29.1.07

Takluki

Jawapan kepada entri lepas.
Semasa kita di pejabat, isteri kita bersendirian duduk di 'living room' itu, selepas letih membasuh baju (walaupun mesin yang basuh) dan memasak (kadangkala belum masak lagi), memerah otak bagaimana untuk menyusun semula suasana 'living room' itu agar nampak lebih professional. Sebab dia tahu suaminya professional.
Bersendirianlah dia mengangkat, mengubah kerusi, meja, rak-rak dan sebagainya. Pelbagai kedudukan dibuat agar TV itu sesuai tempatnya. Dan memang dia sedar kedudukan TV yang terakhir itu akan menyebabkan gangguan dari cahaya tingkap, tapi itulah yang terbaik untuknya.
Kadang-kadang dia berlakon sekejap menjadi suaminya, dengan beraksi buka pintu dan masuk ke 'living room' kemudian dia akan 'terkejut' kerana cantiknya susunan itu. Dia pun puas sendirian. Lepas itu dia ke dapur pula memasak untuk kita dan anak-anak kita.
Oleh itu, para suali yang dimuliakan, pandang-pandanglah dan dengar-dengarlah sekitaran dan dalam rumah sebaik sahaja kita sampai ke rumah. Terutama isterinya seorang guru maka berhati-hatilah pada hari Sabtu atau isteri yang bercuti sendirian, maka berhati-hatilah jika balik ke rumah. Yang lebih parah sekali ialah isterinya yang 'full-time house wife'. Bila nampak susunan baru atau lebih bersih rumah pada hari itu, maka janganlah kedekut untuk melahirkan kalimat-kalimat pujian dan sanjungan. Anda akan lihat kembang kuncup batang hidung isteri kita itu.
Jika kita dapati sesuatu susunan yang tidak sesuai pada pandangan anda, tahan dulu komen itu, biarkan dia sendiri yang menceritakan kelemahan rekaciptanya itu. Memang secara tabiinya, apabila kita puji susunan barunya itu, dia akan terus menyatakan kelemahan susunan itu. Untuk menggembirakan hatinya lagi kita boleh tambah, "nanti abang belikan langsir tebal warna hijau yang sesuai dengan kapet kita." (Tapi semak dulu poket kita, jangan sebarangan keluar kata-kata).
Yakinlah bahawa isteri akan sungguh gembira mendapat pujian dan terasa dirinya dihargai dan akan sentiasa menunggu kita balik dari pejabat. Kalau kita boleh memuji staf bawahan kita di pejabat yang proaktif membersih ruang pejabat kita, maka mengapa tidak kepada isteri kesayangan kita sendiri. Barulah kita dapat belaian kasih mesra dari isteri kita yang tercinta itu. Barulah kita dapat takluk hatinya juga . Puji-pujilah, jadikan ia sebagai budaya kita.

1 comment:

Amiene Rev said...

GURU jasamu dikenang