Pagi tadi, sebelum Subuh. Jam 5 pagi. Satu kucupan untuk anak-anak yang masih lena tidur kusampaikan kerana aku mahu pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja. Cuti selama dua hari diambil seperti tidak memadai untuk bermesra dengan mereka. Oh! Kejapnya masa berlalu.
Pasti apabila mereka bangkit nanti, akan mencari ayahnya. "Ayah ane? Ayah ane?" Fiqah selalu kata begitu. Dari hari ke hari dia selalu bertanya. namun dia sekadar bertanya. Ke mana ayahnya pergi. Pandailah ibunya 'chong'kan dia. Manakala Fifah belum tahu apa-apa lagi. Tapi, malam tadi, aku melihat matanya sering mengekori aku, ketika aku berada di sampingnya. Aku yakin, dia berkomunikasi dengan aku. Dia tahu ayahnya memerhatikannya. Fifah... Aku tepuk-tepuk lengannya untuk melenakannya.
"Puteri-puteriku, ayah balik dulu sebab ayah nak kerja. Jangan nakal-nakal tinggal di sini ya. Jangan menyusahkan ibumu yang mengandungkanmu. Selalu ikut cakap ayah dan ibu. Ayah pulang dulu ya nak...," bisik hati kecilku dan melepaskan kucupan di pipi mereka.
Oh! Kosongnya terasa hati ini tanpa kalian semua. Aku rindukan kalian.
No comments:
Post a Comment