29.12.06

Biar Cita-cita Tinggi Melangit

“Awak mesti kena target berapa awak nak skor dalam SPM nanti.” Kata cikgu dalam kelas tingkatan lima itu. Tingkatan 5 Enggang namanya.

“SPM ni merupakan tiket awak untuk melangkah setapak seterusnya.” Dia menambah lagi.
Hari itu saja, tiga jam dia membebel pasal SPM untuk menyuntik motivasi diri anak-anak bangsa. Penisilinnya adalah kata-kata semangat. Jangan putus asa.

Sebab aku tak kenal apa itu erti putus asa. Maka, aku berkenalan dengan erti kejayaan dan kecemerlangan diri. Di kala itu, aku sudah mula melawan sifat-sifat kemalasan yang sial itu. Lalu, aku ambil kertas A4. Aku senaraikan jumlah skor setiap subjek yang aku target. Kira punya kira, sasaran aku enam agregat. Wow! Hebat aku. Aku fikir begini, kalau kau punya matlamat, kau letaklah matlamat yang paling tinggi yang mahu kau capai. Barulah kau ada kemajuan. Setidak-tidaknya, kau akan berada dalam tekanan. Tekanan ini yang mendorong kau untuk melonjak lebih tinggi. Kalau awal-awal kau dah letak sekadar cukup makan maka setakat itulah pencapaian kau. Itu betul. Namun, dari segi realisitik aku fikir lain pula. Berpadanan dengan usaha aku. Kemampuan aku. Sikap aku yang malas membaca ini ditambah dengan masa yang terhad pula. Maka aku letak sasaran sebelas agregat pun dah memadai.

Sebelum SPM bermula, aku mendisiplinkan diri untuk tidak main-main atau berfoya-foya. Untuk mendorong diri aku supaya lebih rajin, aku buat jadual belajar acuan aku sendiri. Dua hingga tiga jam dalam sehari aku peruntukkan membuat ulangkaji di sebelah malam. Sebetulnya, itu pun aku tak ikut. Penipu betul aku ni! Paling lama, satu jam secara jujurnya. Masuk jam berikutnya, aku dah lelap. Sambung belajar membuat peta. Mana tidaknya, sebab membaca sambil berbaring. Lantas, aku kata dalam hati, aku kena ada meja belajar sendiri. Baru semangat sikit! Aku pun buatlah meja belajar sendiri guna kayu dan papan yang terpakai. Dikutip di sekitar kawasan tempat aku tinggal. Aku pun cat meja itu dengan warna merah menyala. Baki cat ICI bapak yang diambil dari tempat kerjanya untuk mengecat stor luar rumah. Guna ajalah cat itu. Lagipun, aku yakin warna merah itu berupaya untuk menyemarakkan lagi semangat jiwa aku untuk terus studi dan teruja untuk mengulangkaji. Merahkan tandanya berani.

Aku minta mak duit untuk beli lampu studi. Murah-murah punya. Meja cun dah siap, aku alas dengan plastik lutsinar dan di bawahnya aku sisipkan helaian kertas yang tertulis kata-kata semangat juang daripada pelbagai pujangga. Antaranya, “setitik usaha, setitik hasil.” Aku rasa, aku buat begitu telah memotivasikan diri aku sendiri untuk selesa studi. Aku sayang meja itu macam aku sayang diri aku sendiri. Lepas SPM habis, meja itu aku tak buang. Hajat dihati untuk disimpan dan tatapan anak sambil berkata “Inilah meja yang ayah buat sendiri untuk mengulangkaji pelajaran masa ambil SPM 1995. Cantik tak?” Tapi sayang, meja itu kakinya patah satu demi satu. Kini, aku berbangga kerana meja itu berkorban untuk seorang lelaki yang hatinya tak mudah patah sebaliknya kaki meja itu yang patah. Akhirnya, aku memperolehi dua belas agreagat. Kurang satu daripada sasaran. Kalaulah aku kekalkan dengan matlamat sasaran yang asal, dah tentu aku dapat tujuh agregat pastinya. Huh, sebab itu cita-cita aku nak jadi Perdana Menteri. Paling tidak, dapatlah aku jadi Timbalannya.


.

No comments: