26.3.08

Love is CINTA, Hate is BENCI : part III

Cikgu satu biru menitiskan air mata apabila mendengar berita mengenai perpindahan beberapa murid-muridnya yang pandai-pandai akan ke sekolah baru. Dikatakan sekolah baru itu lagi hampir dengan rumah mereka. Dalam radius 1-2 km saja. Temasuk aku juga. Sekolah baru yang kami nak pindah namanya Tanjung Puteri. Sempena mengambil nama asal-usul Negeri Johor. Ada yang takut mahu pindah kerana namanya sinonim dengan Tanjung Rambutan. Tapi, lencana sekolah itu ada lambang teko Aladdin. Itu aku suka. Ramai murid juga suka.

Hari terakhir adalah kelas lukisan di sekolah lama. Sekolah Kebangssan Larkin (2). Tak komersil betul nama sekolah ni! Cikgu lukisan yang merangkap cikgu kelas satu biru. Merapati aku. Lalu berkata,
"Awak jangan pindah sekolah erk?"
"Saya kena pindah gak cikgu. Sekolah tu lagi dekat, leh jalan kaki dari rumah saya."
"Sekolah la sini aje.."
Aku diam kerana terlalu tekun melukis objek meja yang disuruh oleh cikgu lukisan yang merangkap cikgu kelas satu biru. Dah siap, sambung mewarna.

"Ok kelas...hantar lukisan semua. Letak di meja saya di depan."
Selang beberapa minit.
"Semua dah hantar?"
"Daaaaaah!" jawab murid satu biru.
Cikgu lukisan yang merangkap cikgu kelas satu biru menuju ke depan. Dia membelek dan menyingkap satu-persatu helaian kertas lukisan murid-muridnya. Lalu ditariknya rapi sehelai.

"Saya suka lukisan ni, see..., meja budak ni dilukis dalam 3D. Sedang yang lain
saya tengok meja 2D berkaki lidi. Saya harap budak ni tak pindah sekolah.."
"Siapa cikgu?" salah seorang murid bertanya namanya Johari.
"Nanti saya tampal di belakang, semua tengoklah ye... Masa dah habis ni."
"Bangun kelaaaaaas, terima kasih cikgu!" ketua darjah
"Terima kaasihhhh cikgu!" murid-murid semua.

Sebelum meninggalkan sekolah aku ambil sehelai kertas lalu aku tulis.

Cikgu,

saya tak nak pindah sekolah. Tapi, ibu-bapa saya kata kena pindah. Nanti dia kata, tak payah lagi duit bas sekolah. Dapat jimat. Sebulan 12 hinggit. Sekolah baru boleh jalan kaki dia kata. Saya sayang sekolah ni. Sedih ni. Kawan saya Johari pun pindah sekolah. Saya minta maaf cikgu lukisan yang merangkap juga cikgu kelas satu biru. Harap cikgu jangan menangis.

anak murid cikgu,
Saifuddin


"Oit, lukisan kaulah cikgu tampal kat belakang..."Johari menyapa aku dari belakang.
"Takde apa nak dibanggakan Jo, bakat itu aku pinjam." aku.
"Pinjam?"
"Ha'ah la.. Diberi pinjam oleh Allah S.W.T.."
"Hallamak, ko guna bahasa tinggi ni. Insaf aku.."

No comments: