18.6.07

1511

"Bang mana bangunan merah-merah tu...?"

"Bangunan apa?"

"Kan kita dah sampai Melaka kan kan kan...?"

"Dah tu?"

"Eleh, bangunan yang kaler merah yang bersejarah tu yang ada kat Melaka..."

"Oit, ini kat Alor Gajah la. Bukan Bandar Melaka. Adoi! Lemau betul peta minda kau!"

"Oh ye ke? Patutla saya kantoi subjek sejarah. Buta betul saya tentang sejarah. Ekekeke"

16.6.07

Weblog Day GEJU

Gengjurnal mempersembahkan Weblogger's Day 2007. Hooray! Semua blogger seluruh tanahair dijemput hadir. Aku jemput dengan ikhlas! Jangan malu ah! Banyak hadiah menarik menanti anda di sana! Masa inilah anda boleh berfoya-foya semahunya. Masa ini juga anda berpeluang berkenalan dengan blogger tersohor. Jika anda tiada sumbangan sebelum ini, masa inilah sumbangan anda diperlukan dengan menghadirkan diri saja. Sila bawa kad pengenalan. Maklumat lanjut >>KLIK SINI<<
* Sebarang perubahan tertakluk kepada perkembangan terkini oleh penganjur.

8.6.07

Memberangsangkan

Tahniah Pak Lah!

Saya yang baru saja diberikan status menjadi rakyat Pak Lah mengucapkan terima kasih. Dan rasa syukur saya kerana Pak Lah prihatin. Semoga pentadbiran negara lebih memberangsangkan setelah pemimpin rasa terangsang. Kan Pak Lah memerlukan belaian dan kasih sayang kan? Di dada akhbar, berita ini menjadi liputan. Di dada saya rasa lapang dan terbuka. Semua lapisan rakyat sudah merestuinya.

Selepas ini malam-malam Pak Lah sudah berteman dan penuh fantasi yang warna-warni. Semoga kali ini lebih bertenaga dari yang dulu. Pak Lah sekarang lebih matap! Syabas Pak Lah. Saya suka.

"Kuok la pulok.."
M. Rajoli perlu digantikan dengan Pak Lah dan isteri (Jeanne Abdullah) dalam iklan Lasinda Cafe.

Awal ketiga

Bibit-bibit keceriaan terpancar apabila menjelang hari ketiga. Fiqa menuju masuk pintu pagar Taska tanpa dipaksa-paksalagi. Tanpa esakan tangis yang melalak-lalak. Dia dengan senyum masuk berjumpa rakan-rakannya. yang lain. Merapati mereka. Mudahlah urusan kami pagi itu. Dia masuk tanpa peduli ayah dan ibunya lagi. Perubahan yang memberangsangkan. Harapnya, ia berterusan dan berkekalan. Dia gembira jumpa kawan-kawannya. Bermain mesra.

malam tadi, sibuk dia bertanya Aina.
"Aina mana bu?.. Aina?"
Ibunya yang tak tahu-menahu mengiyakan saja. Senyum kecil terukir. Nama sepupunya juga sering meniti di bibirnya.
"Ibu Yana kan. Yana kan, angis... (pelat bagi menangis)"

Sikit-sikit tanya Yana. Hampir dua bulan dia di kampung, itulah rakan sepermainannya. Alahai Fiqa, kalau kamu tak pelat, tentu seronok mendengar kepetahan kamu berbicara. Pernah satu petang, aku duduk-duduk santai menonton TV dia memanggil "Ayah.. acan, ayah.., acanlah...," sambil membawa piring plastik menyuruh aku makan bersama.

6.6.07

camar pulang

camar pulang mencari sarang
pulang lewat petang
sebelum senjakala membuka tirai
sebelum gelap hitam pekat padam
penarik beca juga mahu pulang
pemandu teksi dan pekerja dan orang ramai...

oh, aku pulang esok.
esok baru aku pulang.
minggu depan datang lagi.

Hotel Midtown,

K. Terengganu.

Menu sarapan pagi di hotel kurang memberangsangkan

Bangkit solat subuh. Tubuh terasa kedinginan. Penyaman udara menggigit-gigit tulang sum-sum sampai menusuk ke dalam. Grrr... grrr... Bukaannya betul-betul menghala ke tubuhku. Walhal aku berselimut tebal. Kedinginan itu dapat juga menyelinap masuk. Enak dan lena aku tidur malam tadi. Namun risaukan insan tercinta bersama dua orang puteri terkontang-kanting di rumah. Aku berpemergian dua malam.

Selesai solat Subuh. Aku menonton tv. Kau tahu sajalah, kalau di hotel. Tilamnya empuk dan biliknya sejuk akan membuatkan kau lena diulit intan. Aku belek-belek koran semalam. Tanpa disedari, aku tertidur semasa menonton TV3. Bila aku sedar kembali, bos dah keluar entah ke mana tanpa meninggalkan sebarang mesej. Lalu aku siapkan diri untuk bersarapan yang disediakan oleh pihak hotel.

Alahai, menu sarapan di hotel ini kurang memberangsangkanlah. Aku tak ada pilihan lain. Ah! bedal sajalah apa yang ada. Sudahnya, aku jamah nasi goreng kicap, cucur bawang, mee sup dan air fresh orange. Tiada lauk-pauk. Tiada roti bakar. Tiada nasi lemak. Tiada roti canai. Malam tadi, bos ajak keluar makan tapi bos tertidur. Makanya, aku jamah menu sarapan bukan kerana kesedapan tapi kerana mambayar kelaparan malam tadi. Alahai, manisnya di Kuala Terengganu. Manis lagi air teh 'O' yang aku minum sebelum check in di hotel. Ibarat tumpahnya gula ke dalam gelas.

2.6.07

MASKARA. Datang Wey!


Dengan bangganya, SINDIKET SOL_JAH akan menganjurkan majlis baca naskhah yang dipanggil MALAM BACA NASKHAH SINDIKET SOL-JAH DAN KAWAN-KAWAN YANG KITA SUKA (MASKARA).

TEMPAT: RUMAH PENA
TARIKH: 2 JUN 2007
MASA: 8 Malam

Terdapat SEPULUH penulis dan DUA ahli muzik bakal mempersembahkan karya masing-masing. Siapa mereka akan kami umumkan minggu depan. Kasi foreplay dulu.

MASUK PERCUMA.


Awal kedua

Hari pertama sekembali dari TASKA.

"Afiqah makan apa hari ni?"
"Ermm.. akan acik.."

"Lagi?"
"akan cup.."
Semuanya dikata sup. Woh, dia memang sukakan sup.

Berdasarkan pertanyaan aku dengan pengasuhnya, memang Afiqah makan banyak. Bubur, pisang goreng dan nasi.

Selera makannya bertambah nampaknya. Dia mahukan kawan dan teman untuk makan barangkali. Apabila di rumah, dia ceria sungguh. Walaupun ketika mahu diambilnya melalak di TASKA. Di rumah, dia mula bermain sendiri. Mula berdikari. Kemudian, petah dia bercerita tentang rakan-rakannya di TASKA. Aku bukannya faham sangat apa yang dilafazkan kerana lidahnya pelat.

Kali ini, yang merisaukan aku pula ialah adiknya. Afifah. Mukanya penuh ruam merah. Badannya juga. Belakang cuping telinganya seperti menggelupas kulitnya. Aduhai...! Afifah alah susu lembu agaknya. Seperti kakaknya juga. Tapi bila diberi susu NURSOY - susu berasaskan soya, najisnya cair pulak. Kali ini kita cuba susu ISOMIL pula selain susu cap gantung ibunya. Pulang dari TASKA Afifah tidur sampai pagi. Oh, bahagianya...

1.6.07

Awal pertama

Hari ini. Awal bulan enam. Afiqah & Afifah. Hari pertama di Taska. Aku kira, Afifah tiada menghadapi sebarang masalah. Dia tidak menangis atau memberontak apabila diambil oleh pengasuh Taska berkenaan. Dia baru masuk dua bulan. Sebaliknya Afiqah kontra. Aduhai! Susah benar mahu ditinggalkan. Afiqah sudah mula mengenali siapa ibunya dan siapa ayahnya. Dia juga tahu, dia akan ditinggalkan di situ ketika orang tuanya pergi bekerja. Tiap malam sebeleum tidur kami berpesan. Contohnya, malam tadi.

"Afiqah esok pergi sekolah tau. Jumpa kawan-kawan. Main sama-sama. Jangan menangis..."

Aku faham. Memang sudah menjadi kebiasaan anak-anak apabila hari pertama ditinggalkan oleh orang tuanya kepada orang lain. Pasti menangis melalak-lalak meminta tolong. Lebih-lebih lagi seumur Afiqah. Pertama kali pula dijaga oleh orang lain selain ibunya. Masuk dua tiga hari akan reda barangkali. Harapnyalah! Masalahnya, si Afiqah mula masuk hari Jumaat. Sabtu dan Ahad adalah cuti. Dua hari bersama ibunya semula. Manakala hari Isnin dihantar kembali untuk menyesuaikan diri di Taska berkenaan. Alahai Afiqah! Jangan menangis sayang. Bukan ibu mahu meninggalkanmu. Ibu mahu mencari rezeki membantu ayah kerana kos sara hidup semakin meningkat. Sedang gaji ayah di takuk situ. Lainlah kalau ayah kerja di sektor kerajaan.

Setelah dia leka bermain, dengan senyap kami berundur dan mengangkat kaki beredar. Lalu dia perasan ketiadaan orang tuanya. Dia melalak semahunya. Gamat suasana dibuatnya. Rakan-rakannya yang lain jadi terperanjat. "Afiqah... Afiqah sinilah...," ada yang cuba memujuk. Ketika ditinggalkan dia mula menangis. Tau sajalah kalau dia menangis. Aura suaranya bikin gamat dan kelam-kabut dibuatnya. Setelah menghantar ibunya, aku sengaja pusing kembali melalui jalan di depan Taska. Kasihan aku dengannya. Aku lihat dia berpegang di pintu pagar. Menangis mahu keluar. Ditambah pula dia melihat aku, semakin dia menitiskan air mata syahdunya. Harapnya, pengasuh dapat memujuknya.

"Afiqah jangan menangis sayang! Ayah dan ibu mahu kerja. Kalau Afiqah mahu MILO mintalah dengan akak pengasuh tu ye... Kalau Afiqah mahu buang air cakap dengan akak tu ye. Afiqah jangan garang-garang dengan kawan ye. Nanti semua tak mau kawan dengan Afiqah. Kalau masa makan Afiqah makan ye dengan penuh selera. Afiqah jangan mogok lapar tau! Semalam Afiqah hanya menjamah secebis biskut jagung, sebiji telur putih saja, dua suap nasi dan empat botol air MILO. Pemakanan gizimu tidak seimbang. Perutmu kosong nak. Penuh air saja. Dahlah Afiqah alah susu lembu. Tumbesaran terbantut nanti tau... Sudahnya, malam tadi Afiqah bangun tiga kali dan muntah antara jam dua hingga tiga pagi. Ayah perlu membawamu ke klinik sayang... Makanan, lendir dan kahak dilihat banyak terbelahak malam tadi. Afiqah, ayah dan ibu sayang kamu...!" getus hatiku sambil memandu kereta membelah angin pagi menuju ke tempat kerja. Aduhai! Harapnya aku ada konsentrasi dan tenang di tempat kerja.