Dalam satu sidang media, saya ditanya oleh seorang wartawan. Tabloid mana saya dah lupa. Saya jawab sejujur mana yang boleh. Soalannya berbunyi begini:
Satu. Apakah bidang kerja dan tanggungjawab yang dipikul oleh anda?
Soalan ini nampaknya ada dua kehendak. Satu, bidang kerja. Dua, tanggungjawab. Pertama, kita bercakap dulu mengenai bidang kerja. Bidang kerja saya ialah perancang bandar dan wilayah. Maksudnya, memikul profesion atau kerjaya sebagai pegawai perancang bandar dan wilayah. Tak kira apa pangkat sekalipun, saya mahu pertekankan di sini sebagai pengamal perancang bandar, skop dan bidang kerja yang dilakukan amat luas, lebih-lebih lagi dalam sektor swasta. Saya berada di sektor swasta atau dengan kata lain bekerja di firma perunding perancang bandar. Maka, bidang kerja yang dilakukan adalah tertakluk kepada projek-projek yang diperolehi daripada pelanggan yang terdiri daripada pihak kerajaan, badan berkanun, pemaju, pihak swasta dan orang-perseorangan. Itupun jika majikan memperolehi projek berkenaan. Bergantung kepada projek yang diperolehi. Apa yang saya lihat, bidang kerja utama yang saya lakukan. Maksud saya pengamal perancang banadar. Ia terbahagi kepada dua bahagian yang utama iaitu kerja-kerja penyelidikan perancangan dan kerja-kerja pemajuan untuk mendapatkan kelulusan kebenaran merancang. Perlu saya huraikan satu-persatu. Pertama, kerja-kerja penyelidikan perancangan. Bidang kerja ini lebih kepada kerja penyelidikan seperti membantu Pihak Berkuasa Tempatan atau Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di bawah portfolio Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyiapkan kajian-kajian seperti Rancangan Pemajuan sesuatu kawasan (Rancangan Stuktur, Rancangan Tempatan, Rancangan Kawasan Khas dan seumpamanya) jika diminta. Kajian-kajian ini selalunya besifat jangka panjang. Selain itu, kajian-kajian berbentuk jangka pendek seperti penyediaan garis panduan, kajian kualiti hidup desa, kemampanan bandar dan sebagainya. Yang mana peruntukannya di bawah 50k. Di mana kajian-kajian sebegini lebih fokus kepada subjek-subjek tertentu. Kedua, kerja-kerja yang melibatkan pemajuan untuk mendapatkan kelulusan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan jika diminta oleh pihak pelanggan. Dalam hal ini, dua skop utama perlu dilakukan iaitu penyediaan pelan susunatur seperti yang dikehendaki dan penyediaan Laporan Cadangan Pemajuan sebagai dokumen yang menyokong pelan cadangan tersebut. Begitulah secara ringkas bidang kerja saya selaku pengamal perancang bandar. Saya harap tidak lari jauh dan berada di landasan yang betul.
Kedua, tanggungjawab yang saya pikul selaku perancang bandar yang masih muda ini dan bekerja makan gaji maka sepenuhnya, maka tanggungjawab saya adalah tertakluk kepada arahan dan permintaan daripada majikan saya. Kendatipun, jika saya diberi tanggungjawab untuk mengendalikan satu-satu kajian misalnya maka tanggungjawab saya memastikan bahawa kajian itu dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan, mengendalikan bahan-bahan untuk dibawa ke mesyuarat, melaksanakan tugas yang diberi dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab. Maka, saya rasa itu tanggungjawab saya. Oleh yang demikian, saya akan memastikan majikan saya rasa berpuas hati dengan hasil kerja saya dan jika ada orang yang membantu kerja-kerja saya, maka saya akan memberi kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuannya dan memantau kerja-kerjanya. Maka tanggungjawab saya memuaskan hati saya sendiri di samping majikan dan persekitaran saya. Selain daripada tanggungjawab itu, terdapat beberapa tanggungjawab lain yang saya pikul contohnya seperti urusan surat-menyurat, tuntutan kewangan projek kajian serta wakil majikan untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat dan sebagainya. Pendek kata, selama mana saya rasa saya boleh lakukan maka ia merupakan satu amanah yang besar bagi saya.
Dua. Kenapa suka dengan kerja ini?
Soalan ini bunyinya macam memerangkap. Buat masa ini, saya belum pernah ekpresikan lagi bahawa saya suka dengan kerja ini. Saya belum bertepuk atau saya melonjak kegembiraan kerana kerja. Tapi, apa yang boleh saya kata ialah saya bersyukur dan minat dengan kerja yang saya lakukan selama ini. Dalam jiwa saya berkata melakukan sesuatu kerja dengan penuh keikhlasan bukan keterpaksaan maka apa saja kerja yang kita buat pasti menjadi. Buat masa ini, nak kata suka sepenuhnya tidaklah. Sebab, kadangkala ada kerja-kerja yang saya terpaksa lakukan walaupun saya tak suka. Sungguh. Saya bercakap benar. Ada yang saya suka. Ada juga yang saya tak suka. Tak perlulah saya huraikan di sini agaknya. Sebabnya, dah masuk lima hingga enam tahun saya bergelumang dan belajar dalam dunia perancangan maka saya harus keluar dan perlu aplikasikan ilmu yang saya belajar dalam dunia sebenar. Jika tidak sia-sialah saya menuntut ilmu sebegitu lama namun tidak dipraktiskan. Maka, tidak dapat tidak saya tergolong dalam kerja-kerja yang melibatkan pelan. Bila disebut pelan ia bermaskud termasuklah laporan, lakaran, peta dan model. Sudah hampir enam tahun saya berkecimpung dengan arena kerja yang saya lakukan maka timbul lah rasa minat saya dan keikhlasan dalam diri saya untuk saya lakukan kerja-kerja ini secara konsisten dan berdisiplin. Apa yang lebih mustahak bagi saya adalah bukan suka kepada kerja tetapi suka kepada persekitaran kerja termasuklah majikan, rakan-rakan sepejabat, peraturan pejabat dan seumpamanya. Selain itu, sudah tentulah pendapatan atau gaji yang diperolehi adalah setimpal dengan kerja yang dilakukan. Maka, perasaan kita akan jadi gembira dan melompat bersorak setiap hari apabila datang ke pejabat. Untuk itu, buat masa ini bolehlah saya katakan saya berada di zon selesa untuk kerja yang saya lakukan. Barangkali saya perlu mencari zon yang lebih selesa untuk masa depan saya. Tunggu sajalah.
Tiga. Sikap anda terhadap kerja?
Soalan ini sangat subjektif. Jika ditanya mengenai sikap sudah tentulah saya menjawab yang positif belaka. Tak perlu saya huraikan yang negatif. Namun, secara jujur saya boleh katakan di sini, saya begitu optimis terhadap kerja saya. kalau diberi tugas, saya lakukan dengan bersungguh dan serius. Bukan main-main, sambil lewa dan carca-merba. Namun, kadangkala ada yang tidak menghargai hasil kerja orang lain. Saya bukan mencari pendapatan berlipat ganda tapi apa yang saya cari adalah kepuasan dalam bekerja. Buat apa kita bekerja dengan gaji empat lima angka tapi hati kita rasa tak tenang dan tenteram. Dan kita tidak dapat enikmati kehidupan sosial di luar sana. Lagi satu, saya rasa kerja yang diberikan kepada saya adalah milik saya bersama majikan saya. Jadi, saya sematkan dalam diri saya bahawa ini semua adalah untuk meningkatkan pengalaman diri dan untuk menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada syarikat dan majikan saya. Itu yang saya pegang. Saya mahukan situasi menang-menang. Sudah tentu, dalam kerja ada stress atau tekanan tapi itu bukan halangan. Hadapi tekanan itu adalah biasa. Tapi, bagaimana kita menghadapinya itu kita perlu belajar dengan cara yang luar biasa. Saya juga, tidak boleh duduk saja kalau tiada apa kerja yang dilakukan. Ingat, kerja tak datang pada kita tapi, kita datang untuk mendapatkan kerja. Berpegang kepada itu, apabila saya tidak mempunyai kerja di pejabat, saya sering memomokkan majikan agar ada apa kerja yang saya lakukan untuk dilangsaikan. Apa yang penting kita perlulah positif. InsyaAllah, aura positif menghasilkan kerja yang memberangsangkan dan da-Bomb! Tebabo!
Empat. Harapan anda terhadap kerjaya ini pada masa hadapan?
Saya yakin dan percaya bahawa, bidang perancangan ini kerjanya tak pernah habis. Selama mana dunia belum kiamat dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa tidak dirombak. Namun, bagaimana kita mendapatkan kerja itu persoalan kedua. Maka, apa yang boleh saya letak di sini adalah saya perlu membina kerjaya saya sedikit demi sedikit untuk menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman bagi persediaan saya sendiri berhadapan dengan dunia luar. Manalah tahu satu hari nanti saya akan membuka firma perunding perancang bandar saya sendiri. Doakanlah saja. Sudah tentulah pada masa itu, sayalah majikan dan saya juga pekerja. Sebenarnya inilah peluang besar yang saya harus rebut untuk mengembangkan kemahiran dan keupayaan saya dalam kerja-kerja perancangan. Tak semua nampak ini. Cuma, saya ingin meletakkan harapan saya di sini bahawa semoga di masa-masa akan datang profesion perancangan bandar ini dianggap profesion yang cukup mustahak dan sangat penting dalam merencanakan sesuatu kawasan atau di mana ia duduk sekalipun. Di jabatan ka, di PBT ka, di swasta ka. Ia dianggap terulung dan terbilang. Dan semua orang tahu peranan yang dimainkan olehnya. Semoga kerjaya kita dapat dipertahankan dan dipromosikan agar ramai yang lebih mengenali kerjaya kita. Alhamdulillah, sekarang kerjaya kita diakui di Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk mengendalikan Pusat Sehenti yang diletakkan di Pihak Berkuasa Tempatan. Kerjaya kita serba boleh pastinya. Saya harap pada masa hadapan, skop kerjaya ini lebih meluas agar banyak peluang-peluang yang diperolehi. Carilah kelebihan dan nilai tambah untuk bidang kerjaya kita.
1 comment:
luahan hati saudara adalah hampir sama dengan apa yang saya rasa. a lmaklum saya juga adalah town planner yang makan gaji di syarikat swasta perunding perancang bandar for more than 10 years.
Post a Comment