24.10.06

Satu Hari Di Hari Raya

Di pagi raya, sudah menjadi rutin kami sekeluarga. Selepas selesai solat sunat Aidilfitri. Saling bermaaf-maafan. Syahdu dan pilu dibuatnya. Bergelinang air mata jantanku. Ada doa dan tahlil ringkas di rumah. Diketuai oleh bapak. Aku cuma mengangkat tangan mengaminkan doa. Menziarahi kubur arwah nenek adalah agenda seterusnya.

Tanpa membuang masa, kami berkonvoi ke kubur tempat nenek disemadikan. Liang lahad arwah nenek berhampiran dengan tempat laluan orang ramai. Banyak orang lalu-lalang di situ. Itu tak menghalang kami untuk berdoa. Kami sekeluarga duduk. Mengelilingi kubur arwah nenek untuk disedekahkan bacaan surah Yaasin dan doa. Bapak mengepalai bacaan tersebut. Kami mengikut saja. Suasana diselubungi kesedihan dan kesayuan. Ada dua tiga lagi kubur pun melakukan perkara yang sama. Maksud aku orang yang hidup mendoakan si mati. Sayu amat! Tangkap insaf.

Kira-kira dua pertiga bacaan Yaasin, ada dua orang lanjut usia melalui jalan tanah merah yang penuh berliku. Agak cerun jalan itu, di sebelah kubur nenek. Lagaknya seperti suami-isteri. Hampir juga dengan tempat kami duduk. Suaminya berjalan di depan. Isterinya mengekori di belakang. Entah macam mana, kakinya tersandung batu kerana leka melihat kami membaca doa di kubur arwah nenek.

"Aduuh!.. Bang! Tunggulah saya.." Perempuan itu jatuh duduk tersembam ke bumi sambil mengurut pinggangnya. Dengan mukanya yang berkerut menahan kesakitan.

"Ishh... Kenapa dengan awak ni? Jalan tak tengok bawah ke?" Lelaki itu cuba menoleh (takut-takut kalau ada orang nampak) dan mendapatkan isterinya untuk mengangkatnya bangun semula.

"Ni hah! Batu ni hah duk tengah jalan.Siapa letak entah..." Perempuan itu menyalahkan batu yang tidak tahu apa-apa di jalan itu.

Pada awalnya, kami saling berpandangan untuk menahan ketawa kerana telatah wanita itu yang menyalahkan batu ketika dia jatuh. Walhal, dia sendiri berjalan dalam keadaan yang tidak berhati-hati. Aku tengok muka bapak. Bapak tengok muka emak. Emak tengok muka adik-adik. Masing-masing menutup muka dengan kedua belah tapak tangan. Entah bagaimana, semua sudah tidak tertahan. Akhirnya semua tertawa terbahak-bahak pecah perut ekoran dari kejadian itu. Mujur mereka dah beredar. Bapak pun turut ketawa besar. Bila bapak dah ketawa besar, secara automatik semua ikut ketawa. Ekekekek..

Akhirnya, doa dibacakan semula untuk arwah nenek kerana gelagat lawak wanita itu yang menyalahkan batu yang duduk di tengah laluan. (Batu juga makhluk Tuhan. Dia tidak bersalah dalam kes ini)

No comments: