Ada satu hari dalam satu bulan. Aku memang benar-benar malas mahu ke sekolah. Maksud aku, bangkit seawal pagi-pagi buta untuk ke sekolah. Entah kenapa! Sebab memang malaslah. Kalau rajin tak lah aku bangkitkan di sini. Atau ada setan nama pemalas duduk bertenggek di badan aku ini. Aku kurang periksa pula gamaknya.
Bangun seawal pagi subuh ketika mahu ke sekolah, memang liat. Sesiapa saj dalam dunia yang fana ini sekalipun memang begitu lumrahnya. Dah kejut beberapa kali pun masih tak bangun. Duduk kejap kemudian mata terkebil-kebil tidur semula. Sudahnya, ada suara-suara bebelan satu ruang pelusuk rumah. Tapi, tak dihiraukan juga kerana sengaja memekakkan telinga.
Suurr... Aku basah tiba-tiba. Bukan aku mimpi berfantasi dan membayangkan sedang berjimak. Bukan. Mak telah menyiram aku. Terus aku tersedar. Mak simbah aku macam jirus kereta bapak di laman rumah seawal pagi untuk mengusir embun jantan yang melekat di kereta bapak yang buruk itu. Bapak pun akui keretanya memang buruk. Jika tidak diusir, makin bertambah buruklah gamaknya. Ini semua hanya untuk menyuruh anaknya ke sekolah. Tapi, kalau aku tumpang kereta bapak, aku puji kereta bapak nanti aku dapat duit kocek lebih. “Kan saya dah kata pak, ada kereta yang lebih buruk dari kereta bapak” Aku kata kerana terlihat sebuah kereta Datsun yang dah reput dan karat-marat dipandu oleh apek lanjut usia.
Itu cara mak. Kalau bapak, lain pula caranya. Nak tahu? Kalau pagi-pagi, malas mahu bangkit ke sekolah, dia datang, kemudian dia sepak anak dia yang degil sambil menjerkah “Hoi, pergi sekolah lah! Nak jadi apa hah!” Kalau dia terlalu geram sambil berlari dia umpama menyepak bola. Cuba kau bayangkan, sedang kau lena tidur berselimut gebu dan bertilam empuk dengan beralaskan bantal kekabu yang original, ada pula kaki gergasi singgah di badan kau. Terkujat kau... Kau pasti membayang “Ahmad albab yang punya! Ha ha ha” atau ini “Hai manusia, akulah gigi lasi. Kah kah kah”. Ini gergasi cina misalnya. Sebab itu, seawal pagi nak ke sekolah aku tidur bersama baju besi dan bersalut karung guni dan memakai seluar dalam platinum berlubang di bahagian depan. Eh, tidaklah!
Apabila bapak bangkit, maka aku terus bangkit kerana nampak kelibatnya saja secara automatik diri ini terus bergerak menyiapkan diri. Lebih-lebih lagi di awal pagi hening yang sibuk Huh, takut sungguh aku dengan bapak. Anak sekarang? Errrm... Entahlah. Semoga anak aku dengar dan akur cakap aku. Itu pun dah kira bagus. Semoga dia baca tulisan ini satu hari nanti dan dia sedar datuknya suka menjerkah anaknya dengan kaki hikmatnya. Tidak mustahil cucunya pun kena begitu. Adalah lebih bagus kalau disuntik secara psikolgi motivasi diri. Dunia kan sudah berubah!
No comments:
Post a Comment