Semakin hebat ujian Ramadhan bulan ini.
Sedang aku bersendiri menghadap PC. Semua lampu tertutup secara tiba-tiba. PC tidak terpadam. Lampu saja yang terpadam. Wah, ini betul-betul menduga aku di bulan Ramadhan. Mana ada Syaitan di Bulan Ramadhan main lampu. Jam di tangan kiri sudah menunjukkan pukul enam empat puluh enam minit petang. Jam digital jenama Tissot. Baru dipakai. Namun dah lama dibeli. Jam di dinding dah lama kehabisan bateri. Tiada siapa nak ganti.
Aku berhajat untuk singgah di Bazar Ramadhan. Bukan untuk membeli juadah atau lauk-pauk. Namun untuk melihat suasana di Bazar berkenaan. Mencari panoramik yang menarik. Bukannya selalu. Setahun sekali. Panoramik itu perlu aku rakam. Untuk apa aku pun tak tahu.
Sampai di Bazar.
Inilah aku malas nak ke Bazar. Dalam hati aku berkata. Selain ketemu lauk-pauk yang banyak terdedah. Kuih-muih juga turut terdedah. Banyak juga buah-buah mengkal yang terdedah kelihatan tersembul keluar dari bungkusannya. Kelihatan tanpa tangkai. Nampak saja luaranya licin dan menggiurkan. Namun isi dalamnya belum tentu tidak berulat. Hati-hati.
Aku berlalu tanpa sebarang bungkusan. Hanya bingkisan panoramik yang telah kurakam. Untuk apa aku pun tak tahu. Penuh warna-warni air berbungkus. Penuh menggamit selera kuih-muih tersusun. Penuh sesak manusia bergeseran. Namun, percayalah mereka suka main silap mata dengan penggunaan warna. Hati-hati.
Menjelang Maghrib aku mengambil keputusan untuk berbuka puasa di masjid yang berhampiran. Menurut sahabat, masjid itu lebih banyak makanan dari jemaah. Manalah tau berjumpa dengan Ustadz yang mukanya licin dan nampak sinar cahaya keimanan. Bolehlah aku menuntut ilmu ukhrawi dan ilmu persilatan dengannya. Dan membawa aku ke jalan yang benar.
Tiba waktu berbuka. Aku duduk semeja bersama tiga orang jemaah masjid, dari raut wajah mereka kelihatannya konsisten solat Maghrib di sini. Mereka dalam lingkungan umur lewat lima puluh an. Jadi, aku nampak lebih muda dan bertenaga daripada mereka. Itu strateginya duduk di meja ini. Sudah tentulah menu yang terhidang di atas meja aku yang ratah sampai habis. Pastinya mereka tak makan banyak dan kunyahannya pun lebih lambat. Cara menuang air pun tadi nampak tangan menggigil masing-masing. Hahai.., tepatlah percaturan aku.
Setelah azan Maghrib berkumandang. Doa dibacakan. Aku mulakan dengan menjamah buah tamar dengan penuh sopan. Sambil aku menikmati buah tamar, kelibat bayangan tangan-tangan bersilang kelihatan. Sahabat-sahabat semeja aku berebut mengambil lauk-pauk yang terhidang. Sungguh aku tidak menyangka. Spesis apakah ini? Barangkali Karnivor dalam benakku. Hati-hati.
Oh, aku pun rileks. Positifkan minda. Aku cuba aplikasikan prinsip dua puluh minit selepas makan tamar. Tak sampai dua puluh minit ngam-ngam kelihatan di atas meja aku secebis lauk, sayur kerabu dan tiga sudu besar kuah. Oh, mengapa mereka kelihatan lahap dan gelojoh? Mereka makan tanpa henti. Aku tak nampak langsung ciri-ciri kepimpinan melalui teladan dalam aspek makan beradab. Lebih kepada biadap aku cakap dalam hati. Lepas menikmati tamar aku meneguk air teh O suam. Kemudian dibilas dengan air suam.
Semakin hebat ujian Ramadhan bulan ini.
.
No comments:
Post a Comment