29.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (5)



Satu hari. Tauke Cina dan India mempelawa kami. Berbuka puasa di Restoran Cina. Kami pun setuju tanpa bahas. Menghidangkan masakan makanan laut. Menjanjikan kelazatan istimewa. Ketam telur masin, ikan putih tanpa tulang masak kicap bijan bersama tauhu, ikan sembilang claypot masak asam, udang goreng butter, sotong pedas goreng cili kering, sayur baby kailan goreng dengan sos tiram dan sepinggan nasi putih. Halal. Pastinya Halal.

Sebelum hidangan sampai, kami disajikan air longan ais semangkuk dan teh cina herba panas. Sementara menunggu waktu berbuka. Kami bersembang. Hal dunia. Daripada soal pemajuan kawasan, kesesakan lalulintas, kerja-kerja kejuruteraan, bermain golf, hidup di bandar, luar bandar, pinggir bandar, projek-projek dalam senarai, projek telah siap, projek bermasalah, aduan orang awam, sambutan hari raya, resepi masakan, jalan-jalan cari makan, hal-hal wanita, perempuan simpanan, politik, skop kerja, hal mesyuarat, soal kesihatan, produk kecantikan, fesyen dan banyak lagi. Sungguh! Perbualan kami banyak hal dunia saja. Zero mengenai hal akhirat. Kami borak sikit kemudian ketawa terbahak-bahak. Banyak.

Masuk waktu berbuka, kami baca doa. Kami makan tamar dulu. Ya, beberapa orang menjamah tamar manakala beberapa orang lagi meneguk air. Seterusnya kami menikmati hidangan. Sambil menikmati hidangan kami berborak lagi diselang-selikan ketawa berdekah-dekah.

"Bos, ituari itu perempuan, YDP ada tanya. Apa pasal U buat itu korek kami bagi izin soil test saja?"
Itu perempuan jawab. "Kita mau test mesti kena kasi korek dulu."
"Itu perempuan memang itu macam bos. Mesti mau korek." Kami mengekek ketawa.Ekekekeke.. Riuh. Dalam bilik kedap.
"Patut tak payah korek. Paling penting itu dalam tanah. Sini memang itu macam. Ini engineer saya rasa sudah salah suggest. Kami selalu kasi piling saja." Sampuk Jeksen yang berpengalaman dalam soal pembinaan.

Kemudian, kami diam. Makan.

"Hei, itu projek buat McD pun tak payah korek. Kami piling press saja. Kiri kanan ada rumah." Kata Jeksen. Kontraktor projek berkenaan.
"Waa! Tapi aduan jiran sebelah banyak leceh mau handle. Itu saya kenal, Pi'e biawak selalu datang sama kita. Bos, saya hantar itu Jeksen kasi setel. Bagi dia projek. Dia banyak hepi. Sudah takda itu aduan lagi."
"Bila itu projek siap arr, dia mari jumpa saya."
"Hey U tak kenal sama saya ka Pi'e?" Tanya penolong pegawai JPS.
"Saya tak berapa nampak la sekarang." Jawab Pi'e.
"Mana U mau nampak, itu projek sudah habis. Dengan saya pun tara nampak."

Kami berdekah-dekah ketawa lagi.

"Betul bos, itu projek dia dapat sudah habis. Mau lagi projek cakap tara nampak sama kita."

Kah kah kah.. Kami ketawa memecah kesunyian. Kami sambung makan. Sedap. Ada yang menambah. Ada yang malu-malu nak tambah. Ada pula yang makan lauk saja.

Akhirnya kami leka makan. Kami tak leka sebenarnya. Kami sedar. Kami tak mabuk! Solat Maghrib entah ke mana, solat sunat terawih entah ke mana. Akhirnya kami hanyut, leka dan lalai dalam dunia yang hanya menyajikan makanan laut. Cuma makanan laut. Percuma.

"Hey Ganes, selalu U buat berapa rakaat solat terawih? Lapan ka dua puluh?" Aku tanya.
"Dua puluh bos." Ganes jawab dengan penuh yakin. Dengan kepala bergoyang-goyang.

Aku dan rakan-rakan ketawa lagi. Jeksen dan Tan senyum saja. Kami juga belum tentu ketawa lagi di padang nanti. Tapi mereka pula kompom tidak ketawa di sana nanti. Inilah saja perbualan yang ada kaitan hal akhirat. Maka, perbualan kami jadi satu peratus tentang hal akhirat. Ada peningkatan. Makanan dah habis. Kami minum-minum.



.

1 comment:

Anonymous said...

Oh kawan.