31.8.09

Kecemburuan

Selepas kejadian itu aku beristighfar seketika. Teringat firman Allah dalam ayat seratus tiga puluh empat surah Ali Imran "Mereka menafkahkan harta benda mereka ketika senang ataupun susah, mereka juga mampu mengawal perasaan marah dan mereka juga suka memaafkan kesalahan orang lain."

Malam itu. Afifah mengada-ngada yang tak terhingga. Merengek-rengek mahukan sesuatu. Habis merengek. Minta pula untuk didukung. Setelah didukung. Mahu diletak tidak mahu. Kemudian aku mendukungnya ke mana saja aku pergi. Kasihan akan dia. Lagi kasihan aku ini. Dia senyap seketika.

Kemudian dia tak semena-mena dia menggigit tangan aku. Adoi! Aku kata kesakitan. Lalu aku letakkannya ke bawah. Bukan aku campakkannya. Makin dia melenting-lenting mahu didukung semula. Aku duduk. Ia semakin merengek berlagu. Ibunya merangkap awek aku cuba menakutkan dengan mengambil rotan. Rengekan makin menjadi.

”Letak saja di luar.” Ugut ibunya.

”Campakkan ia di luar ayah.” Tambahnya lagi.

Sebenarnya aku tak sampai hati memperlakukan begitu. Tapi. Masa itu aku pun tak berupaya mengawal emosi disebabkan perangainya sehingga aku sendiri gagal mengawal marah. Akhirnya aku angkat dia untuk tujuan menakut-nakutkannya untuk diletakkan supaya tidur di luar. Makin dia melalak dan meraung. Itulah kemuncak letupan dan ledakan emosi aku barangkali. Kemudian. Aku duduk. Afifah masih teresak-esak menangis. Kami biarkan saja. Buat tak tahu.

Lalu aku sendiri terfikir. Emosi diberikan Tuhan bukan untuk diletupkan tetapi untuk dikawal supaya dapat disalurkan pada tempat yang betul. Salah satu cara sepatutnya aku mendiamkan diri, memejamkan mata serta mengosongkan minda bagi meredakan perasaan marah. Imam Ahmad dan Baihaqi melaporkan kata-kata nabi yang bermaksud, "Apabila kamu marah maka diamlah." Kemudian, harus disusuli dengan zikir kepada Tuhan kerana ia mempunyai penawar yang mampu mendamaikan jiwa. Sehubungan dengan ini, dalam surah ar-Ra'ad ayat dua puluh lapan Tuhan menyatakan, "Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang."

Afifah. Ayah sepatutnya lebih tenang tika itu. Ayah seharusnya cool. Sebaliknya bukan memperlakukan kamu begitu. Ayah akan beringat di lain hari. Bukan niat untuk marahkan kamu. Tapi ayah faham bahawa kamu perlukan perhatian yang lebih dengan disebabkan kehadiran adik baru kamu. Akif Hadif. Sebab itu kamu mengada-ngada. Ayah berdoa agar kamu tak mengada-ngada sampai ke tua. Cukuplah kamu masih belum dapat menerima setakat ini. Lambat-laun kamu akan faham.

Manusia yang gagah bukanlah dia yang mampu menjatuhkan lawannya. Sebaliknya, yang gagah adalah dia yang mampu mengawal perasaan marahnya. Sahabat nabi yang bernama Abu Darda' pernah menyoal nabi, "Ya Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang akan membawa aku ke syurga." Nabi menjawab, "Janganlah engkau marah!" Hadis ini dilaporkan oleh Imam Thabrani dan Ibn Abid Dunya dengan sanad yang baik.

Selamat Hari Merdeka. Merdeka!



.

2 comments:

Unknown said...

“Sesungguhnya orang-orang yang sabar itu, akan disempurnakan pahalanya dengan tiada terhitung”. (QS Az-Zumar : 10).

AiE bAhRi said...

Biasala budak2..mau diberi perhatian lebih.Sabarlah..esok lusa dia akan faham..