30.6.16

Review : Produk Minyak Rambut POMADE MAGNUM Waterbase Ocean



Hari ini, saya nak ulas mengenai produk minyak rambut POMADE MAGNUM waterbase ocean perfume scent, strong hold, easy wash, 150g/50z. Produk ini sedang hangat di pasaran dan mencanak naik jualan di dalam talian dan mana-mana kedai terpilih. Pada mulanya saya pun memperlekeh kualiti dan jaminan produk ini, adakah ia dapat menjanjikan sesuatu yang lain daripada yang lain. Dalam hati berkata, minyak rambut semua sama je.. Tak ada beza pun. Tapi sangkaan saya meleset apabila baru-baru ini saya terperangkap dan terpikat untuk memiliki minyak rambut ini. Hasil gerakan hati kecil saya dan naluri hasrat hati kerana ingin bergaya di Hari Raya yang bakal menjelang tak lama lagi. Lalu saya menggunakannya. Kini, telah hampir seminggu. Memang nampak perubahan pada penampilan dandanan dan penataan rambut saya. ia kelihatan lebih kemas, rapi dan meyakinkan.

Tambahan pula, ia berbau harum. Aromanya menyegarkan. Apabila si pemakai memakainya. Rambut harum bersinar sepanjang hari. Rambut lebih mudah diatur. Saya rasa saya lebih kacak daripada biasa. Wow! Lagipun ia mudah untuk dihilangkan apabila dibilas atau mandi dengan air. Ia mudah dicuci. Tidak berminyak di dahi dan meleleh di muka. Rambut seperti saya yang sedikit ikal mudah diurus dan diluruskan dengan penggunaan minyak rambut ini. Berbanding sebelum ini saya mengalami kesukaran untuk membentuknya terutamanya di bahagian jambul hadapan. Kadangkal trauma membawa ke mimpi. Jadi, saya tak menyesal memilih produk ini. Saya menasihatkan jejaka di luar sana untuk menggunakannya kerana ia sesuai untuk semua peringkat umur.
K bai..


.



29.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (5)



Satu hari. Tauke Cina dan India mempelawa kami. Berbuka puasa di Restoran Cina. Kami pun setuju tanpa bahas. Menghidangkan masakan makanan laut. Menjanjikan kelazatan istimewa. Ketam telur masin, ikan putih tanpa tulang masak kicap bijan bersama tauhu, ikan sembilang claypot masak asam, udang goreng butter, sotong pedas goreng cili kering, sayur baby kailan goreng dengan sos tiram dan sepinggan nasi putih. Halal. Pastinya Halal.

Sebelum hidangan sampai, kami disajikan air longan ais semangkuk dan teh cina herba panas. Sementara menunggu waktu berbuka. Kami bersembang. Hal dunia. Daripada soal pemajuan kawasan, kesesakan lalulintas, kerja-kerja kejuruteraan, bermain golf, hidup di bandar, luar bandar, pinggir bandar, projek-projek dalam senarai, projek telah siap, projek bermasalah, aduan orang awam, sambutan hari raya, resepi masakan, jalan-jalan cari makan, hal-hal wanita, perempuan simpanan, politik, skop kerja, hal mesyuarat, soal kesihatan, produk kecantikan, fesyen dan banyak lagi. Sungguh! Perbualan kami banyak hal dunia saja. Zero mengenai hal akhirat. Kami borak sikit kemudian ketawa terbahak-bahak. Banyak.

Masuk waktu berbuka, kami baca doa. Kami makan tamar dulu. Ya, beberapa orang menjamah tamar manakala beberapa orang lagi meneguk air. Seterusnya kami menikmati hidangan. Sambil menikmati hidangan kami berborak lagi diselang-selikan ketawa berdekah-dekah.

"Bos, ituari itu perempuan, YDP ada tanya. Apa pasal U buat itu korek kami bagi izin soil test saja?"
Itu perempuan jawab. "Kita mau test mesti kena kasi korek dulu."
"Itu perempuan memang itu macam bos. Mesti mau korek." Kami mengekek ketawa.Ekekekeke.. Riuh. Dalam bilik kedap.
"Patut tak payah korek. Paling penting itu dalam tanah. Sini memang itu macam. Ini engineer saya rasa sudah salah suggest. Kami selalu kasi piling saja." Sampuk Jeksen yang berpengalaman dalam soal pembinaan.

Kemudian, kami diam. Makan.

"Hei, itu projek buat McD pun tak payah korek. Kami piling press saja. Kiri kanan ada rumah." Kata Jeksen. Kontraktor projek berkenaan.
"Waa! Tapi aduan jiran sebelah banyak leceh mau handle. Itu saya kenal, Pi'e biawak selalu datang sama kita. Bos, saya hantar itu Jeksen kasi setel. Bagi dia projek. Dia banyak hepi. Sudah takda itu aduan lagi."
"Bila itu projek siap arr, dia mari jumpa saya."
"Hey U tak kenal sama saya ka Pi'e?" Tanya penolong pegawai JPS.
"Saya tak berapa nampak la sekarang." Jawab Pi'e.
"Mana U mau nampak, itu projek sudah habis. Dengan saya pun tara nampak."

Kami berdekah-dekah ketawa lagi.

"Betul bos, itu projek dia dapat sudah habis. Mau lagi projek cakap tara nampak sama kita."

Kah kah kah.. Kami ketawa memecah kesunyian. Kami sambung makan. Sedap. Ada yang menambah. Ada yang malu-malu nak tambah. Ada pula yang makan lauk saja.

Akhirnya kami leka makan. Kami tak leka sebenarnya. Kami sedar. Kami tak mabuk! Solat Maghrib entah ke mana, solat sunat terawih entah ke mana. Akhirnya kami hanyut, leka dan lalai dalam dunia yang hanya menyajikan makanan laut. Cuma makanan laut. Percuma.

"Hey Ganes, selalu U buat berapa rakaat solat terawih? Lapan ka dua puluh?" Aku tanya.
"Dua puluh bos." Ganes jawab dengan penuh yakin. Dengan kepala bergoyang-goyang.

Aku dan rakan-rakan ketawa lagi. Jeksen dan Tan senyum saja. Kami juga belum tentu ketawa lagi di padang nanti. Tapi mereka pula kompom tidak ketawa di sana nanti. Inilah saja perbualan yang ada kaitan hal akhirat. Maka, perbualan kami jadi satu peratus tentang hal akhirat. Ada peningkatan. Makanan dah habis. Kami minum-minum.



.

27.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (4)

Ramadhan kali ini aku diuji dengan kawan-kawan yang menghasut ke arah kedurjanaan.

Ramadhan kali ini juga aku diuji dengan mainan dan nikmat dunia.





.

23.6.16

Mengapa



Kasut dan jam tangan merupakan lambang peragaan lelaki maskulin sejati. Selain aksesori lain seperti topi, beg, gajet dan sebagainya. Kalau rupa sekacak mana sekalipun tetapi jam tangan dan kasut yang digayakan tidak padan. Maka lelaki berkenaan boleh dikategorikan sebagai lelaki biasa-biasa saja dan tidak 'outstanding'. Fuhhh.. sudah pastinya, kau tak jatuh pada kategori lelaki metroseksual. 

Kalau kau punya rupa kacak dan pakej yang lengkap dengan gaya urban yang memikat. Kau takkan pergi lagi di kedai kedai gunting rambut biasa atau kedai gunting rambut yang luarnya ada lampu warna-warni berpusing. Kau akan tuju ke salun kecantikan yang lebih menawarkan pakej yang lebih baik seperti khidmat mencuci rambut, mengurut bahu dan sebagainya. Sebagaimana disebut dalam teori hirarki Maslow. Kau takkan lepak lagi di kedai-kedai mamak, gerai-gerai biasa sebaliknya di Starbucks atau Kopitiam sambil membaca majalah Men's Vogue.

Kau mula membawa beg tangan lelaki ataupun 'manbag' ketika berjalan-jalan di kompleks membeli-belah atau ke mana saja. Beg tangan lelaki di sini bukanlah pouch kat pinggang yang macam orang selalu pakai ketika meniaga di pasar malam tu, sebaliknya beg tangan lelaki kulit atau campuran PU yang berjenama seperti Louis Vuitton, Guess, Checkers Collection, Georgio Armani dan sebagainya. 

Banyak lagi ciri-ciri lelaki maskulin metroseksual yang mungkin kau sendiri tidak sedar. Mungkin, kod praktis itu ada dalam diri kau. Jadi, kau dah mula berimaginasi bahawa kau lelaki idaman itu sebagaimana yang sering disajikan dalam telemovie atau drama Melayu yang disiarkan waktu dinihari menjelang Maghrib. Lalu, kau pun terpengaruh dan perasan kau akan diacu seperti itu. Kau rasa itulah paling ideal. Padahal, hakikat sebenarnya adalah sebaliknya. Pendapatan yang dah bekerja di mana-mana sektor sekalipun belum tentu dapat menikmati kemewahan unggul seperti yang digambarkan. Hadiah hari lahir sebuah kereta mewah misalnya. Anak Dato' dalam plot cerita misalnya juga.

Jadi, adakah kau rasa fesyen penting bagi kau? Kalau kau rasa penting dan dapat meningkatkan imej orang terhadap kau. Maka, silakan berbuat sesuatu. Paling kurang, kau berpenampilan kemas. Rambut disisir rapi. Pakaian tidak berkedut. Maka, untuk dunia penerbitan nama ahtok astakona dipilih dan diadaptasi. Sebaliknya dalam dunia fesyen dan butik nama ShaiHani Collections telah dipilih. Bagaimana pula dalam dunia cookies? Win!

#fesyen #kasut #maskulin #metroseksual #shaihani collections #bisnes #kasut #jamtangan #talipinggang


.

19.6.16

Ramadhan tanpamu



Ramadhan tanpamu menjadikan ruang kosong tanpa diisi.
Selamat hari bapa yang mahu kulontarkan, walau tidak dapat disampaikan dengan berhadapan namun ada caranya untuk mengisi ruang sepi kekosongan walaupun tiada siapa mahu mendengar barangkali

imej bapa masih aku simpan dalam memori
suara bapa masih aku simpan dalam hati
fail bapa masih aku simpan dalam sanubari
aplikasi bapa masih aku simpan dalam diri
gejet bapa masih aku guna sehingga kini
salinan lembut bapa masih aku manfaatkan 
salinan keras bapa masih ada dalam simpanan

Bapa telah tiada kini
perginya tak akan kembali
hanya aku sahaja di sini
berteman jasa budi sendiri
bapa kau lambang perjuanganku
sesungguhnya kau inspirasiku

Terpancar kebanggaan dirautmu
Dalam senyummu megah
Melihat kejayaanku dicapai
Bilaku kegagalan merundum
Tak kau biarkan sahaja
Aku terus kecewa melara

Dengan kata azimat murni
Engkau nyalakan semangat tinggi
Restu dan doa kau iringkan sekali

detik berlalu mahuku jadi sepohon kayu besar
rendang dan teduh berbuah seperti bapa dahulu
dalam hariku mohon kepada Yang Satu
ampun segala kesalahan bapa yang lalu
terimalah bapa juga berikan rahmatMu

Ketika berjauhan di kala ini
Masihku rasa hangat kasihmu bapa tersayang
Betapaku rindukan redup wajahmu
Hadir menemaniku 
Mengisi impian hidupku


Selamat Hari Bapa.
al-Fatihah buat Hj. Marsuk@Maskur bin Atmom.


.

14.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (4)

Entah apa motif beliau mengadu domba. Mengatakan aku tak bersungguh. Laporan tulisan tangan. Mempertikai hasil kerja aku. Mempersoal aku buat seorang tanpa kerjasama kumpulan. Alahai... Semoga kau diberikah hidayah untuk berubah.

Entah aku pun tak paham. Cubalah bersikap lebih matang sikit. Bukan memperkecil usaha orang lain. Aku pasti itu bukan bergurau. Kalau kau kata itu gurau. Hey, kasar sangat gurauan kau. Tahukah kau bahawa ide kumpulan kau itu datangnya dari aku juga. Hahaha...

Sabarlah..



.

13.6.16

Nikmatnya Ramadhan (3)

Alhamdulillah kita telah menjalani hari yang ke-delapan Ramadhan 1437H. Semoga ibadah Ramadhan kita berjalan lancar selama sebulan. Namun tidak hanya sebulan saja kita berlumba-lumba memperbanyakkan pahala, hendaknya bulan Ramadhan kita jadikan kesempatan untuk meningkatkan kualiti diri dan keimanan kita kepada Allah SWT. Sehingga kita boleh beribadah secara istiqamah, tidak meninggalkan yang wajib serta memperbanyakkan yang sunnah. Hari ke-Lapan ini macam-macam perkataan keluar dari mulut rakan-rakan yang kita suka dengan membisikkan ke telinga kita untuk tidak meneruskan puasa. Mereka sedang mencari rakan kongsi untuk bersama-sama ke neraka.


Di bulan Ramadhan kita diwajibkan berpuasa selama sebulan penuh tanpa bahas. Dari waktu imsak hingga berbuka saat maghrib. Tidak hanya menahan rasa lapar dan haus, tapi juga segala hal yang dapat membatalkan puasa. Perintah puasa difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran surat al-Baqarah ayat 183. Dan puasa Ramadhan ini merupakan salah satu Rukun Islam. Jam di tangan baru menujukkan jam 1 tengahari, rakan-rakan kita mengajak kita untuk makan nasi bungkus palstik hitam. Order beg plastik hitam sebungkus dalam lingkungan RM7 tak sampai. Kalau nak order, aku tak mau! Drop aku di kedai jam. Boleh aku betulkan tali jam.



Ketika berpuasa selama satu bulan, kita boleh merasai bagaimana orang atau fakir miskin yang sedang kelaparan, kerana kita selalu memenuhi nafsu makan kita sehari empat atau lima atau lebih. Maka jika kita boleh merasakan hal tersebut, kita akan menjadi orang yang ambil peduli terhadap orang yang sedang kesusahan khususnya fakir miskin. Dengan begitu, kita akan terbiasa menolong mereka dengan memberikan sedekah. Kita tak akan lagi berlebih-lebihan dan selalu ingat akan kesulitan mereka. Memberi kepada sesama serta tidak lupa selalu mensyukuri hidup ini. Dibisikkan ke telinga kita, bulan Ramadhan kita tak perlu berpuasa, nanti bulan Syawal kita puasa dapat cover 100 tahun punya puasa. Tak payah susah-susah bro! Itu rakan kita atau setan yang bertopengkan rakan kita membisikkan? Kita jangan takut.



Dengan berpuasa, kita juga diajarkan untuk menjadi sabar. Sabar di kala lapar, haus, menahan marah bahkan syahwat. Jika kita berhasil menahan itu semua maka kemenanganlah yang kita dapatkan. Menahan dan mengendalikan nafsu adalah hal yang paling sukar bagi manusia. Begitu pula jika kita sedang berpuasa, sering kita menghadapi orang yang menguji kesabaran kita, padahal kita sedang berpuasa dan harus menahan nafsu kita. Rasulullah SAW bersabda: "Puasa adalah benteng penghalang, maka janganlah ia berucap dengam kalimat buruk, mencaci, dan menghina, jika ada yang mengganggunya atau mengumpatnya katakanlah aku puasa, aku puasa. Demi Allah yang diriku dalam genggaman-Nya, sungguh aroma tidak sedap di mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada wangi misik, karena ia meninggalkan makanannya, minumannya, dan syahwatnya kerana Aku (Allah SWT). Puasa adalah untuk-Ku, dan Aku yang membalasnya, dan setiap pahala dibalas 10 kali ganda darinya". (HR. Bukhari). Bila semua di atas membisikkan, lalu aku berkata, aku puasa! Aku puasa! Aku puasa!



Maka kuncinya adalah sabar. Betapa sabar itu adalah kunci kejayaan dalam segala hal, subhanallah… Di bulan Ramadhan inilah kita perlu muhasabah dan memperbaiki diri. Dan tentunya agar kita menjadi orang yang betaqwa, seperti firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al Baqarah:183). Yang lebih dahsyat lagi apabila sahabat kita ajak berbuka puasa belum tiba masanya dan dikatanya kita bersubahat sama maka eloklah berbuka saja. Sia-sia berpuasa dia kata. Aduh, apakah malapetaka bencana ujian yang menimpa ini Ya Allah. Maafkanlah aku Ya Allah. Ampunilah dosa-dosaku Ya Allah... Apakah mereka dihantar kepadaku untuk mengujiku Ya Allah..



.

11.6.16

Nikmatnya Ramadhan (2)


Belanja kambing bakar home made untuk santapan berbuka seisi keluarga.
Bahan-bahan dan cara menyediakannya boleh 'personal messages' saya.
Sekian.


.

10.6.16

Nikmatnya Ramadhan (1)



Ajjilu bissahuri kablal faut...
Sahurrrr


.

8.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (3)


Waktu Maghrib hampir tiba. Sebelum tiba waktu berbuka, sempat lagi aku menelusuri barisan teks yang tertulis di whatsapp group yang dihantar oleh rakan-rakan kepada rakan-rakan. Banyak yang tak berfaedah pun daripada yang berfaedah. Okey, lupakan itu. Itu semua dunia..

Aku bingkas bangun. Lalu menuang serbuk tamar koko. Satu peket. Bungkusannya aku masukkan ke dalam plastik hitam. Campurkan air panas dalam cangkir. Kacau menggunakan sudu plastik bewarna putih. Sudu makan nasi bungkus bulan lalu. Aku kacau ikut arah jam. Aku letak di atas para cawan itu. Aromanya mula menusuk ke rongga hidung. Sekotak tamar aku capai yang masih belum dibuka, dimasukkan ke dalam telap lutsinar. Aku susun rapi. Memudahkan sesiapa saja mengambilnya.

Kedengaran azan Maghrib berkumandang. Aku duduk. Capai cangkir tadi. Capai telap berisi tamar. Aku menadah tangan. Berdoa berbuka puasa. Memakan sebiji tamar. Penuh tawadduk. Habis tamar. Aku meneguk air tamar koko. Dah, selesai iftar aku. Hari ini memang temanya tamar. Esok lusa barangkali bertemakan tepung pelita. Tak pasti!


.

7.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (2)

Semakin hebat ujian Ramadhan bulan ini.

Sedang aku bersendiri menghadap PC. Semua lampu tertutup secara tiba-tiba. PC tidak terpadam. Lampu saja yang terpadam. Wah, ini betul-betul menduga aku di bulan Ramadhan. Mana ada Syaitan di Bulan Ramadhan main lampu. Jam di tangan kiri sudah menunjukkan pukul enam empat puluh enam minit petang. Jam digital jenama Tissot. Baru dipakai. Namun dah lama dibeli. Jam di dinding dah lama kehabisan bateri. Tiada siapa nak ganti.

Aku berhajat untuk singgah di Bazar Ramadhan. Bukan untuk membeli juadah atau lauk-pauk. Namun untuk melihat suasana di Bazar berkenaan. Mencari panoramik yang menarik. Bukannya selalu. Setahun sekali. Panoramik itu perlu aku rakam. Untuk apa aku pun tak tahu.

Sampai di Bazar.

Inilah aku malas nak ke Bazar. Dalam hati aku  berkata. Selain ketemu lauk-pauk yang banyak terdedah. Kuih-muih juga turut terdedah. Banyak juga buah-buah mengkal yang terdedah kelihatan tersembul keluar dari bungkusannya. Kelihatan tanpa tangkai. Nampak saja luaranya licin dan menggiurkan. Namun isi dalamnya belum tentu tidak berulat. Hati-hati.

Aku berlalu tanpa sebarang bungkusan. Hanya bingkisan panoramik yang telah kurakam. Untuk apa aku pun tak tahu. Penuh warna-warni air berbungkus. Penuh menggamit selera kuih-muih tersusun. Penuh sesak manusia bergeseran. Namun, percayalah mereka suka main silap mata dengan penggunaan warna. Hati-hati.

Menjelang Maghrib aku mengambil keputusan untuk berbuka puasa di masjid yang berhampiran. Menurut sahabat, masjid itu lebih banyak makanan dari jemaah. Manalah tau berjumpa dengan Ustadz yang mukanya licin dan nampak sinar cahaya keimanan. Bolehlah aku menuntut ilmu ukhrawi dan ilmu persilatan dengannya. Dan membawa aku ke jalan yang benar.

Tiba waktu berbuka. Aku duduk semeja bersama tiga orang jemaah masjid, dari raut wajah mereka kelihatannya konsisten solat Maghrib di sini. Mereka dalam lingkungan umur lewat lima puluh an. Jadi, aku nampak lebih muda dan bertenaga daripada mereka. Itu strateginya duduk di meja ini. Sudah tentulah menu yang terhidang di atas meja aku yang ratah sampai habis. Pastinya mereka tak makan banyak dan kunyahannya pun lebih lambat. Cara menuang air pun tadi nampak tangan menggigil masing-masing. Hahai.., tepatlah percaturan aku.

Setelah azan Maghrib berkumandang. Doa dibacakan. Aku mulakan dengan menjamah buah tamar dengan penuh sopan. Sambil aku menikmati buah tamar, kelibat bayangan tangan-tangan bersilang kelihatan. Sahabat-sahabat semeja aku berebut mengambil lauk-pauk yang terhidang. Sungguh aku tidak menyangka. Spesis apakah ini? Barangkali Karnivor dalam benakku. Hati-hati.

Oh, aku pun rileks. Positifkan minda. Aku cuba aplikasikan prinsip dua puluh minit selepas makan tamar. Tak sampai dua puluh minit ngam-ngam kelihatan di atas meja aku secebis lauk, sayur kerabu dan tiga sudu besar kuah. Oh, mengapa mereka kelihatan lahap dan gelojoh? Mereka makan tanpa henti. Aku tak nampak langsung ciri-ciri kepimpinan melalui teladan dalam aspek makan beradab. Lebih kepada biadap aku cakap dalam hati. Lepas menikmati tamar aku meneguk air teh O suam. Kemudian dibilas dengan air suam.

Semakin hebat ujian Ramadhan bulan ini.



.

6.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (1)


Hebat sungguh ujian hari pertama bulan Ramadhan.

Asal bercakap je dikata marah. Asal bercakap je dikata marah. Jadi, aku memutuskan untuk diam. Sesungguhnya diam itu lebih baik daripada berkata-kata yang bukan-bukan.

Di sepanjang perjalanan pulang di sebelah petang, sana-sini kelihatan Bazar Ramadhan tumbuh bagai cendawan selepas hujan batu di negara sendiri. Walaupun harga barang dah naik mencanak melampaui purata tangga gaji minimum namun orang ramai tetap membeli beberapa bungkusan mengikut kenafsuan. Tanpa peduli. Aku pun mula tak faham.

Hajat di hati memang nak singgah. Tapi aku masih dapat kawal nafsu keBazaramadhanan. Kebetulan dapat pula teks daripada awek berbunyi begini :

"Abang, tak yah pergi Bazar. Ayang dah masak..
Kalau abang pergi jugak, masak abang!"

Kah kah kah!! Aku ketawa dalam perut kereta. Sambil memandu tanpa hirau kereta belakang berbaris panjang. Perut aku mula berkeroncong.

Hebat sungguh ujian hari pertama bulan Ramadhan.




.

5.6.16

Ramadhan kareem

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan Kareem. Saya dengan rendah hati memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah & silap samada disedari atau tidak. Semoga segala amal ibadah kita di bulan Ramadhan diterima Allah SWT. Semoga madrasah Ramadhan ini akan menjadikan kita hambaNya yg bertaqwa jua. Insha Allah.

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak 1437H / 2016M.


.

2.6.16

Rak pelbagai guna

Sebelum.


Selepas.




Tadaa.. Rak pelbagai guna siap! Bukan sekadar rak kasut. Kegunaan lain, rak buku, rak pinggan, rak baju, rak aksesori kereta, rak barang runcit, rak bagai nak rak.



.