Kesinambungan Bukan Kupinta (part VII). Sini.
Masih garis masa sekitar 80-an.
Arakian, Mak tak pernah menceritakan perkara hal yang sebenarnya kepada aku. Entah. Aku pun malaslah nak bertanya. Emak pun malaslah nak menjawab sebenarnya. Dari mana asal keluarga kami? Di mana aku membesar? Bumi mana aku pijak dan langit mana aku junjung? Di mana tempat tumpah darahku? Soalan-soalan ini bermain di kotak kepala otak aku. Dan menyesakkan testis aku.
Belum sempat aku selidiki lagi dengan mendalam. Selidiki tentang jati diri aku. "Argh, peduli apa aku jati diri!" kau kata. Lebih baik layan cerita erotik! Tapi, sekarang aku sedang membuat catatan perjalanan sejarah aku. Bukanlah untuk mencipta epik. Dan jika ada rezeki aku mahu menjejaki di mana tempat lahir aku. Untuk menginsafi diri sambil melanconglah.
Sehinggalah pada satu hari, semasa di dewan peperiksaan. Ketika dan waktu itu semua mengeluarkan surat beranak atau Kad Pengenalan untuk menduduki peperiksaan UPSR ketika itu. Semua calon dikehendaki meletakkan dokumen yang diperlukan itu di tepi bucu kanan di atas meja tulis. Aku lihat semua letak. Maka, aku pun letak. Bull s**t! Aku alergi semua ini! Dalam hati aku. Dokumen yang aku letak, lain dari yang lain. Saiznya besar. Sebesar saiz kertas A4 yang di'laminate'. Sedang yang lain saiz B5. Atau saiz kad pengenalan dulu-dulu. Bagi yang punya kad pengenalan. Dokumen aku ada logo burung Garuda bewarna merah tertera di atas bucu kiri kertas itu. Ada tertulis begini:
AKTE KELAHIRAN
Nomor : Dua puluh tiga
Dari daftar kelahiran BANGSA INDONESIA di BINTAN TIMUR,
Ternyata bahwa di Kijang, pada tanggal sembilan Februari se-
Ribu sembilan ratus tujuh puluh delapan, jam sebelas waktu –
Indonesia Bahagian Barat, telah lahir seorang anak laki-laki yang
diberi nama : ------------- SAIFUDDIN --------------------------
anak dari keluarga suami iseri MARSUK dengan isterinya
------------ HINDUN. -----------------------------------------
------ Kutipan ini diperbuat sesuai dengan keadaan pada hari ini--
-------KIJANG, dua puluh delapan Februari seribu sembilan ra –
tus tujuh puluh sembilan.-----------------------------------------
Beginilah lebih kurang susunan layoutnya. Salinan asalnya masih tetap tersimpan. Huh, masa tu pakai mesin taip, 'spacebar' garis putus-putus.
Pengawas peperiksaan merasa kehairanan. Mereka tanya kebingungan. "Kenapa sijil kelahiran awak lain macam je ni?" Aku jawab dengan tenang (dalam hati). "Ini bukan sijil kelahiran cikgu. Ini Akte Kelahiranlah. Mangkuk! Huhuhu" Tak sepatutnyalah aku jawab gitu. Biasalah, cikgu kekadang Jakun juga. Mengalahkan suku kaum Jakun di pelosok hutan sana. Maklumlah tak melihat dunia luar. Tak terdedah dengan benda-benda begini. Maka dipendekkan cerita. Asal aku tanya je, mak cerita kreng kong kreng kong panjang lebar. Sehingga kini lagi aku masih tak faham. Mak kena buat epilog untuk aku. Nanti dulu! Mak kata.
Aku menjalani peperiksaan dengan tenang. Aku anggap semua itu pertanyaan yang bukan eksotik. Aku dah faham benar interpertasi orang-orang di sekeliling. Merendah-rendahkan keturunan orang seberang. Sesungguhnya, Kota Kijang, Kepulauan Riau tempat tumpah darahku. Sehingga kini aku belum sampai ke sana. Nak kena pergi naik feri wo! Tapi.. Tapi.. Tapi..,
"Sebenarnya, kau lahir bulan dua belas tahun sebelumnya. Mak terlambat daftar kelahiran kau.." Mak kata.
"Ooo" Aku kata.
___
Kata untuk hari ini :
Abses maksudnya bengkak yang bernanah (Kamus Dewan Edisi Ketiga)
Contoh ayat. Leman bukan sahaja mengalami kecederaan selepas kemalangan itu. Tetapi kaki kirinya mengalami abses yang teruk.
No comments:
Post a Comment