27.11.16

tips minyak

Satu hari gua dapat berita minyak di Malaya Ron95 dan Ron97 naik harga.

Esoknya, minyak kenderaan gua kehabisan. Gua pun bergegas ke stesen minyak, kemudian gua bagi tau nak isi penuh. Gua bagi not RM50. Sebelum gua isi, gua setting kat mesin  bagi le berapa pun... dengan mengatakan isi penuh jer korang boleh setting balik harga kat pam korang pilih tu... x kira la pam 1 ke, pam 2 ker jgn pam angin atau NGV sudah la... 2. korang gi balik kat pam korang tu, dan jgn angkat nozel lagi. 3. kat pam tu kan ada dua punat2 utk nomor (bukan utk credit card tau) yang bawah pada screen liter tu... kira mcm nak isi manual nyer harga la 4. korang tekan 'clear' - utk resetkan harga yang kaunter minyak tu set tadi 5. then korang tekan enter - 3x 6. then korang tekan '0' , '0', '1', '9', '8' (1.98 sen seliter) atau korang tekan la berapa pun korang suka 7. pastu korang tekan enter - 3x sekali lagi 8. tekan butang clear - 2x 9. then korang tekan berapa puluh korang nak isi 10. tekan enter lepas dah masukkan nilai isian pastu... supervisor petrol pam akan jumpa korang "woi apa ko buat ni... main tekan-tekan ni... xde keje lain ker...!!!!" so korang dengan muka selamba isi jer minyak dengan harga baru kerajaan RM 2.70 seliter... Heheheh.., aku pun terkena... Dah pegi buat keje! ;-D

23.10.16

Quotes

.


Hidup umpama kamera. Fokus apa yang penting saja. Tangkap saat yang manis. Hasilkan daripada negatif buang mana yang teruk. Tangkap yang lain lagi.

9.10.16

Prank atas prank

.


Hello. Lu apa hal?
Lu setakat nak telefon gua kemudian marah-marah gua baik tak payah telefon.
Ooo. Bapak lu ajar camni ke?
Eh, lu main bapak-bapak ni apekebende?
Abis lu ingat wa tak tau apa lu buat selama ini?
Wa buat apa?
Ooo.. Lu dah kena prank..
Lu tau tak siapa lu telefon ni?
Lu Razib kan?
Wa bapak Razib. Wakakaka..

11.9.16

Darah kesatria

.

Pernah tak kau dengar perkataan "LU NAK MANDI DARAH KE?"

24.8.16

Kayu

Gua beli kayu.

Nak buat apa? Awek gua tanya.

Nak bikin rak tingkat ganti rak yang rosak di luar rumah. Gua jawab.


Hari Sabtu itu. Gua ambil tukul, paku, pita ukur, gergaji dan alat keperluan pertukangan.

Ketang ketung ketang ketung!!!


Siap.

Waaa.. Cantiknya. Awek gua teruja

Gua senyum je.

Bolehlah buat rak kat belakang pulak. Awek gua pinta.

Gua diam je sambil mengesat keringat yang



.

29.7.16

A.S.K.E

Dalam bilik ini saja ada tiga puluh tiga bingkai gambar.
Di surau bawah ada tujuh sejadah, tiga kain pelekat. Tiada rak kasut. Empat kepala paip.

Jadi? Penceramah itu bertanyakan semula kepada aku
Saya hanya membentangkan fakta tuan. Aku jawab.

Para peserta gelak mengekek-ngekek memecah kesunyian dan mengendurkan ketegangan.



.

12.7.16

Rayakan sebulan

Hari Raya berupaya menginsafkan diri kita jua. Manakan tidak, pakcik-pakcik yang kau kunjungi sudah menimang cucu. Ada juga yang sudah menghidap penyakit dan mendapatkan rawatan susulan. Sepupu sepapat kau ada yang hidup bahagia bertambah anak. Ada juga yang telah berpecah-belah. Hanya disebabkan hilang pekerjaan dan dicucuk oleh orang ketiga. Macama-macam cerita. Kau turut empati.

Dulu, masa kau berhari raya di rumahnya, layanan punyalah bukan main mesra. Kali ini, macam ada sesuatu yang tak kena. Kononnya dikata tak hadir ke majlis perkahwinan anaknya. Hei.. Entahlah... Manusia macam-macam perangai. Hati tak nampak. Maka, kau mulai muhasabah diri. Rupanya kau pun dah semakin meningkat usia. Sampaikan kau lupa nak hulur duit raya pada anak-anak sedara atau ibu bapa kau sendiri. Anak-anak kau pun dah membesar bagaikan johan. Tapi kau tak sedar sebab mereka membesar depan mata kau. Kesedaran mula kau akui apabila anak saudara kau pun dah semakin ramai dan sebahagiannya telah meningkat remaja-remaja belaka. Dah masuk kategori muda-mudi. Masing-masing dah ada akaun media sosial masing-masing.

Begitu pantas masa berlalu. Jiran di hadapan pun tidak membuka pintu. Dan tidak nampak bayang. Curi-curi keluar dari rumah dan nampak takut-takut. Padahal itu hal kecil yang sepatutnya boleh dibawa berbincang. Kisah Hari Raya kali ini banyak yang kesedihan dan kesugulan di persekitaran kau. Cuma ada satu yang paling mencuit hati apabila pakcik kau yang sulong ingin memiliki TV sebesar 42 inchi LED. Boleh tonton pelbagai rancangan kegemarannya. Makcik kau pula tak tahan dengan karenahnya asyik menghempas TV yang asyik keluar semut. Jiran-jiran lama yang bertandang pun ada yang sudah kahwin satu lagi. Ada yang sudah kahwin baharu. Ada yang tak kahwin-kahwin sampai ke sudah! Anak-anak berteraburan dari satu bapa lain ibu.




.

30.6.16

Review : Produk Minyak Rambut POMADE MAGNUM Waterbase Ocean



Hari ini, saya nak ulas mengenai produk minyak rambut POMADE MAGNUM waterbase ocean perfume scent, strong hold, easy wash, 150g/50z. Produk ini sedang hangat di pasaran dan mencanak naik jualan di dalam talian dan mana-mana kedai terpilih. Pada mulanya saya pun memperlekeh kualiti dan jaminan produk ini, adakah ia dapat menjanjikan sesuatu yang lain daripada yang lain. Dalam hati berkata, minyak rambut semua sama je.. Tak ada beza pun. Tapi sangkaan saya meleset apabila baru-baru ini saya terperangkap dan terpikat untuk memiliki minyak rambut ini. Hasil gerakan hati kecil saya dan naluri hasrat hati kerana ingin bergaya di Hari Raya yang bakal menjelang tak lama lagi. Lalu saya menggunakannya. Kini, telah hampir seminggu. Memang nampak perubahan pada penampilan dandanan dan penataan rambut saya. ia kelihatan lebih kemas, rapi dan meyakinkan.

Tambahan pula, ia berbau harum. Aromanya menyegarkan. Apabila si pemakai memakainya. Rambut harum bersinar sepanjang hari. Rambut lebih mudah diatur. Saya rasa saya lebih kacak daripada biasa. Wow! Lagipun ia mudah untuk dihilangkan apabila dibilas atau mandi dengan air. Ia mudah dicuci. Tidak berminyak di dahi dan meleleh di muka. Rambut seperti saya yang sedikit ikal mudah diurus dan diluruskan dengan penggunaan minyak rambut ini. Berbanding sebelum ini saya mengalami kesukaran untuk membentuknya terutamanya di bahagian jambul hadapan. Kadangkal trauma membawa ke mimpi. Jadi, saya tak menyesal memilih produk ini. Saya menasihatkan jejaka di luar sana untuk menggunakannya kerana ia sesuai untuk semua peringkat umur.
K bai..


.



29.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (5)



Satu hari. Tauke Cina dan India mempelawa kami. Berbuka puasa di Restoran Cina. Kami pun setuju tanpa bahas. Menghidangkan masakan makanan laut. Menjanjikan kelazatan istimewa. Ketam telur masin, ikan putih tanpa tulang masak kicap bijan bersama tauhu, ikan sembilang claypot masak asam, udang goreng butter, sotong pedas goreng cili kering, sayur baby kailan goreng dengan sos tiram dan sepinggan nasi putih. Halal. Pastinya Halal.

Sebelum hidangan sampai, kami disajikan air longan ais semangkuk dan teh cina herba panas. Sementara menunggu waktu berbuka. Kami bersembang. Hal dunia. Daripada soal pemajuan kawasan, kesesakan lalulintas, kerja-kerja kejuruteraan, bermain golf, hidup di bandar, luar bandar, pinggir bandar, projek-projek dalam senarai, projek telah siap, projek bermasalah, aduan orang awam, sambutan hari raya, resepi masakan, jalan-jalan cari makan, hal-hal wanita, perempuan simpanan, politik, skop kerja, hal mesyuarat, soal kesihatan, produk kecantikan, fesyen dan banyak lagi. Sungguh! Perbualan kami banyak hal dunia saja. Zero mengenai hal akhirat. Kami borak sikit kemudian ketawa terbahak-bahak. Banyak.

Masuk waktu berbuka, kami baca doa. Kami makan tamar dulu. Ya, beberapa orang menjamah tamar manakala beberapa orang lagi meneguk air. Seterusnya kami menikmati hidangan. Sambil menikmati hidangan kami berborak lagi diselang-selikan ketawa berdekah-dekah.

"Bos, ituari itu perempuan, YDP ada tanya. Apa pasal U buat itu korek kami bagi izin soil test saja?"
Itu perempuan jawab. "Kita mau test mesti kena kasi korek dulu."
"Itu perempuan memang itu macam bos. Mesti mau korek." Kami mengekek ketawa.Ekekekeke.. Riuh. Dalam bilik kedap.
"Patut tak payah korek. Paling penting itu dalam tanah. Sini memang itu macam. Ini engineer saya rasa sudah salah suggest. Kami selalu kasi piling saja." Sampuk Jeksen yang berpengalaman dalam soal pembinaan.

Kemudian, kami diam. Makan.

"Hei, itu projek buat McD pun tak payah korek. Kami piling press saja. Kiri kanan ada rumah." Kata Jeksen. Kontraktor projek berkenaan.
"Waa! Tapi aduan jiran sebelah banyak leceh mau handle. Itu saya kenal, Pi'e biawak selalu datang sama kita. Bos, saya hantar itu Jeksen kasi setel. Bagi dia projek. Dia banyak hepi. Sudah takda itu aduan lagi."
"Bila itu projek siap arr, dia mari jumpa saya."
"Hey U tak kenal sama saya ka Pi'e?" Tanya penolong pegawai JPS.
"Saya tak berapa nampak la sekarang." Jawab Pi'e.
"Mana U mau nampak, itu projek sudah habis. Dengan saya pun tara nampak."

Kami berdekah-dekah ketawa lagi.

"Betul bos, itu projek dia dapat sudah habis. Mau lagi projek cakap tara nampak sama kita."

Kah kah kah.. Kami ketawa memecah kesunyian. Kami sambung makan. Sedap. Ada yang menambah. Ada yang malu-malu nak tambah. Ada pula yang makan lauk saja.

Akhirnya kami leka makan. Kami tak leka sebenarnya. Kami sedar. Kami tak mabuk! Solat Maghrib entah ke mana, solat sunat terawih entah ke mana. Akhirnya kami hanyut, leka dan lalai dalam dunia yang hanya menyajikan makanan laut. Cuma makanan laut. Percuma.

"Hey Ganes, selalu U buat berapa rakaat solat terawih? Lapan ka dua puluh?" Aku tanya.
"Dua puluh bos." Ganes jawab dengan penuh yakin. Dengan kepala bergoyang-goyang.

Aku dan rakan-rakan ketawa lagi. Jeksen dan Tan senyum saja. Kami juga belum tentu ketawa lagi di padang nanti. Tapi mereka pula kompom tidak ketawa di sana nanti. Inilah saja perbualan yang ada kaitan hal akhirat. Maka, perbualan kami jadi satu peratus tentang hal akhirat. Ada peningkatan. Makanan dah habis. Kami minum-minum.



.

27.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (4)

Ramadhan kali ini aku diuji dengan kawan-kawan yang menghasut ke arah kedurjanaan.

Ramadhan kali ini juga aku diuji dengan mainan dan nikmat dunia.





.

23.6.16

Mengapa



Kasut dan jam tangan merupakan lambang peragaan lelaki maskulin sejati. Selain aksesori lain seperti topi, beg, gajet dan sebagainya. Kalau rupa sekacak mana sekalipun tetapi jam tangan dan kasut yang digayakan tidak padan. Maka lelaki berkenaan boleh dikategorikan sebagai lelaki biasa-biasa saja dan tidak 'outstanding'. Fuhhh.. sudah pastinya, kau tak jatuh pada kategori lelaki metroseksual. 

Kalau kau punya rupa kacak dan pakej yang lengkap dengan gaya urban yang memikat. Kau takkan pergi lagi di kedai kedai gunting rambut biasa atau kedai gunting rambut yang luarnya ada lampu warna-warni berpusing. Kau akan tuju ke salun kecantikan yang lebih menawarkan pakej yang lebih baik seperti khidmat mencuci rambut, mengurut bahu dan sebagainya. Sebagaimana disebut dalam teori hirarki Maslow. Kau takkan lepak lagi di kedai-kedai mamak, gerai-gerai biasa sebaliknya di Starbucks atau Kopitiam sambil membaca majalah Men's Vogue.

Kau mula membawa beg tangan lelaki ataupun 'manbag' ketika berjalan-jalan di kompleks membeli-belah atau ke mana saja. Beg tangan lelaki di sini bukanlah pouch kat pinggang yang macam orang selalu pakai ketika meniaga di pasar malam tu, sebaliknya beg tangan lelaki kulit atau campuran PU yang berjenama seperti Louis Vuitton, Guess, Checkers Collection, Georgio Armani dan sebagainya. 

Banyak lagi ciri-ciri lelaki maskulin metroseksual yang mungkin kau sendiri tidak sedar. Mungkin, kod praktis itu ada dalam diri kau. Jadi, kau dah mula berimaginasi bahawa kau lelaki idaman itu sebagaimana yang sering disajikan dalam telemovie atau drama Melayu yang disiarkan waktu dinihari menjelang Maghrib. Lalu, kau pun terpengaruh dan perasan kau akan diacu seperti itu. Kau rasa itulah paling ideal. Padahal, hakikat sebenarnya adalah sebaliknya. Pendapatan yang dah bekerja di mana-mana sektor sekalipun belum tentu dapat menikmati kemewahan unggul seperti yang digambarkan. Hadiah hari lahir sebuah kereta mewah misalnya. Anak Dato' dalam plot cerita misalnya juga.

Jadi, adakah kau rasa fesyen penting bagi kau? Kalau kau rasa penting dan dapat meningkatkan imej orang terhadap kau. Maka, silakan berbuat sesuatu. Paling kurang, kau berpenampilan kemas. Rambut disisir rapi. Pakaian tidak berkedut. Maka, untuk dunia penerbitan nama ahtok astakona dipilih dan diadaptasi. Sebaliknya dalam dunia fesyen dan butik nama ShaiHani Collections telah dipilih. Bagaimana pula dalam dunia cookies? Win!

#fesyen #kasut #maskulin #metroseksual #shaihani collections #bisnes #kasut #jamtangan #talipinggang


.

19.6.16

Ramadhan tanpamu



Ramadhan tanpamu menjadikan ruang kosong tanpa diisi.
Selamat hari bapa yang mahu kulontarkan, walau tidak dapat disampaikan dengan berhadapan namun ada caranya untuk mengisi ruang sepi kekosongan walaupun tiada siapa mahu mendengar barangkali

imej bapa masih aku simpan dalam memori
suara bapa masih aku simpan dalam hati
fail bapa masih aku simpan dalam sanubari
aplikasi bapa masih aku simpan dalam diri
gejet bapa masih aku guna sehingga kini
salinan lembut bapa masih aku manfaatkan 
salinan keras bapa masih ada dalam simpanan

Bapa telah tiada kini
perginya tak akan kembali
hanya aku sahaja di sini
berteman jasa budi sendiri
bapa kau lambang perjuanganku
sesungguhnya kau inspirasiku

Terpancar kebanggaan dirautmu
Dalam senyummu megah
Melihat kejayaanku dicapai
Bilaku kegagalan merundum
Tak kau biarkan sahaja
Aku terus kecewa melara

Dengan kata azimat murni
Engkau nyalakan semangat tinggi
Restu dan doa kau iringkan sekali

detik berlalu mahuku jadi sepohon kayu besar
rendang dan teduh berbuah seperti bapa dahulu
dalam hariku mohon kepada Yang Satu
ampun segala kesalahan bapa yang lalu
terimalah bapa juga berikan rahmatMu

Ketika berjauhan di kala ini
Masihku rasa hangat kasihmu bapa tersayang
Betapaku rindukan redup wajahmu
Hadir menemaniku 
Mengisi impian hidupku


Selamat Hari Bapa.
al-Fatihah buat Hj. Marsuk@Maskur bin Atmom.


.

14.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (4)

Entah apa motif beliau mengadu domba. Mengatakan aku tak bersungguh. Laporan tulisan tangan. Mempertikai hasil kerja aku. Mempersoal aku buat seorang tanpa kerjasama kumpulan. Alahai... Semoga kau diberikah hidayah untuk berubah.

Entah aku pun tak paham. Cubalah bersikap lebih matang sikit. Bukan memperkecil usaha orang lain. Aku pasti itu bukan bergurau. Kalau kau kata itu gurau. Hey, kasar sangat gurauan kau. Tahukah kau bahawa ide kumpulan kau itu datangnya dari aku juga. Hahaha...

Sabarlah..



.

13.6.16

Nikmatnya Ramadhan (3)

Alhamdulillah kita telah menjalani hari yang ke-delapan Ramadhan 1437H. Semoga ibadah Ramadhan kita berjalan lancar selama sebulan. Namun tidak hanya sebulan saja kita berlumba-lumba memperbanyakkan pahala, hendaknya bulan Ramadhan kita jadikan kesempatan untuk meningkatkan kualiti diri dan keimanan kita kepada Allah SWT. Sehingga kita boleh beribadah secara istiqamah, tidak meninggalkan yang wajib serta memperbanyakkan yang sunnah. Hari ke-Lapan ini macam-macam perkataan keluar dari mulut rakan-rakan yang kita suka dengan membisikkan ke telinga kita untuk tidak meneruskan puasa. Mereka sedang mencari rakan kongsi untuk bersama-sama ke neraka.


Di bulan Ramadhan kita diwajibkan berpuasa selama sebulan penuh tanpa bahas. Dari waktu imsak hingga berbuka saat maghrib. Tidak hanya menahan rasa lapar dan haus, tapi juga segala hal yang dapat membatalkan puasa. Perintah puasa difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran surat al-Baqarah ayat 183. Dan puasa Ramadhan ini merupakan salah satu Rukun Islam. Jam di tangan baru menujukkan jam 1 tengahari, rakan-rakan kita mengajak kita untuk makan nasi bungkus palstik hitam. Order beg plastik hitam sebungkus dalam lingkungan RM7 tak sampai. Kalau nak order, aku tak mau! Drop aku di kedai jam. Boleh aku betulkan tali jam.



Ketika berpuasa selama satu bulan, kita boleh merasai bagaimana orang atau fakir miskin yang sedang kelaparan, kerana kita selalu memenuhi nafsu makan kita sehari empat atau lima atau lebih. Maka jika kita boleh merasakan hal tersebut, kita akan menjadi orang yang ambil peduli terhadap orang yang sedang kesusahan khususnya fakir miskin. Dengan begitu, kita akan terbiasa menolong mereka dengan memberikan sedekah. Kita tak akan lagi berlebih-lebihan dan selalu ingat akan kesulitan mereka. Memberi kepada sesama serta tidak lupa selalu mensyukuri hidup ini. Dibisikkan ke telinga kita, bulan Ramadhan kita tak perlu berpuasa, nanti bulan Syawal kita puasa dapat cover 100 tahun punya puasa. Tak payah susah-susah bro! Itu rakan kita atau setan yang bertopengkan rakan kita membisikkan? Kita jangan takut.



Dengan berpuasa, kita juga diajarkan untuk menjadi sabar. Sabar di kala lapar, haus, menahan marah bahkan syahwat. Jika kita berhasil menahan itu semua maka kemenanganlah yang kita dapatkan. Menahan dan mengendalikan nafsu adalah hal yang paling sukar bagi manusia. Begitu pula jika kita sedang berpuasa, sering kita menghadapi orang yang menguji kesabaran kita, padahal kita sedang berpuasa dan harus menahan nafsu kita. Rasulullah SAW bersabda: "Puasa adalah benteng penghalang, maka janganlah ia berucap dengam kalimat buruk, mencaci, dan menghina, jika ada yang mengganggunya atau mengumpatnya katakanlah aku puasa, aku puasa. Demi Allah yang diriku dalam genggaman-Nya, sungguh aroma tidak sedap di mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada wangi misik, karena ia meninggalkan makanannya, minumannya, dan syahwatnya kerana Aku (Allah SWT). Puasa adalah untuk-Ku, dan Aku yang membalasnya, dan setiap pahala dibalas 10 kali ganda darinya". (HR. Bukhari). Bila semua di atas membisikkan, lalu aku berkata, aku puasa! Aku puasa! Aku puasa!



Maka kuncinya adalah sabar. Betapa sabar itu adalah kunci kejayaan dalam segala hal, subhanallah… Di bulan Ramadhan inilah kita perlu muhasabah dan memperbaiki diri. Dan tentunya agar kita menjadi orang yang betaqwa, seperti firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al Baqarah:183). Yang lebih dahsyat lagi apabila sahabat kita ajak berbuka puasa belum tiba masanya dan dikatanya kita bersubahat sama maka eloklah berbuka saja. Sia-sia berpuasa dia kata. Aduh, apakah malapetaka bencana ujian yang menimpa ini Ya Allah. Maafkanlah aku Ya Allah. Ampunilah dosa-dosaku Ya Allah... Apakah mereka dihantar kepadaku untuk mengujiku Ya Allah..



.

11.6.16

Nikmatnya Ramadhan (2)


Belanja kambing bakar home made untuk santapan berbuka seisi keluarga.
Bahan-bahan dan cara menyediakannya boleh 'personal messages' saya.
Sekian.


.

10.6.16

Nikmatnya Ramadhan (1)



Ajjilu bissahuri kablal faut...
Sahurrrr


.

8.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (3)


Waktu Maghrib hampir tiba. Sebelum tiba waktu berbuka, sempat lagi aku menelusuri barisan teks yang tertulis di whatsapp group yang dihantar oleh rakan-rakan kepada rakan-rakan. Banyak yang tak berfaedah pun daripada yang berfaedah. Okey, lupakan itu. Itu semua dunia..

Aku bingkas bangun. Lalu menuang serbuk tamar koko. Satu peket. Bungkusannya aku masukkan ke dalam plastik hitam. Campurkan air panas dalam cangkir. Kacau menggunakan sudu plastik bewarna putih. Sudu makan nasi bungkus bulan lalu. Aku kacau ikut arah jam. Aku letak di atas para cawan itu. Aromanya mula menusuk ke rongga hidung. Sekotak tamar aku capai yang masih belum dibuka, dimasukkan ke dalam telap lutsinar. Aku susun rapi. Memudahkan sesiapa saja mengambilnya.

Kedengaran azan Maghrib berkumandang. Aku duduk. Capai cangkir tadi. Capai telap berisi tamar. Aku menadah tangan. Berdoa berbuka puasa. Memakan sebiji tamar. Penuh tawadduk. Habis tamar. Aku meneguk air tamar koko. Dah, selesai iftar aku. Hari ini memang temanya tamar. Esok lusa barangkali bertemakan tepung pelita. Tak pasti!


.

7.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (2)

Semakin hebat ujian Ramadhan bulan ini.

Sedang aku bersendiri menghadap PC. Semua lampu tertutup secara tiba-tiba. PC tidak terpadam. Lampu saja yang terpadam. Wah, ini betul-betul menduga aku di bulan Ramadhan. Mana ada Syaitan di Bulan Ramadhan main lampu. Jam di tangan kiri sudah menunjukkan pukul enam empat puluh enam minit petang. Jam digital jenama Tissot. Baru dipakai. Namun dah lama dibeli. Jam di dinding dah lama kehabisan bateri. Tiada siapa nak ganti.

Aku berhajat untuk singgah di Bazar Ramadhan. Bukan untuk membeli juadah atau lauk-pauk. Namun untuk melihat suasana di Bazar berkenaan. Mencari panoramik yang menarik. Bukannya selalu. Setahun sekali. Panoramik itu perlu aku rakam. Untuk apa aku pun tak tahu.

Sampai di Bazar.

Inilah aku malas nak ke Bazar. Dalam hati aku  berkata. Selain ketemu lauk-pauk yang banyak terdedah. Kuih-muih juga turut terdedah. Banyak juga buah-buah mengkal yang terdedah kelihatan tersembul keluar dari bungkusannya. Kelihatan tanpa tangkai. Nampak saja luaranya licin dan menggiurkan. Namun isi dalamnya belum tentu tidak berulat. Hati-hati.

Aku berlalu tanpa sebarang bungkusan. Hanya bingkisan panoramik yang telah kurakam. Untuk apa aku pun tak tahu. Penuh warna-warni air berbungkus. Penuh menggamit selera kuih-muih tersusun. Penuh sesak manusia bergeseran. Namun, percayalah mereka suka main silap mata dengan penggunaan warna. Hati-hati.

Menjelang Maghrib aku mengambil keputusan untuk berbuka puasa di masjid yang berhampiran. Menurut sahabat, masjid itu lebih banyak makanan dari jemaah. Manalah tau berjumpa dengan Ustadz yang mukanya licin dan nampak sinar cahaya keimanan. Bolehlah aku menuntut ilmu ukhrawi dan ilmu persilatan dengannya. Dan membawa aku ke jalan yang benar.

Tiba waktu berbuka. Aku duduk semeja bersama tiga orang jemaah masjid, dari raut wajah mereka kelihatannya konsisten solat Maghrib di sini. Mereka dalam lingkungan umur lewat lima puluh an. Jadi, aku nampak lebih muda dan bertenaga daripada mereka. Itu strateginya duduk di meja ini. Sudah tentulah menu yang terhidang di atas meja aku yang ratah sampai habis. Pastinya mereka tak makan banyak dan kunyahannya pun lebih lambat. Cara menuang air pun tadi nampak tangan menggigil masing-masing. Hahai.., tepatlah percaturan aku.

Setelah azan Maghrib berkumandang. Doa dibacakan. Aku mulakan dengan menjamah buah tamar dengan penuh sopan. Sambil aku menikmati buah tamar, kelibat bayangan tangan-tangan bersilang kelihatan. Sahabat-sahabat semeja aku berebut mengambil lauk-pauk yang terhidang. Sungguh aku tidak menyangka. Spesis apakah ini? Barangkali Karnivor dalam benakku. Hati-hati.

Oh, aku pun rileks. Positifkan minda. Aku cuba aplikasikan prinsip dua puluh minit selepas makan tamar. Tak sampai dua puluh minit ngam-ngam kelihatan di atas meja aku secebis lauk, sayur kerabu dan tiga sudu besar kuah. Oh, mengapa mereka kelihatan lahap dan gelojoh? Mereka makan tanpa henti. Aku tak nampak langsung ciri-ciri kepimpinan melalui teladan dalam aspek makan beradab. Lebih kepada biadap aku cakap dalam hati. Lepas menikmati tamar aku meneguk air teh O suam. Kemudian dibilas dengan air suam.

Semakin hebat ujian Ramadhan bulan ini.



.

6.6.16

Hebatnya Ujian Ramadhan (1)


Hebat sungguh ujian hari pertama bulan Ramadhan.

Asal bercakap je dikata marah. Asal bercakap je dikata marah. Jadi, aku memutuskan untuk diam. Sesungguhnya diam itu lebih baik daripada berkata-kata yang bukan-bukan.

Di sepanjang perjalanan pulang di sebelah petang, sana-sini kelihatan Bazar Ramadhan tumbuh bagai cendawan selepas hujan batu di negara sendiri. Walaupun harga barang dah naik mencanak melampaui purata tangga gaji minimum namun orang ramai tetap membeli beberapa bungkusan mengikut kenafsuan. Tanpa peduli. Aku pun mula tak faham.

Hajat di hati memang nak singgah. Tapi aku masih dapat kawal nafsu keBazaramadhanan. Kebetulan dapat pula teks daripada awek berbunyi begini :

"Abang, tak yah pergi Bazar. Ayang dah masak..
Kalau abang pergi jugak, masak abang!"

Kah kah kah!! Aku ketawa dalam perut kereta. Sambil memandu tanpa hirau kereta belakang berbaris panjang. Perut aku mula berkeroncong.

Hebat sungguh ujian hari pertama bulan Ramadhan.




.

5.6.16

Ramadhan kareem

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan Kareem. Saya dengan rendah hati memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah & silap samada disedari atau tidak. Semoga segala amal ibadah kita di bulan Ramadhan diterima Allah SWT. Semoga madrasah Ramadhan ini akan menjadikan kita hambaNya yg bertaqwa jua. Insha Allah.

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak 1437H / 2016M.


.

2.6.16

Rak pelbagai guna

Sebelum.


Selepas.




Tadaa.. Rak pelbagai guna siap! Bukan sekadar rak kasut. Kegunaan lain, rak buku, rak pinggan, rak baju, rak aksesori kereta, rak barang runcit, rak bagai nak rak.



.



28.5.16

Empayar pelaburan hartanah

Saya nak berkongsi dengan semua orang yang membaca entri saya pada kali ini iaitu mengenai kejayaan saya dalam sekelip mata. Dan tidak disangka-sangka. Itulah ketentuan rezeki namanya.

Sebenarnya, ada 4 jenis rezeki yang telah ditentukan kepada kita. Satu. Rezeki yang Allah sudah jamin semua dapat. (surah Hud ayat 6). Dua. Rezeki yang diberi Allah mengikut kadar usahanya. (surah al-Najm ayat 39). Tiga. Rezeki yang Allah tambah jika kita bersyukur. (surah Ibrahim ayat 7). Empat. Rezeki yang datang secara tidak disangka. (surah al-Thalaq ayat 2&3)

Sesungguhnya rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Pada usia sebelum menjelang 40 tahun, saya telah berjaya memiliki 5 rumah banglo setingkat di pelbagai lokasi. Empayar pelaburan hartanah saya mula berkembang.

Simpanan yang banyak belum tentu menjanjikan kemewahan. Jadi, saya ambil keputusan untuk mula menceburkan diri dalam hartanah di Ibu Kota Kuala Lumpur dan di bandar-bandar utama yang lain. Saya tak hiraukan duit simpanan yang semakin berkurangan. Apa yang penting kita perlu ada aset yang bernilai.

Dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, sesesakli saya rasa keperitan juga untuk bertahan dalam dunia hartanah. Hampir-hampir ada hartanah saya yang terjual. Berkat kesabaran dan kegigihan saya. pelaburan saya masih bertahan. Malah empayar saya makin berkembang. Mujurlah saya ada rakan kongsi yang sanggup memberi dana kepada saya. Tidak disangka pula, ada yang ingin membeli aset saya dengan bidaan yang tinggi. Hasil pelaburan membawa banyak pulangan, saya hampir memiliki hotel, ladang, kebun, aset yang lain

Dalam satu situasi, saya hampir-hampir dipenjarakan kerana terlibat dalam jenayah kolar putih. Mujurlah kolar masih putih guna detergen yang efektif. Kes menceroboh tanah yang tidak dibenarkan juga saya pernah hadapi. .

Tapi harapan saya musnah. Hajat dan cita-cita saya hancur lebur. Cita-cita tak kesampaian. Semuanya berpunca daripada saat yang menyakitkan. Merobek jiwa dan raga saya. Punah semua.


Anak saya pijak papan SAIDINA saya. Runtuh semua rumah dan hotel yang dibina. Duit tak payah cakapla. Berterabur satu rumah. Habis semua pelaburan saya. Whoa!!



.

27.5.16

Mengejutkan




Pagi itu. Ada elemen kejutan. Katanya. Kau bukan tak tahu. Kalau kejutan begini. Aku memang fobia. Lebih-lebih lagi di hadapan khalayak ramai dan pentas yang tinggi. Tiba-tiba aku kena naik pentas. Ambil kertas kuning. Sampai atas pentas. Aku terfikir. Mana nak lalu ni. Lalu aku ambil keputusan lalu kat depan pegawai bomba untuk berjabat tangan. Beliau terpaksa berundur memberi laluan kepada aku. Terfikir aku nak keluar balik. Tapi aku teruskan berjabat tangan pula dengan TKP JPBDSM. Beliau juga terpaksa memberi laluan. Kemudian barulah aku dapat berjabat tangan dengan YBhg. Datuk KSU. Banyak betul rintangan aku lalui celah 'coffee table' yang ada di depan tu. Mahu saja aku alihkan meja tu. Hampir-hampir. Aku tak biasa melintas depan meja. Sudahnya, pegawai-pegawai yang aku salam terpaksa berundur ke belakang dalam laluan yang sempit demi memberi laluan kepada aku. Baru aku rasa satu penghormatan untuk aku. Kah kah kah... Macamana aku boleh lalu celahan meja tu? Penerima sebelumnya lalu mana? Entah. Aku pun tak pasti kenapa boleh jadi begitu. Aku jawab, aku suka lain daripada yang lain.  Harap 'punchline' aku menjadi. Itu satu hal.

Hal yang lain pula, sampai di bawah. Disebabkan aku dapat ranking ketiga. Dengan hanya menjawab beberapas set soalan online yang dikemukakan. Aku dikecam 'kaw-kaw'. Mereka suruh aku makan di meja VIP. Bolehlah pohon kenaikan gaji, diberi penghormatan untuk diberi kautamaan dalam hal macam-macam kemudahan. Bolehlah disampaikan di tempat bertugas nanti oleh YAB MB. Bolehlah berbangga dengan kepingan kertas kuning itu. Kah kah kah.. Aku hanya mampu senyum. Tanpa membalas sebarang kata. Harap ia menjadi 'silent killer' kepada yang tidak berpuas hati dengan itu semua.




.

25.5.16

Cermin diri kita nampak apa




Semalam saya cuba berkomunikasi dengan pembantu saya atau dengan kata lain Technical Assistant. Ia tentang soal proses kerja yang terdapat sedikit kekeliruan.  Tapi malangnya, saya cuba mahu memahami apa yang beliau jawab pertanyaan saya, tak boleh saya hadam apatahlagi untuk saya faham. Lagi pula, cara beliau bercakap seolah seperti lontaran suaranya dikemam-kemam tidak keluar semuanya. Dua kali saya menanyakan soalan itu namun saya tak mendapat jawapan yang sebenar.

Jadi, kesimpulannya, saya nampak ada dua kemungkinan. Satu, pembantu saya tak berusaha untuk memahami saya kerana lontaran suaranya dikemam. Kedua, saya sendiri yang tak faham atas penjelasan berkenaan. Oh, sebenarnya tiga. Ketiga, saya lemah dalam menanyakan soalan untuk dia jawab dengan baik. Ya, saya akui saya yang lemah. Belum berjaya untuk memandu beliau menjawab pertanyaan dengan betul dan mesej itu sampai.




.

12.5.16

Tanpa beza



Pada satu majlis VVIP. Saya bertugas sebagai kameraman. Saya suka tugas ini sebab saya sukakan seni fotografi. Merakam segala aktiviti daripada mula sampai habis. Tak payah paksa-paksa saya. Tahulah saya jalankan tugas saya secara sukarela.

Tapi saya sedih. Kalau saya tak bertugas sebagai kameraman. Maka saya sebaris dengan tetamu kehormat yang lain. Tapi sayang, manusia zaman sekarang hanya memandang penampilan luaran. Apabila saya mengenakan kostum jurukamera. Bersalaman dengan saya pun tak mahu. Ingat! Dunia ini bersifat sementara. Taknak berjabat tangan dengan saya pun tidak mengapa. Tapi tolonglah, hormati saya. Dan jangan membezakan orang itu disebabkan karier atau jawatannya. Tak baik tau! Berdosa..


.

10.5.16

Pengorbanan ayah sado



Malam itu. Makan bersama. Hidangan macam-macam. Penuh meja. Ayah macam biasa. Makan penuh selera. Anak-anak ayah juga begitu. 

Koma.
Kedengaran suara anak ayah setakat ini yang paling bongsu. "Ayah, tak habiss.."
"Bak sini, ayah habiskan. Rezeki jangan dibuang-buang.."

Lalu ayah menyuap makanan ke mulutnya satu-persatu. Dengan perlahan.

Koma lama.

Belum sempat habis. Kedengaran suara beikutnya. 
"Ayah, tak habiss.."
"Bak sini, ayah habiskan. Rezeki jangan dibuang-buang.."

Akhirnya, ayah habiskan semua. Pada mulanya ayah makan ikut keperluan. Tapi ayah kena berkorban untuk habiskan semua makanan anak-anak. Yeay! Ayah sado!!



.

4.5.16

Lihat dua belah

Dalam satu mesyuarat.

Aku memberikan cadangan begini begitu. Macamni macamtu.

Di akhir mesyuarat. Aku yang mencadangkan tetapi tindakan tidak diambil alih oleh ahli mesyuarat. Sebaliknya aku yang kena buat apa yang aku cadangkan. Apa guna mesyuarat? Kau cadang dan kau sendiri buat?

Dalam mesyuarat yang lain pula.

Aku hanya membisu. Malas aku nak mencadangkan apa-apa.
Takut aku pula yang terkena lagi. Apa guna mesyuarat kalau ahli diam membisu? Datang hanya makan karipap?


Dalam mesyuarat yang lainnya.

Aku tiada dalam mesyuarat. Aku mewakilkannya. Pengerusi mesyuarat sedar ketiadaan aku. Lalu pengerusi memohon agar aku dipanggil untuk hadir mesyuarat. Apa guna mesyuarat?

Kau cadang kau sendiri buat?
Kau hanya diam buta membisu?
Kau datang nak makan karipap?

Atau kehadiran kau amat diperlukan kerana ketiadaan kau amat dirasai.

Positif.



.

Surat Hari Famili G4L4



Rujukan kami : Bil (1) dlm G44L/FD/01/2016(1)
Tarikh : 21 April 2016

Kepada : Semua CREW G4L4

Assalamualaikum & Salam Muafakat 

Perkara : FD G4L4 2016 dengan tagline sementara : "Jatuh Bangun Bersama"

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Untuk makluman semua CREW. Hari Famili (HF) datang lagi kali ini dengan perisa Lemonade Berpudina,  menawarkan kegembiraan yang maksima dan keriangan yang berpanjangan. HF G4L4 telah diputuskan pada ketetapan seperti berikut :

Tarikh : 5 Nov 2050
Durasi : 2 hari 1 Malam
Masa : 8:00 am (tayar golek)
RV : Stadium Kuantan
Tempat : Tg. Buah Bidara Beach Resort, Netherland
Longlat : 20.29351, 102.087472
Web rujukan : takjumpapantai.com
Masa perjalanan dari Kuantan : +~20 jam (motokar)
Kapasiti : Terhad 96 Keluarga (first come basis)
Bajet kasar : RM2500/ famili
Bajet halus : akan diperincikan kemudian

3. Untuk tujuan itu, pelawaan ini terbuka kepada semua CREW yang berminat tanpa didesak atau diugut, perlu menjelaskan deposit sebanyak RM100. Tarikh akhir bayaran deposit adalah sebelum atau pada 31 Mei 2016. 

4. Manakala baki wang perbelanjaan penuh hendaklah dijelaskan sebelum atau pada 12 Sept 2016. Cepat, tempat terhad. Penarikan diri selepas 1 Sept 2016 wang deposit anda tidak dikembalikan. Harap maklum kerana kami perlukan CREW yang tidak memperkotak-katikkan organizer begitu saja. Kendatipun begitu, mungkin* wang deposit itu akan digantikan dengan kuih karipap gergasi berintikan daging.

5. Untuk info, pelaburan CREW utk HF kali ini adalah merangkumi perkara-perkara berikut :
a) Penginapan nyaman nak mampus!
~ free hi speed wifi internet
~ free local self parking
b) Sarapan pagi berkualiti enak!
*+~RM 200
c) Fasiliti yg lengkap termasuk kolam renang & pantai berpasir mulus!
d) 1 Famili : RM50 (collection)
* Lucky Draw
* Doorgift
* Dinner with theme (TBA)
* BBQ
* Telematch (TBA)
e) Kostum HF RM25/pieces ~ terbuka kepada semua CREW (TBA)

6. Sehingga kini, 20 famili telah memberi komitmen untuk menyertai HF ini atas faktor kerelaan hati dan merapatkan ukhuwah fillah.

7. Komitmen dan penglibatan CREW dalam menjayakan program yang paling berprestij ini diharapkan dapat memeriahkan lagi suasana.

Sekian, terima kasih

Yang Menjalankan Tugas,

A. Astakona
Sekretari II G4L4

s.k : pengasas, peneraju, pencetus, pentadbir jajahan, pentadbir kawasan (tulisan ini italic)

Nota :
2 pertandingan akan dibuka kepada semua CREW utk tagline HF. Manakala tema utk HF telah ada pemenang.



.

20.4.16

Kopiah

.


Aku berhenti solat Subuh di sebuah surau kampung tepi jalan. Surau papan bertiang. Aku saf paling belakang sekali tiga orang. Aku kanan skali. Masa itu pak imam rukuk. Terdengar bunyi motor Honda Cup baru sampai, kemudian terdengar seseorang tergesa-gesa berjalan, terus berdiri sebelah aku, angkat takbir dan terus rukuk ikut imam.

Masa imam sujud semua ikut. Tiba-tiba aku dengar KUK! Bunyi benda terhantuk kuat sebelah aku. Ya Allah, kata makmum baru sampai tadi. Dia bangun buat sesuatu dan angkat takbir semula terus ikut imam hingga selesai solat.

Dia sambung rakaat yang tertinggal. Setelah selesai aku tanya apa dia yg bunyi tadi? Dia senyum dan berkata lupa nak buka helmet. Keras perut aku tahan ketawa.


.

26.3.16

Road to Telok Batik




Biar gambar berbicara


.

24.3.16

Pragmatik perdana yang tragis

Dalam menelusuri kehidupan yang penuh mendadak ini, ibarat mahu menjalin idea adalah omongan yang trauma yang bisa menjentik kenangan. Berbeza mengimbau nostalgia dan mengimbas kenangan kontemporari dengan menggapai impian di pentas dunia. yang penuh materialistik. Tanpa kompromi propaganda bagi mengekang kemelut dalam usaha menyemai peradaban bukan satu usaha yang semberono atau demi mencanang provokasi semata. Maka, merencan kehidupan untuk menjanakan kecemerlangan merupakan revolusi dan evolusi minda yang seiring dengan iltizam dalam membentuk komuniti madani dan modal insan yang berpaksikan wadah perjuangan wacana ilmu.

Senario ini saban hari menjadi wacana komuniti yang cakna kemaslahan kegersangan etika dalam merejah kegelapan. Bagi memacukan pembangunan, ia haruslah disusuli dengan menggembeling kudrat, mendukung cita mentaliti kelas pertama lalu berorientasikan semangat untuk memakmurkan diri dalam membentuk gagasan minda mendukung cita.

Persoalannya, adakah kita mampu mempertahankan potret kehidupan dengan warna mamapankan sahsiah disulami mandala sosial bercorakkan lautan kasih yang meruntun jiwa. Kebobrokan akhlak bisa mencalarkan reputasi yang sentiasa terpahat di minda. Sayugia pun begitu, ia memberi kesan yang signifikan dalam menelusuri realiti untuk merintis jalan memohon maghrifat. Rentetan daripa itu,  mancawarna dalam melestarikan kehidupan demi melerai kekusutan menjadi uslub mendominasi ilmu. Memorabilia memminggirkan nasihat untuk mewarnakan lonjakan idea akan mengorak langkah kesepaduan iltizam.

Berlandaskan pemikiran yang realistik, dapatlah dinyatakan bahawa menyulam kasih itu adalah dogma kemandirian pengantarabangsaan yang tipikal seantero dunia. Renungan hambar membuahkan penyemarakan prasangka kemenjadian mancawarna arus perdana secara santai prowacana tersohor.

Bagi mengakhiri kupasan minda yang menarik ini, usah bercempera secara cacamerba sebaliknya haruslah konsisten melalui ritual makar yang bersifat epidemik prakarsa yang komprehensif. Weharima sembari dalam ucaptama penuh takzim di atas tadi menjadi mekanisme dalam mahakarya masyarakat bagi membentuk kulkas integrasi dan mandala integriti yang makar. Swadaya gendala yang dikupas ibarat ilmu kulinari walakin mandatori yang memuasalkan sutradara dan penyunting wadah pejuangan ini.

5.3.16

Cangkir besar



Pagi. Aku cari cangkir besar. Tak ketemu.

Pagi itu. Aku tak minum. Aku sibuk cari cangkir besar. Tak ketemu.

Serata tempat. Semua tiada. Aku cari lagi. Termasuk dalam tong sampah. Takut-takut aku terbuang. Sebab pernah ada sejarah. Kunci motokar dibuang dalam tong sampah. Kadang-kadang dalam tong sampah pun jumpa bayi cukup sifat. Jumpa nasi bungkus masih elok. Jumpa setandan pisang tanduk. Macam-macam.

Diam.

Aku duduk. Aku tak lalu buat kerja hakiki. Tekak aku kekeringan. Gara-gara aku hilang jiwa. Kehilangan cangkir besar.

Kau bukan tak tahu. Cangkir lebih penting daripada komputer sekarang ini. Cangkir itu juga ibarat jiwa aku. Tapi jiwa aku bukan cangkir. Boleh kau pecahkan. Habis.





.

9.2.16

Dia... Awek Luar Biasa (2)




Seawal pagi lagi dia sudah bergegas untuk mengadun kuih. Seperti selalu, kuih yang diadunnya akan dihantar ke gerai Kakak Jinda kira-kira jam tujuh pagi atau lebih awal dari itu. Kakak Jinda kadang-kadang cuti. Dapatlah dia berehat. Tapi rehatnya dia sering mengundang kegusaran dan tak senang duduk. Dah biasa macam lipas kudung. Mana boleh duduk goyang buah!

Selepas menghantar kuih, dia menunggu kehadiran si kecil untuk mengasuh. Semasa mengasuh, dia sempatkan juga untuk menjahit jilbab. Bolehlah! Dalam dunia yang meniti ke akhir zaman, rezeki Allah ada di mana-mana. Bukan kemewahan yang dicari sebaliknya keberkatan yang hakiki. Demi meneruskan kelangsungan hidup. Sesungguhnya kita berada di Zaman Mulkan Jabariyyan iaitu zaman diktator dan fitnah Dajjal. Berupayakah aku membawa dia ke Syurga Ilahi? Adakah aku telah mejalankan amanahMu dengan sebaik mungkin?

Sebelah tengahari dia bergegas menyiapkan hidangan makan tengahari untuk seisi rumah. Manakala menjelang senja mengambil semula bekas kuih yang dihantar pagi tadi. Kadang habis. Kadang tersisa. Itu semua rezekiMu Ya Tuhan. Kemudian, beliau sibuk menyiapkan hidangan untuk makan malam pula. Kalau ada lebih sebelah tengahari itulah menunya. Kalau tidak, masak apa yang ada. Menyuruh mereka menunaikan solat. Mengajar ilmu dunia dan akhirat. Semoga diberkati olehMu..




.

22.1.16

Tak banyak yang ingin dinukilkan hari ini




Tak banyak yang ingin dinukilkan hari ini. Cuma nak beri sedikit info seperti berikut :

ANTARA
Lapan jenis makanan yang paling baik mencegah penyakit
1. Delima
2. Yogurt
3. Bawang putih
4. Bawang besar
5. Teh hijau
6. Oat
7. Labu
8. Brokoli

Tiga perkara membawa penyakit
1. Banyak bercakap
2. Banyak tidur
3. Banyak makan

Empat perkara merosakkan badan
1. Dukacita
2. Sedih
3. Kebulur
4. Tak tidur malam

Empat perkara menambah seri wajah
1. Taqwa
2. Jujur
3. Pemurah
4. Jaga kehormatan

Empat perkara manambah rezeki
1. Qiamullail
2. Banyak istighfar 2/3 malam
3. Biasa bersedeqah
4. Berzikir waktu awal pagi dan petang

Empat perkara menjauhkan rezeki
1. Tidur waktu pagi
2. Sedikit bersolat
3. Malas
4. Makan sebelum mandi hadas


.

9.1.16

Sepagi dan sepetang

Suatu hari. Petang. Aku didatangani perempuan yang kononnya cantik. Lalu menyapa aku. Aku menjawab sapaannya semula. Ia seperti biasa. Lalu suara kedengaran, "Dahla... Saya datang sini, bos tak mau layan. Sombong... Janganlah serius sangat, buat kerja" sambungnya lagi. Aku diam. Ketawa kecil.

Sebelah pagi. Aku menerima panggilan telefon. Suara dari dalam telefon aku jawab. Penuh berhemah. Lemah-lembut gemalai. Suara itu merayu untuk lari dari mesyuarat. Dikhuatiri dicop mempunyai kepentingan. Tidak perlu risau kawan. Tidak perlu takut kawan. Kau hadir saja, bukan pengerusi mahu tangkap kau. Apa yang lebih utama kau jangan nampak ada kepentingan peribadi. Itu saja.

Maaf, aku sedang memikirkan amal yang tak berapa cukup untuk dibawa mati. Dan juga solat lima waktu yang sering terabai. Oh, banyaknya hutang solat aku kepadaMu Tuhan. Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku.



.