9.10.06

Kukirimkan Buatmu

Apabila bakal menjelangnya Syawal, golongan yang paling gembira bukan kepalang adalah budak-budak. Tapi, tidak terkecuali bapak budak dan mak budak. Kadang-kadang mereka yang lebih daripada budak-budak kecil. Budak-budak tak minta apa-apa (merujuk budak yang baik). Sebaliknya, mak budak ada permintaan setahun sekali sempena Hari Raya.

Sibuk nak beli langsir baru lah, baju baru lah, kasut baru lah, buat kuih lah, mengecat rumah lah dan sebagainya. Tidak ketinggalan juga, awek aku yang dah bertanyakan bila nak beli baju baru, kasut baru untuk dia dan anak-anak. Selalunya macam tu lah setiap kali Ramadhan dan Syawal menjelma. Tahun ni poket aku berjerebu sikit. Bukan saja kawasan tempat tinggal aku berjerebu malah tempiasnya turut masuk ke dalam poket aku.

Dulu, kalau ada arwah nenek, dia pasti buat kuih tradisional. Kuih turun-temurun katanya. Kuih bahulu, kuih gulung, kuih goyang, kuih tumpi dan seumpamanya. Guna dapur kayu dan arang. Mata pedih berair untuk menghidupkan api. Kalau nak selamat guna batang paip berongga untuk meniup. Lagi sedap rasanya dan lebih tahan lama kalau guna dapur kayu. Sekarang, arwah nenek dah tak ada. Memanglah tak ada. Sebab dah arwah. Apalah kau! Jadi, kuih tradisi tiada galang-gantinya. Tiada siapa nak buat lagi. Lagipun, banyak dah kuih ada di pasaran sekarang. Tinggal tunjuk aja. Asal ada duitnya. Tapi, itu semua tak sama dengan kuih yang arwah nenek bikin. Nenek, aku merindui kuih buatanmu. Sempena menjelangnya Syawal, nenek tak payah kirim kuih pada kami. Menyusahkan nenek saja. Anak-anak dan cucu-cucu nenek akan mengirimkan bingkisan doa dan sedekah al-Fatihah untuk nenek.


Al-Fatihah...

No comments: