13.3.07

Mukhsin : pengertian sayang, cinta dan bahagia.

Puas hati. Itulah yang diungkap dalam lafaz setelah menonton filem Mukhsin arahan Yasmin Ahmad yang penulis kira tak punya banyak masalah dalam memplot jalan cerita, yang masih memperjuangkan tema kemanusiaan. Masih tentang kasih sayang dan nilai kekeluargaan. Filem ini patut diberi pujian kerana menonjolkan budaya dan cara hidup komuniti desa dan persekitaran kanak-kanak di tanah air kita dalam dua generasi dan digambarkan dengan cara hidup yang kontras. Ianya sangat berbeza pada zaman sekarang di mana kanak-kanak lebih cenderung bermain video game dan permainan moden.

Apabila menonton filem ini, penulis seolah-olah menyerap masuk ke dalam filemnya kerana apa yang digambarkan pada zaman kanak-kanak, penulis juga pernah merasainya. Seolah-olah penulis merupakan sebahagian daripada kanak-kanak di dalam filem tersebut. Cuma dengan persekitaran yang berbeza. Yasmin cukup bijak mengeksploitasikan subjek yang biasa-biasa saja ke layar perak. Sentuhan magiknya untuk menghidupkan setiap watak dalam Mukhsin terutama Sharifah Aryana (Orked), Mohd Syafie Naswip (teraju utama Mukhsin), Sharifah Aleya (Mak Inom), Irwan Iskandar (Pak Atan), Adibah Noor (Kak Som), Rozie Rashid, Nur Khiriah dan Sharifah Amani membuat filem ini boleh dibanggakan.


Penulis suka kerana mereka berjaya membawa watak ini. Watak Orked sangat berkesan dan bersahaja. Cuma watak Mak Inom yang diberi kepada Aleya agak kurang sesuai. Sungguhpun Aleya tampil hebat disebabkan wajahnya yang terlalu kebudakan menyebabkan peranan itu tidak dapat dihayati dengan sepatutnya. Kali ini, tiada aksi-aksi yang dianggap kontroversi dan menimbulkan suasana tegang di panggung berbanding filem Sepet dan Gubra. Cuma babak menyidai seluar dalam lelaki dan wanita di ampaian, sesetengahnya menganggap lucah sedikit. Bagi penulis, biasa saja. Lucu lagi ada. Ha ha ha.

Plot cerita digarap dengan baik dan kemas dari satu babak ke satu babak terdapat kesinambungan dan saling berkaitan. Cuma agak perlahan bagi penonton yang tak sabar mengikuti kisah di akhirnya. Suasana kedesaan dan sawah padi menggamit keindahan dan kehijauan desa. Setidak-tidaknya, usaha promosi produk desa di ketengahkan oleh pengarahnya. Barangkali lokasi penggambaran sekitar di Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Pun begitu, FINAS meluluskan filem ini tanpa sebarang pemotongan dan suntingan besar, malah diklasifikasikan sebagai U. Sekalung tahniah untuk filem ini juga mengungguli beberapa anugerah di luar negara. Maka seharusnya kita berbangga filem ini turut mendapat jemputan daripada penganjur festival filem antarabangsa dari Amerika Syarikat, Norway, Sweden, San Francisco, Korea Selatan dan Hong Kong.

Orked adalah anak kepada keluarga Pak Atan-Mak Inom. Ibunya berkelulusan dari England sering berbahasa Inggeris di rumah. Namun, jati diri kemelayuannya masih ada dan ditonjolkan dalam filem ini. Terutamnya ketika mereka solat berjemaah bersama. Cuba teliti maksud doa yang dibacakan oleh Pak Atan itu. Ibu bapanya menghantar Orked ke sekolah aliran Cina. Aspek ini sudah ada asimilasi dan unsur integrasi di tanah air kita tentang perkara ini di mana budak Melayu bersekolah di aliran Cina. Inilah mukaddimah kepada filem ini.

Di babak lain pula, Mukhsin bertanyakan kepada si Orked, "Kenapa awak sekolah Cina?" Orked jawab, "Sebab saya dah pandai cakap Melayu." Carilah maksud yang tersirat dialog ini. Penulis tak mahu ulas tentang itu. Carilah dalam dasar pendidikan kebangsaan barangkali atau pakej pembelajaran yang ditawarkan di sekolah Cina. Mukhsin pula, seorang budak kampung yang punya keluarga bermasalah dan bercerai. Dan kebetulan waktu itu cuti sekolah, dia duduk dengan ibu saudaranya. Maka Orked dan Mukhsin ditemukan dalam babak permainan galah panjang. Di mana Orked lulus ujian daripada Mukshin yang membaling bola ke arahnya. Manakala si Orked pula lebih gemarkan permainan lelaki berbanding main kahwin-kahwin dengan rakan perempuan yang sebaya dengannya. Ia menggambarkan tak semestinya wanita hanya perlu bermain masak-masak dan kahwin-kahwin saja. Dari situ bermulalah cinta monyet antara Mukhsin dan Orked sepanjang plot filem ini.


Sungguhpun Mukhsin boleh dianggap sebagai sebuah prekuel kepada ketiga-tiga buah filemnya yang terdahulu yang masih menggunakan watak Orked sebagai watak utama dan juga keluarga Orked sebagai latarnya, tetapi filem ini mampu berdiri sebagai satu kisah tersendiri. Sambil dihiasi dengan kehidupan jiran-jirannya yang suka jaga tepi kain orang. Keluarga yang bersifat kontras kepada keluarga Oked adalah keluarga Rozie (Rozie Rashid), mempunyai seorang anak perempuan sebaya Orked dan suaminya yang mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain. "Seronoknya kalau jadi motor ya bang..." Juga keluarga Kak Senah (Mislina), wanita kampung yang tipikal dan baik hati yang tinggal bersamanya adalah dua anak saudaranya iaitu Husein (Salehudin) dan Mukhsin (Mohd. Syafie Naswip).

Bagi penulis, Orked dan Mukhsin membawakan wataknya dengan baik dan ada keserasian ketika mereka digandingkan. Namun, sesekali mereka seolah-olah kelihatan kekok dan gugup. Entah. Mereka baru pertama kali di depan lensa kamera barangkali. Atau takut ketika berada di atas pokok. Penulis tak pasti. Tapi, ‘high angle shot’ ketika mereka berdua di atas pokok membuatkan penulis benar-benar gayat.


Watak Pak Atan (Irwan Iskandar) di luar jangkaan penulis. Wataknya, selamba, bersahaja dan seperti tiada perasaan dalam beberapa babak. Cool je orangnya dan bahagia dengan keluarganya. Sesekali mencuit hati terutamanya ketika babak jiran mereka mengadukan hal si Orked telah mencampakkan beg sekolah anaknya. Kemudian, si Orked masuk ke bilik dan berpura-pura mengerang kesakitan apabila ibunya melibas rotan di katil. Apabila ibunya keluar, bapanya (Pak Atan) bertanya, "hidup lagi ke budak tu?" Satu panggung gelak.


Pemergian jirannya selepas itu kerana meluahkan rasa kekesalannya kerana mengadu-domba, punya maksud tersirat yang tersendiri. Sedang jirannya keluar meningglakan rumah mereka, ibu dan pembantu rumahnya ketawa besar kerana mereka sekeluarga tertipu. Padahal, mereka hanya beberapa langkah dari rumah mereka. Ha ha ha... Adegan yang paling menyayat hati dan paling berkesan adalah ketika Husein bersama Mukhsin menangisi kematian ibu mereka. Begitu juga adegan Mukhsin memanggil Orked untuk bertemu sebelum balik ke kampung selepas berlaku perselisihan faham antara mereka semasa bermain galah panjang.

Penulis cukup menyukai watak-watak berikut;
1. Watak Irwan Iskandar (Pak Atan) ada kesinambungan dan filem Yasmin sebelum ini. Filem Rabun rasanya. Yang dilakonkan oleh M. Rajoli, Pak Atan dah tua.
2. Watak Mak Senah (ibu saudara kepada Mukhsin). Kaya dengan kasih-sayang terhadap kedua-dua anak saudaranya walupun hidup serba kekurangan.
3. Watak lelaki yang menyanyikan lagu Ne Me Quitte Pas (Don’t Leave Me) dengan penyembur racun serangga di tangannya sebagai microphone. Penulis tercari-cari backstory lelaki ini yang alih-alih ditonjolkan dalam adegan ini. Siapa dia dan di mana dia berada sebelum adegan ini tidak dapat dikesan.
4. Watak kanak-kanak perempuan yang petah dan suka 'bawa mulut' tu. Rakan sebaya Oked. “Mak kita kata kan…”
5. Watak abang Mukhsin. Kaki mabuk, hisap rokok, pulang lewat malam tapi join main galah panjang dengan budak-budak kampung.
6. Watak pengadil dalam perlawanan bola sepak yang terlanggar tiang gol. Patutlah dia meniup wisel semasa jadi kelindan bas sekolah.
Watak-watak ini bagi penulis, memeriahkan dan mewarnai lagi filem ini.

Sepengetahuan penulis, belum ada filem tempatan yang digarap sebegini, kecuali kalau penulis terlepas pendang. Trailer yang digunakan oleh Yasmin Ahmad untuk mempromosi filemnya sangat berkesan. Namun, segmen Orked di perhentian bas dan segmen Orked menendang bola terkena kepala budak gemuk tidak muncul dalam mana-mana plot filem. Ia khusus untuk trailer. Juga diselitkan unsur taboo masyarakat Melayu yang suka mengumpat dan menurunkan pusaka dan tradisi ini kepada anak-anak mereka. Juga kita belajar erti kasih sayang dan cinta melalui filem ini. Mungkin Yasmin cuba menggambarkan satu keluarga yang ideal untuk jadi ikutan kepada masyarakat kita. Pun begitu, tidak terlalu keterlaluan kerana keluarga mereka pun berhutang perabot.

Storyboard filem ini banyak menyuruh kita berfikir dan mencambah minda. Ada beberapa plot yang sengaja tidak diberikan penjelasan. Contohnya, "Apa dah takde jantan Melayu ke kat Malaysia ni lagi" lalu si perempuan itu berbisik sesuatu kepada Husein. Tulisan cina dan lukisan kapur di papan hitam didirikan di bilik Orked. Itulah ruginya tak sekolah Cina. Tak tahu maksudnya. Ha ha ha. Kucing dikerumuni keluarga Pak Atan di atas rumput dengan anak ayam bergelimpangan dan tulisan pada layang-layang yang diberikan oleh Mukhsin kepada Orked di hujung-hujung filem. Carilah ya. Atau anda dapat tekanya sendiri.

Teknik penggunaan lagu tema dengan berlatar keroncong di permulaan filem dan di akhiran filem satu teknik yang baik. Kena dengan setting pada zaman itu. Masih terlekat di fikiran penulis lagu keroncong hujan. Setidak-tidaknya, selepas itu, penulis kenal gambus dan beberapa alat muzik yang mengiringi irama keroncong. Melodramanya juga terkawal daripada menjadi terlalu sentimental. Mahu juga penulis menghafal liriknya.

Filem ini berjaya mengimbau nostalgia semasa zaman kanak-kanak yang kaya dengan permainan tradisi seperti galah panjang, kahwin-kahwin, batu seremban, layang-layang, panjat pokok dan sebagainya. Mukhsin-Orked duduk berdua seperti dalam filem Sepet masih diteruskan lagi dalam filem ini. Ada yang bosan. Lain orang, lain persepsinya. Terpulanglah... Jadi, apapun yang dibicarakan pasal Mukhsin, baik kekurangan atau kelebihan, hakikatnya Yasmin Ahmad, The Storyteller sudah mempunyai 'brand'nya tersendiri. Syabas!


Bagi siapa yang belum berkesempatan menonton. Pergilah tonton bersama rakan atau keluarga atau pergi seorang saja tayangan midnight, boleh juga cuci mata melihat anak muda masa kini di panggung. Sibuk juga mahu buat filem sendiri. Filem ini berjaya mengangkat slogan 'filem kita wajah kita' dalam eti kata sebenar. Filem tempatan dengan garapan senimatografi yang unik. Anda tak rugi menontonnya kerana segala ekspresi perasaan dan kehidupan seharian digauli dengan mesra yang berakhir dengan Mukhsin terpaksa pulang ke kampung setelah mendapat berita ibunya meninggal dunia membunuh diri. Sehingga Orked tak sempat bertemu dengannya yang hanya meninggalkan layang-layang dan sehelai baju yang disangkut di atas pokok oleh Mukhsin. Saksikanlah kisah cinta dan sayang mereka berdua dan persekitarannya.
Sumber gambar : Grand Brilliant

2 comments:

Anonymous said...

ord dolu2 mana ada sporting mcm 2..kasi anak2 pempuan mrk keluar..lagi2 dating..yg 2 pelik sikit.
Pak atan..emmm..aku kalau lah dapt laki mcm 2..ishkkk ishkk..mati lambat lah..awet muda..

Anonymous said...

Watak lelaki yg menyanyikan lagu Ne Me Quitte Pas menggunakan ricsect asal usul nya di jelaskan dalam Gubra.

Dia driver + tukang kebun kepada famili Pak Atan.