10.3.06

Bukan Kupinta

Masa: Imbasan waktu 1984
Watak: Ayah, emak, aku, adik aku, jiran aku
Set: Kawasan lingkungan 15Km dari rumah aku

Nak minta ayah, pasti tak dapat. Bayangkan mukanya saja dah tahu jawapannya. Nak beli tak ada duit. Maklumlah belum kerja. Sudahnya, aku songlap. Bukan curi. Ambil tanpa izin. Aku tahu, mak simpan di mana duit modal pusingan bisnes runcitnya. Kalau tidak bawah tilam, ada dalam almari. Kekadang dalam kocek baju ayah yang digantung. Hebat strategi mak. Pencuri memang susah nak cari. Tempat yang tak disangka.

Suatu hari, aku berhajat mahu beli raket badminton. Ramai yang sebaya dengan aku ketika itu sudah punya raket sendiri. Tak payah nak pinjam orang punya. Lagipun, kalau barang sendiri boleh buat sesuka hati. Entah apa kena entah dengan budak-budak tu, asal cuti sekolah atau waktu terluang je pergi main badminton. Kekadang pagi. Kekadang petang. Ada juga malam. Gelanggang memang ada kat tempat aku tu. Tapi kalau hujan minta maaf sajalah sebab tiada bumbung.

Berbalik kepada hajat nak beli raket badminton tadi. Aku kena penuhi hajat diri sendiri. Kalau tidak, tak dapatlah aku join bebudak tu main. Meloponglah beb. Keinginan dan nafsu aku masa tu memang tinggi. Tahap Gaban. Tanpa fikir panjang. Aku lakukan. Dalam bilik. Puas aku cari. Jumpa duit syiling disusun rapi bawah katil dalam plastik aiskrim. Syiling dua puluh sen. Satu plastik nilainya RM20. Padai pulak siapa yang susun ni. Aku kebas 2 plastik. Berat juga nak bawa. Masakan aku nak beli raket guna duit syiling. Aku pergi tukar kat kedai mamak. Tukar dengan wang kertas. Suka benar mamak tu dapat duit syiling. Macam dapat jongkong emas. Tersenyum lebar. Dia kata kalau ada banyak, datang lagi. Boleh tukar. Aku angguk tanpa banyak bicara. Walhal, dia tak tahu aku kebas.

Dengan RM40 aku ke bandar untuk membeli raket YONEX. Dah berangan nak jadi bakal pemain professional. Punya cita-cita tinggi. Di kedai. Aku capai raket. Harganya RM120. Itulah YONEX paling murah agaknya. Duit di tangan tak cukup. Aku capai yang satu lagi. Jenama proKENNEX (adik-beradik YONEX agaknya). Bayar di kaunter RM29.90. Itulah raket pertama aku. Hoi, orang kampung, aku ada raket baru. Mahu saja aku jerit. bagi tahu orang kampung. Tapi, kalau mak dan ayah dengar. Habislah aku.

Di rumah dah kecoh. Syiling mak bawah katil dah kurang. Habis adik-adik disoal-siasat macam kawat cam. Akhirnya mak suspect aku yang ambil sebab aku seharian tiada di rumah. Balik, aku lalu pintu belakang. Pintu dapur. Letak raket yang dibeli. Ikut pintu depan dengan tangan kosong. Bijak juga aku menipu. Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh juga ke bumi. Setakat jatuh takpe. kalau jatuh, patah kaki. Aniaya dibuatnya. Mak dan ayah dapat hidu perbuatan aku. Ada sesuatu yang tak kena katanya. Suasana tengah panas. Aku tak ambil lagi raket yang dibeli tadi. Tunggu masa yang sesuai.

Malam itu, aku bersendirian di bilik. Membelek raket. Teruja. Tak sabar nak cuba. Maklumlah, baru beli. Mesti sayang. Sayang giler. Sedang aku membelek. Pintu diketuk. Raket sempat disorok. Siang tadi, ada orang yang nampak aku pergi ke bandar. Mulut tempayan boleh ditutup, mulut orang susah sikit. Akhirnya aku kantoi. Tak dapat nak elak. Di bilik itu juga, ayah aku membantai anaknya macam pukul bulu tangkis. Bengkok dibuatnya. Sambil pukul, sambil nasihat agaknya. Jangan mencuri. Kalau nak apa-apa silalah minta. Aku cuma agak dia kata begitu. Tak habis setakat itu. Raket dipatah tiga. Habis hancur. Punah-ranah. Tak menjamah aku pukul bulu tangkis. Tak sempat nak rasmi.

Dalam bilik. Menangis sendiri. Kenang raket dah patah. Kaki dah lebam dan calar. Nasib baik tak patah juga. Ayah aku kalau memukul anak memang begitu lagaknya. Mengajar anak katanya. Semua orang dah tahu perangai ayah aku ajar anak dia. Setakat ni, dia paling TOP. Dia kata biar anaknya jadi anak yang berguna kelak. Bukan jadi kutu. Bukan jadi hantu. Bukan orang-orangan. Jadi orang. Aku ulang, jadi orang.

Esoknya. Seharian aku berkurung di bilik. Merajuk kononnya. Membawa diri yang lara. Pintu bilik diketuk. Suara mak memanggil. Mak hulur raket. Aku jual mahal. Mak hulur kali kedua. Aku ambil. Siang tadi, aku ada dengar perbualan ayah dengan si Karim. Tentang raket. Ayah beli dengannya. Second Hand. Entah berapa dia jual. Aku dapat raket YONEX. Dalam garang ada juga kelembutan ayah. Terima kasih ayah kerana cuba memahami minat anakmu. Tak terbalas jasa ayah.

Bersambung…

No comments: