26.7.06

Bukan Kupinta (part III)

Kasihan budak tu Pak Eh...
Biar dia tahu. Biar dia serik.
Awak bukan mengajar anak namanya Pak Eh
Habis tuh, nak dibiar aje budak tu ponteng sekolah agama.

Serik juga aku dengan peristiwa tu. Sikit-sikit. Peristiwa menyedihkan bagi aku. Menyayat hati. Sadis. Sejak kejadian tu, aku tak berani lagi untuk menghadiri sesi latihan hoki di sebelah petang. Walhal aku terpilih untuk mewakili pasukan hoki sekolah.

Cikgu Rahman sering menanyakan aku kenapa tak datang sesi latihan. Kalau begini caranya awak boleh digugurkan dari menyertai pasukan hoki sekolah. Latihan ni kekadang satu juga. Tak cukup waktu petang. Dicurinya masa subjek berjalan di waktu pagi. Lebih-lebih lagi kelas Matematik dan Pendidikan Islam. Curilah masa kelas Bahasa Inggeris ke. Kelas Lukisan ke. Terpaksa minta permisi dengan guru untuk menjalani latihan. Guna aje nama Cikgu Rahman. Habis cerita. Ramai cikgu yang komplen. Aku tidak berterus-terang dengan mana-mana cikgu yang mengendalikan sesi latihan hoki atau mana-mana rakan seperjuangan yang menyertai pasukan hoki. Tentang aku. Tentang tidak dapat ikuti latihan hoki sebelah petang. Tentang ketidaksebuluan ayah dengan minat aku. Aku lebih rela pendam sendiri. Cukuplah aku sendiri yang menanggung semua ini. Biar aku sendiri saja yang memikul. Tak perlu aku kongsikan.

Namun begitu, aku gagahi juga untuk mengikuti pasukan hoki sekolah. Kerana apa? Aku kena ikut kata hati aku. Aku cenderung yang ini. Aku bukan paksa. Ia datang sendiri. Oleh sebab aku tak dibenarkan ponteng sekolah agama. Aku cari jalan lain. Aku buat latihan sendiri di rumah. Setelah selesai pulang dari sekolah agama. Cukuplah walau sejam cuma. Asal kau konsisten. Asal kau bagi komitmen. Pulang pukul enam petang. Terus bergegas ke luar rumah untuk berlatih sehingga jam tujuh malam. Kalau tak cukup lepas Maghrib aku teruskan. Stick hoki, sebiji bola. Cukup untuk aku jalani latihan. Drible, pukul ke dinding, tolakan, timbang bola, tolak dan tarik serta apa saja asalkan aku dapat lepaskan.

Aku tahu jika aku minta sekalipun tak akan dapat. Sedangkan nak ke latihan tak dibenarkan, apatah lagi untuk meminta dibelikan stick hoki, kasut dan perlatan yang lain. Sudah. Kirim salam ajelah. Tapi, semangat aku berkata sesuatu untuk meneruskan sesi latihan. Kekadang aku curi-curi ponteng juga dalam seminggu. Anak degil lah katakan. Bukan degil? Habis apa? Entah. Bukan tahu serik. Dah ayah tak bagi janganlah buat. Huh, bukan aku degil, tapi ini hasrat dan minat aku yang tak boleh tidak.

Ternyata latihan yang aku jalankan sendiri di rumah membuahkan hasil. Segala kemahiran aku dapat kuasai berbanding dengan rakan yang lain. Rakan yang menjalani sesi latihan setiap petang. Aku boleh pukul bola dengan sasaran yang tepat dan kadar yang laju. Aku boleh tahan bola selaju mana dan dari arah mana sekalipun. Aku handal mendrible bola seolah-olah bola melekat di stick hoki. Huh, pencapaian yang membanggakan. Cikgu Rahman turut memuji kemahiran aku. Dia memberi semangat dan dorongan yang tinggi kepada aku. Semangat aku makin membuak-buak untuk terus maju dalam arena sukan ini. Siapa tahu suatu hari nanti dapat mewakili negara. Boleh jadi bintang. Dapat bintang...

Hari ini, tibalah masanya perlawanan hoki Majlis Sukan Sekolah Rendah Zon Johor Bahru bermula. Aku diturunkan di antara kesebelasan pemain dan tunggak kepada pasukan. Selaku ketua pasukan aku memang bergantung harap pada semua rakan untuk kerja sepasukan dan menjaringkan gol seberapa banyak yang boleh. Ketika dan waktu itu, sekolah kami bukanlah sekolah pilihan. Sukan hoki amat baru bagi sekolah kami. Baru diperkenalkan dan pertama kalinya masuk pertandingan sebegini rupa. Jadi, sekolah kami diperlekehkan dan dipandang enteng.

Aku gembira pada hari tersebut. Aku beritahu ayah dan mak akan hal ini. Mereka beri keizinan. Mereka beri sokongan dalam hati kecilnya. Ada. Ya, ada. Ayah tak marah lagi sebab sekolah agama dah habis periksa akhir tahun.

Hari itu, aku memang teruja. Tak sabar nak tunjuk bakat di atas padang. Bukan riak. Bukan takbur. Tapi tak sabar nak memukul ke arah gol lawan. Biar berdentum. Nak menutup mulut budak-budak sekolah lain yang pandang mudah sekolah kami. Pasukan lauk katanya. Lauk! Lauk! Segak menyarung jersi yang baru dibeli. Stoking baru, Stick yang dah lama dikemudi sejak latihan. Kasut sendiri.

bersambung...

No comments: