30.1.06

Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam

Aku dah niat sebelum dari semalam lagi. Bila tiba sahaja masanya. Aku tak mahu tangguh. Terus aku kerjakan. Selepas selesai solat Asar. Duduk membaca doa. Doanya berbunyi begini:

“Ya Allah, sesunggunya perkara yang telah kami lakukan dari perbuatan yang Engkau larang pada tahun ini masih belum lagi kami bertaubat pada hal Engkau tidak meredhai dan tidak melupakannya. Kami mengetahui dengan kelembutanMu, Engkau tidak mengazab kami malah memberi peluang kepada kami bertaubat setelah kami melakukan maksiat. Maka kami sekelian memohon keampunanMu. Ya Allah, ampunkanlah semua perbuatan-perbuatan maksiat kami sepanjang tahun ini dan redhailah kami. Ya Allah, sesunguhnya Engkau telah menjanjikan pahala setiap perbuatan kami yang baik, maka dengan kebesaran dan kemuliaanMu, terimalah segala amal bakti kami dan jangan Engkau hampakan harapan kami. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Penyayang”.

Selepas Isyak malam ni ada kenduri rumah pakcik. Kata mak kenduri lenggang perut anak perempuannya. Sepupu aku. Dah masuk tujuh bulan. Memang cepat masa berlalu. Rumahnya jauh juga. Makan juga setengah jam. Kalau memandu laju. Maknanya, kena keluar awal. Kira-kira selepas Maghrib eloklah tu. Memang tepat pada masanya kalau masa tidak dibuang. Selesai solat Maghrib aku menadah tangan membaca doa. Doanya setelah selesai membaca doa selepas solat. Doanya bermaksud begini:

“Ya Allah, Engkaulah sedia ada semenjak awal dan kekal abadi atas kemualiaan Engkau yang Maha Agung. Ya Allah, pada tahun baru ini kami memohon kepada Engkau daripada fitnah dan tipu daya syaitan dan pemerintahannya serta tentera-tenteranya. Ya Allah, kami berlindung kepada Engkau daripada nafsu amarah dan kejahatan. Berilah petunjuk kepada kami supaya kami semakin dekat kepadaMu”.

Tetapi masalahnya, masing-masing banyak karenah. Banyak cekadak. Bergerak lewat. Setibanya di sana, orang ramai dah baca pertengahan surah Yassin. Dalam dah sarat muatan. Luar pun dah penuh. Terpaksa duduk kat tepi jalan. Nasib baik ada kotak limau kat situ. Disiat-siat kotak tu. Dapat dibuat alas untuk duduk. Semua orang dok perhati. Hoi... Nak baca doa ke nak tengok orang. Belum duduk panas. Bacaan dah habis. Doa tak lama. Sejurus selepas mengusap muka, aku terpandang ke arah muka abah. Dia bikin isyarat guna lenggok kepala je. Maknanya faham-faham je lah. Angkat hidangan di dalam. Aku cuit juga peha adik untuk turut serta. Datang lambat kena cover angkat hidangan. Hidangan perlu diangkat kerana sudah tiba masa makan. Maklumlah, ni kan rumah pakcik sendiri. Nanti, apa pula katanya. Kata orang sekeliling...

Lepas selesai orang makan. Doa penutup. Tak payah tunggu isyarat. Hidangan perlu dikemas. Dalam perjalanan pulang sekereta. Aku tanya pada adikku apakah tema Maal hijrah untuk tahun ini. Dia jawab entah. Dia tak tahu. Kemudian, dia kembalikan soalan itu kepadaku. Dengan penuh yakin aku jawab tema tahun ni adalah guna tahun lepas punya tema. Dia macam tak yakin dengan jawapan aku. Dia mahukan temanya. Tagline tema tu. Bukan guna tema tahun lepas yang perlu dijawab. Aku kata, kalau tak percaya esok cuba tengok televisyen. Siaran langsung.


.

No comments: