2.8.06

Bukan Kupinta (part IV)

Kesebelasan pemain diturunkan

V. Soondramoorthy
Adi Huzaimi
Akmal Hakim
Saifuddin
Mohd. Amzari
Armanizan
Saiful Amri
Mohd. Edham
Mohd. Rizal.
Syamsul Nizam
Jamaluddin

Cukup kental. Dah cukup untuk membuktikan kepada pasukan sekolah kami memang ini barisan yang bisa menggegarkan dan mengganggu-gugat pertahanan lawan. Bisa merempuh dan menerobos gawang gol pihak lawan. Boleh. Aku yakin. Kita boleh. Kau pasti dapat agak jalan cerita ni. Betul tak? Mari kita saksikan. Agakan kau tepat atau tidak.

Diringkaskan cerita, perlawanan pertama kami berakhir dengan keputusan seri 0-0. Sengit juga pada mulanya. Tapi berkesudahan tanpa jaringan. Ada peluang, tak berjaya. Tiada penyudah. Mungkin belum mendapat rentak. Uhuhh. Mungkin komunikasi pasukan masih belum terbina. Mungkin. Selaku ketua pasukan aku berjaya juga memporak-perandakan pertahanan lawan. Kelam-kabut juga dibuatnya. Cikgu Rahman di luar pandang memberi tunjuk ajar dan penuh bersemangat bersorak. Cikgu Rahman memang bergantung harapan untuk bawa sekolah ini pergi jauh. Jauh ke bulan. Tinggi ke angkasa. Menggapai bintang di langit. Jauh. Hilangkan tanggapan cikgu-cikgu lain yang dok mengata tidak berasas. Cikgu Rahman ingin buktikan sesuatu. Ingin membuktikan anak buahnya boleh membuat kejutan.

Keesokan harinya. Di peringkat kumpulan kami memenangi perlawanan dengan jaringan 2-0. Ya, aku masih ingat sebab satu gol aku jaringkan dengan pukulan deras dalam kawasan D. Cikgu Rahman memuji pencapaian dan prestasi kami dengan bangganya. Cikgu Rahman memesan jika masuk saja kawasan D jangan ada belas ihsan. Bantai aje ke arah gol. Jangan peduli apa. Jangan banyak bicara. Pukul sekuat mana yang boleh. Cari ruang. Buka permainan. Buka! Buka! Itulah jeritan yang terngiang-ngiang sampai sekarang. Buka sekarang lain pula dah maksudnya. Prestasi kami di luar jangkaan. Selesai perlawanan, aku pulang ke rumah dengan berita gembira. Beritahu mak pasukan kami dah menang satu perlawanan. Esok ada lagi perlawanan. Lusa pun ada lagi. Tulat pun ada. Tonggeng pun ada. Itupun kalau pasukan sekolah kami layak. InsyaAllah. Mak senyum berkongsi berita gembira itu. Harapnya mak sampaikan pada ayah.

Akhirnya, pasukan kami berjaya mara ke peringkat seterusnya. Ke peringkat yang tidak pernah diduga selama ini. Aku ucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang memberikan kerjasama dalam kerja sepasukan. Aku bangga. Walaupun aku bukan penjaring terbanyak namun aku pencetus kepada jaringan. Hantaran silang dan gelecekan yang merbahaya membuahkan kesudahan dengan pukulan dan tolakan yang deras dari rakan. Sering kali berdentum gol pihak lawan. Penjaga gol kami boleh dikatakan tidak banyak kerja dan tidak banyak berlari. Untung dia. Tidak sia-sialah kalau aku ponteng sekolah agama sekalipun kerana ia membawa kejayaan yang besar kepada pasukan sekolah.

Ada kurang sehari sebelum perlawanan akhir bermula. Petang itu aku pulang keletihan. Tidur awal. Esok pagi perlu bertolak semula ke padang yang sama untuk menhadapi musuh dan juara bertahan selama ini. Budaknya memang berlagak. Aku rasalah diorang berlagak. Gaya jalan berkepak. Selisih bahu ditambahnya lagi dengan tolakan. Melemparkan kata-kata yang cukup pedas. Panas kalau telinga dengar. Boleh terbakar. Tak cukup dengan itu, mereka guna perang psikologi memperlekehkan pasukan sekolah kami. Perghh... Memang tajam menikam. Bisa berbisa.

bersambung...

No comments: