28.8.06

VMY2007: 1

Ini entri formal. Jika sesiapa membacanya, bacalah dengan nada serius. Ia bersiri. Entri yang patut dijenguk oleh Kementerian Pelancongan Malaysia atau yang bersangkutan dengannya. Sedang negara kita sibuk dan menyibuk untuk menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2007, penulis merasakan perlu adanya satu pemahaman istilah yang jelas mengenai sumberjaya, tarikan dan produk dalam konteks pelancongan. Mengapa? Kerana ia penting bagi menyelaras set minda pelaksana dan pengguna agar tiada sebarang kekeliruan dan salah tafsir berlaku. Itu saja. Jika entri ini mahu disalin sekalipun sekurang-kurangnya berikanlah penghargaan atau ucapan terima kasih kepada penulis. Kredit harus diberi kepada penulis. Berbalik kepada isu yang ingin dibincangkan. Dengan mengandaikan bahawa penulis adalah orang awam tanpa mempunyai latar belakang bidang pelancongan. Penulis juga tiada kaitan dengan agensi pelancongan. Hanya dari kacamata dan pendapat penulis sahaja dengan beberapa rujukan terpilih. Tak lebih dari itu.

Sumberjaya pelancongan, tarikan pelancongan dan produk pelancongan adalah tiga aspek yang saling berhubung kait di antara satu sama lain. Percaya atau tidak? Mungkin anda kata tiada bezanya ketiga-tiga terma ini. Dari sudut pelancongan. Ya, penulis akan buktikan satu persatu bersama hujah dan teori yang kukuh dalam huraian seterusnya. Dalam erti kata yang sebenar, penggabungan tiga unsur utama itu tadi adalah bagi mewujudkan satu destinasi pelancongan yang mampan seterusnya dapat menarik pelancong secara berterusan. Setiap unsur atau elemen itu mempunyai peranannya yang tersendiri bagi memastikan bahawa permintaan pelancong dapat dipenuhi dan mendapat kepuasan di dalam menjalani aktiviti-aktiviti pelancongan. Penulis akan memperincikan mengenai persamaan, perbezaan dan perbandingan ketiga-tiga unsur ini dalam memahami bagaimana unsur ini berkaitan di antara satu sama lain di samping membuat penilaian ke atas sumberjaya, tarikan dan produk pelancongan yang terdapat di destinasi pelancongan yang terdapat di dalam negara Malaysia yang kita cintai.

Penulis memulakan dengan memberi takrifan mengenai sumberjaya pelancongan terlebih dahulu. Beberapa takrifan mengenai sumberjaya pelancongan telah dibuat oleh beberapa penulis terdahulu dalam bukunya mengenai pelancongan. Jika kita selidik, takrif sumberjaya pelancongan yang terdapat di dalam buku 'Tourism Planning' yang ditulis oleh Gunn (1988) menyatakan bahawa sumberjaya adalah suatu aspek yang sangat penting dalam pembangunan bagi sesebuah kawasan. Menurutnya, jika sesebuah kawasan mempunyai sumber air yang bersih, hutan yang mempunyai nilai-nilai estetika, bentuk mukabumi atau topografi yang menarik, tanah yang boleh dibangunkan dan iklim yang sesuai, ianya mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk dibangunkan sebagai sebuah kawasan pelancongan. Beliau menyatakan bahawa sesebuah kawasan yang mempunyai ciri-ciri seperti yang telah dinyatakan adalah sangat ideal untuk dibangunkan aktiviti pelancongan. Jadi, apa saja yang terdapat di muka bumi ini boleh dikatakan sumberjaya. Betul? Termasuk tanah, api, air dan udara.

Takrifan lain pula diberikan di dalam buku 'Resort Planning, Financial Aspects' yang mana membahagikan sumberjaya pelancongan kepada empat jenis utama iaitu :

a. Sumberjaya Semulajadi : pantai, sungai, gunung, tasik, bukit, gua, laut, bakau
b. Sumberjaya Warisan : monumen, bangunan, kebudayaan, cara hidup
c. Sumberjaya Pertanian : sawah, dusun, tanaman, ternakan, perikanan
d. Sumberjaya Buatan Manusia : taman tema, pentas, stadium

Makna sumberjaya pelancongan yang dikeluarkan oleh kedua-dua penulis ini, dapat kita dirumuskan bahawa sumberjaya pelancongan adalah suatu perkara yang menjadi asas utama di dalam mengenalpasti atau membangunkan sesuatu tarikan pelancongan. Keperluan bagi mengenalpasti sumberjaya yang terdapat di sesuatu kawasan dapat mewujudkan satu imej yang berbeza dengan sesuatu kawasan yang lain. Selain itu, sumberjaya ini dibahagikan kepada empat sumberjaya yang utama. Pembahagian ini bertujuan bagi memudahkan lagi pengenalan ke atas sumberjaya yang terdapat dan mempunyai imej dan tarikan yang tertentu. Di samping itu, ianya dapat menarik jenis pelancong yang mempunyai pelbagai kategori dan minat yang berbeza.

bersambung...

No comments: