Ketika entri ini mula ditulis. Setelah usai solat Aidil fitri. Lagu hari raya berkumandang di kaca tivi.
Seperti tahun-tahun sebelum. Sambutan Hari Raya menggunapakai sistem bergilir. Itulah kontrak sosial yang dimetrai. Tahun ini giliran di kampung halaman awek aku. Bagi aku, tak ada masalah sangat pun. Sebenarnya, raya di mana-mana pun sama juga. Sebelum ini pun kami beraya di perantauan seperti di Edinburgh, Scotland dan Rio de Jenerio, Brazil. Cumanya, kalau raya di kampung halaman awek aku. Raya pertama sampai raya ke enam belas. Duduk rumah sambut tetamu. Paling kuat, makan-tidur dan lepak-lepak.
Tapi, tahun ini. Ada satu rasa kerisauan dalam hati. Ayahanda di kampung halaman lagi satu kerap kali pitam sejak akhir-akhir ini. Tak berapa sihat orang tua tu. Dua minggu lepas, khabarnya jatuh pengsan. Kepalanya luka. Kena jahitan. Dan hari selepas itu, ayahanda pergi ke pasar menunggang motosikal. Seperti biasa, menjadi rutinnya awal pagi, sebelum membuka kedai runcitnya. Sampai di pasar ayahanda parkir motosikalnya. Lalu berjalan beberapa tapak. Kemudian. Ayahanda rasa pening. Penglihatannya gelap. Erm, ayahanda rasa berpusing-pusing. Ayahanda tinggalkan motosikal. Lalu balik menaiki teksi.
Ayahanda, ayahdanda kena rehat! Kalau sakit tak usah berniaga dulu. Duduk di rumah saja. Elok ayahanda berehat. Sesungguhnya, aku bukan mahu cari alasan mahu beraya di kampung halaman sendiri. Bukan! Giliran tetap giliran. Kerana aku harus berlaku adil pada diri sendiri dan awek aku. Kontrak sosial sudah dimetrai. Lagipun, mereka dah ternanti-nanti dan menunggu kepulangan kami.
Ayahanda dan bonda, maaf zahir batin. Halalkan susu bonda dan makan minum anakanda selama ini. Jika ada sebarang keterlanjuran tutur kata, tingkah laku, gerak-geri dan apa jua yang mengguris perasaan ayahanda dan bonda, apalah kiranya untuk memaafkan anakandamu ini. Anakanda sekeluarga kirim doa dari sini. Juga kirim kuih hari raya beserta kad raya. Harapnya sampai dan menjadi pengubat rindu untuk menggantikan kami sekeluarga di pagi Syawal yang mulia.
Ketika entri ini sampai ke penghujungnya, butir-butir kaca menyelaputi bola mata. Hati merasa sebak dan pilu. Terasa sesuatu mengalir di pipi.
.
1 comment:
dalam dunia ni.. wang ringgit harta benda smua tu sebenarnya xbernilai apa-apa pun..
kecuali, ayahanda, bonda dan keluarga..
sebab, patah tak bertumbuh hilang x berganti.. tak ada sesiapa pon boleh ganti tempat mereka.. kan?
Post a Comment