26.3.07

Malam yang gundah-gulana

Fiqah memang manja dengan ibunya. Maklumlah, sepanjang masa berkepit saja dengan ibunya. Aku suka cara dia memanggil ibu. Bunyinya ermmbuu ana ermbu? Sekali imbas dengarnya macam lembu. Lucu betul kepelatannya. Perkara yang ayah paling risau ialah apabila ibunya dimasukkan ke wad hospital kelak. Dia bukan mahu dengan atuk dan neneknya. Atau dengan sesiapa saja yang ingin bermanja dengannya. Dengan ayahnya, hanya kadang-kadang saja mahu berdamping. Tengok keadaannya bagaimana. Kalau tidur, ingin saja bersama ibunya.

Pada 26 Mac yang lalu, ibunya dimasukkan ke wad kerana lewat dari tarikh luput bersalin yang sebenarnya. Sepuluh hari dah lewat. Sepanjang ibunya dimasukkan ke hospital, ayahnya lah yang menguruskan Fiqah. Soal makannya, tidurnya, karenahnya dan seumpamanya. Ayahnya memang bertanggungjawab. Pada malam itu, dia tak mahu tidur dan diusap-usap belikatnya oleh ayahnya sepertimana ibunya melakukan terhadapnya pada setiap malam. Tatkal dia hendak melelapkan mata.

Kemudian, malam itu dia merengek-rengek dan menunjukkan ke arah buai lalu bercakap-cakap dengan bahasanya agar diletakkan ke dalam buai. Sambil ayahnya menghayun buainya, Fiqah memejamkan matanya. Ayahnya sambil bertahmid dan berzikir dan menyanyi-nyanyi lagu da’wah Islamiah. Sedang ayahnya ingin menidurkan Fiqah, si ibu menghantar SMS :


"Fiqah macamana? Ok ke dia? Ibu rindu kat Fiqah. Ibu minta maaf kerana tak menjadi isteri seperti yang diharapkan. Maafkan ibu ya? Ibu ada kekurangan."

Si ayah dan si ibu saling berbalas-balas SMS. Tak perlulah diulas lanjut di sini. Panjang pula jadinya nanti. Malam itu, si ibu sudah rasa kesakitan dan perutnya rasa tak tertahan sakitnya. Si ibu meminta maaf banyak-banayak di atas kesalahannya yang dilakukan sebelum ini. Berulang-kali dia melafazkan ini. Manakala si ayah sentiasa dan memang memaafkannya. Jam 11.30 malam, Fiqah sudah nyenyak tidur di buaian. Si ayah masih lagi duduk bersetentang dengan buaiannya sambil menatap wajah anaknya. Entah bagaimana tanpa disedari si ayah yang gagah perkasa dan terkenal dengan ketegasannya dan kelantangan suaranya menitiskan air mata dan merasa sebak di hati. Beberap kali cuba mengusap air matanya namun tetap mengalir bergelinangan ibarat butir-butir kaca.


"Adakah aku ayah yang seperti diharapkan?" Katanya di dalam hati.

Malam itu, ayah tidak tidur dengan nyenyak seperti sebelum-sebelumnya. Mengenangkan si anak, kalau-kalau bangun lewat malam mencari ibunya. Sudahnya, si ayah terjaga setiap sejam sekali. Mujurlah Fiqah tidak buat perangai pada malam itu yang merupakan malam pertama ditinggal ibunya setelah ibunya ditahan dalam wad.

"Anakku yang bijak bestari, usahlah kau merajuk. Ibu akan pulang nanti membawa adikmu untuk dijadikan rakan sepermainan. Ayah sudah cuba yang terbaik (macam AF la plak!). Ayah akan jaga kamu. Kini, ayah menemanimu." Bisik si ayah seorang diri.

1 comment:

irdhi_hayati said...

dah dapat baby baru?