1.6.07

Awal pertama

Hari ini. Awal bulan enam. Afiqah & Afifah. Hari pertama di Taska. Aku kira, Afifah tiada menghadapi sebarang masalah. Dia tidak menangis atau memberontak apabila diambil oleh pengasuh Taska berkenaan. Dia baru masuk dua bulan. Sebaliknya Afiqah kontra. Aduhai! Susah benar mahu ditinggalkan. Afiqah sudah mula mengenali siapa ibunya dan siapa ayahnya. Dia juga tahu, dia akan ditinggalkan di situ ketika orang tuanya pergi bekerja. Tiap malam sebeleum tidur kami berpesan. Contohnya, malam tadi.

"Afiqah esok pergi sekolah tau. Jumpa kawan-kawan. Main sama-sama. Jangan menangis..."

Aku faham. Memang sudah menjadi kebiasaan anak-anak apabila hari pertama ditinggalkan oleh orang tuanya kepada orang lain. Pasti menangis melalak-lalak meminta tolong. Lebih-lebih lagi seumur Afiqah. Pertama kali pula dijaga oleh orang lain selain ibunya. Masuk dua tiga hari akan reda barangkali. Harapnyalah! Masalahnya, si Afiqah mula masuk hari Jumaat. Sabtu dan Ahad adalah cuti. Dua hari bersama ibunya semula. Manakala hari Isnin dihantar kembali untuk menyesuaikan diri di Taska berkenaan. Alahai Afiqah! Jangan menangis sayang. Bukan ibu mahu meninggalkanmu. Ibu mahu mencari rezeki membantu ayah kerana kos sara hidup semakin meningkat. Sedang gaji ayah di takuk situ. Lainlah kalau ayah kerja di sektor kerajaan.

Setelah dia leka bermain, dengan senyap kami berundur dan mengangkat kaki beredar. Lalu dia perasan ketiadaan orang tuanya. Dia melalak semahunya. Gamat suasana dibuatnya. Rakan-rakannya yang lain jadi terperanjat. "Afiqah... Afiqah sinilah...," ada yang cuba memujuk. Ketika ditinggalkan dia mula menangis. Tau sajalah kalau dia menangis. Aura suaranya bikin gamat dan kelam-kabut dibuatnya. Setelah menghantar ibunya, aku sengaja pusing kembali melalui jalan di depan Taska. Kasihan aku dengannya. Aku lihat dia berpegang di pintu pagar. Menangis mahu keluar. Ditambah pula dia melihat aku, semakin dia menitiskan air mata syahdunya. Harapnya, pengasuh dapat memujuknya.

"Afiqah jangan menangis sayang! Ayah dan ibu mahu kerja. Kalau Afiqah mahu MILO mintalah dengan akak pengasuh tu ye... Kalau Afiqah mahu buang air cakap dengan akak tu ye. Afiqah jangan garang-garang dengan kawan ye. Nanti semua tak mau kawan dengan Afiqah. Kalau masa makan Afiqah makan ye dengan penuh selera. Afiqah jangan mogok lapar tau! Semalam Afiqah hanya menjamah secebis biskut jagung, sebiji telur putih saja, dua suap nasi dan empat botol air MILO. Pemakanan gizimu tidak seimbang. Perutmu kosong nak. Penuh air saja. Dahlah Afiqah alah susu lembu. Tumbesaran terbantut nanti tau... Sudahnya, malam tadi Afiqah bangun tiga kali dan muntah antara jam dua hingga tiga pagi. Ayah perlu membawamu ke klinik sayang... Makanan, lendir dan kahak dilihat banyak terbelahak malam tadi. Afiqah, ayah dan ibu sayang kamu...!" getus hatiku sambil memandu kereta membelah angin pagi menuju ke tempat kerja. Aduhai! Harapnya aku ada konsentrasi dan tenang di tempat kerja.

No comments: