Taklimat berkenaan Pakej Celcom di bilik sejuk beku tingkat 127 yang ditawarkan oleh C**om dibuat kepada lapisan pegawai melalui wakilnya iaitu Farah Wahida Ahmad Zulkfle (bukan nama sebenar), Account Manager C**om Axiata Berhad

05.04.2012 Memberi maklumbalas kepada En. Abdul Kibas (Ketua Bahagian Penternakan) mengenai pakej yang boleh diambil oleh pegawai
Saya telah memilih pakej C**om Biz Pi98 dengan kontrak 24 bulan. Phone model iPhone 4s – 32GB dengan harga USD 11,778.00

24.04.2012 Bayaran dibuat oleh saya kepada C**om melalui Maybank2u online sebanyak USD 11,778.00

25.04.2012 Resit dikeluarkan oleh C**om kepada saya yang diserahkan dengan tangan oleh Cik Farah Wahida Ahmad Zulkfle

17.05.2012 Emel dihantar kepada saya dan pegawai terlibat di atas kelewatan pihak C**om menyerahkan device kepada semua. mereka komunikasi pakai emel je maklumlah jauh..

22.05.2012 Berjumpa dengan En. Abdul Kibas untuk mengambil iPhone 4s yang telah dibayar.

23.05.2012 Menggunakan iPhone 4s

29.05.2012 En. Abdul Kibas berjumpa dengan saya menyatakan bahawa iPhone yang diberi adalah bukan model yang saya beli. iPhone diserahkan kepada saya adalah iPhone 4s – 16GB manakala saya beli adalah untuk iPhone 4s – 32GB
Saya menyemak perkara ini dan model yang diberi adalah iPhone 4s – 16GB.

30.05.2012 Saya telah emel permasalahan saya kepada Cik Farah Wahida Ahmad Zulkfle berkenaan dengan penggantian iPhone 4s – 32GB yang sepatutnya saya terima.
Daripada emel berkenaan menyatakan bahawa C**om telah menyerahkannya device berkenaan kepada En. Abdul Kibas melalui wakil yang dilantik oleh C**om iaitu SAMART i-MOBILE (MALAYSIA) SDN. BHD. (644138-V) kerana Delivery Order telah ditandatangani. Dalam masa yang sama En. Abdul Kibas menafikan bahawa dia tidak menerima device berkenaan. Farah Wahida telah forwardkan emel berkenaan kepada En. Raduwan Abd Maulud (ini nama sebenar)  melalui emelnya dwan@c**om.com.my

31.05.2012 Emel saya diforwardkan oleh Cik Farah Wahida kepada En. Raduwan Abd Maulud yang berbunyi :

Salam Boss,
Can we do anything to help my client?
Kesian gak kat dia.
Regards,
Farah Wahida Ahmad Zulkfle

06.06.2012 Saya telah memulangkan iPhone yang saya terima beserta memo kepada En. Abdul Kibas kerana device itu bukan milik saya.
Saya telah menghubungi Cik Farah Wahida tentang perkara ini.

08.06.2012 Saya telah SMS kepada Cik Farah berkenaan dengan kontrak saya dengan C**om adakah berjalan atau bagaimana sedangkan iPhone berkenaan saya tidak menerimanya
Dia memberitahu bahawa kontrak tetap berjalan. Untuk iPhone saya dia menunggu kata putus dari En. Raduwan Abd Maulud
Cik Farah mahu tolong kes ini.

15.06.2012 iPhone yang telah dikembalikan telah diserahkan kepada pegawai berkenaan. Kes iPhone saya masih menunggu approval dari En. Raduwan Abd Maulud. Jika ada apa-apa akan diberitahu kelak.
Saya minta beliau cuba selesaikan akhir bulan Jun 2012
Dia akan cuba katanya.

24 & 25.07.2012 Menelefon telefon bimbit (019-3782275) Cik Farah tetapi tidak berangkat
07.08.2012 Menelefon telefon bimbit Farah sekali lagi tidak berangkat
Menelefon di pejabatnya juga tidak berangkat. Disambungkan kepada En. Raduan. En. Raduan memaklumkan masih belum mempunyai apa-apa maklumbalas daripada syarikat yang membuat penghantaran iPhone untuk C**om. Beliau telah terima emel daripada En. Abdul Kibas. Kedua-dua pihak tidak mahu mengaku kesilapan.

Saya memfailkan tuntutan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Shah Alam
Saya menuntut iPhone 4s – 32GB dan kos kerugian yang dialami saya.

Yang Benar,



……………………………

AHTOK ASTAKONA
Vokalis Kumpulan
Tulang Anjing Hitam Pekat

18.10.12

Surat kepada penerima device

Ahtok Astakona
Atas Bumi
Negeri Selangor                                                                           18 hb. Jun 2012


En. Nurul Azhar Bin Husin
Penolong Pengarah
Bahagian PKPK
Jabatan Paling Best di Dunia
Negeri Selangor

Tuan,

PEMULANGAN DEVICE iPHONE 4S 16GB HITAM SERIAL NUMBER : C31H7T45DTC0

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas. Di atas yang dimasksudkan adalah perkara surat ini (Ini senghaja ditambah.
2. Bersama-bersama ini dipulangkan kembali Device iPhone 4S 16GB Hitam Serial Number : C31H7T45DTC0 setelah dimaklumkan dan disedari bahawa device tersebut adalah bukan kepunyaan saya. Kebetulan pula bila saya terambil device ini ia menjejaskan penerimaan pegawai lain yang emosi dengan saya. Siap marah-marah saya menggunakan analogi jika membeli kereta 1.8cc kenapa mengambil 1.6cc. Saya malas la nak bertekak dengan dia. Lagipun tiada mendatangkan sebarang faedah. Device yang seharusnya saya terima adalah iPhone 4S 32 GB – Putih yang ditawarkan oleh pihak Celcom dengan harga RM 1,778.00 dengan pakej Celcom Biz Pi98 kontrak selama 24 bulan.
3. Untuk makluman tuan, perbezaan spesifikasi ini disedari dianggarkan dalam tempoh melebihi lima hari dari tarikh penerimaan device berkenaan. Setelah mengetahuinya, saya terus menyimpannya semula di dalam kotak sepertimana keadaan sedia kala. Semasa saya simpan dalam kotak tersebut saya pastikan tiada sesiapa yang melihatnya kerana dikhuatiri ia akan berlakunya unsur-unsur sabotaj atau espionaj dari pihak-pihak yang tidak kita ketahui. Dan dua hari selepas itu terus memulangkannya kepada tuan untuk dipanjangkan kepada pihak Celcom.

3. Sehubungan itu, saya memberi jaminan di sini bahawa device ini dipulangkan kembali sebagaimana dalam keadaan sediakala sepertimana asal yang dibekalkan kepada saya. Sungguh! Saya tak tipu. Malahan, saya siap tambah lagi software di dalamnya, screen protector dan casing yang comel. Tapi kesemua aksesori itu saya tak bagila.


Sekian, untuk tindakan pihak tuan selanjutnya. Terima Kasih.


( AHTOK ASTAKONA )
Insan Biasa

27.7.12

Biarkan Aku


Biarkan asa menghapus lukaku
Biarkan angin menyejukkan jiwaku
Biarkan Hujan menyirami kalbuku
Dan biarkan airmata menjadi penanda lukaku

Aku ingin dunia mendengar jeritan hatiku
Aku ingin langit menyelimuti kebekuanku
Aku ingin teriknya matahari membakar tubuhku
Dan aku ingin waktu menghapus dirimu dipikiranku

Keikhlasan, Satu kata yang paling indah untuk didengar
Satu kata yang mulia dihidup ini
Tapi juga satu kata yang sangat sulit dilakukan

Ya ALLAH.. Biarkan keikhlasan menjadi benteng hatiku
Biarkan keikhlasan menjadi jalan terindah hidupku
Hingga., Hembusan nafas terakhir ku

17.5.12

Kancil, monyet dan kura-kura




Dah lama tak susun fail dalam komputer. Satu hari, saya sedang melihat-lihat untuk fail yang perlu di susun dan yang perlu dibuang. Saya terjumpa fail ini di komputer saya. Dan saya pasti ini hasil nukilan anak saya yang sulung Afiqah (8). Barangkali, ini masa saya membawanya ke pejabat pada hujung minggu untuk menyiapkan kerja-kerja hal dunia.

Pada suatu hari ada seekor sang kancil dan monyet pada hari kesokanye dia pun memanjat pokok satu persatu tiba-tiba dia ternampak buah dia pun berkata eh ni buah sapa ni oh ni buah sang kancil  sang kancil dan kura-kura rajin manakala pula monyet malas dia pun berkata monyet pun berkata kepada sang kancil  sang kancil tolong aku sang kancil monyet pun berkata sang kancil tolong aku sang kancil aku tak makan 4 hari  esh  esh tak makan 4hari sang kancil pun berkata nah kau makan lah apa yang ko nak.

Hanya orang yang panjang nafasnya boleh meneruskan pembacaan nukilan dia. Semoga dia terus bergiat untuk menulis.

15.5.12

Hari-hari Hari Ibu dan Hari Guru

Tulisan ini hanya spontan apa yang terfikir. Penulis bersifat jujur. Tidak hipokrit dengan sengaja mengada-adakan cerita atau menokok tambah bagi nampak penulis sangat beriman atau sangat tawadduk. Hanya menukilkan sebagai terapi minda.

Satu malam. Tinggal ayah (34). Afiqah (8), Afifah (5) dan Akif (3). Rumah ada perabot sediakala. Ibu (35) dan Arif (1) di hospital. Semua masih dalam keadaan teratur kecuali susunan kasut dan selipar di rak. Esok ada sambutan hari guru di sekolah Afiqah. Sibuk cikgu mewawarkan melalui surat kepada ibu bapa. Sedang hari ibu ke hari ayah ke. Takde pun ibu bapa bagi surat pada guru sekolah. Masa hari pertama ibu dan Arif ada di hospital mereka (afiqah, afifah dan akif) bersedih. Yang paling sedih, Afiqah. Hatinya cepat tersentuh sejak dari kecil dia memang begitu. Dah tak hairan. Tapi, ayah dapat mententeramkan jiwa mereka walaupun ayah turut bersedih. Rasa kekosongan. Kakak, jangan menangis. Ibu jalankan tanggungjawabnya. Ayah pun jalankan tanggungjawab ayah. Hanya lokasi yang berbeza. Malam ini dah masuk malam ketiga. Mereka dah boleh senyum dan bergembira kerana mereka telah faham. Mereka faham dari pengalaman. Pengalaman adalah guru yang terbaik untuk mereka. Satu hari, kalau menghadapi situasi yang sama setidak-tidaknya mereka dah pernah alaminya. Alah bisa, tegal biasa.

Oh, hari ibu dah lepas tapi belum terlambat ayah mengucapkan selamat hari ibu. Tak payah tunggu hari ibu kerana hari-hari adalah hari ibu. Sama juga dengan hari bertemu pelanggan. Hahaha...

Kita tak ada pembantu rumah. Kita kena belajar untuk hidup. Kakak kena faham. Hidup pun satu putaran lengkap. Kadang atas, kadang di bawah. Orang nampak kesenangan kita. Mereka tak mau tahu kesusahan kita dan kepayahan kita. Kita bukan orang senang. Ayah dulu orang susah. Sangat susah dan merempat. Ayah tak mau kakak merasai apa yang ayah rasa. Kalau nak cerita sini panjang lebar. Tak habis. Satu hari, kakak akan faham. Ya, satu hari kakak akan faham. Kalau kita bermula dari kesenangan kita tak tahu apa erti susah dan kepayahan. Ada orang yang lebih susah dari kita. Kita harus bersyukur.

Nak masak memang ayah tak sempat. Ini bukan alasan ayah dan bukan bermakna kita berlagak nak makan luar je. Kita beli bungkus je la. Kakak tanya bila nak bungkus hadiah. Ayah kata jap lagi ayah bungkus. Kakak tolong ayah nanti. Sekarang nak selesaikan urusan kain jemuran, basuh baju, lipat baju dan sebagainya. Susun Beg anak-anak untuk sekolah esok. Petang tadi, dah beli 4 pen batang merah dan kotak stensil untuk Afiqah bawa ke sekolahnya sebagai hadiah hari guru. Itu aje yang ayah mampu untuk menggembirakan Afiqah. Selepas ini, pandu Afifah baca ikrak dan buku e xtra. Alhamdulillah, dia dah lancar mengaji dan membaca. Sedang rakaknya yang lain masih merangkak dan tercungap-cungap.

Kedengaran, Akif menyanyi di bili "memang tak ada lelaki.. Seperti aku..." budak sekarang, 3 tahun dah tahu lagu Aliff Satar.

Dalam pada ayah sibuk mengurus rumah tangga. Afiqah telah ber sms dengan ibu. Bila ayah lihat. Ini sms yang dihantar kepada ibu. Bernombor dari Afiqah dan bertanda ~ dibalas ibu. Alahai.. Terharunya...

1. Bila ibu nak balik
~ Tunggu adik arif sihat dulu ye

2. Tapi kakak sedih
~ Jangan sedih.ayahkan ada

3. Tapi orang lain ada ibu kakak je kat hispital (memang ditulis begini)

~ takpe kejap je, kesian adik arif, diakan tengah sakit nanti dia dah baik ibu balik la. Dah beli pen merah ke
4. Dah ayah belikan. Kakak ada homerk bahasa arab dan sains

~ Ok kakak buat tau. Kalau tak tahu tanya ayah. Adik Arif tak cukup oksigen lg dalam badan dia, kesian dia. Kakak doakan adik cepat sembuh ye

5. Takpalah ini dugaan saje. Semua orang ada dugaan

6. Ibu kakak kesianlah harap ibu pun berdoa amin

7. Selamat malam ibu
~ Selamat malam semua

8. Ibu ayah nak cari kotak ibu tautak kat mana kotak
~ Kotak ape kalu takde masukn je pen tu dlm plastik kuning yg keras ada kat rak bilik akif yg ibu letak barang kuih n jdk ibu.lepas tu letak reben.reben ada kat laci bwh oven.

Selamat Ibu dan Hari Guru.



Sent from my iPad

9.5.12

Dalam tidur

Masih katak melalak
Dalam tidur yang mengendur


Sent from my iPad

4.5.12

Tolong bantu


Satu pagi yang hening. Saya keluar menaiki HONDA untuk ke tempat kerja. Dalam perjalanan tayar saya pancit. Saya singgah PETRONAS. Pam tayar yang kempis. Saya pam angin tak masuk. Pam rosak. Tayar makin kempis. Saya tak maki pam itu. Saya beralih ke stesen SHELL. Saya pam. Angin tak masuk juga. Saya naikkan kadar angin pada panel digital. Angin berhembus laju. Saya terkejut. Tapi saya tak melatah mencarut. Terus saya pam. Angin masuk. Tayar jadi keras. Saya bergerak dengan HONDA dengan lancar. Saya melepasi tol. Wo! Jalam sesak.

Saya lihat ada kemalangan. Ramai yang melihat dari yang menolong. Saya tak mau tergolong dalam yang melihat. Saya berhenti mahu tolong. Kemudian makin ramai yang berhenti mahu tolong. Maklumlah, wanita yang terpekik terlolong. Orang datang mahu tolong. Saya tengok dah ramai sangat. Saya beredar. Saya pun termasuk orang yang melihat. Bukan saya tak mahu tolong. Saya ada tugas di pejabat.

Tiba di pejabat. Saya 'punch card'. Tanda merah keluar. Terus saya jumpa ketua bahagian. Saya minta beliau turunkan tandatangan. Dia tanya kenapa lambat. Saya jawab seperti cerita di atas. Habis cerita saya. Kalau kita ada kemampuan, marilah kita tolong orang yang kurang berkemampuan. Tapi ada satu ketika kita kena tolong diri sendiri terlebih dahulu sebelum mahu menolong orang.



.

1.5.12

Kalau kita tidak fokus apa pun tak boleh (part II)

Saya pergi ke kaunter Mc D. Saya buat order. Penjaga kaunter budak muda. Tengok gadis gedik-gedik yang buat order. Dia jadi tak tentu hala. Saya order bungkus. Dia ulang suara makan sini. Dia pekak barangkali. Saya terus order itu ini begitu begini. Sudahnya, dia tambah satu benda. Saya tak order pun. Masa saya order dia sibuk layan gadis genit. Itu saya tak peduli. Masalahnya saya tak makan sini. Saya mahu bungkus. Saya tak order bubur, dapat bubur. Saya pesan pada budak muda yang serve makanan itu, kawan kau yang jaga kaunter tu dia kerja tidak fokus! Saya mahu bungkus! Awek dan laskar-laskar cinta sedang menunggu di rumah. Saya mahu makan bersama mereka. Apa kejadanya nak makan sini. Jangan sampai saya pergi jumpa lu punya bos!

16.3.12

Epal dengan epal

"Jangan membandingkan epal dengan oren ye. Kalau nak buat perbandingan sila bandingkan epal dengan epal, oren dengan oren." kata Pengerusi dalam pengurusan kes yang berlaku semalam.

Kes ini adalah berkenaan dengan penolakan KM daripada PBPT kepada pemaju yang tanahnya terletak di dalam kawasan petempatan yang melalui Pekan sedia ada. Tapak perayu adalah dizonkan sebagai perumahan di dalam RT yang berkuatkuasa ketika itu. Namun, hasrat tuan tanah adalah untuk memajukan sebagai kawasan perniagaan yang terdiri daripada 25 unit kedai pejabat 2 tingkat bagi keseluruhan tapak berkenaan. Oleh sebab mereka terkilan di atas keputusan yang dikeluarkan oleh PBPT yang dikeluarkan melalui Borang C(2) : Penolakan KM dengan alasan kawasan berkenaan tidak selaras dengan zon yang telah ditetapkan di dalam RT berkenaan serta nisbah bagi penyediaan kedai iaitu 1:60 adalah tidak tercapai maka perayu memasukkan rayuannya di Lembaga Rayuan.

Perayu berhujah, walaupun di dalam RT telah dizonkan sebagai kawasan perumahan. Kelas kegunaan tanah yang dibenarkan adalah perniagaan. Jadi, mengapa PBPT tolak sewenang-wenangnya seharusnya PBPT memeprtimbangkannya kerana saiz tapak cadangan kami kecil.

Responden berhujah, Dengan izin Pengerusi. Yes, memang benar di dalam RT yang berkuatkuasa adalah zoning perumahan dan aktiviti lain yang dibenarkan dengan syarat adalah perkedaian. Barang diingat, guna tanah utama haruslah perumahan bukan didominasi oleh perniagaan. Dalam kes ini, tapak perayu adalah keseluruhannya dibangunkan sebagai perniagaan. Sedangkan di dalam RT berkenaan tidak ada menyebut guna tanah utama bagi kawasan berkenaan adalah perniagaan.

Perayu sambung hujahnya. Tidakkah boleh PBPT menggunakan budi bicaranya untuk mengenepikan tentang keperluan 1 kedai nisbah 60 unit rumah. Di dalam Garis Panduan yang digunapakai pada masa ini, ada menyebut berkenaan dengan tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan pembangunan. Di sini, apa yang dilihat ada kalausa discretion yang boleh dipertimbangkan oleh PBPT. Maknanya, tidak rigid dalam hal ini.

Responden membalas. Benar tuan pengerusi. Bagaimana kami mahu menggunakan discretion atau budi bicara kami sedang komponen utama yang dibangunkan adalah perkedaian. Budi bicara ini timbul jika perayu mempunyi tiket guna tanah perumahan then barulah ada budi bicara di situ sama ada nisbah 1:60 berupaya dikurangkan atau sebagainya.

Kes bersambung.

14.3.12

Pengalaman telah mendewasakan

Kali ni gua nak tulis pasal pengalaman gua. Sebab gua tahu pengalaman itu tak mungkin luput dari ingatan. Sebenarnya, dah lama gua nak kongsi pengalaman gua sebagai adiwira kepada hero-hero dan heroin-heroin gua. Pengalaman demi pengalaman yang gua belajar daripadanya lebih mematangkan gua. Matang dan masak adalah perkara yang berbeza. Kata orang belajar dari kesilapan lalu lebih mematangkan diri berbanding belajar tanpa kesilapan. Sebagai adiwira dah tentulah gua ada seorang power puff girl. Sorang power ranger pink. Dan sorang Mat Otromen. Gua dah menyimpang jauh ni. Balik ke tujuan asal. Mauduk perbincangan.

Gua nak kongsi pengalaman pertama gua. Walaupun dah lapan ratus kali gua masuk labour room. Tapi, buat julung-julung kalinya gua merasai kenikmatan di dalam labour room selepas gua dapat Mat Otromen. Sebelum ni, heroin-heroin yang gua dapat, pengalamannya tak lengkap. Tak macam masuk labour room. Tak mencabar langsung! Baiklah, gua akan cerita satu-persatu pengalaman gua menemani awek kesayangan gua di saat-saat melahirkan di hospital. Ek eleh! Kalau tak suka takyahlah baca.

Jeng jeng jeng! Cahaya mata gua yang pertama. Perkataan cahaya mata digunakan di sini. Hajat dihati nak lihat dan sambut anak tersebut di depan mata. Gua teruja betul. Gua nak tengok dengan mata kepala gua sendiri. Bagaimana agaknya, awek gua saat-saat melahirkan. Adakah muka beliau manis dan dalam keadaan senyum atau bagaimana? Pada hari kejadian, awek gua ditakdirkan 'post dated'. Gua jadi frust. Gua dah lama tunggu. Gua tak suka buang masa. Maka, gua balik ke Melaka dari Lakum City untuk meneruskan kerja-kerja duniawi kerana cuti yang diperuntukkan tidak setaraf cuti-cuti Malaysia dan cuti atas sebab luar jangka. Kemudian, dua malam berikutnya, gua bergegas ke Temerloh. Pagi itu, gua terus menerpa kaki yang diselubungi selimut di atas katil. Ya, katil itu gua ingat beb! Gua konfiden itu katil awek gua yang dia baring. Rupanya kaki itu sudah bertukar warna. Patutlah kaki gelap, kata gua dalam hati. India rupanya. Gua kata dalam hati. Nak mampos kata depan-depan. Owh! Awek gua dah bersalin dan dipindahkan katil lain rupanya. Terlepaslah gua peluang untuk mendampinginya semasa bersalin. Gua suka kerana dikurniakan cahaya mata pertama. Itulah dia Power Puff Girl. Tadaaa!!!

Cahaya mata kedua gua. Lahir di Hospital Temerloh. Kali ini gua bertekad lagi iktikad ingin melihatnya secara langsung. Jeng jeng jeng.. Gua dah dipanggil masuk ke laber room. Tunggu punya tunggu. Awek gua tak bersalin jugak.

"Aok dah makan? Pergi makan dulu. Kang pengsan sini pulok. Hah, Zohor pun dah masuk. Leh la aok gi solat terus."

Tanpa banyak bicara gua membaca doa terus melangkah kaki meninggalkan bilik. Untuk melakukan ibadah khusus dan ibadah umum.

"Incik.. Err.. Isteri Incik dah selamat bersalin..." Alahai..., Gua menadah tangan bersyukur.

Kemudian, gua masuk ke ruang tersebut.

"Cuba teka, anak encik lelaki ke perempuan?" Gua belek-belek raut wajahnya. Lalu meneka.

"Lelaki ni... "

"Haaa, salaaaaah.. Tada!!! Perempuan" sambil dia menyelak kain untuk menunjukkan alat kelamin bayi tersebut. Mereka pun berlalu dengan tawa berdekah-dekah.

Aku mengiqamahkan dan membaca apa yang patut kepada bayi tersebut. Dialah, Power Ranger Pink! Tadaaaa..!!!

Anak ketiga gua. Lahir di Hospital yang sama juga. Macam takde hospital lain kat Malaysia ni. Arrggghh, tak boleh jadi. Kali ini walau ribut melanda. Gua tetap mahu menemani awek gua melalui saat-saat genting dan perit itu. Mana boleh dibiarkan dia berseorangan. Buat kerja sama-sama. mana boleh saat begini dia keseorangan. Awek gua dah mula masuk wad. Seperti selalu-selalu juga. Dia dah 'post dated' dari tarikh jangkaan. Tiba masanya, kira-kira jam 10 pagi. Gua dipanggil untuk masuk ke dalam. Dalam bilik itu, awek gua sudah bersedia.

"Encik dah makan?"
"Dah.." Padahal, gua tak berselera untuk makan.

Setiap jam, bacaan degupan jantung bayi diambil. Bahagian tangan awek gua dah macam robot. Ada wayar dan tiub-tiub air yang dimasukkan ke dalam badan. Sesekali gua memicit-micit dan mengurut tulang belikat awek gua. Sambil membaca selawat dan surah-surah pendek dalam al-Quran. Terkumat-kamit mulut gua baca.

Kira-kira jam 11 pagi, misi suh gua gi minum. Apa kejadahnya gua kata. Jalan dah terbuka banyak cm dah, awek gua berbisik dengan gua. Gua syak tak lama lagi kuar arr tu. Tepat jam 12.00 tengahari gua berada di sisinya. Awek gua mula dikerjakan. Gua hanya memerhati dengan penuh empati dan simpati.

"Teran lagi, teran lagi.." Kedengaran suara ketua misi memberi semangat.
"Yess. Boleh... Pandai... Sikit lagi.. Kepala dah nampak dah..."

Bayi gua pun keluar. Air mata gua mula berlinang. Ya Allah, jika ini kesakitan yang terpaksa ditempuhi awekku. Aku mohon padaMU maafkanlah segala dosa-dosa kami. Gua jadi insaf. Sungguh! Selepas ini gua akan main geli-geli je. Geli-geli aje pun dah masuk 4. Belum betul-betul. Wakaka... Serius!


.

6.1.12

Inovasi

Gambar di atas, hasil air tangan gua. Wallpaper yang cun untuk Jamuan Hari Raya


Satu hari. Gua mengalah. Bilik persidangan dah lama ditempah. Pegawai itu, datang jumpa gua. Badannya besar. Kalau lu nak pakai bilik tu gua takde masalah. Lu punya kapasiti ramai, gua punya kapasiti tak berapa ramai. Tapi, lu pun tau. Ini kes mahkamah. Tempat lain tidak sesuai. Kapasiti gua ada hakim, responden dan perayu. Tapi, atas dasar ihsan, gua akan bercakap secara halus dengan hakim. Dan atas dasar gua takmau mementingkan diri sendiri, gua beralah. Baru tadi, gua dah slow talk dengan hakim. Gua anggap lu dapat ini arahan pengarah.


HABIS.


Satu hari yang lain. Gua dinasihatkan begini : "Bilik persidangan jika ada kes, keutamaan kepada kes berkenaan. Jangan ada isu untuk dibuat di tempat lain. Ia tidak sesuai. Baru-baru ini, hakim datang jumpa saya menceritakan masalah seringkali diusir. Jika ada pertindihan begini, U datang jumpa I. Kita bincang. Kalau boleh keutamaan saya adalah kes lembaga."

Gua terima sambil tergamam. Tak mengapalah kalau gua kena belasah. Seterusnya kerana bagi gua, kalau gua tak bagi pelepasan kepada mesyuarat lain, mesyuarat tersebut tidak berjalan. Sebagai orang yang berfikiran untuk kepentingan jabatan maka gua tidak mementingkan diri sendiri. Jadi, dua-dua dapat berjalan serentak. Gua dah protect lu, jangan lu pulak tikam dari belakang.


KOMA.


Gua mengalah, gua kena belasah. Tahukah kalian betapa sukarnya jika kita mempunyai 2-3 orang bos dalam satu masa.


NOKTAH.


.

4.1.12

Definisi Tinggi


Ini TV lama. Lama TV ini. Dibeli dari kedang ABANG. Harganya RM400.00 ketika itu. Kalau dinilai harga semasa mahu mencecah RM4K. TV ini sangat tahan maki. Teknologi monitor TV masih menggunakan kanta cembung jenis kaca. Masih menggunakan wayar. Saya guna TV ini dari tahun 2007 sehingga 1433H. Lama kan?? Satu hari saya pergi kedai ATAS RAJA. Saya beli TV yang lebih kecil dari ini. Tapi sound system nya lebih canggih. Bukan kerana saya tak suka pada TV ini. Tapi mata saya naik juling bila tengok TV ini yang gambarnya melengkung.

Berbalik kepada sound system tadi. "Oit, abang nak tengok TV ke nak dengar suara dari TV." Kata awek saya. Kemudian, saya balas, "Kadang-kadang suara merdu tidak menggambarkan orang itu manis. Manakala, suara garau atau kasar kita kata rupa dia hodoh. Walhal, kita belum bersemuka dengannya. Jadi, vokal bukan sekadar rupa."

Awek saya balas. "Apa yang abang merepek ni??..."

Memang awek saya suka bahasakan saya abang.

Saya balas. "Saje.. Menghiburkan hati orang. Walaupun hati kita terbakar.. Apa salahnya..."

"Apabila kita hendak memilih telefonis atau operator. Rupa jatuh nombor dua. Suara merdu jatuh nombor satu. Sebab orang dengar suara kita bukan tatap wajah kita."


HABIS.


Ketika saya baru dilantik menjadi registerar di Mahkamah di Wilayah Selulit. Saya sering tertanya-tanya apakah faktor-faktor yang menjadi penyebab saya dipilih. Lama saya fikir. Sampai mengganggu perjalanan kehidupan saya. Kemudian, saya dapat jawapannya. Dalam Mahkamah di Wilayah Selulit. Salah satu tugas registerar adalah membacakan kes untuk disebutkan atau dibicarakan pada hari berkenaan.

Lalu saya baca, "Kes yang ditetapkan pada hari ini.. bla bla bla.."
Sambil saya baca ada kedengaran suara-suara sayu menyahut. Wow! Macam suara Jamal la. Suara jantan!

Saya tak bangga. Apatah lagi takbur. Dan tak kan pada suara atau bakat saya saya terpilih. Kalau melihat pada raut wajah pula tidaklah sehensem mana. Rupa jatuh nombor tiga barangkali. Sekali pandang orang rasa gerun kerana susah nak senyum. Tapi tapi tapi... Kini, barulah saya tahu bahawa suara saya jatuh nombor dua. Komited dan tanggungjawab jatuh nombor satu. Manakala, hati yang bersih segala-galanya.

HABIS.

Orang yang pernah mengalami dan merasai ranjau-ranjau kesusahan hidup yang pancaroba akan rasa biasa apabila sekelumit kepayahan datang kepadanya. Alah bisa tegal biasa. Manakala orang yang tidak pernah mengalami kepayahan hidup apabila kerumitan kecil datang kepadanya. Itu sudah dianggap kerumitan yang dahsyat baginya.

Tegur saya apabila saya bongkak dan sombong.


SEKIAN.

TV di atas sudah ada pembelinya. Terima kasih.


NOKTAH.


.