22.3.06

Mak, Pengorbananmu Tetap Kusanjung

Masih kusimpan surat itu. Surat Permohonan Masuk ke Sekolah Bantuan Kerajaan. Renyuk sikit. Masih elok. Cukup bermakna. Inilah imbasan setiap kali aku buka fail sijil-sijil pelajaranku. Semuanya terbongkar apabila aku menyatakan hasrat untuk berhenti sekolah. Itupun rentetan peristiwa aku ditolak dari Sekolah Teknik. Kesilapan teknikal kononnya. Cuma masalah kewarganegaraan saja. Mak juga yang jadi penenang. Barulah cerita ini timbul. Hasrat aku dapat dihidu oleh ayah. Habislah aku dibelasah. Tapi kali ni ayah bercerita dengan hikmah.

Mak kau tak pernah kenal putus asa. Masa kau nak bersekolah darjah satu di sekolah kebangsaan. Ayah dan mak kau ni orang merantau. Orang susah. Kau lahir di seberang. Pejabat Pendidikan berkeras tak bagi kau bersekolah sini. Sebab mak dan ayah punya I.C merah. Katanya kena melalui Kementerian Pendidikan. Macam-macam karenah. Tapi, mak kau tebalkan muka naik-turun Pejabat Pendidikan Daerah dan Negeri berulang kali seorang diri. Bayangkanlah... Dia gagahi walau tak diupah. Merayu. Meminta simpati untuk anaknya bersekolah di Malaysia. Mak kau tak pernah jemu dan bosan dengan tindakannya. Dia bersungguh supaya anaknya berpelajaran.

Aku dapat rasakan perjuangan mak ketika itu. Berhempas-pulas. Bersusah-payah. Aku dapat rasakan keringat mak yang mencurah. Mak mempetaruhkan masa, wang dan kudratnya. Mak tabah dan cekal. Tiada tolok bandingnya. Mak sanggup terima apa saja kritikan dari orang sekeliling.

"Anak awak tu pendatang haram. Mana layak sekolah sini.."
"Lagi-lagi muka awak, kan saya dah kata tak boleh..."
"Dah tahu nak sekolah sini, beranaklah kat sini!"

Inilah antara kata-kata perit yang mak kau hadapi. Ada banyak lagi kritikan jahanam. Kalaulah aku tahu masa tu. Nak aje aku tempeleng. Tapi, mak ambil kata-kata itu. Jadikan penguat semangatnya. Mak berani hadapi cemuhan dan nista mulut lazer. Hingga usahanya membuahkan hasil menyekolahkan kau. Bukan untuk orang lain katanya tapi untuk masa depan kau juga. Bila kau bersekolah, dia sibuk membuat kuih dan nasi lemak. Bangun seawal pagi untuk dijaja. Buka kedai runcit kecil-kecilan di rumah. Hah, inilah suratnya. Kau baca dan simpanlah elok-elok.

Sambil bercerita, sesekali ayah mengesat air matanya. Aku juga. Soal duit jangan ditanya katanya. Kau belajarlah setinggi mana selagi mak dan ayah kau mampu. Terima kasih mak, kini anakmu yang dikata pendatang haram dah punya segulung ijazah. Kini juga anakmu hidup bahagia bersama orang peribumi.

3 comments:

Anonymous said...

menyentuh hati. iktibar: bumi ini milik Ilahi. sempadan politik dan geografi jgn sampai membunuh rasa manusiawi.

Unknown said...

mungkin cara pegawai yang menangani masalah ni tidak begitu diplomasi.. sebenarnya sekolah bantuan penuh kerajaan memang di khaskan untuk warganegara sahaja. sebabnya - bantuan penuh kerajaan.. yerlah, kene faham kan, duit kerajaan malaysia, dah tentulah nak di taburkan kepada rakyatnya sendiri..

bagi mereka yang bukan warganegara, ada pilihan sekolah swasta.. tapi rasanya masa kelisa emas ni sekolah, sekolah swasta pun tak berapa banyak yer..

tapi.. kalau masih juga ingin bersekolah di sekolah kerajaan, mungkin atas faktor sekolah swasta terdekat terlalu jauh, masih boleh bersekolah, dengan kadar yuran yang lebih tinggi berbanding pelajar tempatan..

apapun, nasib baik mak kelisa emas ni tabah orangnya..

Anonymous said...

http://numomma.blogspot.com