18.10.13

Draf surat kepada jiran sebelah kanan

.




Saudara,

MEMOHON PENJELASAN DAN PENCERAHAN BERHUBUNG DENGAN SEMBURAN HITAM DI HADAPAN RUMAH SAYA.

Dengan salam takzim dan rasa rendah diri saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Pertamanya, tujuan surat ini saya kirim bukan untuk membuat tuduhan melulu dan membabi buta tak tentu pasal. Saya bukan jenis begitu. Saya jenis begini. Okey, kalau tak faham. Abaikan. Saya sekadar ingin mendapatkan kepastian tentang perkara tersebut ia adalah angkara siapa. Bekas semburan hitam yang betul-betul berada di hadapan pintu pagar atas jalan raya berukuran empat kaki kali enam kaki itu seolah ibarat satu tanda angkara durjana dan sakit pula mata memandangnya. Walaupun jalan itu bukan bapak saya yang punya.

3. Untuk makluman saudara, perkara ini berlaku apabila ketiadaan saya di rumah kerana meraikan Hari Raya Aidiladha di kampung dengan begitu seronok. Sekembalinya saya di kampung saya terpandang akan kesan semburan itu membuatkan saya dan keluarga panik seolah ada sesuatu tanda yang tidak elok. Minta dijauhkan. Saya pasti, bukan jiran sebelah kiri dan jiran sebarisnya melakukan perkara ini kerana mereka semua bercuti di kampung. Jiran di hadapan pula kosong dah beberapa bulan, sebelah kirinya pula pilot yang selalu ke luar negara. Sebelah pilot pula jiran India yang pembersih orangnya dan berkilat lantai 'car poarch'nya. Hey, saya kenal jiran saya. Jiran sebelah depan kiri pula, sibuk urusan dunia hal kerjanya. Saya pasti di kala itu, yang tinggal, adalah saudara. Sekali lagi, saya ingatkan. Bukan menuduh. Ingin penjelasan daripada saudara kerana sejak kejadian itu berlaku saya tidak nampak batang hidung saudara. Tolonglah, jangan buat jiwa saya kacau.

4. Selain itu, saya juga ingin maklumkan kepada saudara bahawa ada berlakunya paip singki atau paip yang menuju ke belakang rumah saudara. Tapi, saya pasti itu papi dari singki ke saluran belakang kerana ia mengeluarkan aroma yang sangat enak. Sekali lagi saya minta untuk saudara memperbaiki perkara tersebut selain daripada memperbaiki sikap. Ini semua soal sikap. Tolong menepati masa. Tolong, tolonglah...

5. Sebenarnya, ada banyak point lagi saya nak tulis. Tapi setakat ini dulu untuk kali ini. Kita berjumpa di lain masa. Pecah kaca pecah gelas. Dah baca jangan malas. Sesungguhnya malas itu tangga kemunduran.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

AHTOK



:::

17.10.13

Draf surat kepada jiran belakang

.




Tuan,

MERAYU SUPAYA SAMPAH DI LORONG BELAKANG RUMAH DIBERSIHKAN DENGAN KADAR SEBERAPA SEGERA.

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Sukacitia dimaklumkan bahawa segala sampah-sarap dan bahan buangan yang diletakkan di lorong belakang rumah tidak akan dan memang pantang pihak Majlis Perbandaran atau yang sekutu dengannya mengutip lalu membersihkannya sambil tersenyum. Semoga tuan mengambil maklum tentang perkara ini.

3. Selaku jiran yang berkongsi lorong belakang. Longgokan sampah-sarap yang dilonggokan dalam tiga beg plastik hitam serta tikar lama turut memberi kesan kepada saya. Sudah lama saya perhatikan longgokan sampah berkenaan di situ tanpa apa-apa tindakan susulan daripada pihak tuan. Sebelum ini, almari terpakai, rak pinggan, mesin basuh dan barang-barang terpakai dilonggokkan di situ namun telah diambil tindakan oleh pihak tuan. Kini, sampah berkenaan sudah lama terbiar di situ dan dalam perkiraan saya hampir dua hari raya. Hari Raya Aidilfitiri dan Hari Raya Aidiladha. Tidakkah tuan sedar bahawa longgokan sampah berkenaan dijadikan bahan mainan kucing domestik dan anjing-anjing liar yang menghidu sampah berkenaan. Tidakkah pihak tuan menghidunya? Adakah pihak tuan menunggu beruang kutub untuk menghabiskan longgokan sampah berkenaan? Tidakkah pihak tuan juga sedar kita hidup berjiran?

4. Untuk pengetahuan pihak tuan juga, tikar yang dicampakkan di tempat tersebut bakal menjadi tikar pandan terbang yang kadangkala terbang ke sana sini di rumah jiran yang lain. Pagi tadi, saya lihat tikar tersebut terdampar di tengah lorong balakang bagai nak menjamu dan menghidang tetamu yang datang. Eh, mata saya sakit, hidung saya rasa mcam ada resdung dengan kehadiran longgokan sampah berkenaan. Kalaulah tuan tidak mempunyai masa sekalipun, arahkanlah anak-anak atau isteri-isteri tuan untuk berbuat sesuatu. Tolonglah jangan mementingkan diri sendiri saja. Cantikkan rumah sendiri saja tanpa menghiraukan kepedulian jiran sekeliling. Tolonglah, utamakan tugas dari kepentingan peribadi.

5. Saya mencadangkan kepada pihak tuan, silalah berbuat sesuatu sebelum saya menelefon Guru Besar Sekolah Kebangsaan Puchong melalui panggilan luar negara. Dengan kadar sebera sagera saya minta jasa baik tuan untuk membersihkan longgokan sampah berkenaan sebelum kejadian lebih parah dan berdarah berlaku. Ini tanah air kita. Saya kira, kos pemindahan longgokan sampah berkenaan pun bukannya menelan belanja yang besar sangat. Apalah nak dikira kebersihan berbanding dengan wang ringgit. Kalau itupun tuan tak dapat nak buat. Jom ikut saya kita pergi bersihkan jiwa terlebih dahulu.

6. Semoga hajat dan teguran yang ingin saya sampaikan ini tuan dapat memahaminya lalu apabila tuan menerima saja maklumat ini. Dipohon tuan proses lantas laksanakan dengan betul. Dapat tak dapat? Okey, banyak lagi surat saya nak draf kepada jiran-jiran yang belum memahami konsep kejiranan hijau di kawasan rumah ini khususnya. Saya dahulu dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

'BERKHIDMAT UNTUK NEGARA'

Yang Benar,


AHTOK ASTAKONA
Jiran Prihatin

::: Surat ini tidak perlu ditandatangani kerana dihasilkan melalui cetakan komputer berteknologi tinggi. :::

4.10.13

Dua hari tannpamu (Bhg I)

What's app
["Ayah, esok ibu ada lawatan tapak dan mesyuarat di luar"]
["OK."] Aku jawab ringkas melalui iphone 4s yang skrin belakangnya telah retak seribu.

Aku terus bingkas berdiri. Menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri.

Seawal jam 4 pagi ketika makhluk-makhluk dan mergastua lain masih lena diulit intan. Awek aku yang cun dan kulitnya mulus bergegas mengejutkan aku untuk menyatakan bahawa dia mahu dan patut bertolak. Selesai bersalaman dan mengucap salam. Kami tidak bercumbuan. Hanya cium tangan dan mengucup dahi. Kereta dihidupkan enjinnya. Lampu hadapan dinyalakan. Beberapa minit kemudian. Kereta meluncur membelah embun pagi dan bayu dingin. Jiran-jiran masih belum bangkit lagi. Anak-anak masih tidur nyenyak. Anak kami ada empat orang setakat ini. Inilah hasil perkongsian hidup kami selama tinggal serumah dan sebilik. Aku terus menutup pintu pagar dan dan pintu lelungsur kaca menguncinya dari dalam. Menyambung menggalas tugas. Sebagai seorang papa & mama dalam dua hari ini.

Pagi itu, aku cuba melelapkan mata namun tidak berjaya. Akhirnya, aku bingkas bangun semula. Apa yang mahu dibuat agaknya. Menguruskan kepeluan anak-anak untuk ke taska dan sekolah masing-masing awal paginya, bagus juga. Baju telahpun disiapkan oleh ibunya malam tadi. maka, tidaklah aku sibuk sangat pagi nanti. Cuma nak uruskan penghantaran mereka saja di awal pagi. Entah apa akan jadi aku serah pada ketentuan masa.