5.9.06

Bapak polis, anak penyamun tarbus

Di satu persimpangan lampu isyarat. Dua buah kereta PERODUA cap kancil meluncur begitu laju. Membelah angin malam. Depan, kereta si ayah 850. Belakang, kereta si anak 650. Mengekorinya. Berkonvoi mahu pulang dari kenduri arwah. Dari jauh sudah kelihatan lampu isyarat itu berkelip-kelip. Sekejap hijau sekejap merah. Sekejap merah sekejap hitam. Lampu isyarat rosaklah tu. Sedang keadaan lalulintas di situ tidak kurang sibuknya.

Di satu selekoh yang tak tajam.

Setelah melepasi selekoh lampu isyarat yang bahlul itu. Si anak kehairanan menagapa si ayah melanggar peraturan lampu isyarat. Adakah si ayah buta warna. Namun si anak pasti, semasa dia melewati lampu isyarat itu, lampu isyarat sudah bewarna hijau. Sejurus selepas kedua-dua kereta PERODUA cap kancil yang cabuk itu melewati selekoh dan melepasi lampu isyarat. Pemanduan terpaksa diperlahankan. Ada road block PDRM. Menahan kedua-dua buah kereta yang dirasakannya bersalah di bawah undang-undang kecil ordinan kesalahan lalulintas (agaknya?). Berhenti di tepi jalan. Enjin tidak dimatikan. Lalu Pak Polisi datang menghampiri kereta si ayah dan bertanya.

"Awak tahu apa kesalahan awak?" Pak Polisi bertanya sambil mendongakkan dagunya dan mengeluarkan helaian kertas bersama pena. Menulis sesuatu dengan gahnya.

"Tahu Encik. Saya langgar lampu merah." Si ayah menjawab terketar-ketar tetapi fasih.

"Hah! Belakang tu siapa plak?" Pak Polisi tanya lagi sambil menunjuk kereta belakang. Dah adat Pak Polisi memang banyak bertanya. Biasalah.

"Anak saya Encik." Si ayah jawab ringkas tetapi tepat dan luhur.

Lalu Pak Polisi menyiat dan menghulurkan kertas yang ditulis. Beredar menuju ke kereta belakang dengan beberapa langkah berderap.

Apabila nampak kelibat Pak Polisi menghampiri kereta si anak. Si anak menarik nafas keluhan. Si anak menarik handbreak dan membuka cermin tingkapnya untuk berkomunikasi. Bagi mewujudkan komunikasi dua hala yang sihat Sedang si ibu di sebelahnya yang membebel dari tadi tiba-tiba terkelu tidak terkata.

"Hah, awak tahu apa kesalahan awak?" Pak Polisi menanyakan soalan yang sama. Kira soalan bocorlah ni. Sebab soalan ini didengar oleh si anak tadi.

"Saya tak tahu Encik. Apadia?" Si anak menjawab dengan dalihan yang yakin sambil menggaru-garu lututnya.

"Awak langgar lampu merahlah! Awak nampak tak?!" Pak Polisi maninggikan suaranya yang ditenggelami deruan kenderaan yang lalu-lalang di situ. Lebih-lebih lagi jika ada traktor atau jentera bergerak berat (berantai) BTM melebihi 5000 Kg melewati jalan tersebut.

"Mana ada Encik. Tadi, masa saya lalu. Lampu tu warna hijau. Saya tak tipu Encik. Sumpah!" Si anak kurang puas hati.

"Huh! Bapak dah mengaku, anak plak tak nak mengaku hah" Pak Polisi menggertak dengan muka yang bengis.

"Ishhh... Lampu isyarat tu rosaklah Encik. Kalau tak percaya Encik pi tengok." Seolah-olah si anak mencabar kerjaya Pak Polisi agar menukar kerjaya membaiki dan menyelenggara lampu isyarat yang rosak.

"Anak dengan bapak sama je. Langgar lampu merah. Bapak awak dah mengaku, awak tak nak mengaku plak." Pak Polisi mengaitkan isu bapak dan anak sekali lagi.

"Encik nak saman? Samanlah! Tuhan jadi saksi. Lampu isyarat tu rosak. Dah empat hari. Kejap hijau kejap merah tak tentu masa. Saya belum rabun warna Encik. Habis kalau bapak saya mengaku, saya kena ngaku jugak ke?" Si anak cuba berhujah dengan fakta dan figurasi yang kukuh.

Pak Polisi tidak memberi kertas yang ditulis lalu menuju ke hadapan semula meminta kertas yang diberinya tadi. Si ayah dan si anak beredar dengan hati yang panas. Si ayah yakin dia melanggar lampu merah. Si anak juga yakin semasa dia mengekori dari belakang lampu sudah bertukar kaler hijau. Si ibu yang duduk di sebelahnya pun nampak juga. Menjadi saksi tunggal pada malam itu. Gelap malam, ramai pemandu yang ditahan kerana melanggar lampu isyarat yang rosak. Diulangi, melanggar peraturan lampu isyarat yang rosak. Mungkin ada kesalahan ini dalam undang-undang. Walaupun si ayah mengaku, namun si anak bukan untuk mengaku membabi-buta begitu saja. Tak sekolah arab punya Pak Polisi malam itu.

No comments: