9.10.06

Setitis embun di daun pisang

Aku ada pakcik. Nama dia Abdullah. Tak dipanggil Pak Lah. Panggil Dollah. Orangnya kecil molek. Fizikal tubuh badannya tak lah besar sangat. Tapi garang nak mampus ya amat. Kegarangan dan kebengisannya terserlah bila dia dalam keadaan marah. Lebih-lebih lagi ketika mengajar mengaji. Ditambah pula dengan rotan ditangannya. Pangkal rotannya sedikit berkecai dikerjakannya. Menyebat budak-budak yang degil dan nakal tak mahu ngaji. Kalau kena rotan tu memang badan berbirat. Setakat ni aku tak pernah kena rotan dia tu. Aku budak baik. Aha!

Dalam menuju ke rumah Pak Dollah, ada pokok pisang. Tumbuh membiak berkelompok. Waktu malam di daun pisang itu ada embun. Biasanya, kami pulang mengaji setelah selesai solat Isya’. Budak perempuan kalau balik dari mengaji memang tak tanggal telekung. Entah kenapa, aku pun tak paham. Budak lelaki pula lepas selesai aje akan lambung-lambung songkok. Bagi yang berkain pelekat, ditanggal kain itu untuk diselimpang di badan. Pakai seluarlah! Itu saja.

Aku belajar mengenal huruf dari muqaddam sampai al-Quran dengan Pak Dollah juga. Mujur ada pakcik sebegitu rupa. Mahu juga dia sukarela mengajar mengaji budak-budak kampung. Selain mengajar mengaji, dia juga mengajar asas-asas beribadat seperti sembahyang, puasa dan sebagainya. Anak muridnya adalah dalam lingkungan empat puluh orang. Kini, ada yang jadi orang. Ada juga yang jadi orang-orangan. Ada juga yang jadi bintang. Ada juga yang jadi binatang. Ada juga yang menjadi setitis embun di daun pisang.

No comments: