3.9.06

Luka lama tidak berdarah lagi

Sejurus mendapat panggilan kecemasan dari kampung. Dia terpaksa memendekkan cutinya bersamaku. Bukan aku tak mahu menghantarnya pulang menjenguk atuknya di hospital. Dikhabarkan koma lima puluh lima puluh . Berada di Hospital Besar Teluk Intan setelah Hospital Besar Klang menolaknya kerana sudah sarat muatan pesakit. Bukan mencari alasan untuk lari dari semua ini. Haruslah kau mengerti keadaannya. Dah lama aku tak pulang menjenguk ayah dan bonda. Sesekali aku luangkan masa, maka aku perlukan masa yang panjang digunakan sepenuhnya. Bukan aku menafikan kenyataan dan hakikat ini semua. Aku punya tanggungjawab yang lebih besar. Lebih utama dari yang utama. Tambahan pula, kita selalu menjenguk mereka di kampung sana kan. Bagilah aku sekelumit peluang ini cuma. Jika kau mahu pergi, aku izinkan. Aku relakan. Boleh tumpang pakcikmu yang juga mahu ke sana. Apa salahnya. Harapnya kau mengerti. Sebab itu aku sukar bagi kata putus apabila kau tanya. Aku takut suara ini keluar api bewarna. Mengguris dan bisa. Lebih baik aku diam. Harapnya kau faham. Keputusanmu aku redha.

Aku redha semua ini. Ada hikmah semua ini. Sesungguhnya jika itu dapat mengubati kesedihan dan kesayuanmu jangan ditambah luka tempohari. Maka pergilah dengan jiwa yang tenang. Pergilah dengan hati yang tabah. Sampaikan salam aku pada orang di sana. Bila ditanya. Kau jawablah dengan cara bijaksana. Jangan pula kau membuka pekong di dada. Harapnya tidak. Katalah urusan peribadi. Jangan sampai mereka salah sangka. Minta maaf kepada mereka. Tentang aku, usah kau hiraukan. Aku boleh membawa diri. Aku boleh membawa kereta sendiri. Cuma perjalanan pulang aku agak mengantukkan di lebuhraya PLUS. Tiada lagi suara-suara manja perempuan dewasa dan si anak kecil. Kekadang terlelap seketika. Ada juga sambil memandu terpejam seketika. Hebat kan? Namun, setakat ini belum pernah lagi sambil memandu terpejam selamanya. Minta dijauhkan. Jadi, aku harap kau tak merungut dengan karenah aku. Aku khuatirkan dirimu yang penat melayan telatah budak kecil itu. Akhirnya, belum sempat aku meminta maaf, kau dahului dengan ucapan
Selamat malam. Jaga diri baik-baik. Kami di sini semuanya ok. Jangan risau. Sorry susahkan diri abang. Terima kasih segalanya sayang.

1 comment:

Unknown said...

saya suka baca cerita tauladan rumahtangga cam ni :)