19.4.10

Surat kepada tribunal


Pada tanggal 3 Julai 2009, saya sekeluarga pergi berbelanja dapur di Hypermarket Giant, Seksyen 13 Shah Alam, Selangor. Setelah selesai berbelanja keperluan dapur, dalam perjalanan menuju keluar dari pasaraya besar tersebut kami telah didatangi oleh dua orang pemuda yang bertindak sebagai promoter dengan menawarkan kami sekotak cenderamata. Di dalamnya terdapat mini sun shade dan kad baucar atau disebut kupon.

Kami sekeluarga duduk sebentar di kerusi dan meja yang disediakan. Mendengar penerangan yang diberi oleh mereka. Menurut beliau ini juga bersempena dengan pembukaan cawangan baharu kedai mereka di salah satu sudut di dalam Giant tak lama nanti. Kemudian, kami diminta untuk membuka 'seal' kad tersebut, manalah tahu kalau-kalau kami merupakan antara pelanggan yang bertuah pada malam tersebut. Sambil itu, mereka menunjukkan beberapa kad baucar yang telah diperolehi pelanggan terdahulu bernilai RM100, RM200 dan lain-lain nilai. Tanpa mempersoalkan apa-apa dan kami begitu teruja dengan penerangan produk jenama arezzo yang dipromosikan, kami pun membuka 'seal' kad tersebut.

Ketika membuka 'seal' sedikit, angka satu terlihat. Maka, kami syak, ini pasti nilainya RM100. Rupa-rupanya ada tiga digit sifar apabila selesai membuka 'seal' yang mempamerkan nilai RM1,000. Dalam hati kami amat teruja. Tetapi saya tidak menunjukkan melalui ekspresi muka. Buat biasa saja. Lalu, saya menunjukkan baucar tersebut kepada mereka. Salah seorang dari mereka mempersoalkan nilai kad baucar yang kami perolehi. Sebelum ini, tidak pernah pun sesiapa yang memperolehi potongan nilai yang begitu banyak. Manakala seorang lagi dari mereka menimbulkan pertanyaan barangkali kad baucar ada berlaku kesilapan cetak. Mereka berdua kelihatan panik seolah-olah jika kesilapan berlaku, mereka sebagai pekerja syarikat perlu membayar wang ganti rugi yang mungkin jejak RM800 melalui pemotongan gaji mereka. Mereka jadi kalut.
Dalam hati kami mula berbunga-bunga dan berasa sungguh teruja. Kegirangannya tiada siapa yang tahu. Lebih-lebih lagi wajah isteri saya di kala itu. Maklumlah promosi ini melibatkan barang-barang dapur yang ada kaitan dengan kerja masakan di dapur. Saya pula, sebagai suami sudah pastinya ingin memastikan isteri berasa gembira dengan memenuhi impiannya. Lalu, mereka terus kecoh macam cacing kepanasan dan kera kena belacan. Mereka memanggil rakan-rakan sekerja mereka yang lain. Menunjukkan kad tersebut kepada rakan-rakan mereka dengan menyatakan mungkin ada kesilapan sewaktu mencetak. Mereka semuanya kelihatan panik dan suasana agak kelam kabut di kaunter Arezzo. Kami sekeluarga pula, bertambah yakin bahawa kami memang pelanggan yang bertuah.

Lalu, salah seorang dari mereka meminta izin dengan kami untuk menelefon manager beliau terlebih dahulu untuk memastikan bahawa adakah kami layak menerima potongan tersebut atau sebaliknya. Dia berbual di talian. Setelah itu menyerahkan telefon tersebut kepada saya. Manager tersebut menanyakan sama ada saya sekeluarga mempunyai pertalian saudara mara atau kroni yang bekerja di syarikat tersebut atau tidak. Dengan jujur saya menjawab memang tiada saudara mara yang bekerja di syarikat berkenaan. Manager tersebut memberitahu saya bahawa hanya terdapat lima keping baucar yang telah dicetak dengan nilai RM1,000. Sangat jarang pelanggan memperolehinya. Dia memberitahu bahawa saya pelanggan bertuah. Menurutnya, kami antara pelanggan tiga yang pertama telah memilikinya. Dalam masa yang sama, beliau menerangkan perkara ini tidak diberitahu kepada pekerja-pekerja mereka kerana dikhuatiri mereka akan memberi baucar tersebut kepada orang-orang yang mereka kenali atau memberikan kepada orang tertentu sahaja.

Promoter tersebut terus memberi penerangan lanjut kepada kami. Sekiranya kami membeli mana-mana barang keluaran syarikat mereka harga barangan tersebut akan ditolak dengan harga baucar tu. Pada mulanya kami mahu meninggalkan saja kaunter tersebut kerana berasa tertipu dengan lakonan mereka dan terdetik di hati saya bahawa promosi ini ala-ala penipuan sindiket gores dan menang. Tambahan pula, harga barangan yang ditawarkan mereka yang bersempena dengan pembukaan kedai baharu kononnya adalah terlalu mahal bagi saya. Kami sudah pun bergerak menolak troli dan menuju keluar. Namun, mereka mengekori kami untuk memujuk kami agar tidak melepaskan peluang yang datang. Memberitahu semula bahawa kami sekeluarga memang bertuah kerana tidak ada lagi yang memenangi nilai baucar yang sangat tinggi sepertimana yang kami perolehi. Kata-kata manis dari promoter tersebut membuatkan kami terpaksa menghadap semula kaunter dan mendengar penerangan dari mereka. Akhirnya, kami memilih produk 'induction cooker' yang bernilai RM3,099 dan setelah mendapat potongan harganya menjadi RM 2,099.

Kemudian, mereka bertanyakan kaedah pembayaran yang ingin saya buat. Kebetulan di kala itu, ada sedikit simpanan di bank. Saya perlu ke mesin ATM untuk mengeluarkannya. Kad ATM saya hanya terhad sehingga RM1,500 saja. Lalu, memberitahu kepada mereka selebihnya tidak boleh dikeluarkan. Seterusnya, promoter yang menelefon manager datang memberitahu kami sekiranya kami membuat pembayaran melalui tunai atau debit cash dalam satu resit kami akan mendapat satu lagi hadiah percuma iaitu sama ada memiliki seterika ionizer atau fruit juicer. Tambahan pula, katanya Manager beliau baru saja menelefon menyatakan bahawa disebabkan kami tiga pelanggan pertama yang mendapat nilai tersebut, kami diberi tawaran yang cukup berbaloi. Terus bergoncang pendirian kami. Hati naik girang. Mereka memberitahu perkhidmatan debit tunai ada disediakan. Maka, pembayaran selebihnya boleh dibuat melalui debit tunai melalui kad ATM. Pandai mereka meredakan kekhuatiran saya. Dua barang yang mereka tawarkan kami tolak. Kemudian, mereka beralih menawarkan pula kepada kami dengan menyatakan bahawa kami adalah pelanggan istimewa jika kami menambah RM1,000 lagi secara tunai. Kami diberi pilihan untuk memilih mana-mana dua produk Arezzo. Mereka menegaskan bahawa promosi ini sah pada malam ini saja. Kami terus didesak untuk memberikan jawapan. Manakala mereka bertekak sesama mereka seolah-olah kami pelanggan yang diberikan promosi yang terlalu tinggi yang boleh mengakibatkan kerugian syarikat dan tidak berbincang dengan promoter terlebih dahulu akan hal ini.

Akhirnya, setelah didesak bertalu-talu, seharusnya kami pulang dan diberi masa untuk memikirkan akan hal ini namun mereka memomokkan bahawa ia hanya sah pada malam tersebut sahaja. Lalu, kami dengan rasa berat menambah barangan Arezzo Microwave Oven (RM 2,999) dan Arezzo Cookware Set (RM 2,999) dengan hanya menambah RM 1,000. Dalam hati kami berkata, sangat jauh perbezaan harga asal dan harga promosi. Alangkah untungnya. Jumlah keseluruhan yang kami habis pada malam tersebut adalah RM 3,099 dengan tiga barangan produk.
Mereka mengiringi kami sekeluarga untuk menghantar produk ke parkir kereta. Semasa kejadian tersebut, kami tahu produk tersebut mahal. Namun, memandangkan harga asal yang tertulis di barangan tersebut lagi tinggi nilainya kami tidak ubah keputusan. Kami akur.

Dalam perjalanan pulang, kami tidak memikirkan apa-apa. Namun, apa yang saya ingat promoter tersebut ada menyatakan produk mereka dari Itali. Ada pula yang kata dari Jerman. Mereka menjawab tidak konsisten. Saya juga teringat terdapat alamat laman web yang mereka berikan. Maka, bolehlah saya tinjau pada hari Isnin nanti. Di rumah, pada mulanya kami ingin membuka kotak bungkusan tersebut untuk memeriksa barangan di dalamnya dan ingin mencubanya. Manalah tahu kalau-kalau barang tersebut tidak boleh digunakan ataupun rosak.
Namun, kami buat keputusan untuk simpan sahaja kerana kalau dibuka sekalipun, tiada tempat untuk meletakkan barang-barang tersebut. Saya mula membelek-belek kotak tersebut dan timbul persoalan di benak fikiran saya, produk ini tiada cop SIRIM atau mana-mana badan yang memperakuinya di kotak tersebut. Maka, kami simpan terlebih dahulu di rumah dan disusun rapi di dalam stor. Dari hari ke hari, saya asyik memikirkan mengenai barangan tersebut sahaja.

Seminggu selepas itu, saya melayari laman web produk tersebut. Memang ada memaparkan mengenai produk tersebut beserta harganya. Barangkali betul dalam hati saya. Kemudian, saya mengarang entri untuk dimasukkan ke blog peribadi saya mengenai produk Arezzo yang saya beli jauh lebih murah dan kononnya berbangga bahawa saya antara pelanggan 'top five' yang paling bertuah untuk dikongsi oleh pembaca semua (klik sini). Beberapa bulan kemudian, ada dua tiga orang pembaca memberi komen mengenai entri saya. Mereka juga mengalami situasi yang sama. Ada juga yang bersembang sesama mereka mengenai kejadian yang sama menimpa mereka di 'chat box' yang saya sediakan dalam blog saya. Maka, terlintas di fikiran saya. Adakah kami termasuk dalam golongan yang ditipu. Oleh sebab mereka hangat membincangkan isu ini. Maka, saya menaip di carian enjin perkataan penipuan arezzo. Ya, saya menelusuri satu-persatu pengalaman yang mereka ceritakan.
Mereka juga terkena di tempat yang berbeza namun modus operandi yang sama. Sehinggalah, satu hari saya menghantar emel kepada salah seorang yang mengunjungi blog saya. Kemudian, dia menghubungi saya untuk berkongsi pengalaman yang sama. Kebetulan pula, dia telah pun mengambil tindakan dan memperolehi wangnya kembali hasil usaha yang dia lakukan.

Jadi, sebenarnya hadiah yang dikatakan julung-julung kali yang dimenangi oleh kami telah lama terkena kepada ramai orang.
Itu bukanlah bertuah namanya. Justeru itu aduan ini dilakukan atas dasar kami ingin memulangkan barangan yang kami beli kerana kami yakin syarikat tersebut telah menggunakan taktik jualan yang menganiaya pembeli ala-ala sendikit gores dan menang dengan mekanisme yang berbeza. Walhal, kami boleh mendapatkan produk yang sama malah lebih berjenama dari produk Arezzo dengan harga yang lebih berbaloi di tempat lain. Oleh yang demikian, secara ringkasnya kami membuat aduan ke tuntutan tribunal pengguna ini atas sebab-sebab berikut :

i) Kami berasa teraniaya dengan taktik yang digunakan oleh syarikat tersebut yang mirip kepada gores & menang;

ii) Kami berasa tertipu dengan harga produk yang ditawarkan kerana produk yang sama di tempat lain lebih berpatutan harganya;

iii) Kami didesak untuk menerima promosi yang ditawarkan dengan mengumpan hadiah sampingan;

iv) Kami rasa diperdaya yang kononnya kami pelanggan bertuah walhal ramai yang sudah memilikinya; dan

v) Kami rasa tertindas di mana kesemua yang disebutkan di atas bahawa kami sebagai pengguna mempunyai hak untuk mengembalikan barang tersebut yang dalam keadaan baik untuk mendapatkan semula wang kami tanpa sebarang susut nilai atau tanggungan kerugian.


Dilampirkan bersama

  1. Cash Bill (CB 03807)
  2. Delivery Order (DO 11616)


Yang Benar,
Ahtok


.

6 comments:

Unknown said...

AhtOk semoga berjaya kembali mendapat tuntutan. Saya sangat benci dengan penipu-penipu ni..... hampir pernah terkena, walau bukan dengan Arezzo... Sepatutnya penipu-penipu ni diparang-parang sahaja!

Ibu Aunis said...

InsyaAllah dapat balik duit tu nnt.
Kali kedua hampir terkena jua. Derang bawak ke opis dan tak bg kluar selagi tak setuju dgn tawaran palsu mereka. Tapi sbb ade pengalaman pertama dan taktik nye same je, mmg berkeras..tapi cina2 ni block pintu kluar. desak2. Takut jugak. Akhirnya setuju.

Tapi beberapa hari lepas tu, buat aduan ke tribunal. Mereka hantar pos berdaftar kepada syarikat tersebut tapi derang tak mo sign. Refuse nak terima. Call2 tk mo jawab.So, bg masa 2-3 hari lagi, then, bawak sorang polis..(gaya jer..) pastu hantar surat tribunal tu by hand. And la-la tu gak depa wat transaction balik ke akaun. Kami ala-ala ugut..siap bawak surat suh sign tanda dah buat transaction balik..kalo between 2-3 days takde payment masuk, kami bawak surat td and salinan ic derang terus ke polis..(masa tu mmg derang tak buat ape2..sbb ade sorang ni berlagak polis baju biasa ada sama)..kire cam ala mafia gak la kiterog gamble..derang pun buat bisnes mcm samseng kan...

Alhamdulilah. Dapat semula duitnye.
Rasenya 3 barang tu kalo beli..mmg itulah jugak harganya..tapi cara 'paksa beli' tu yg tak menarik..

PEMBARIS_PATAH said...

Dear ah tok.

u view all d comments dekat

http://arezzo-products.blogspot.com/2010/01/mangsa-arezzo-strategi-pemasaran.html

then, ikut all d steps yang kami bincangkan there, strategi diorang dalam mengelak pembayaran balik dan sebagainya...

saya doakan anda berjaya seperti kami..insyaallah..percaya x, entry anda adalah antara titik awal saya percaya saya ditipu dan mengambil tindakan terus kepada tribunal?blo itu adalah usaha saya setelah berjaya untuk membantu yang lain..jom join d club..anti arezzo penipu..

saya doakan anda berjaya.

Anonymous said...

Salam.saya baru sahaja mengalami situasi yg sama.namun begitu saya baru menyerahkan rm400 kepada promoter berkenaan,terima kasih diatas pemberitahuan mengenai penipuan ini kepada pelayar internet.doakan moga kita semua dapat menuntut semula hak kita.

amoi said...

huwaaa.saya baru terkena tgh hari tadi di carrefour mid valley.selama ni mmg selalu lalu kat depan booth arezzo tu tapi takde plak dia promote. hari ni terkena plak bila dia offer beg shopping free. pergi la ikut dia ke booth. dapat voucher rebate rm100 + free microwave oven. berbunga2 sebab mmg plan nak beli oven pun.kalau guna cc maybank dapat free pencuci buah, sayur etc (tatau plak apa namanya). at last saya beli water purifier dgn harga RM2699 then dapat free microwave oven dan pencuci buah tu. saya buat installment 12 bulan. tapi barang saya tak ambik lagi sbb saya tak bawak kereta tadi. dia janji hantar mlm ni. lepas baca review kat internet pasal penipuan ni, terus rasa nak cancel. dah call maybank card center, diaorg cakap kena suruh kedai cancel. kalau diaorg taknak cancel kena pegi maybank suruh diaorg cancel kan. skrg saya off hp supaya dia tak dapat call saya untuk hantar brg mlm ni. tp tiba2 dah ada kat depan rumah. dok dalam rumah diam2. nasib baik dia blah. esok nak try call salesgirl tadi mintak cancel cc. harap2 boleh la. kena ugut sikit nanti.

btw betul ke iklan induction cooker yang rambut tercacak tu brand arezzo?try google tak jumpa la.

Anonymous said...

Salam, saya pun dah beli semua barang arezzo. Nasib baik, barang dia OK. Jalan cerita pembelian sebijik la... aduyaiii...