6.4.07

Retak

Kau sudah tentu kenal dengan seseorang yang cukup sibuk bila bicara pasal jalan dan bangunan-bangunan kerajaan. Kau pasti akan menyumpah-nyumpah apabila kereta yang kau pandu dalam keadaan hawa dinginnya begitu nyaman dan wangi dengan siraman ambi pur. Tiba-tiba kau terasa satu hentakan. Rupanya, ada satu lubang besar di tengah jalan kau tak sempat nak elak. Tayar kau terpelocok masuk. Itu masalah lain. Masalahnya, lubang yang kau langgar semalam, kau bukan sengaja mahu langgar pada hari ini. Sebab lubang itu tidak diperbaiki atau ditampal. Akibatnya, tayar dan rim kereta yang kau pandu akan rosaklah lambat-laun. Kalau kau menaiki kereta Mercedez atau Volvo atau Honda atau kereta import buatan luar negara. Tak apalah! Masalahnya, kau guna kereta keluaran tempatan yang tidak berkualiti langsung dan tiada nilai jika ditolak di pasaran. Nasib baiklah aku guna kereta Produa, ada juga nilainya.

Jadi, mulut kau tak akan berhenti lagi untuk menyumpah dengan tindakan yang kau lakukan menyebabkan sesuatu yang kau tak dingini berlaku. Bukan disebabkan kecuaian kau. Tapi disebabkan keadaan persekitaran misalnya. Disebabkan sesuatu yang tak duga misalnya. Atau memang sudah ingin berlaku barangkali. Atau paling tidak, kau perlu bersabar dengan ujian atau bala yang mendatang yang diberi ke atas kau.

Sedang kau mahu belok dari simpang tiga ke kanan misalnya. Dengan tujuan dan hasrat kau yang murni misalnya. Mahu pergi kerjalah misalnya. Dan kau sudah berniat mahu bekerja kerana Allah dan mencari rezeki yang halal. Tiba-tiba, kau membelok selepas kelibat lori yang kau ekori itu melantunkan batu kecil lalu terkena cermin hadapan kereta kau. Maka, berlaku keretakan kecil di cermin hadapan kereta kau. Kalau batu besar. Sebesar batu-batalah katakan. Habislah kau! Nasib baik, hanya batu kecil.

Sudahnya, kau hanya ada dua pilihan daripada empat. Satu, kau ganti cermin depan kereta kau yang sedikit retak itu. Dua, kau biarkannya saja sambil kau mengambil langkah berhati-hati memakai kacamata hitam apabila memandu. Sekalipun kau memandu pada waktu malam. Manalah tahu takut-takut cermin itu merebak rekahannya lalu pecah dengan sendirinya. Setidak-tidaknya, mata kau tidak terkena serpihan cermin itu. Tiga, kau tuntut insuran. Empat, kau kejar pemandu lori itu lalu kau kata. "Oi, lori kau membahayakan pemandu lain! Sebab lori kaulah cermin kereta aku meretak terkena batu. Haram J!"

Pilihan ketiga tak mungkin kau capai kerana kau ambil insuran yang melindungi badan pemandu dan badan kereta sahaja. Cermin depan kereta tak dilindungi. Itulah senario syarikat insuran yang berada di tanah air kita. Kau perlu ambil insuran berasingan untuk cermin depan kereta kau. Kahkahkah... Pilihan keempat pasti kau tak kuasa mahu lakukannya kerana benda itu sudah terjadi. Dan sukar untuk kau meminta ganti dari pemandu lori kerana ia boleh memanipulasi faktor keadaan persekitaran yang lain. Akhirnya, kau hanya ada satu pilihan iaitu membiarkan saja keretakan yang berlaku di cermin itu. Dan kau pandu kereta kau seperti sediakala.

Hujahnya, kau perlu berhati-hati apabila mengekori lori. Lebih-lebih lagi lori yang bawa batu kelikir. Atau lori yang bentuknya macam siput tu. Berhenti seketika apabila kau rasa lori itu cukup merbahaya. Kau buatlah seolah-olah kau phobia. Kau berhentilah di tepi jalan misalnya. Untuk minum air tin seratus plus. Bagi menghilangkan dahaga. Kau juga perlu pastikan bahawa tayar kereta kau dan mata kau peka dengan lubang yang terdapat di jalan berturap di tanahair kita. Kau bukan tak tahu yang tanahair kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke lima puluh. Sedangkan kereta yang kau guna baru empat puluh delapan bulan.

No comments: