Aku dah pesan kepada Bos, beli satu Laptop untuk kegunaan luar pejabat. Laptop tu komputer riba. Jika ada sebarang mesyuarat atau sesi pembentangan boleh dibawa ke mana-mana. Setiap kali perkara ini diusulkan, jawapan yang kuterima masih sama seperti dahulu. Jawapannya nanti kita akan beli. Sekarang dah hampir masuk dua tahun lebih benda alah tu masih tak muncul-muncul. Tiap kali ada sesi pembentangan di luar pejabat. Aku terpaksa pikul CPU ke hulu dan ke hilir. Nasib baik aku ada kereta, kalau naik motosikal. Payah juga. Tapi, nak buat macamana, ni kompeni dia. Aku cuma makan gaji dengan dia. Dia Bos, aku Kuli. Tempohari ada mesyuarat di Johor Bahru. Pikul lagi komputer tu. Kasihan komputer tu. Tak senang duduk. Semalam ada diskusi di Majlis, pikul lagi komputer tu. Bukan sekali dua pikul ke Majlis. Dah berkali-kali. Maknanya dah banyak kali. Tiap kali aku pikul komputer tu ke destinasi yang hendak di tuju ada saja mata sekeliling yang memandang. Bukan mata gelap. Bukan mata duitan. Bukan mata keranjang. Mata orang ramai. Aku rasa tak selesa. Aku bukan pencuri komputer. Aku bukan tukang baiki komputer. Bukan juga tukang jual komputer. Aku hanya menjalankan tanggungjawab murni aku untuk seorang Bos. Bos yang sentiasa tersemat di hati. Bos yang aku cinta pada hujung bulan. Bos yang aku jarang jumpa di pejabat.
__
Apa yang aku khuatir ialah tentang tahap kesihatan komputer aku ni. Ditakuti semasa mengangkat dan membawanya ada organ dalamnya yang terhentak. Jantung dan hatinya sangat sensitif. Ususnya juga dah sarat. Takut rosak. Kena dek panas. Tak pernah kena dek hujan. Tuannya, sering menggunakannya. Tak pernah melakukan penyelenggaraan. Kalau ditakdirkan dia mempunyai perasaan, dah lama dia maki hamun aku tujuh keturunan. Tapi, dia memang memahami aku dan cuba memahami Bos aku. Monitornya dah kabur. Akibat tertumpah air sirap setahun lalu. Mujur tiada semut yang datang menghurung. Kalau tidak wujud perumpamaan baru. Tak ke mana matinya semut, tentu di monitor komputer. Sampai sekarang masih belum dibaiki. Masih boleh digunakan tetapi mata berpinar-pinar apabila menghadapnya. Tapi , bagi aku benda ni dah lali. Bagi orang yang baru melihat monitor ni pasti meleleh air matanya. Nak naik rabun pun ada. Dalam komputer ni macam-macam ada (sebutan sama dengan tagline ASTRO). Fail yang penting pun ada. Yang tek penting pun ada. Tahap kepentingannya sukar nak tentukan. Ramai yang dah pesan buat backup. Tapi aku rasa ia masih utuh dan mantap. Biarlah dulu…
__
Pada 15 Feb 2006, aku terpaksa mengajak rakan sepejabat untuk menyemak pelan pembangunan yang telah dihasilkan. Lagipu, sebab kena pikul satu set komputer. Mana boleh pikul satu set seorang diri. Boleh tu boleh tapi susah. Strateginya, seorang bawa monitor, seorang lagi bawa CPU dan aksesori lain. Tempat letak kenderaan di Majlis tu agak jauh dari bangunannya, letih juga dibuatnya. Kalau nak hampir, perlu kerja dengan Majlis. Hanya kakitangan Majlis boleh parking kat situ. Untuk mengelakkan keletihan memikul komputer, parking aja di tempat kakitangan Majlis. Belum sempat kami nak masuk, pengawal keselamatan yang berada di situ meniup wisel. Dia memberi arahan kereta awam tak boleh masuk. Aku meberitahunya dengan baik untuk meletakkan barang yang dibawa dalam beberapa minit, kemudian kami akan letak kereta di tempat asal. Dia bersetuju tapi air mukanya nampak kurang ikhlas. Ah. Peduli apa. Kami bergerak dengan pantas untuk mengelakkan kesesakan di laluan yang sempit itu.
__
Nak kena pikul ke bilik mesyuarat Majlis. Nasib baik di tingkat satu. Setibanya di bilik mesyuarat, kami memasang apa yang perlu untuk tujuan pembentangan. Walhal LCD projector dan skrin putih kami tak bawa. Kalau nak dibawa bersama alamat kena tempah kenderaan yang lagi besar. Lagipun memang kami tak punya.
"U ada bawa LCD dan skrin tak?". Perempuan yang tak dikenali dalam bilik mesyuarat tetiba menyuarakan pertanyaan.
"Takde". Aku jawab ringkas.
"Bawalah U punya skrin putih turun". Dia kata lagi sambil membuka suis air-cond
????!!. Aku binggung dan terus memandang kawanku. Kami saling berpandangan.
"Eh, diorang ni konsultan (dalam bahasa mudah jururunding), nak semak maklumat dan sahkan maklumat dengan kita". Penolong Pegawai yang di telefon pagi tadi.
"Oooo.. I ingatkan student practical kat sini". Kata perempuan tadi sambil tersipu malu.
"Apalah U ni…"
"Mana I tahu, U tak inform…"
"Diorang ni buat RT untuk kita, kita kena bantulah diorang"
"La… Selalunya konsultan bawa Laptop. Sebab tu I ingat diaorang student practical… Pikul komputer".
Ayat yang diluahkan tadi memang sinis. Panas juga telinga mendengarnya. Terguris juga hati ini. Malu pun ada. Kelakar pun ada. Nasib baik Bos tak ada di tempat kejadian. Kalau tak… Masa tu juga aku akan berkata ayat yang sama seperti di perenggan pertama. Nasib baik muka kami berdua masih dapat dikawal lagi kemarahannya. Terselindung di sebalik senyuman mesra. Terselindung di sebalik air muka yang riang.
"Eh… Suruh la Bos U beli Laptop. Kan senang. Tak payahlah nak usung ke hulu ke hilir". Penolong pegawai tu menekankan agar kami sebagai konsultan sekurang-kurang mempunyai satu Laptop.
__
Dalam hari memang macam-macam jenis ayat yang tercatat. Tapi tak terkeluar di mulut. Antaranya ialah, pejabat kami memang ada satu komputer riba tapi memang sukar untuk di bawa ke mana-mana. Bertelur agaknya atau sedang menjalani proses penduaan. Tidak bebas. Komputer tu ada kat rumah Bos. Kalau nak guna, telefon Bos… Tu pun belum tentu Bos akan bagi. Jadi, kesimpulannya… Baik tak payah nak susah payah minta pada yang tak sudi.
__
LCD projector dah pun tiba yang dipinjam dari unit komputer di tingkat atas. Nasib baik mereka ada banyak. Kita pinjam sekejap untuk paparkan peta pembangunan yang telah dibuat. Sementara menunggu, kami sempat juga berbual-bual dengan prempuan yang bertanya tadi. Namanya Hani (bukan nama sebanar). Dia minta maaf atas kesilapannya tadi. Salah faham katanya. Kami bertanya tentang kerja. Tentang komputer. Tentang belajar dan tentang dia. Ya Tentang Dia. Dia bahasakan dirinya akak. Memang rupanya nampak awet muda walau dah beranak tiga. Badannya masih boleh tahan. Tahan apa?... Senyuman di bibir yang diukirnya masih ayu dan manis. Tapi yang sedihnya dia kata aku masih belum berumah-tangga. Sedangkan sebaliknya. Mana nak campak isteri dan anakku. Kasihan mereka, nanti tak ada tempat bergantung. Dia masih tidak percaya dengan pendirian dan status aku. Nampak macam budak lagi katanya. Ini memberi dua petanda. Satu petanda baik. Dan satu petanda kurang baik. Aku tak mahu ulas lanjut. Ini bukan isi utama yang ingin disampaikan dalam cerita ni. Ini hanya sampingan semata.
__
Kira-kira jam 2.30 pm pulang ke pejabat semula. PC dipasang semula. Ada benda yang cukup. Ada benda yang hilang. Mouse. Tetikus takde. Tetikus ni melarikan diri. Untuk sementara waktu, guna dulu tetikus dari komputer lain. Kawan aku baru teringat katanya, semasa meletakkan barang-barang di kereta ada terdengar satu benda jatuh. Dia fikirkan bahawa aku dah mengutipnya dan menyimpan kembali. Maknanya memang sah tetikus tu jatuh di tempat letak kereta semasa proses meletak komputer di tempat duduk belakang untuk balik. Aku berpesan kepadanya untuk singgah nanti selepas pulang dari pejabat. Moga-moga berjumpa kembali.
___
Keesokannya, rakanku membawa tetikus yang dimaksudkan. Warna hitam. Jenama DELL. Dari jauh nampak elok lagi. Tapi bila dah ada di tangan nampak macam tak boleh guna lagi. Sudah dilanggar kereta. Aku cuba pasang takut-takut boleh guna lagi. Sah memang tak boleh guna. Bebolanya dah tak boleh bergerak kerana ruang dah menjadi sempit. Tetikus tu memang sedap diguna. Rasa lembut bila bergerak. Akhirnya, rakanku telah melakukan sedikit modifikasi kepada tetikus tersebut ketika aku ada urusan di luar pejabat. Ada tetikus ACER yang tidak digunakan lagi di lacinya. Wayar tetikus DELL diambilnya lalu ditukar kepada tetikus ACER. Sebabnya aku dah pesan pada dia tetikus ACER ni memang sedap tapi portnya tak sama. Serial port. Sedangkan yang ada USB port. Maknanya sekarang tetikus dah bersih putih tetapi ekornya masih tetap hitam.
.
No comments:
Post a Comment