30.7.09

Hari ini dalamnya ada sejarah

Arakian tersebutlah satu kisah, di bumi yang diberi nama Tanahair Api Angin. Mewarwarkan kepada rakyat jelata bahawa di bumi Tanahair Api Angin sedang mencari ikon bunga yang perlu dinobatkan sebagai bunga kebangsaan. Maka, satu pertandingan diadakan untuk rakyat jelata. Dan pada ketika itu, tidak berapa banyak pertandingan yang dibuka kepada rakyat. Kebanyakan pertandingan dibuka untuk golongan bangsawan, istana dan kru-kru serta kroni-kroni penganjur. Cuma, sejak perlantikan ketua unit yang baru ni, pertandingan lebih bersifat telus. Jadi, dalam syarat pertandingan diletakkan kakitangan dan saudara-mara pihak penganjur yang terdekat tidak dibenarkan memasuki pertandingan.

Di mana, hadiah pertama adalah merupakan pekej percutian dari Mekah ke Madinah hanya untuk makan angin saja. Dan untuk membeli-belah. Serta tangkap gambar bagi tebal album peribadi. Hadiah kedua pula, adalah pakej tajaan sambung belajar ke Edinburgh, Scotland atau ke Oklohama, Jepun waima surat tawaran belajar belum diterima lagi dari pihak kedutaan. Takpe. Ini bersyarat bagi mereka yang berkhidmat dalam sektor awam sahaja. Lebih-lebih lagi jika tahu penempatan ditempatkan ke kawasan yang jauh. Atau main politik jabatan. Bagi saja alasan sambung belajar. Hadiah ketiga pula, merupakan bekerja di tempat-tempat yang tiada sangat tekanan pembangunan tetapi gaji lumayan nak mampos! Dengan enam kenaikan tangga gaji. Tanpa bersusah-payah membuat pelarasan gaji ataupun bukti KWSP. Contohnya bekerja di Pulau Aur. Hadiah saguhati pula sebanyak 50 buah berupa satu laman sesawang facebook untuk kegunaan peribadi bagi dimasukkan gambar-gambar yang boleh ditatap oleh seluruh dunia. Memasukkan gambar porno dengan secara automatisnya hadiah diberikan kepada orang lain. Hadiah iringan pula ialah sepinggan kuih cucur udang atau cucur badak atau cucur kodok. Pilih antara satu. Hadiah ini adalah hadiah dari pemimpin untuk rakyat. Dan juga merupakan hadiah penyertaan.

Baik, lupakan soal hadiah. Maka, telah tiba saat yang dinanti-nantikan. Rakyat jelata dan semua penghuni mengusul pelbagai jenis bunga untuk dinobatkan sebagai bunga kebangsaan. Terdapat tidak kurang dari 800 jenis bunga yang dicadangkan. Dan cadangan bukan hanya sekadar memberi cadangan tetapi disertakan justifikasinya yang kukuh juga. Antaranya ialah bunga tulip, ros, melati, cempaka, kemboja, kekwa, bourgenvilla, kenanga, sakura, teratai, dahlia, anggerik, orkid. Termasuklah bunga plastik, bunga api dan Bunga Citra Lestari. Akhirnya, dari sebegitu banyak ditapis-tapis menjadi 22 jenis bunga yag terpilih pada saringan kedua. pada peringkat ini. 23 jenis bunga yang layak itu ialah bunga rafflesia, bangkai, lavender, melor, helikonia, raya, krisantemum, anthurium, lili peri, nankusa, kakao, kristal, pinjaman, matahari, tanjung, geti, tahi ayam, rampai, telor, manggar, pahar, padi dan bunga kobis.

Daripada 23 jenis itu, maka dipilih satu saja yang mendapat undian SMS tertinggi serta dicampur markah juri profesional. Bunga itu ialah bunga raya. Ia dipilih berdasarkan sifatnya yang tidak berbau. Senang ditanam di mana jua. Bunganya tidak bermusim. Mempunyai lima kelopak. Warnanya yang merah melambangkan keberanian yang nyata. Maka, Bunga Raya diisytiharkan Bunga Nasional bagi Tanahair Api Angin. Sejak itu, penggunaan bunga raya diadaptasi secara meluas. Termasuklah menamakan nama cahaya mata yang baru lahir antaranya Nurul Raya'iyah, Ali Raya, Muhammad Hibiscus dan sebagainya. Fanatik sungguh!

Namun, kini bunga raya semakin dilupakan. bunga raya tiada tempat di kedai-kedai bunga hidup mahupun bunga plastik. Apatahlagi di majlis-majlis keramaian atau keraian kebanyakan bunga manggar, bunga rampai, bunga pahar dan bunga api lebih mendapat tempat. Rupanya, ramai tidak tahu bunga raya itu banyak khasiat dari batangnya, daunnya dan bunganya sendiri penuh khasiat.

Selamat menyambut bulan kemerdekaan


.

No comments: