13.5.07

Susul (1)

Berikut merupakan surat yang dihantar kepada KHEDN, merupakan surat kali ketiga dihantar selepas disusul melalui telefon berkali-kali. Dan tiga atau empat pertukaran menteri sepanjang menunggu maklum-balas. Akhirnya, penantian hampir 10 tahun (1997-2007) memberi warna cerah dan mencorak hati yang girang kepada anak pemohon. Berikut adalah surat yang dihantar pada awal tahun memasuki ambang tahun 2007.

Saifuddin bin Marsuk
No. 26, Jln Bayan 64,
Taman Megah Ria,
81750 Masai, Johor
Tel : 07-3316675
Hp : 014-2608074
Tarikh : 19 Januari 2007
__________________________________

Y.B Dato’ Seri Mohd Radzi Bin Sheikh Ahmad
Menteri
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Blok D2, Parcel D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 PUTRAJAYA


Datuk,

STATUS PERMOHONAN MENJADI WARGANEGARA MALAYSIA
- Rayuan pertimbangan untuk menyegerakan permohonan


Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Saya telah memohon untuk mendapatkan status Warganegara Malaysia pada 24 Oktober 1997 dengan nombor rujukan JPN: WN: 163 / 3 (B) / 10 / 1855. Kini, taraf kewarganegaraan saya adalah Penduduk Tetap (PR). Oleh sebab ketika itu saya berumur di bawah 18 tahun, saya dikehendaki mengisi borang B sepertimana mengikut prosedur yang ditetapkan. Saya memohon dengan bersandarkan kepada nama ibu (Hindun Hj. Mimfari) kerana semasa memasuki Malaysia, Permit Masuk ibu digandingkan bersama anak.

3. Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), borang permohonan saya berada di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) bahagian kewarganegaraan dengan nombor rujukan KDN (S) 158 / 560 / 2 / 2-17960 yang telah dihantar pada tahun 2001 oleh JPN. Beberapa kali saya cuba susul melalui telefon namun jawapan yang saya terima adalah “bersabar”, “sudah di peringkat akhir” dan “menunggu kelulusan Menteri”.

4. Datuk, saya sering tertanya mengapa sungguh rumit untuk mendapatkan kelulusan sedangkan kedua ibu-bapa saya adalah Warganegara Malaysia manakala keempat-empat adik-beradik saya juga merupakan Warganegara Malaysia. Kesemuanya juga telah melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tempatan Awam (IPTA) tempatan. Dua orang daripadanya mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Saya juga mengerti kelulusan ini adalah anugerah yang tertinggi bagi bukan warganegara dan ianya memerlukan penelitian yang rapi dan teliti.

5. Untuk pengetahuan Datuk, saya telah menetap di Malaysia selama 28 tahun. Daripada mendapat pendidikan awal sehingga saya berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA di peringkat Ijazah Sarjana Muda (B. Urban & Regional Planning) dan Sarjana Sains (Masters). Di IPTA saya tidak layak memohon pinjaman JPA tetapi layak mendapat pinjaman PTPTN semasa pengajian memasuki tahun 4 (tahun 2000) yang mana ketika itu, PTPTN baru diperkenalkan. Pihak universiti juga menjadi bingung kadar yuran yang harus dikenakan ke atas saya apabila saya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Sains (Masters). Akhirnya, saya dikenakan bayaran yuran yang setara dengan pelajar luar negeri (foreign student) untuk semester pertama. Setelah membuat rayuan, pihak universiti mempertimbangkan untuk sama kadar dengan pelajar tempatan. Sedangkan saya dan keluarga saya tinggal di Malaysia.

6. Masalah status kewarganegaraan saya ini amat merumitkan perjalanan hidup saya. Semasa di sekolah rendah, saya tidak dibenarkan untuk mewakili sehingga ke peringkat negeri dalam sukan hoki dan pertandingan tilawah al-Quran. Semasa di sekolah menengah, saya pernah ditendang semula ke sekolah lama dari Sekolah Menengah Teknik kerana disebabkan status kewarganegaraan dan kesilapan teknikal semasa memproses borang oleh pihak atasan, walaupun pada ketika itu saya telah membayar yuran dan mengikuti kelas selama seminggu. Saya malu dan kecewa. Saya sering di kata sebagai ‘Pendatang Haram’ semasa di sekolah.

7. Semasa hendak menikah, timbul lagi masalah yang mana saya terpaksa menikah di tempat saya (di mana lelaki bermastatutin) sepertimana yang ditetapkan oleh pekeliling dan prosedur Jabatan Agama Johor. Namun, masalah ini saya dapat selesaikannya satu-persatu secara bijaksana. Saya redha. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Namun begitu, pada hemat saya, adalah sesuatu yang rugi kepada Malaysia sekiranya manusia yang berpotensi seperti saya tidak dapat menyumbangkan buah fikiran, idea dan intelektualnya kepada pihak kerajaan. Sesungguhnya di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung. Sekiranya potensi yang ada ini digilap, nescaya suatu hari nanti, saya bakal akan mengharumkan nama negara.

8. Sehingga kini, saya masih gusar, buntu dan runsing memikirkan mengapa permohonan saya masih belum diluluskan dan kurang mendapat pertimbangan yang sewajarnya. Datuk, saya yakin sudah memenuhi segala syarat asas yang ditetapkan bagi mendapatkan taraf warganegara. Saya berkelakuan baik dan tiada rekod jenayah. Saya sudah menetap lama di Malaysia tercinta. Saya mempunyai komitmen yang tinggi dan telah berakar umbi di negara ini. Saya memahami bahasa, budaya dan memenuhi kehendak Negara. Saya sudah menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara. Saya juga taat dan setia kepada Negara yang tidak berbelah bahagi. Saya juga memahami bahawa bukan mudah untuk memberi kelulusan kewarganegaraan seseorang. Ia memerlukan penelitian dari pelbagai aspek dan pemohon bebas dari jenayah. Saya yakin sepanjang saya menetap di Malaysia tiada sebarang jenayah saya lakukan.

9. Kini, saya sudah berumahtangga dengan seorang Warganegara Malaysia dan mempunyai seorang cahaya mata. Saya khuatir, disebabkan status kewargenegaraan saya menjadi masalah dan beban pula kepada persekolahan anak saya. Saya tidak mahu, perjalanan hidup saya menjadi lebih sukar lagi kerana masalah yang sekelumit ini. Walaupun saya boleh bekerja di bidang swasta, namun saya kehilangan hak mengundi untuk memilih pemimpin sekalipun tinggal di Malaysia. Saya bingung memikirkan masalah yang bakal saya hadapi ini. Kini, diri ini rasa terpinggir dan tersisih kerana igauan lalu, walaupun sudah lama menetap di bumi Malaysia. Tidak mampu untuk menanggung derita ini lagi.

10. Saya merayu kepada Datuk untuk mempertimbangkan supaya permohonan ini dapat disegerakan dan seterusnya meluluskan permohonan taraf kewarganegaraan saya. Perhatian yang sewajarnya daripada Datuk didahului dengan jutaan terima kasih. Hal ini adalah untuk demi masa depan saya dan keluarga saya yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di bumi bertuah lagi nan permai ini. Keranamu Malaysia.


Sekian, terima kasih


Yang Benar,

...............................................
(SAIFUDDIN BIN MARSUK)
Anak kepada pemohon



s.k
1. Pengarah,
Ibu Pejabat,
Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia,
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri,
Lot 2G5, Presint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62100 W.P. Putrajaya
(Dato’ Mohd Abdul Halim Muhammad)

2. Perdana Menteri
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Pejabat Perdana Menteri Malaysia
Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PUTRAJAYA

1 comment:

Anonymous said...

tahniah.