9.1.07

Dua Momok Kegagalan

Sempena awal tahun 2007 dan bakal menjelangnya awal Muharram 1427. Mari, kita sama-sama membaca entri ini untuk kebaikan bersama.

Anda inginkan kejayaan dan kekayaan, tetapi, apabila anda ingin memulakan langkah pertama anda ke arah kejayaan, ada sesuatu tidak mengizinkan anda mencapainya? Seperti, terdapat sejenis "kuasa momok" yang menghalang anda untuk mengaturkan langkah. Ha ha ha ha... (suara momok di benak fikiran anda)

Ada dua bapak kepada bapak momok yang sering membuat kita tidak dapat mengorakkan langkah pertama ke arah kejayaan dan kewangan. Dua momok tersebut adalah bebayang kegagalan. Jika anda berani, tempuhilah.

Momok Satu : Fikirkan tidak boleh!
Perasaan ini sering berada pada majoriti masyarakat. Ramai memandang rendah dengan kebolehan diri sendiri- perasaan fikirkan tidak boleh.

Perasaan ini adalah perasaan yang sering bercakap pada diri sendiri bahawa "Saya tidak boleh melakukannya. Saya akan gagal". Setiap kali peluang atau keadaan hadir di depan anda, pemandangan anda menjadi kelabu dan kabur dengan fikiran tidak boleh ini.

Pakar psikologist, Abraham Maslow mengatakan; memandang rendah dengan kebolehan sendiri terjadi adalah kerana secara sedar ataupun tidak, seseorang itu telah menerima di fikirannya bahawa tiada apa yang dia boleh lakukan untuk mengubah keadaan dirinya.

Teringat saya dengan cerita Eddy Murphy The Nutty Professor, di mana Eddy Murphy menjadi Professor Sherman yang amat gemuk dan ketika beliau ingin menurunkan berat badannya, beliau ke gym dan bersenam sambil berkata "Yes I can!... Yes I can!".

Attoch, anda juga perlu menjadi seperti ini. Bukan menjadi amat gemuk! Setiap kali anda ingin membuat perubahan kepada diri anda, lawan fikiran dalaman anda yang sering mengatakan "tidak boleh" kepada "Saya Boleh! Saya Boleh! Saya Boleh!".

Saya pula selalu membayangkan Professor Sherman setiap kali! Mesti saya tersenyum ketika berhadapan dengan keadaan "Fikirkan Tak Boleh"

Fikirkan tidak boleh ini berkaitan rapat dengan konsep kendiri kita. Konsep kendiri bermaksud bagaimana anda melihat diri anda sendiri. Sekiranya anda melihat diri anda mempunyai keyakinan diri yang rendah, maka, begitulah cara anda akan fikirkan tentang keseluruhan diri anda dan anda akan kaitkannya dengan apa sahaja anda lakukan.

Terdapat satu kisah ini di mana seorang wanita/ibu yang mempunyai keyakinan diri yang rendah, sering memencilkan diri di pejabat dan juga tidak bergaul dengan rakan-rakan dan jiran-jiran. Konsep kendiri dan keyakinan dirinya adalah amat rendah sehinggakan mengganggu kerjayanya dan tanggungjawabnya kepada keluarga.

Malang tidak berbau, satu hari, ibu tersebut mengalami kemalangan jalan raya. Beliau berada di dalam keadaan koma untuk beberapa bulan. Apabila dia tersedar dari koma, beliau mengalami amnesia (lupa fikiran) yang agak kronik. Beliau tidak tahu siapa dirinya sebelum kemalangan.

Hari berlalu, dan isu ini mengganggu fikirannya. Beliau mula menyelidik kes-kes amnesia yang lain. Beliau ke perpustakaan dan mengambil kelas perubatan untuk memahami kes-kes amnesia. Beliau juga menulis laporan pengalamannya dan penemuannya melalui penyelidikan dan berkongsikannya dengan pakar-pakar perubatan. Sering kali beliau dijemput memberi ucapan megenai amnesia kepada pakar-pakar perubatan.

Apa yang telah terjadi? Dari seorang wanita yang tidak mempunyai keyakinan diri, kepada seorang tokoh perubatan dalam bidang amnesia? Wanita ini telah berjaya mengubah konsep kendirinya secara tidak sengaja- iaitu beliau terlupa konsep kendirinya yang lalu melalui amnesia. Bagi kita yang tidak mempunyai amnesia (melainkan "buat-buat lupa") boleh mengambil pengajaran dari kisah ini. Iaitu, kita sendiri yang membentuk konsep kendiri kita melalui pengalaman hidup kita. Dengan fikiran yang positif, kita boleh mengubahkan konsep kendiri kita untuk mencapai apa jua kejayaan yang tidak pernah difikirkan.Ubahkan konsep kendiri anda!

Momok Dua : Zon Selesa
Momok yang kedua yang menyebabkan kita gagal mengambil langkah pertama ke arah kejayaan adalah kerana Zon Selesa kita. Semua orang mempunyai zon selesa. Iaitu keadaan di mana anda rasa selesa dan tidak mahu berubah. Boleh dikatakan keadaan anda sekarang ini sedang membaca blog ini. Anda terasa selesa di depan komputer. Mahu berubah dari keadaan zon selesa anda kini terasa berat. Oleh kerana anda selesa dengan keadaan semasa ini.

Hidup kita juga terdapat zon selesa. Iaitu kehidupan anda kini-anda terasa selesa dengan keadaan hidup anda. Walaupun momok ini dinamakan "zon selesa", sebaliknya keadaan yang tidak selesa (kekurangan), masih menjadi "zon selesa".

Momok Zon Selesa mengatakan, ia adalah amat sukar untuk seseorang itu keluar dari zon selesanya. Manusia adalah insan yang mempunyai tabiat. Tabiat akan membuatkan kita terperangkap di zon selesa.

Attoch, setiap kali peluang tiba untuk kita keluar dari zon selesa, tabiat akan menarikkan kita balik ke zon selesa. Setiap kali kita ingin keluar dari keadaan semasa, tabiat akan menarikkan kita dengan keadaan kita kini. Itulah akibat tabiat.

Berita buruknya, ia amat sukar untuk keluar dari Zon Selesa kita. Berita baiknya adalah, sekiranya anda berjaya keluar dari Zon Selesa anda, dan berfungsi pada keadaan yang baru (di luar zon selesa) buat satu jangka masa yang tertentu, Zon selesa anda juga akan turut berubah kepada keadaan yang baru. Tabiat anda akan berpegang pada zon selesa baru.

Sebagai contoh, sekiranya anda sering bekerja 8 jam sehari tanpa henti, ini adalah zon selesa anda. Apabila anda ingin bekerja lebih dari 9 jam sehari, anda terasa tabiat tidak membenarkan anda melakukannya oleh kerana ianya di luar zon selesa anda (malas lah tu!). Sekiranya anda berjaya memaksa diri anda keluar dari zon selesa tersebut, dan memaksa diri anda bekerja 9 jam sehari untuk satu jangka masa tertentu sehingga ianya menjadi tabiat, zon selesa kerja anda akan berubah kepada 9 jam bekerja! Dan pada ketika itu, sekiranya anda ingin bekerja 8 jam sehari, anda akan rasa tidak selesa kerana ia di luar zon selesa anda.

Momok ini boleh diaplikasikan kepada bermacam-macam keadaan. Pendapatan anda kini RM2,000? Mungkin itu adalah zon selesa anda dan berusaha untuk mendapatkan RM3,000 sebulan adalah di luar zon selesa anda. Anda ingin memulakan perniagaan tetapi asyik menundakan perancangan anda? Mungkin itu adalah zon selesa anda. Memulakan perniagaan adalah di luar zon selesa anda. Anda ingin menulis buku tetapi, tidak jumpa dengan masa untuk menulis? Mungkin itu adalah zon selesa anda- menulis buku adalah di luar zon selesa anda.
Namun sekiranya anda berusaha mendapatkan pendapatan RM3,000 sebulan, memaksakan diri anda memulakan perniagaan serta menyiapkan buku yang anda tulis, zon selesa anda akan berubah ke zon selesa baru. Keadaan anda pun telah upgrade ke keadaan zon selesa yang baru!

Sekiranya anda inginkan kejayaan, dan setiap kali anda ingin mengatur langkah anda tetapi terdapat sejenis kuasa yang menghalang langkah pertama anda, fikirkan dua momok ini. Ya, kini anda tahu apa penyebabnya langkah anda terhenti. Dengan mengetahui sebabnya, anda boleh memperbaiki di mana kesilapan anda. Oleh itu, jangan takut pada momok itu. Hadapinya dan bertwakkal kepada Tuhan.

Semoga berjumpa lagi. Salam cemerlang untuk tahun2007 dan Awal Muharram 1428!

Salam hormat,


Suntingan dari Dr.Irfan Khairi

No comments: